DEBAT DAN BAHAS BERNAFAS SEMULA DI UNIVERISTY
Zaman era baru Malaysia telah mula kedengaran
tentang debat dan ‘Speaker Corner’ sesuatu yang begitu asing dalam zaman era
pemerintahan terdahulu. Agak malanglah pelajar-pelajar yang ‘terdahulu’ yang
tidak dapat ‘menikmati’ sesuatu yang sepatutnya dinikmati oleh para pelajar ia
itu kebebasan bersuara. Dan apabila disebut sahaja kebebasan bersuara bermakna
amat berkait rapat dengan debat, forum, wacana, ‘speakers corner’.
Agak keterlaluan jikalau dikatakan semacam tidak
memasuki universitylah seseorang itu sekiranya tidak melalui detik-detik yang
menyeronokan seperti keterlibatan dalam perdebatan ataupun tidak terlibat dalam
sebarang tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh persatuan-persatuan university.
Peristiwa yang sedemikianlah yang menjadi kenangan manis bagi
mahasiswa-mahasiswa yang meniti zaman awal 1970an. Dan tentulah sedih
mengenangkan yang anak-anak muda zaman ini tidak dapat melalui detik-detik
manis sepertimana yang dilalui oleh mahasiswa ‘warga emas’ zaman awal 1970an.
Aku terpanggil untuk menulis mengenai
Speakers Corner yang pernah wujud di University Malaya pada suatu ketika
dahulu. Para mahasiswa University Malaya kini mungkin hanya mendengar tentang
Speakers Corner tapi tidak tahu apa dia Speakers Corner tu dalam erti kata yang
sebenar-benarnya. Speakers Corner dah tidak ada lagi. Hanya yang tinggal ialah
kesan-kesanya sahaja. Ia terletak di sebelah kira pintu masuk ke perpustakaan
yang pada ketika itu dipayungi oleh pohon-pohon Ketapang yang memberikan
teduhan bagi ‘penonton’ yang mengikuti ‘ceramah’ di situ.
Speakers Corner di University Malaya
itu bagi aku sama pentingnya dengan institusi University Malaya itu sendiri.
Apa tidaknya. Kebanyakan pemimpin negara kini hampir semuanya mengasah bakat
berpidato mereka di Speakers Corner itu lah. Sebut saja. Pasti mereka
tidak akan melupakan ‘ jasa’ Speakers Corner.Di situlah mereka berdebat,
berbahas tentang isu-isu semasa. Merka belajar melalui pengalaman tentang
berhujah dan berdebat dengan menggunakan akal dan fikiran. Tidak pernah ada
perbalahan yang menghasilkan pertarungan fizikal. Dalam erti kata ‘ berlengan’.
Tidak ada. Sihat. Mereka ‘bergaduh’ hanya dengan menggunakan akal dan fikiran
Kini dah tidak ada lagi. Pasti juga para mahasiswa kini ‘meratapi’ tentang
ketiadaan Speakers Corner. Namun sekiranya meratapi dengan mengeluarkan air
mata darah sekalipun, Speakers Corner memang dah tidak ada lagi.
Speakers Corner merupakan tangga batu
yang bertingkat yang dibuat khas sebagai pentas untuk para mahsiswa berpidato.
Di perkarangan Speakers Corner itu ditanam pokok-pokok yang boleh memberikan
perlindungan kepada para ‘pendengar’ yang ingin mendengar ucapan
pemidato-pemidato.. Amat sesuai untuk bersantai setelah berpenat lelah
mentelaah di dalam perpustakaan. Amat selesa. Seorang demi seorang akan menaiki
pentas ceramah mendebatkan isu-isu semasa. Sekiranya bernas hujah seseorang
mengenai sesuatu isu, beliau akan mendapat tepukan. Sekira sebaliknya akan
mendapat ‘boooo….’ Seronok betul mengenangkan peristiwa-peristiwa demikian.
Kini Speakers Corner sudah tidak ada
lagi. ‘Hilang’ selepas tahun 1975. Sudah hilanglah suatu tempat yang amat
berharga bagi para mahasiswa muda, ‘ the angry young men‘ untuk mengasah bakat
mereka berpidato. Ramai tokoh dan pemimpin negara yang dihasilkan oleh Speakers
Corner Univeristy Malaya. Tetapi yang paling menyerlah dan yang tidak akan dipertikaikan
oleh sesiapa pun tentulah Saudara Anwar Ibrahim.
