Tuesday, February 26, 2019

 ZAMAN DULU-DULU HUBUNGAN KAUM DI MALAYSIA OK

            Seingat akulah tidak wujud perasaan perkauman yang menebal ketika masih bersekolah dulu. Tahun-tahun 1950an. Zaman baru terlepas darI penjajahan Inggeris. Perasaan perkauman itu wujud tetapi tidak menebal. Tentulah sukar untuk menghilangkan perasaan ‘kekitaan’ dikalangan orang Melayu. Tentulah terdapat perbezaan yang ketara diantara orang Cina dengan orang Melayu, antara orang India dengan orang Melayu. Namun begitu tidaklah pula wujud perbalahan kaum seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969 itu. Dan tidaklah merupakan perbincangan umum tentang masalah kaum-kaum seperti yang dicanangkan oleh setengah ahli politik kini.

            Perasaan kekitaan tetap ada dan perasaan perbezaan antara kaum itu juga tetap ada. Tak boleh hilang-lenyap begitu sahaja. Orang Cina makan babi sedangkan orang Melayu /Islam tidak. Hari Ahad orang cina pergi ke tokkong Cina dan begitu juga orang India sedangkan orang Islam menunaikan fardu Jumaat pada hari Jumaat. Bulan Ramadan orang Melayu berpuasa dan diikuti dengan Hari Raya sedangkan orang Cina merayakan Tahun Baru Cina dan orang India merayakan Taipusam. Pendek kata terdapat perbezaan, tetapi perbezaan itu tidak pula menghalang perasaan perpaduan dikalangan kaum-kaum ketika itu.

            Orang Cina di Kelantan dan Terengganu pandai berbahasa Melayu menggunakan loghat Kelantan dan Terengganu. Begitu juga orang Cina yang tinggal lama di kedah dan di Perak akan terus menerus menggunakan loghat Kedah dan Perak.         Mereka bergaul rapat dengan orang Melayu. Pada majlis Hari Raya merek aberkunjung ke  rumah orang Melayu dan begitu juga pada tahun baru Cina dan Taipusam, orang Melayu meraikan bersama. Sehingga kini amalan sedemikian masih berterusan.

            Perbezaan yang paling ketara antara dulu dan sekarang ialah dari segi KEIKHLASAN. Kelihatan begitu ikhlas amalan kunjung mengunjung yang diamalkan oleh kaum-kaum di Malaysia pada zaman dahulu. Tidak ada agenda terselindung ketika menghadiri majlis-majlis rumah terbuka yang diadakan. Kegiatan kunjung mengunjung antara kaum berlandaskan keikhlasan.

            Kisah persahabatan Melayu-Cina  yang dilalui oleh Arwah ibuku menarik dan elok rasanya dikongsi dalam blog ini. Hanya aku yang tahu kisah sebenarnya.

            Arwah ibu ku sememangnya orang kampung tulin. Zaman remajanya bolehlah digelar sebagai gadis pingitan kampung yang hanya menerima pendidikan sekolah agama / Sekolah Arab. Walaupun dilahirkan di kampung dan pergaulan yang amat terbatas ( di kampung) namun kehidupan yang dilalui oleh ibuku perlu mendapat perhatian anggota masyarakat kini yang pada pandangan aku amat jauh menyimpang dari keadaan yang sepatutnya, khususnya dalam hal pergaulan Melayu-Cina.

            Aku amat kagum melihat kemesraan yang terjalin antara ibuku dengan rakan-rakan ‘anak Cina’ di pekan Padang Rengas. Sekali sekala ketika aku ‘mengekori’ ibu ku ke pekan Padang Rengas ( ketika masih bersekolah rendah) untuk membeli barang-barang keperluan harian, hampir separuh pekedai Cina di pekan itu mengenali ibuku. Pada ketika itu aku tidak merasa hairan dengan sikap ibuku dan sikap yang ditunjukkan oleh kawan-kawan Cina ibuku itu kerana semacam kebiasaan pergaulan mereka sedemikian rupa. Mungkin anak-anak kini merasa hairan melihat keadaan sedemikian.

            Sehinggalah pada suatu hari aku bertanyakan ibu bagaimana keadaan sedemikian boleh terjalin antara beliau dengan kawan Cinanya itu (lelaki dan perempuan). Ibuku seolah-olah terkejut dengan soalan sedemikian kerana baginya soalan sedemikian tidak perlu dikemukakan kepadanya. Baginya soalan sedemikian tidak perlu dijawab dan dia beranggapan bahawa aku tahu jawapannya. Sejujurnya aku tidak tahu sejarah perhubungan ibuku dengan kawan-kawan Cinanya. Yang aku dapat lihat hubungan mereka begitu rapat sekali semacam tidak nampak perbezaan antara rakan Cinanya dengan Makcik Munah atau Makcik Peah. Rapat dan mesra. Semacam tidak ada batasan perkauman.

            Baru aku tahu bahawa renggang dan hampir putusnya persahabatan antara ibuku dengan rakan Cinanya ialah apabila British melaksanakan Rancangan Briggs (The Briggs Plan 1950 ) yang menempatkan penduduk Cina di sebuah kampung Cina yang dinamakan ‘New Village’untuk menyekat bantuan yang mungkin diberikan oleh penduduk Cina kepada pengganas Komunis. Penjajah British merasakan bahawa penduduk Cina memberikan bantuan kepada pihak pengganas, dan lantas mereka perlu dipindahan dari kampung-kampung dan di tempatkan di New Village di Padang Rengas.

            Maka itulah punca renggang dan hampir terputusnya hubungan arwah ibu dengan rakan-rakan Cinanya. Mereka hanya berjumpa sekiranya ibuku ke pekan Padang Rengas dan disitu dapatlah dia berjumpa dengan rakan lamanya ataupun apabila tiba musim buah-buahan dan durian berguguran maka datanglah rakan-rakan Cina ibu ke kampung untuk menikmati buah durian sebagaimana yang diamalkan oleh mereka pada suatu ketika dahulu.

            Suasana harmoni seperti yang dialami oleh arwah ibuku seolah-olah sudah tidak dapat dinikmati oleh penduduk Malaysia kini. Soalnya mengapa? Mengapa tidak diteruskan amalan yang murni itu. Salah dan berdosakah sekiranya kita berbaik-baik dengan manusia lain yang bukan seagama dengan kita. Apakah begitu ajaran Rasullalah kepada umtnya dahulu. Mengapakah semakin kuat dan lantang seruan para pemimpin Islam kita yang seolah-olah mencegah hubungan baik antara orang Melayu beragama Islam dengan kaum lain yang bukan beragama Islam.

            Apakah golongan tua tidak langsung mahu berusaha untuk membendung keadaan sedemikian? Marilah kita sama-sama menjawabnya.

abuhassanadam
26 Februari 2019


No comments:

Post a Comment