HENTIKANLAH 'MAINAN' ISU PERKAUMAN
Rakyat
Malaysia dari segenap lapisan dan yang cintakan perdamaian sudah jemu dan jelak
dengan isu perkauman yang sentiasa ‘didendangkan’oleh para pemimpin khususnya
pemimpin parti pembangkang. Kadang-kadang terfikir juga bahawa tidakkah
pemimpin yang sentiasa mendendangkan isu sedemikian sedar bahawa rakyat sudah
meluat dengan keadaan yang ‘didendangkan’ itu.
Memanglah
senang untuk ‘menakluki’ emosi golongan rakyat yang suka dengan keadaan
sedemikian tetapi golongan rakyat yang suka dengan keadaan sebegitu sudah tidak
ramai. Namun demikian sekiranya dibiarkan dipupuk dan dibaja maka golongan yang
berfikiran sedemikian akan berkembang dan terus hidup subur juga.
Isu
perkauman kebiasaannnya ‘dimainkan’ dalam kempen-kempen pilihanraya samada PRK
ataupun PRU. Dan yang menaburkan ‘fitnah’ ke arah itu adalah pihak parti
pembangkang. Berbagai perkara dan isu dikaitkan dengan isu perkauman yang
matlamat akhir mereka ialah akan wujud perpecahan yang boleh menguntungkan parti
yang diperjuangkan oleh mereka. Golongan ini hanya ‘bersandarkan’ kepada isu
perkauman untuk memenangi hati rakyat demi memenangi sesuatu PRK. Dalam PRK di
Semenyih yang berlangsung kini, terang-terang ada isu perkauman dimainkan
walaupun dilaksana secara berselindung. Apabila PAS dengan jelas mengatakan
bahawa mereka menyokong UMNO kerana menentang DAP. Dengan jelas menampakkan
kecondongan untuk menggunakan isu perkauman dalam PRK Semenyih.
Apakah
tidak ada cara lain untuk memenangi PRK?
Apakah para pemimpin parti pembangkang
merasakan bahawa itu saja cara
yang boleh dieksploit untuk memenangi hati rakyat (yang suka mendengar isu
sebegini)?. Para pemimpin parti pembangkang satu demi satu terpalit dengan isu
rasuah dan penyelewengan. Dan yang terakhir telah muncul pula kisah Tuan Guru
Haji Hadi membayar sejumlah wang RM 1.4 juta yang agak lumayan kepada Clare
Rewcastle Brown sebagai penyelesaian luar mahkamah kes samannya di London.
Mengikut
kata Saudara Anwar Ibrahim, ‘…saya tak akan bercakap kalau saya tak ada fakta.
Ni saya ada bukti – Pas, Hadi Awang telah bayar RM 1.4 juta kepada Clare
Rewcastle Brown. Kalau Pas nak cabar, boleh dakwa saya di mahkamah, saya ada
bukti” Malaysia Chronicle – Februai 28 , 2019)
Berlatarbelakangkan
suasana sedemikian rupa maka, mahu tidak mahu parti pembangkang seperti UMNO
dan PAS semacam terpaksa menggunakan isu perkauman demi untuk mempengaruhi undi
kaum Melayu. Dan sememangnya semenjak zaman berzaman isu perkauman ini digunakan
sewenang-wenangnya. Seingat aku parti-parti lain seperti Gerakan, DAP juga
pernah mengamalkan menggunakan isu perkauman dalam kempen pilihanraya di
Malaysia ia itu ketika parti berkenaan sebagai pembangkang dalam kerajaan
Malaysia.
Disebabkan
bermaharajalelanya isu perkauman diamalkan dalam kempen pilihanraya tahun 1969
telah menyebabakan berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang merupakan
titik hitam dalam sejarah Malaysia. Peristiwa berkenaan telah menyedarkan
generasi yang melalui detik pahit itu dan semenjak itu tidak pernah terdengar
lagi peristiwa seperti itu berulang. Rakyat umum sedar bahawa tidak ada gunanya
isu-isu perkauman diulang-ulang. Dengan demikian rakyat Malaysia pada umumnya
bertaut rapat mendokong konsep perpaduan dikalangan rakyat Malaysia.
Tetapi
persoalannya ialah pemimpin politik pula yang sentiasa menimbulkan isu-isu
sensitif yang membabitkan Melayu dan bukan Melayu. Sehingga ke saat ini rakyat
Malaysia amat toleren menghadapi keadaan yang wujud ini dan pujian harus
diberikan kepada rakyat Malaysia yang masih mendokong konsep perpaduan rakyat
ini dengan penuh tanggungjawab. Walau bagaimanapun sekiranya isu perkauman itu
terus menerus dimainkan, takut kalau-kalau generasi Malaysia akan datang tidak
lagi mengamalkan apa yang telah diamalkan oleh generasi ‘lama’ yang akan lenyap
tidak lama lagi.
Pemimpin
politik, khususnya golongan politik pembangkang harus menyedari hakikat ini.
Negara ini telah terbina dengan kukuhnya oleh pemimpin terdahulu dan hendaknya
jangan dirobohkan oleh pemimpin kini.
abuhassanadam
28 Februari 2019
No comments:
Post a Comment