Friday, March 1, 2019

PAS MENJOLOK ‘SARANG TEBUAN’!!

            Entah macam mana, angin tidak ribut pun tidak pemimpin PAS Tuan Guru Haji Hadi Awang bersama dengan dua orang ‘pengapit’nya bertemu Tun Mahathir menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir. Pada awalnya tidak dihebuhkan kenyataan yang PAS akan menyokong Tun Mahathir. Cuma yang dijelaskan oleh Tun Mahathir hasil pertemuan mereka itu ialah yang PAS tidak akan memberikan sokongan kepada UMNO pada PRK Semenyih.

            Kebanyakan pemimpin dan ahli PAS sendiri terpinga-pinga dengan perkembangan sedemikian. Mereka tidak diberitahu (atau mungkin telah diberitahu tetapi pura-pura buat tak tahu) oleh pucuk pimpinan. Kesannya tentulah timbul ‘kecelaruan’. Si pemimpin peringkat atasan telah memberikan jaminan yang mereka tidak akan menyokong UMNO di PRK berkenaan sedangkan pada majlis pengisytiharan pencalonan, pemimpin peringkat pertengahan telah bersungguh-sungguh  dengan kenyataan yang mereka akan semacam  ‘sehidup semati’ dengan UMNO sebagaimana yang berlaku di PRK Cameron Highlands.

            Selepas itu baru timbul isu (secara rasmi!) yang PAS akan memberikan sokongan padu kepada Tun Mahathir. Tidak begitu jelas pula tentang mengapa diberikan sokongan kepada Tun M dan Tun M pula tidak juga menyatakan dengan jelas mengapa sokongan itu diberikan. Sebagaimana kebiasaannya Tun M lebih banyak diam daripada berkata-kata. Hanya pihak PAS yang ‘melompat’ dan ‘meloncat’. Dan pihak kepimpinan PAS sudah agak menyepi tentang isu tidak menyokong UMNO di PRK Semenyih walaupun kononnya jentera PAS masih bergerak di sana.

            Jelas menampakkan yang kepimpinan PAS dalam keadaan ‘kacau kena’ ( loghat negeri Perak yang bermaksud serba salah) terutama selepas Tuan Guru Haji Hadi menarik balik samannya terhadap Clare Brown berhubung dengan samanya tentang IMDB. Telah dicanangkan ‘ ke hulu ke hilir’ yang PAS beroleh kemenangan dan mendapat kepercayaan kepada ahli-ahlinya (tentulah dengan pekikan Allahu Akbar!) dan tiba-tiba menarik balik tuntutan saman berkenaan. Bagi golongan yang tidak berapa cerdik sahaja yang percaya bahawa PAS telah beroleh kemenangan.

            Agaknya dalam keadaan kelam kabut yang sedemikian dan ditambah pula dengan ‘malapetaka’ yang ditimbulkan oleh YB Nik Abduh yang menyebabkan Tuan Guru Haji Hadi sentiasa mengatur langkah sumbang. Setiap kenyataan yang dikeluarkan mendapat reaksi yang negatif dari rakyat yang berfikiran rasional, seolah-olah kenyataan beliau sudah tidak dihormati dan seringkali dipersendakan. Hanya kepada pengikut yang fanatik sahaja tempat beliau ‘mengadu nasib’untuk menagih sedikit simpati dalam arus ‘perjuangan’ yang agak tenat ini.

            Masyarakat Malaysia mula bertanyakan beberapa soalan. Mengapa Tuan Guru Haji Hadi bersungguh-sungguh benar menyatakan sokongan kepada Tun M. Apa perlunya sokongan beliau. Dan mengapa ‘tanpa angin dan tanpa ribut’ TG Haji Hadi ‘berikrar’ menyatakan tidak memberikan sokongan kepada UMNO di PRK Semenyih. Dan sekiranya PAS memberikan sokongan kepada Tun M bermakna PAS juga memberikan sokongan kepada pemimpin Pakatan Harapan yang mana DAP juga termasuk dalam kumpulan PH sedangkan PAS telah menyatakan dengan jelas bahawa ‘musuh’ PAS sebenarnya adalah DAP.

            Dalam keadaan yang cuba meleraikan kekusutan dan dalam usaha mencari helah yang sesuai PAS menyatakan bahawa Tun Mahathir akan menghadapi undi tidak percaya di Parlimen. Timbul persoalan dari kumpulan mana? Dari DAP kah. Dari PKR kah? Dari Amanah kah? Jelas kelihatan tidak ternampak sebarang tanda wujudnya komplot untuk menjatuhkan Tun M. Yang wujud hanyalah suara-suara ‘budak nakal berhingus’ yang cuba-cuba ‘bermain politik ikutan’ mengatakan bahawa ada usaha Saudara Anwar Ibrahim yang akan menggugat kedudukan Tun M sebagai Perdana Menteri.

            Tuduhan itu dinafikan oleh Saudara Anwar sekeras-kerasnya. Walaupun begitu kepimpinan PAS terus ‘berpaut’ kepada isu “Anwar nak menjatuhkan Tun M ‘ dan para pemimpin PAS bawahan terus menerus mendendangkan ‘lagu’ itu. Pada mulanya Anwar hanya berdiam diri, bersikap membiarkan keadaan berlalu namun tuduhan dari kepimpinan PAS semakin menjadi-jadi.

            Tindakan PAS ibarat menjolok sebarang tebuan. Kini tebuan yang dijolok sarangnya sudah mula menyengat.  Dan muncullah kisah Tuan Guru Haji Hadi membayar sejumlah wang RM 1.4 juta yang agak lumayan kepada Clare Rewcastle Brown sebagai penyelesaian luar mahkamah kes samannya di London. Mengikut kata Saudara Anwar Ibrahim, ‘…saya tak akan bercakap kalau saya tak ada fakta. Ni saya ada bukti – Pas, Hadi Awang telah bayar RM 1.4 juta kepada Clare Rewcastle Brown. Kalau Pas nak cabar, boleh dakwa saya di mahkamah, saya ada bukti” Malaysia Chronicle – Februai 28 , 2019)

            Dan Saudara Anwar meminta kepimpinan PAS menjawab dan menjelaskan tentang pembayaran berkenaan. Apakah kepimpinan PAS berani menyahut cabaran berkenaan. Eloklah tunjukkan‘kejantanan’ pemimpin PAS kepada rakyat. Ataupun sekurang-kurangnya dapat menyedar dan mencelikkan mata para pengikut PAS yang membuta tuli itu.

abuhassanadam
1 Mac 2019



No comments:

Post a Comment