Monday, February 25, 2019

PAS SENGAJA MAHU MEMECAHBELAHKAN PAKATAN HARAPAN

            Kadang-kadang pemimpin PAS bolehlah diibaratkan seperti ‘hidung tak mancung pipi yang tersorong-sorong’ khususnya dalam isu sokongan mereka terhadap Tun Mahathir. Tun M dengan jelas menyatakan bahawa Pakatan Harapan atau beliau sendri tidak memerlukan sokongan dari pihak PAS kerana Pakatan Harapan sendiri mempunyai bilangan ahli yang cukup untuk mempertahankan beliau sekiranya ‘tergugat’ di parlimen.

            Soalnya ‘tergugat’kah Tun Mahathir di parlimen kini. Apakah kisah Tun M yang mungkin tergugat itu adalah ‘ciptaan’ pemimpin PAS semata-mata. Dan sudah terang lagi bersuluh bahawa yang sentiasa menghebuhkan tentang isu berkenaan adalah datangnya dari kepimpinan PAS ataupun tentera upahan dari pihak pembangkang yang cuba untuk menimbulkan huru hara dan kacau bilau dalam Pakatan Harapan.

            Peristiwa ‘Tun M menghadapi undi tak percaya di Parlimen’ dikaitkan juga dengan Saudara Anwar Ibrahim yang kononnya bersungguh benar untuk mengadakan undi tidak percaya kepada Tun M supaya membolehkan laluan yang senang untuk beliau ‘memanjat’ Puterajaya’. Dikuatkan lagi dengan menghujahkan bahawa ‘sekiranya tidak ada angin tak mungkin pokok akan bergoyang’. Saudara Anwar sudah beberapa kali menegaskan bahawa beliau dan PKR pimpinannya sentiasa berada di belakang menyokong penuh kepimpinan Tun M.

            Strategi yang dilakukan oleh PAS atau mungkin juga UMNO itu adalah merupakan tektik lapuk yang mungkin dapat ‘memikat’ hati penyokong PAS dan UMNO yang fanatik tetapi pastinya tidak dapat mempengaruhi pemikiran golongan yang berfikiran rasional. Dilakukan tindakan sedemikian sudah barang tentu sekali yang tersirat adalah untuk memecabelahkan perpaduan dikalangan parti komponen Pakatan Harapan. Namun kedudukan Pakatan Harapan sudah begitu teguh walaupun masih muda dari segi ‘umur’nya.

            Yang menghairankan juga ialah sikap yang diamalkan olehTuan Guru Haji Hadi yang bersungguh benar mengatakan bahawa PAS akan menyokong Tun M sekiranya dicabar di parlimen. Itu kata Tuan Guru dan beberap orang pemimpinnya yang sama-sama berada dalam perjumpaan dengan Tun M. Dari satu sudut pandangan yang lain kelihatan para pemimpin PAS masih bertegas mahu bersama UMNO dalam kempen PRK di Semenyih. Dari satu segi dikatakan mereka dikatakan ‘dibelakang’ Tun Mahatir tetapi dari segi yang lain mereka akan menentang Pakatan Harapan habis-habisan. Bukankah Pakatan Harapan itu merupakan parti pimpinan Tun M?

            Tun M dengan jelas dan terang mengatakan bahawa beliau tidak memerlukan sokongan dari PAS. (Malaysiakini 25 February 2019). “ I need the support of around more than 50  percent ( of MPs). I don't need PAS’ support because Harapan itself has more than hald of the seats in Dewan Rakyat’. Lantas dengan jawapan yang sedemikian, dimanakah agaknya hendak diletakkan ‘muka’ kepimpinan PAS yang bersungguh –sungguh benar mahu ‘menolong’  Tun M dalam menghadapi undian tidak percaya  di Parlimen ( sekiranya berlaku).

            Ahli PAS pastinya semakin keliru hari demi hari dengan ‘kerenah’ yang ditonjolkan oleh pemimpin mereka. Hampir setiap hari kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka menimbulkan kekeliruan para ahli. Walaupun masih ada lagi yang terus menerus memberikan sokongan kepada parti, namun bagi merek yang cerdi waras tentulah sudah mula memikirkan  apakah ‘untung-rugi’nya bersama dengan PAS.

abuhassanadam
25 Februari 2019


No comments:

Post a Comment