Thursday, September 20, 2018

‘PEJUANG’ UMNO  - PEJUANG ATAU PETUALANG?

Semacam terngiang-ngiang di telinga  ucapan para ‘pejuang’ UMNO yang berapi-api ketika membahaskan sesuatu perkara di Persidangan Agung UMNO, khususnya apabila memperkatkan tentang tanggungjawab yang dipukul oleh mereka menyelamatkan bangsa Melayu dan negara. Konon! Dan tentulah setiap ucapan mereka yang ‘berapi-api’ itu akan diikuti dengan  tepukan yang bergemuruh dari para perwakilan dan juga pemerhati UMNO yang juga merupakan ‘pejuang’ bangsa dan negara. Pendek kata setiap kali menjelangnya Persidangan Agung UMNO pastinya PWTC dipenuhi oleh para ‘pejuang’ dan ‘patriot’ memperjuangkan nasib orang Melayu. Dan selepas PRU 14 sudah jelas kelihatan tentang  siapa mereka sebenarnya samada ‘pejuang’ atau ‘petualang’.Tambahan pula sudah kedengaran khabar-khabar angin yang mengatakan bahawa ramai lagi para ‘pejuang’ akan meninggalkan parti keramat mereka.

Belum pernah berlaku lagi dalam sejarah Malaysia keadaan yang sebegini sepertimana yang berlaku di Malaysia kini. Para pemimpin UMNO (para ‘pejuang’) semacam ‘berlumba-lumba’ untuk meninggalkan ‘kapal’ yang akan tenggelam. Belum pernah juga kelihatan peristiwa dimana parti UMNO dengan senang hati  bersedia untuk bergabung dengan PAS, dengan langsung tidak perlu mendapatkan pandangan menyeluruh dari ahli-ahli UMNO keseluruhannya. Seolah-olah para pemimpin UMNO peringkat tertinggi sudah mendapat mandat penuh dari para ahli UMNO di peringkat akar umbi untuk melakukan sebarang perubahan dasar.

Dan tidak pula berlaku sebelum ini dimana para pemimpin PAS seolah-olah ‘menggadaikan’ perjuangan mereka dan mengenepikan perasaan ahli akar umbi apabila berhasrat mengadakan kerjasama dengan UMNO. Menampakkan bahawa seolah-olah kedua-dua parti ini mengenepikan langsung prinsip perjuangan parti masing-masing. Mungkinkah asas dan falsafah kerjasama kedua-dua parti ini bersendikan ‘falsafah’ ‘cash is king’? Mungkin?

Samada pemimpin UMNO atau pemimpin PAS, isu yang cuba dipopularkan ialah berkaitan isu kaum dan agama. Setiap kali diadakan pilihan raya samada PRU atau PRK inilah isu yang diketengahkan untuk mempengaruhi pengundi, tanpa memikirkan kesan buruk dan baiknya mengenengahkan isu yang amat sensitif itu kepada masyarkat Malaysia yang berbilang kaum itu. PRU 14 dengan jelas menunjukkan bahawa isu berkenaan tidak berjaya mempengaruhi pengundi yang menyebabkan ramai pemimpin UMNO yang kecundang walaupun pengundi di  negeri Pantai Timur masih berminat dengan isu-isu berkenaan.

Rakyat kini mula merenung dan mempersoalkan tentang betul tidaknya kenyataan para ‘pejuang’ UMNO yang sentiasa mendendangkan yang mereka berjuang untuk memajukan orang Melayu dan agama Islam. Isu ini sudah dipersoalkan sekian lama namun disebabkan pemerintahan sebelum ini (dibawah pentadbiran Barisan Nasional) telah menyebabkan perbincangan tentang isu-isu berkenaan dipendamkan saja, tetapi tetap ‘membara’ di hati dan perasaan.

Ramai yang seakan-akan memulaukan ‘Utusan Malaysia’, RTM, TV3 pada zaman pemerintahan terdahulu disebabkan terlampau ‘meluat’ dengan berita dan propaganda yang dihidangkan oleh saluran media ini. Ucapan yang berapi-api dari pemimpin UMNO hanya sebagai, ‘cakap tak serupa bikin’. Mungkin mereka merasakan bahawa mereka telah berjaya memperbodohkan rakyat pada ketika itu, tetapi pada hakikatnya rakyat hanya menunggu masa untuk ‘mengajar’ mereka.

Dari segi realiti kehidupan yang dilalui oleh para ‘pejuang’ UMNO samada di peringkat kepimpinan tertinggi atau pun di peringkat Bahagian dan Cawangan UMNO menampakkan satu trend kehidupan yang cukup luar biasa. Mereka menikmati kehidupan yang amat tidak diduga oleh golongan ini (yang diistilahkan sebagai kroni) yang sentiasa mendapat habuan dan ‘nikmat’ dari para pemimpin mereka.

Sebahgaian besar golongan ‘kroni’ sedemikian tidak mempedulikan kehidupan rakyat bawahan. Mereka hanya berpura-ura untuk memberikan sebarang bantuan dan pertolongan kepada golongan marhaen di kampung-kampung, apatah lagi kepada golongan yang menentang Barisan Nasional sedangkan dari segi realitinya mereka hanya mementingkan keselesaan diri dan keluarga mereka.

Keadaan yang wujud dalam zaman pemerintahan ‘cash is king’ adalah suatu keadaan yang luar biasa yang tidk pernah dilalui oleh masyarakat Malaysia sebelum ini. Seolah-olah telah wujud satu bentuk budaya baru dikalangan orang Melayu yang boleh dinamakan ‘Budaya UMNO’. Hampir setiap solongan masyarakat telah ditembusi oleh ‘budaya UMNO’ ini. Bukan sahaja dikalangan orang politik UMNO tetapi juga telah meresap dan mempengaruhi sektor pentadbiran negara, sektor swasta, pusat-pusat pengajian tinggi dan lain-lain.

Para ‘pejuang’ yang tergolong dalam ‘kroni UMNO’ ini sememangnya ‘ranggi’ (istilah yang sentiasa diguna pakai oleh orang negeri Perak yang bermaksud sombong, bongkak)kerana mereka sedar bahawa mereka adalah tergolongan dalam golongan yang tidak boleh ‘disentuh’. Mereka sentiasa ‘dilindungi’. Mereka boleh melakukan apa saja. ‘Beraja dimata dan bersultan di hati’.

Perisai yang sentiasa digunakan untuk ‘melindungi’ diri mereka ialah bahawa mereka memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam. Sehingga kini masih terdengar suara-suara sedemikian ‘didendangkan’ oleh ‘pejuang-pejuang’ bangsa walaupun dengan jelas menggambarkan bahawa sebenarnya mereka tidaklah sebenarnya memperjuangkan orang Melayu menepati ertikata sebenarnya. Mungkin hanya sekadar ‘melepaskan batuk ditangga’ sahaja.


abuhassanadam
20 September 2018



No comments:

Post a Comment