Sunday, February 24, 2019

PAS CUBA MEMESONGKAN  ISU 90 JUTA

            Akhir-akhir ini kelihatan parti PAS yang kononnya memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam sudah begitu jauh dari perjuangan asalnya. PAS sudah semacam melupakan tugas dan peranannya untuk memajukan orang Melayu Islam. PAS sudah semacam sudah tidak berminat lagi untuk memperkatakan tentang hal-hal yang berkaitan dengan usaha untuk memajukan orang Melayu.

            Apa yang dihebohkan oleh Parti PAS kini, tidak lebih dari suatu usaha untuk mengalihkan pandangan masyarakat daripada isu ‘sedekah’ RM 90 juta UMNO kepada PAS kepada peranan ‘wira’ yang akan dimainkan oleh pemimpn PAS untuk menyokong kepimpinan Tun Mahathir di Parlimen sekiranya Tun Mahathir menghadapi undi tidak percaya. . Rakyat Malaysia tidak mudah untuk ‘diputar-belitkan’ dengan keadaan sedemikian kecualilah segelintir ahli PAS yang sudah biasa ditpu sedemikian.

            Soalnya yang menghairankan rakyat Malaysia kini ialah tentang bilakah yang Tun Mahathir sedang berhadapan dengan undi tidak percaya itu. Memang kedengaran ‘sosek-sosek’ yang mengatakan bahawa kononnya Tun Mahathir menghadapi keadaan sedemikian. Tetapi dari segi realitinya, tidak nampak bukti konkrit. Kepimpinan Pakatan Harapan seolah-olah bersatu hati menghadapi PRK Semenyih dan sekali gus menampakkan sokongan yang begitu kuat terhadap kepimpinan Tun Mahathir. Tidak terdetik langsung usaha untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada Tun Mahathir.

            Mungkin betul seperti apa yang dikatakan oleh Saudara Anwar Ibrahim bahawa yang menimbulkan isu berkenaan ialah kepimpinan PAS sendiri. Ketika menjawab satu soalan wartwan, Anwar menjelaskan, “ Apa isunya? Kenapa anda bangkitkan apa yang Abdul Hadi mahu?... Itu usul Abdul Hadi. Biar dia yang buat usul itu’ (Malaysiakini:’ Anwar: Hanya Hadi Mahu Usul tak percaya Tun M – 22 Februari 2019).

            Dalam pertemuan demikian Anwar juga berkata bahawa spekulasi untuk menjatuhkan Mahathir hanya percubaan PAS untuk memecahbelahkan Pakatan Harapan. “Sebab mereka gagal teruk (dalam pilihan raya) dan mereka menyokong rasuah atas nama Islam, satu-satunya pilihan adalah untuk memecahbelahkan.

            Jika diperinci dan diperhalusi, perjuangan parti PAS adalah dalam suasana ketidaktentuan. Perbuatan dan tindakan Tuan Guru Haji Hadi Awang memberikan sokongan kepada Tun M sudah membuktikan bahawa PAS sudah tidak lagi ‘bertulang belakang’. Sudah tidak diketahui dimanakah letaknya maruah dan kredibiliti PAS itu sendiri. Ke arah manakah perjuangan PAS hendak dibawa oleh pemimpinnya. Pemimpin PAS seolah-olah sudah boleh ‘dicucuk’ hidung disebabkan menerima ‘sedekah’ yang begitu ‘lumayan’ dari UMNO sebagaimana yang didakwa oleh the Sarawak Report itu.

            Kini PAS bersekongkol dengan UMNO dan PAS juga menyokong Tun M. Oleh hal yang demikian dimanakah letaknya prinsip perjuangan PAS. Pemimpin PAS semacam tidak malu lagi melakukan perkara-perkara yang sepatutnya tidak dilakukan oleh pemimpin parti yang berlandaskan Islam. PAS semacam tidak malu menyokong pemimpin UMNO yang tidak merasa malu melakukan perbuatan yang terkutuk yang amat dilarang dalam Islam.

            Yang amat menyedihkan ialah apa saja perkara terkutuk yang dilakukan oleh pemipimpin mereka, maka masih ramai ahli PAS yang masih taksub dan memuja-memuji kepimpinan mereka. Seolah-olah tidak ada cacat celanya pemimpin mereka di mata mereka. Pemikiran secara lojik sudah dihumbankan jauh-jauh oleh para penyokong PAS. Dan begitu juga apa yang diamlkan oleh pengikut UMNO yang masih taksub kepada pemimpin mereka yang langsung tidak merasa malu dan terhina dengan perbuatan yang mereka sedar tentang apa yang mereka lakukan.

abuhassanadam
24 Februari 2019



No comments:

Post a Comment