Monday, March 4, 2019

ANWAR GANTI  MAHATHIR – MENGAPA MASIH BERDOLAK-DALIK?

            Berbagai sebab diketengahkan mengapa Pakatan Harapan kalah di PRK Semenyeh. Tidak perlulah dikupas satu persatu tentang kekalahan demikian. Dan terpulanglah kepada pakar analisis untuk menganalisis secara terperinci mengenai kekalahan demikian.

            Mungkin salah satu faktor yang terlepas pandang yang menyebabkan dan menjadi punca kekalahan Pakatan Harapan di Semenyeh ialah faktor ‘perasaan yang memberontak’ dikalangan pengundi di Semenyeh. Tidak perlu disembunyikan hakikat bahawa rakyat telah dicanangkan pada PRU 14 yang lalu bahawa Tun Mahathir akan dijadikan Perdana Menteri Malaysia selama lebih kuang dua tahun sebelum diserahkan pucuk pimpinan negara kepada Saudara Anwar Ibrahim. Lantas rakyat memberikan sokongan padu kepada Pakatan Harapan dengan tidak berbelah bagi. Persetujuan itu merupakan janji yang amat mengembirakan rakyat Malaysia dari semua kaum sehinggakan Barisan Nasional ‘ jatuh tersungkur’.

            Rakyat Malaysia kini yakin dengan apa yang telah dipersetujui. Tun Mahathir juga bersetuju. Saudara Anwar juga berulang kali menyatakan yang beliau akan bersabar menunggu dan yakin dengan janji-janji yang telah dipersetujui. Tetapi soalnya kini ialah banyak sangat terdapat cakap-cakap yang akan menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir nanti bukannya Saudara Anwar Ibrahim tetapi tokoh yang langsung tidak berwibawa yang amat jauh menyimpang dari kehendak rakyat sekiranya dibandingkan dengan ketokohan Saudara Anwar Ibrahim.

            Tokoh yang dicanangkan itu tidak pula menafikan berita yang membabitkan dirinya  malah semacam berusaha untuk mendapatkan jawatan berkenaan. Berbagai cara digunakan untuk meyakinkan rakyat bahawa beliaulah sebenarnya yang layak untuk jawatan berkenaan. Atau mungkin juga tokoh berkenaan tidak pun berusaha untuk berusaha ke arah ‘memadamkan’ spkelulasi berkenaan. Usaha lobi-melobi berkenaan mungkin juga datangnya dari ‘tentera upahan’nya atau pun mungkin juga tidak berlaku keadaan seperti itu.

            Bagi kebanyakan rakyat yang mengikuti perkembangan sedemikian melalui media sosial sudah merasa gusar melihatkan perkembangan sedemikian terutamanya penyokong tegar Saudara Anwar Ibrahim yang masih berdiri teguh di belakang beliau yang berselerak di seluruh negara kini. Mereka mula berbincang melalui face-book dan Watsapp tentang nasib yang akan menimpa Anwar Ibrahim sekiranya keadaan sebegitu berlaku.

            Golongan ini sudah menunjukkan ‘belang’ mereka pada PRK Cameron Haighlands. Mereka agak kecewa dengan perkembangan yang berlaku dalam Pakatan Harapan itu sendiri. Golongan ini mula berasa kecewa apabila melihat YB Nurul Izah semacam ‘mengundur’ diri dari arena pentadbiran negara. Berbagai interpretasi dikemukakan yang menyebabkan Nurul mengundur diri. Antaranya ialah ‘kekecewaan’ beliau tentang kelemahan Pakatan Harapan dalam melaksanakan program ‘Reformasi’ yang diwar-warkan semenjak beberapa tahun yang lampau.

            ‘Penyakit’ yang berlaku di Cameron Haighlands merebak ke Semenyeh dan mungkin akan terus merebak di Rembau nanti sekiranya tidak dibendung dan disekat. Tun Mahathir seharusnya mengambil langkah drastik untuk menghentikan ‘cakap-cakap’ yang mengatakan bahawa ada tokoh lain yang menggantikan beliau selain dari Saudara Anwar Ibrahim.

            Janji yang termetrai dikalangan pemimpin Pakatan Harapan harus ditepati. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa ‘kerbau pegang pada talinya dan manusia pegang pada katanya’. Sememangnya tidak pula dinafikan tentang kepimpinan Pakatan Harapan berpegang pada janji. Dan entah berapa kali ditegaskan oleh Tun Mahathir bahawa yang menggantikan beliau adalah Saudara Anwar Ibrahim. Yang merunsingkan rakyat yang menyokong Pakatan Harapan pada PRU 14 yang lalu dan terus menewaskan Barisan Nasional ialah adanya anasir yang cuba memecah belahkan Pakatan Harapan khususnya yang berkaitan dengan isu kepimpinan.

            Mungkin pada pandangan masyarakat di Semenyeh bahawa Pakatan Harapan harus ‘diajar’. Bukanlah bermakna tidak sayang kepada parti yang baru berkembang ini tetapi agak ‘meluat’ melihatkan percaturan yang sedang berlaku khususnya berkaitan dengan perpindahan kuasa dari Tun Mahathir kepada Saudara Anwar Ibrahim. Kedua-dua tokoh harus menghantar ‘isyarat’ bahawa peralihan kuasa nanti akan berjalan dengan licin dan hanya masa yang menentukan. ‘Padamkan’ segera segala spekulasi yang mengatakan bahawa sudah wujud orang ketiga dan keempat yang akan mengambil alih jawatan Tun Mahathir itu.

            Rakyat perlu diyakinkan segera sebelum berlakunya PRK Rembau yang bakal diadakan.

abuhassanadam
4 Mac 2019



No comments:

Post a Comment