MENGAPA NURUL BERTINDAK DEMIKIAN?
Terlalu
banyak interpretasi yang diberikan ekoran daripada tindakan YB Nurul Izzah,
Ahli Parlimen Permatang Pauh meletakkan jawatan dalam PAC disamping
kenyataannya yang tersiar di akhbar Singapaura yang mengaitkan Tun Mahathir
sebagai Diktator.
Menggelarkan
Tun Mahathir sebagai Diktator adalah ‘mainan’ mulut para pembangkang ( kini
sudah menjadi Menteri, Timbalan Menteri dan ahli parlimen kerajaan) pada
tahun-tahun 1990an dan sehingga awal Kurun ke 20. Dan aku yakin bahawa Tun
Mahathir juga tidak ‘ambil kesah’ dengan gelaran seperti itu seperti mana
gelaran ‘Mahafiraun’ yang diberikan oleh mereka kepada Tun Mahathir pada awal
zaman perjuangan ‘Reformasi’ dahulu.
Mungkin
apa yang dilakukan oleh Nurul merupakan sesuatu yang bertentangan dengan
norma-norma politik kuno yang berpasakan kepada prinsip ‘yes-man’ dan
‘mengangguk’ kepada apa saja yang dilakukan oleh pemimpin. Menentang pemimpin
merupakan satu ‘taboo’ pada pandangan pemimpin-pemimpin kuno. ‘Perjuangan’ Hang
Tuah kena sentiasa diikuti dan dipatuhi walaupun seseorang pemimpin itu
melakukan sesuatu yang agak bertentangan dengan prinsip perjuangan parti.
Tun
Dr Mahathir pernah berbeza pendapat dengan Tunku Abdul Rahman dalam hal-hal
yang berkaitan dengan pentadbiran negara. Tun Dr Ismail pernah bertelagah dan
tidak sependapat dengan Tunku Abdul Rahman sehinggakan beliau bertindak
meletakkan jawatan Menteri. Sebenarnya hakikat sebegini merupakan ’pemakaian’
dan prinsip perjuangan pemimpin yang sebenar dan bukan pemimpin plastik
sebagaimana yang terdapat ‘berselerak’ di negara ketika ini.
Nurul
boleh dikatakan sudah mendahului zamannya. Beliau tidak lagi terikut-ikut
dengan rentak dan tempo sebagaimana pemimpin lain. Beliau merupakan seorang
pemimpin muda. Betul. Tetapi ramai juga pemimpin muda yang masih terus menerus
mengikut sosok pemimpin tua. Dan tidak berlaku kepada Nurul. Bagi aku beliau
merupakan pemimpin Kurun ke 21 yang sentiasa di nanti-nantikan oleh golongan
muda di Malaysia kini. Inilah corak kepimpinan yang diperlukan oleh golongan muda.
Berani menyatakan sesuatu walaupun akan menghadapi tentangan dan kecaman dari
pihak kawan dan lawan.
Kekecewaan
Nurul harus difahami oleh rakyat Malaysia. Bagi segelintir yang melemparkan
tuduhan melulu terhadap YB Nurul, perlu juga menoleh ke belakang melihat dan
merenung akan sejarah perjuangan yang dilalui oleh Puteri Reformasi ini. Selama
20 tahun beliau berada dalam kancah perjuangan untuk ‘menegakkan’ prinsip
Reformasi dalam erti kata yang sebenar. Tidak salah jikalau dikatakan bahawa
perjuangan beliau adalah untuk membebaskan ayahanda beliau, DS Anwar Ibrahim,
namun perjuangan yang lebih besar ialah untuk membebaskan negara dari cengkaman
pemimpin yang kebanyakan perjuangan mereka sudah lari dari perjuangan sebenar.
Lantas
“Reformasi’ menjadi ‘the battle cry’ golongan reformis. Selama 20 tahun
golongan reformis ini mengharap dan bermimpi agar negara dikembali dan
diletakkan diatas landasan sebenar yang bebas dari rasuah dan penyelewengan.
Hasrat sedemikian seolah-olah akan tercapai. Namun bagi kebanyakan anak muda
yang seperti ‘ binatang jalang yang menendang dan menerajang’ semacam tidak
berpuas hati dengan tempo perjalanan pentadbiran kini yang dianggap oleh mereka
terlalu perlahan, dan tidak selari dengan konsep reformasi yang diharapkan.
Mungkin itu pandangan mereka.
Mungkin
suara anak muda Malaysia ‘disuarakan’ oleh YB Nurul Izzah dengan mengambil
tindakan meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan baru-baru ini telah
mengambil tindakan lebih drastik lagi ia itu dengan melafazkan ‘ikrar’ bahawa
ini merupakan penggal terakhir beliau menjadi ahli parlimen.
Anak
muda memang begitu lagak dan gayanya. Mungkin beliau lupa bahawa rakyat
Malaysia umumnya dan anak muda Malaysia khususnya menunggu-nunggu kemunculan
yang sesuai puteri reformasi ini yang diharapkan oleh mereka untuk memimpin
negara ini pada suatu masa yang akan datang. Orang tua-tua pernah berkata, ‘benih
yang baik kalau jatuh dilaut akan menjadi pulau….’
abuhassanadam
27 Mac 2019
No comments:
Post a Comment