Wednesday, February 27, 2019

ORANG MELAYU HARUS SEDAR TENTANG KELEMAHAN DIRI

            Orang Melayu yang miskin dan boleh dikategorikan sebagai papa kedana dan yang  tinggal dikampung dan di bandar  ‘berkais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’ harus sedar bahawa tidak ada siapa yang boleh menolong memajukan diri sendiri melainkan kitalah yang akan berusaha untuk membela nasib sendiri. Telah terbukti bahawa semenjak zaman berzaman, pemimpin pergi dan pemimpin datang hanya membawa janji-janji yang kadang-kadang amat susah ditepati. Mereka hanya pandai menanam tebu dibir mulut sahaja.

            Sejak zaman berzaman sudah menjadi amalan para pemimpin yang ingin mendapat sokongan politik terus menerus menabur janji akan membela nasib orang Melayu. Hanya segelintir orang Melayu yang merasakan diri terbela sedangkan majoriti orang Melayu masih menunggu dan mengharap agar diri terbela.

            Ada pemimpin yang masih menyalahkan orang bukan Melayu yang menyebabkan orang Melayu miskin. Menyalahkan orang Cina yang menyebabkan orang Melayu miskin. Betulkah tuduhan sedemikian? Malangnya ramai juga orang Melayu yang merasakan tentang ‘ada betulnya’ kenyataan sedemikian. Persoalannya ialah apakh dengan menyalahkan orang Cina itu dapat memperbetulkan keadaan ekonomi orang Melayu yang miskin melarat. Mungkin segelintir orang Melayu berperasaan dan merasa lega apabila ada pemimpin Melayu/Islam yang terus menerus menyalahkan orang Cina (bukan Melayu) yang menyebabkan kemiskinan orang Melayu. Tetapi hakikatnya bahawa orang Melayu terus hidup dalam kemiskinan sedangkan orang Cina yang kuat bekerja dan berusaha terus menerus maju kehadapan dalam berbagai lapangan.

            Aku anak kampung. Pelukis LAT kata ‘Kampung Boy’. Bahasa orang putih. Kadang-kadang kena cakap orang putih juga sebab masa bersekolah dulu, arwah bapa aku dihantarnya aku ‘mengaji’ sekolah orang putih. Clifford School Kuala kangsar. Tak tahu aku nak ucapkan terima kasih aku yang tidak terhingga kepada arwah bapak aku yang ‘berani’ dan sanggup menghantarkan aku belajar di sekolah ‘Kristian’ tersebut. Arwah tak mahu ikut nasihat pemimpin (agama khususnya) ketika itu yang mencegah anak-anak dihantar ke sekolah Inggeris. Sekolah Kristian kata mereka. Mereka kononnya bimbang kalau-kalau si anak akan memeluk agama Kristian.

            Berbagai kutukan diterima oleh bapak aku ketika beliau ‘berani’ menghantar aku ke sekolah Inggeris. Tahun 1950an. Entah macam mana bapak ‘nampak’ kepentingan Bahasa Inggeris itu untuk dipelajari oleh anaknya. ‘Terus mata’ rupanya arwah bapak aku. Adik perempuan aku juga dihantar ke sekolah Inggeris. GEGS. Government English Girls School, Kuala Kangsar. ‘Berbuih’ mulut orang kampung mengutuk bapak aku menghantar kami ke sekolah Inggeris. Bapak aku tak peduli. Dia ‘nohin’ je.

            Rupanya apa yang dilakukan oleh arwah bapak aku merupakan satu keputusan yang tepat. Bahasa Inggeris masih dihormati dan masih ‘berdaulat’. Seluruh dunia masih mengaggungkan Bahasa Inggeris. Nampaknya Bahasa Inggeris masih berguna. Seluruh dunia mengutamakan Bahasa Inggeris.Baik Cina atau Jepun atau Korea rakyat di negara berkenaan sudah mula mempelajari Bahasa Inggeris.

            Orang Melayu harus sedar tentang perkembangan yang berlaku di dunia. Orang Melayu harus peka bahawa hanya melalui pendidikan yang boleh mengubah nasib diri orang Melayu di luar bandar. Sekiranya masih ramai lagi orang Melayu yang kehidupan mereka masih lagi kais pagi makan pagi, maka sewajarnyalah mereka memikirkan tentang cara bagaimana hendak membela nasih hidup mereka. Tidak ada siapa yang boleh membantu kita dalam menangani hidup ini.

            Boleh dikatakan hampir seluruh keluarga Melayu yang dapat dianggap hidup senang kini adalah disebabkan oleh pendidikan yang diterima oleh mereka. Boleh dikatakan hampir seluruh anak-anak Melayu yang belajar di sekolah Inggeris dalam zaman penjajahan dan lulus Sijil Pelajaran Malaysia dapat menikmati hidup dengan selesa dan agak lumayan. Hanya berkelulusan Senior Cambridge boleh menikmati hidup secara lumayan. Apatah lagi yang berjaya memasuki universiti, pastinya menikmati hidup yang mewah dan amat selesa.

            Orang Melayu kebanyakan amat sedar tentang hakikat ini tetapi malangnya mereka tidak mengikuti perkembangan zaman khususnya perkembangan pendidikan di dalam negara dan juga peringkat antarabangsa. Ramai anak Melayu samada dari bandar atau luar bandar yang berjaya memasukki universiti. Malangnya apabila merek alulus dari pusat pengajian tinggi berkenaan, mereka telah tidak terpilih untuk memasuki bidang pekerjaan yang sesuai. Ibu bapa di kampung tidak sedar bahawa perkembangan pendidikan pada zaman penjajahan adalah amat berbeza dengan perkembangan pendidikan pada Kurun ke21.

            Kebanyakan pemimpin negara tidak ‘mendidik’ rakyat luar bandar ke arah kesedaran sedemikian. Mereka harus memberitahu tentang keperluan pendidikan kini untuk menjami seseorang graduan itu diterima memasuki bidang pekerjaan tertentu. Para pemimpin masih memikirkan tentang kemampuan mengekalkan pemerintahan apabila tiba PRU ke 15. Ataupun bagi pemimpin pembangkang terus menerus menyalahkan pemimpin kerajaan kini dan bagi mereka apa yang dilakukan semuanya salah belaka. Yang difikirkan oleh mereka ialah bagaimana menawan hati rakyat untuk memenangi PRU 15.

            Orang Melayu yang tidak sedar akan terus ketinggalan dalam ‘kegelapan’.

            Salah siapa? Dan bukanlah rencana ini bertujuan untuk menyalahkan sesiapa tetapi lebih merupakan untuk mencari jalan penyelesaian. Untuk bertemu dengan penyelesaian perlulah juga mencari punca mengapa berlaku keadaan dimana jumlah pengangguran dikalangan rakyat Malaysia adalah terdiri dari graduan Melayu. Timbul persoalan lagi. Mengapa jadi begitu?

abuhassanadam
27 Februari 2019



No comments:

Post a Comment