Sunday, September 23, 2018

ANTARA AZMIN DAN RAFIZI

Kedua-duanya aku kenal rapat. Personal. Azmin ( Dato Seri Azmin Ali) pernah duduk bersebelahan  bilik dalam satu pejabat pada suatu ketika dahulu sedangkan Rafizi pula pernah berada ‘dibawah dagu’ ketika beliau masih pelajar di United Kingdom dan juga sebagai pemimpin UKEC ( United Kingdom Executive Council) mengambil alih kepimpinan daripada Arwah Adlan Benan bin Omar.  Tentulah banyak boleh diperkatakan tentang kedua-dua tokoh ini. Dan kini mereka ‘berentap’ untuk ‘menakluki’ jawatan sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kedua-duanya hebat. Noktah.

Ramai juga ‘di luar’ sana dan terutama yang berada ‘dipinggiran’ dan yang sentiasa memainkan peranan untuk ‘mengadu-domba’ antara pemimpin merasakan bahawa pertembungan antara kedua-dua tokoh muda ini akan membawa kepada perpecahan PKR. Dengan tegas aku katakan ‘TIDAK”. Malah aku yakin bahawa ‘pertempuran’ sebegini akan membawa kepada keutuhan yang benar-benar kepada parti PKR.

Sekiranya pertembungan kedua tokoh muda ini boleh memcetuskan perpecahan dalam PKR, pastinya DS Anwar Ibrahim tidak akan membenarkan pertembungan sebegini berlaku. Tentunya beliau akan memujuk antara keduanya supaya jangan ada pertembungan dan tentunya juga beliau tidak mahu salah seorang ‘terlepas’ dari kepimpinan PKR. DS Anwar seolah-olah menggalakan pertandingan ini. Dengan jelas menunjukkan bahawa PKR mengamalkan sistem demokrasi sebenar dan bukan hanya sebagai ‘cakap-cakap’ seperti mana yang diamalkan oleh parti lain.

Lagipun sekiranyalah pemilihan yang diamalkan oleh PKR ini berjaya, maka PKR telah menempa sejarah yang merupakan parti pertama yang betul-betul mengamalkan prinsip demokrasi dalam pemilihan pemimpinnya. Disamping itu untuk menjayakan pemilihan yang begitu rumit ini semua pihak dalam PKR harus bekerjasama menentukan perjalanan pemilihan ini berjalan di atas landasan yang betul, samada pihak pemimpin atasan mahupun juga  di peringkat akar umbi.

Sebarang penyelwengan yang boleh mencacatkan prinsip pemilihan harus ditentang habis-habisan. Misalnya hal yang berkaitan dengan politik wang harus dibenteras habis-habisan. Hampir runtuhnya parti UMNO adalah berpunca daripada politik wang. ‘Cash is king’. Dengan demikian sekiranya ada kelihatan benih-benih politik wang yang cuba bercambah dalam PKR, maka para ahli harus membenteras dan melenyapkannya dengan segera.

Dan sekiranya ada pula para calon-calon yang bertanding ( disemua peringkat) cuba mengamalkan politik wang, maka adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli untuk mendedahkan dengan segera perbuatan yang terkutuk itu demi kelangsungan PKR. Dan perlu disedari juga oleh semua ahli bahawa PKR kini adalah dalam peringkat menyemaikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan dan kepimpinannya. Rakyat sedang memerhatikan dengan teliti terutama dalam pemilihan yang sedang diadakan kini.

Ahli PKR seharusnya sudah matang dalam soal pemilihan. Dalam hal menentukan antara Azmin dan Rafizi sudah barang tentu sekali pihak perwakilan tahu memilih antara intan dan intan yang bergemerlapan. Kedua-duanya adalah intan. Pastinya para perwakilan agak sukar untuk membuat pemilihan. Tentulah banyak kriteria yang akan digunakan bagi penentuan syarat untuk memilih sesuatu tokoh itu. Kedua-duanya telah menunjukkan kebolehan dan kekuatan masing-masing.

Pastinya DS Anwar Ibrahim tidak mahu kehilangan walau seorang pun. Dan diatas keyakinan inilah maka rakyat juga yakin bahawa tidak akan ada perpecahan dalam PKR. Jika salah seorang tewas dalam pertembungan ini pastinya tidak akan ‘dilepaskan’ oleh DS Anwar dan membiarkan terus ‘berkelana’. Malah akan terus ‘digembelingkan’ demi untuk keutuhan PKR. Ini bukannya ‘Zero-sum game’ di mana yang kalah akan kehilangan kesemuanya. Bukan. Tidak akan timbul ‘yang kalah’ akan ‘melompat’ kepada parti lain.

Ahli PKR diseluruh negara harus faham tentang hakikat ini. Yang menang tidak semestinya disanjung ‘melambung’ dan yang kalah tidak akan diketepikan dan ‘dibiarkan’. Terpulanglah kepada ahli untuk membuat penentuan antara Azmin dan Rafizi. Bagi mereka yang faham erti pertandingan sebenar (mengikut lunas demokrasi) pastinya akan tersenyum lebar melihat pertandingan ini. Cuma yang perlu diingat oleh setiap ahli yang menjalankan undian ialah jangan ada calon yang cuba mengamalkan rasuah dan politik wang. Hakikat ini amat ditentang oleh kepimpinan baru kepimpinan Harapan dan oleh bakal Perdana Menteri kelapan yang cuba diperjuangkan.

Selamat ‘bertarung’ antara Azmin dan Rafizi.

abuhassanadam
23 September 2018



6 comments: