UPSR, NASI LEMAK, LEPAT PISANG DAN AYAM GORENG
Sudah
dua hari Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Malaysia ( UPSR)
berlangsung. Dan selama dua hari juga aku tak berapa ‘lelap’ tidur. Cucu aku
Fasihah Shahira menduduki peperiksaan berkenaan. Sepatutnya aku tak perlu
‘bimbang’ kerana ibu bapanya ada disampingnya untuk berkongsi kebimbangan anak
mereka yang menduduki peperiksaan. Lagi pun sudah begitu lama aku dalam keadaan
‘bimbang’ ketika anak-anak menghadapi peperiksaan. Sepatutnya aku sudah ‘bersara’
daripada memikirkan tentang peperiksaan.
Rupa-rupanya
perasaan bimbang dan cemas ini akan terus menyerang, apatah lagi apabila cucu
pula menduduki peperiksaan. Namun begitu aku terus menyembunyikan kerisauan dan
kebimbangan aku. Aku hanya menunjukkan tentang ‘concern’ aku kepada cucu aku
dan cuba sedaya upaya menyembunyikan ‘kerisauan dan kebimbangan’ aku. Yang
boleh aku lakukan untuk ‘membantu’ ialah dengan cara memberikan nasihat dan
berdoa disamping melakukan sembahayang hajat agar permohonan dan permintaan
agar cucu aku lulus dengan cemerlang diperkenankan. olehNya.
Aku
masih teringat bagaimana arwah ibu ku akan ‘menyampaikan hadiah’ nasi lemak dan
kuih-kuih kepada anak-anak di kampung aku setiap kali akau menduduki
peperiksaan kerajaan pada suatu ketika dulu. Pagi-pagi lagi emak akan membawa
nasi lemak dan kuih-kuih yang dimasaknya sendiri dan menunggu kanak-kanak ke
sekolah untuk disedekahkah nasi lemak berkenaan. Anak-anak dari Kampung
Seberang tidak ada jalan lain untuk ke sekolah di Kampung Lalang melainkan
melalui jalan ( batas bendang) di hadapan rumah kami. Oleh itu arwah emak hanya
perlu menunggu di tepian jalan dan menghulurkan bungkusan (nasi lemak dan kuih
lepat pisang ) kepada anak-anak sekolah berkenaan. Mngkin itulah saja cara yang
boleh dilakukan oleh emak dan bapa untuk ‘membantu’ aku dan adik aku lulus
dengan cemerlang dalam peperiksaan yang kami duduki. (Semoga roh kedua-dua
mereka dicucuri rahmat hendaknya).
Amalan
arwah ibu aku mahu aku teruskan. Mahu rasanya aku pulang ke kampung halaman aku
untuk meneruskan amalan baik yang dilakukan oleh ibu bapa aku dulu-dulu. Aku
dapat bayangkan kegembiraan yang terpancar di wajah setiap anak-anak yang
menerima bungkusan nasi lemak dan Lepat Pisang dari ibu ku. Dan setiap kali
dihulurkan bungkusan demikian emak akan memberitahu anak-anak itu agar
mendoakan aku dan adik aku lulus dalam peperiksaan. Setiap kali aku dan adik
aku menduduki peperiksaan, begitulah amalan ibu ku.
Apabila
cucu ku Shahira menduduki peperiksaan UPSR, aku berhasrat untuk mengikut jejak
langkah arwah ibu ku. Tidak pula aku memberitahu cucu dan emak bapa mereka
tentang hasrat yang terpendam ini. Aku telah mengenal pasti sebuah kawasan
perumahan di Lembah Kelang yang aku merasakan anak-anak di kawasan perumahan
berkenaan akan merasa gembira dan bahagia sekiranya aku hulurkan pemberian aku
bersempena dengan peperiksaan yang diduduki oleh cucu ku.
Nasi
lemak yang sepatutnya diberikan oleh arwah ibu ku telah aku tukarkan dengan
beberapa bungkusan ayam goreng yang pastinya mengembirakan anak-anak apabila
mendapatinya. Dan aku pasti juga kanak-kanak yang aku kenal pasti itu agak
jarang dapat menikmati ayam goreng sedemikian memandangkan latar belakang
kehidupan keluarga mereka yang agak sederhana. Lantas sememangnya begitu hasrat
aku agar dapat mengembirakan hati anak-anak berkenaan disamping mendoakan
kejayaan Shahira dalam Peperiksaan UPSR yang didudukinya.
Disamping
aku mendoakan kejayaan cucu aku, tidak lupa juga aku untuk mendoakan kejayaan
anak-anak lain terutama yang berada di kampung-kampung yang kehidupan mereka
amat sederhana seperti mana yang pernah aku lalui puluhan tahun yang lampau.
Dan amat aku hargai pendidikan yang telah aku terima ini hasil usaha gigih ibu
bapa aku kerana dengan berbekalkan pendidikan yang sebeginilah dapat aku ‘meneroka’
dunia ini sebagaimana yang dinikmati oleh orang lain.
Memiliki
pendidikan merupakan harta yang tidak ada tolak bandingnya……
abuhassanadam
10 September 2015
In Sya Allah.. semoga shahira mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR. Amin
ReplyDeleteChu Ah Mie,
ReplyDeleteTerima kasih.
Pak Abu
Begitulah kasih sayang seorang datok kepada cucunya. Didoakan agar cucu cikgu Fasihah Shahira serta calon-calon UPSR 2015 mencapai kejayaan yang cemerlang.
ReplyDeleteSMBM 1976 - 1977
amalhaj,
ReplyDeleteTerima kasih. Ini mesti anak murid ni.
Cikgu
InsyaAllah...pahala terus mengalir secara automatik kpd arwah parents pak abu...
ReplyDeleteKamariah Yasim,
ReplyDeleteHarap-harap begitulah. Terima kasih atas doa berkenaan.
Pak Abu