Aku pun hairan mengapalah pihak
berwajib pada ketika itu ‘dengki’ benar dengan Speakers Corner. Bagi aku
itulah saluran yang amat penting bagi para mahasiswa untuk menyuarakan
ketidakpuasan hati mereka terhadap sesuatu. Di Speakers Corner lah mereka dapat
melepaskan segala kemarahan mereka samada terhadap kerajaan ataupun terhadap
pentadbiran university atau pun terhadap mana-mana pihak yang mereka
tidak puas hati. Mereka lahirkan dengan cara yang beradab.
Pernah juga anak-anak muda era
selepas 1970an bertanyakan tentang kehebatan Speaker Corner. Apabila aku
menceritakan tentang kegemilangan University Malaya terutama mengenai Speakers
Cornernya kepada anak-anak muda mahasiswa sekarang, ternampak perasaan
kehampaan di wajah mereka. ‘‘ Kami tak merasa semua tu’ merupakan jawapan yang
sentiasa diberikan. Mereka mengharapkan sangat agar suasana university
sebagaimana yang aku ceritakan itu muncul semula. Aku ceritakan kepada mereka
bahawa mahasiswa pada zaman itu sebenarnya ‘ mengkaji’ di university bukan ‘
belajar’.
Mahasiswa sebelum pengenalan Akta
University belajar menerusi berbagai sudut dan lapangan. Yang pentingnya mereka
mencuba dan terlibat dalam hal-hal kemasyarakatan. Mahasiswa dulu belajar
melalui ceramah-ceramah yang disampaikan oleh para bijak pandai yang sentiasa
dijemput untuk menyampaikan ceramah-ceramah di University Malaya.
The Great Economic Debate misalnya
diadakan hampir setiap tahun. Di situlah para mahasiswa dapat mendengar
pandangan-panadangan dari tokoh-tokoh ekonomi dan politik membicarakan keadaan
ekonomi semasa. Mereka boleh membicarakan semua perkara dan sebarang isu negara
dan antarabangsa tanpa ada sekatan dan larangan. Dengan demikian dapat membuka
mata para mahasiswa, supaya menjadi seorang mahasiswa yang peka dengan keadaan
sekelilingnya.
Pada ketika itu tidak ada larangan
bagi sesiapa pun untuk datang ke University Malaya untuk menyampaikan ceramah
mereka. Malah seingat aku kebanyakan majlis-majlis ceramah dianjurkan oleh
persatuan mahsiswa sendiri. Persatuan mahasiswa lah yang merancang dan yang
menentukan penceramah mana yang hendak dijemput. Terlalu sedikit penglibatan
dari pihak pentadbiran university.
Budaya Speakers Corner di University
Malaya, mungkin mengikuti budaya yang dijalankan di Hyde Park di London. Tentu
ramai yang pernah berada di Hyde Park London dan pernah melihat sendiri tentang
aktiviti hari Ahad yang dijalankan di sana. Demokrasi dalam erti kata
sebenar-benarnya. Setiap individu bebas menyuarakan pandangan masing-masing
dalam apa isu sekalipun.
Kadang-kadang aku termenung
mengenangkan sesuatu. Kadang-kadang aku terfikir, sekiranyalah Speakers Corner
yang ada di University Malaya itu masih wujud sampai ke hari ini dan
berfungsi sebagaimana yang sepatutnya, aku tidak dapat bayangkan kualiti
mahasiswa yang dapat kita lahirkan di negara ini.
Aku tidak menafikan tentang
peranan university hari ini yang telah melahirkan ramai graduan yang
hebat-hebat dari segi pencapaian akademiknya. Namun demikian sekiranyalah
mereka diberikan kebebasan untuk menyuarakan pendapat dan pandangan ( secara
sihat tentunya ) melalui saluran-saluran tertentu seperti di Speakers Corner,
aku tidak dapat bayangkan kualiti para mahsiswa yang dapat dilahirkan. Aku
tidak dapat bayangkan……….
Syukurlah era baru pentadbiran
Malaysia telah memulakannya. Apatah lagi dengan munculnya dua tokoh muda yang
menerajui Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelajaran. Syabas!
abuhassanadam
17 September 2018
No comments:
Post a Comment