Monday, September 17, 2018

ANWAR MENUNJUKKAN TARINGNYA

DS Anwar Ibrahim dalam satu kenyataannya mengatakan, ‘ jika ada pemimpin yang berubah dan tidak lagi meneruskan perjuangan, dia telah mengkhianati parti, jangan pilih pemimpin begini’ Beliau mengatakan demikian dalam ucapannya di hadapan lebih 1000 penyokongnya pada program ‘Jelajah Datk Seri Anwar Ibrahim ke Wilayah Persekutuan’ di Kuala Lumpur. (Bernama 17 September 2018)

Mungkin agaknya DSAI sudah agak jelak dan ‘fed-up’ ( dalam bahasa Inggeris fed-up maknanya ‘ annoyed, unhappy, or bored, especially with a situation that has existed for a long time) dengan berbagai kerenah yang ditimbulkan oleh segelintir ahli PKR. Dan bukan sahaja ahli biasa PKR malah kepimpinan tertinggi dalam PKR juga menyuarakan pandangan yang dianggap negatif terhadap tindakan beliau untuk bertanding di kawasan Port Dickson.

Puan Zuraida Kamaruddin telah awal-awal mempersoalkan tentang kewajaran DSAI bertanding di PRK Port Dickson. Astro Awani bertarikh September 13, 2018 6.34 MYT telah melaporkan bahawa, ‘Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin telah mengkritik keputusan kepimpinan Parti Keadilan untuk mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Presiden Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding. Dalam sebuah kenyataan semalam, Zuraida menyoal ketelusan proses membuat keputusan oleh pemimpin parti itu.

Beliau juga mempersoalkan tentang tindakan kepimpinan PKR yang membuat keputsan demikian. Katanya, ‘"Tindakan yang dibuat sesetengah pemimpin PKR dilihat dangkal kerana tidak mengikut saluran betul dalam memutuskan untuk mengosongkan kerusi parlimen Port Dickson.Setiap keputusan perlu dilaksanakan secara musyawarah untuk mendapat sokongan seluruh anggota parti dan konsensus yang dicapai perlu selari dengan semangat reformasi dan demokrasi," ujarnya yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Secara tidak langsung apa yang dipersoalkan oleh Ketua Wanita berkenaan telah dijawab oleh DSAI. Katanya, ‘Bila saya buat keputusan nak bertanding di PD ( Port Dickson), Lim Guan Eng sokong saya, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir pun sokong, tapi dalam parti(PKR), ngok ngek, ngok ngek…kenapa?...saya nak katakan, kita dah bincang dengan semua orang yang boleh bagi pandangan, jadi keputusan ini telah dibincang’ katanya sebagaimana yang dilaporkan oleh Bernama (September 17 2018).

Ada juga timbul suara yang tidak begitu enak didengar yang menyuarakan agar PRK Port Dickson ditangguhan. Semacam ‘rumah dah siap pahat berbunyi pulak’. Suara sumbang itu datangnya dari Naib Presiden PKR, YB Shamsul Iskandar Mohd Akin. Bernama pada 13 September 2018 melaporkan bahawa,’ Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR digesa agar menangguhkan proses pemilihan parti sehingga selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Negeri Sembilan, Beliau berkata penangguhan itu penting bagi menjamin akauntabiliti dan keberadaan semua pihak untuk berkubu di Parlimen Port Dickson tanpa menonjolkan atau mengecualikan mana-mana pihak daripada terlibat sama dalam kempen’.

Mungkin suara-suara sumbang dan bisik-bisik kecil sebegini telah mula dikesan oleh DSAI yang berkemungkinan akan merosakkan perjuangan parti akhirnya. Kudis yang kecil tidak harus dibiarkan menjadi tokak dan cabuk. Eloklah dibendung sebelum merebak. Lantas beliau membuat kenyataan keras sebagaimana yang diungkapkan melalui Bernama bertarikh 17 September 2018. 

Bernama melaporkan, “Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan anggota parti agar memilih pemimpin yang setia meneruskan perjuangan parti dalam   pemilihan PKR kali ini dan bukan pemimpin yang mempunyai agenda untuk kepentingan sendiri’

DSAI sedar bahawa pejuang reformasi bukan sahaja terdiri dari ahli PKR yang berdaftar malah ribuan ‘wira yang tidak didendang’ berada dibelakang perjuangan beliau yang sentiasa menghayati perjuangan asasi sebagai ‘the conscience of the majority’. Lantas beliau dengan lantang menyatakan, ‘ jika ada pemimpin yang berubah dan tidak lagi meneruskan perjuangan, dia telah mengkhianati parti, jangan pilih pemimpin begini’.
Kini baru muncul ‘Anwar Ibrahim’ yang sebenar yang kita (kami) kenali semenjak awal 1970an dulu.

abuhassanadam
16 September 2018
(tarikh penubuhan negara Malaysia)


No comments:

Post a Comment