MENANTI ‘TENGGELAM’NYA UMNO
Tindakan
Dato Mustafa Mohamed meninggalkan UMNO merupakan ‘rangsangan’ kepada ahli UMNO
lain untuk mengikuti jejak langkah Tok
Pa itu. Boleh juga dikatakan sebagai ‘pemangkin’ untuk mempercepatkan lagi
proses ‘exodus’ meninggalkan UMNO.
UMNO kini merupakan ibarat ‘kapal Titanic’ yang
hampir tenggelam setelah dilanda taufan PRU 14. Bukan salah ‘kapal’nya yang
menyebabkan UMNO mengalami keadaan sebegitu tetapi terpaksa dipersalahkan
nakhodanya yangmenyebabkan ‘kapal’ yang amat kukuh ini seakan-akan akan
tenggelam. Jangan disalahkan UMNO (yang diasaskan oleh pemimpin terdahulu).
Jangan diperkecilkan juga sumbangan UMNO ( yang terdahulu) yang telah banyak
berjasa kepada bangsa Melayu dan umat Islam tetapi salahkan pemimpin-pemimpin
terkini ( hampir kesemuanya) yang telah merosak dan menjahanamkan UMNO.
Jangan dipersalahkan DS Najib seorang yang
menyebabkan UMNO jadi sebegini walaupun beliaulah yang memikul tanggungjawab
untuk ‘menjahanamkan’ UMNO. Para pemimpin lain dalam UMNO tidak harus lepas
tangan. Mereka juga bertanggungjawab di atas keruntuhan UMNO. Sekiranya mereka
betul-betul bertanggungjawab untuk membela bangsa Melayu dan agama Islam,
mereka seharusnya memainkan peranan ‘menegur’ dan membetulkan segala kesilapan yang
dilakukan oleh pemimpin mereka. Ini tidak. Mereka sama-sama ‘bergembira’ dan
‘mengiakan’ sahaja apa yang dilakukan oleh pemimpin yang mereka ‘sayangi’.
UMNO tidak akan dapat diselamatkan disebabkan oleh
longgarnya tali yang menghubungkan antara ahli UMNO itu sendiri. Perjuangan
UMNO sudah tidak lagi berasaskan perjuangan untuk membela orang Melayu dan
agama Islam tetapi ikatan perhubungannnya adalah berasaskan ‘cash is king’. Ini
dinyatakan oleh DS Najib sendiri. Dan beliau amat yakin seolah-olah ‘cash’
adalah segala-galanya. Mungkin beliau telah berjaya tetapi hanya sampai kepada
suatu tahap dimana ‘cash’ sudah tidak dapat menguasai rakyat yang sudah cuup
derita.
UMNO diasaskan atas desakan semangat untuk
menyatukan orang Melayu untuk menentang penindasan British yang dibuat melalui
‘Malayan Union’. Orang Melayu sanggup berkorban demi untuk menyelamatkan orang
Melayu dan raja-raja Melayu. Tunku Abdul Rahman sanggup menggadaikan rumahnya
untuk mendapatkan kewangan untuk membiayai perjuangannya. Kaum ibu UMNO sanggup
menanggalkan barang kemasnya untuk membantu kewangan rombongan kemerdekaan
untuk pergi ke London merundingkan tentang kemerdekaan negara.
Bandingkanlah perjuangan sedemikian dengan
‘perjuangan’ pemimpin dan isteri kini yang sanggup merompak wang negara demi
untuk mengkayakan diri dan keluarga. Pernahkah kita mendengar perjuangan
pemimpin UMNO yang berkorban seperti mana pengorbanan yang dilakukan oleh
pemimpin dan isteri pemimpin yang terdahulu. Jauh panggang dari api. Para
pemimpin UMNO kini ( sebahagian besarnya begitu ) hanya pandai megungkapkan
kata-kata ‘demi untuk bangsa dan agama’ tetapi tidak sanggup mengkotakannya.
Dapat dilihat sepanjang mereka menjalankan pentadbiran di negara ini, mereka
‘bermaharajalela’ menggunakan wang negara untuk diri dan keluarga mereka dan
semacam melupai tanggungjawab mereka kepada bangsa dan negara. Mereka semacam
sudah melupai rakyat luar bandar yang masih ‘meminta-minta’ dan menghrapkan
bantuan mereka.
Kapal UMNO akan ‘tenggelam’dan rakyat akan
menyaksikan lebih ramai lagi para pemimpin yang akan meninggalkan parti yang
dahulunya dipanggil parti keramat. UMNO semacam sudah tidak ada hala tuju. Ahli
UMNO akan tetap mempersoalkan ke manakah UMNO hendak dibawa apabila sanggup
bekerjasama dengan PAS yang juga sudah semacam hilang haluan. Kedua-dua parti
ini pastinya akan ‘tenggelam’ dalam ‘gelombang’ yang melanda Kurun ke 21 ini.
Tentulah ramai pemerhati politik merasa kehairanan melihatkan ‘sepak terajang’
dan ‘rentak tari’ kedua-dua parti ini (UMNO dan PAS yang dahulunya dianggap
parti keramat).
Apa lagi yang diharapkan oleh ahli UMNO?
Jikalau pada awal penubuhannya dahulu, mereka
berjuang diatas landasan nasionalisme menyelamatkan negara dari terus dijajah
oleh British, maka ‘perjuangan’ ahli UMNO kini adalah ibarat ‘layang-layang
putus tali’. Sekiranya pada zaman pentadbiran DS Najib, perjuangan ahli UMNO
adalah berasaskan ‘cash is king’ maka tentulah tidak ada ‘cash’ yang boleh
diharapkan dari perjuangan sedemikian pada masa kini. Agaknya.
UMNO betul-betul teruji. Rakyat sedang memerhatikan
ke manakah arah perjuangan UMNO. Orang Melayu sedang meneliti juga apakah UMNO
masih berpegang teguh kepada perjuangan yang terdahulu ataupun hanya menunggu
masa dan ketika untuk meninggalkan UMNO.
Rakyat sedang memerhatikan dengan penuh minat.
abuhassanadam
19 September 2018
No comments:
Post a Comment