Saturday, September 15, 2018

APAKAH NURUL IZZAH HARUS ‘DIKORBANKAN’?
Sudah terlampau banyak diperkatakan tentang ‘NEPOTISME’ semenjak tercetusnya isu DS Anwar Ibrahim yang akan bertanding di kawasan Parlimen Port Dickson.. Seolah-olah ingin ditonjolkan bahawa DS Anwar Ibrahim mengamalkan nepotisme ataupun dalam bahasa yang senang ditakrifkan ialah mengamalkan dasar pilih kasih yang mengutamakan keluarga beliau sendiri.

Daripada perkataan Inggeris ‘NEPOTISM’  bermaksud, ‘the act of using your power or influence to get good jobs or unfair advantages for members of your own family…” Dalam hal ini kuasa apa yang ada pada DS Anwar Ibrahim untuk ‘meletakkan’ Nurul Izzah sebagai calon parlimen di kawasan Permatang Pauh sedangkan beliau pada ketika itu berada dan ‘berehat’ di Sungai Buluh. Hadirnya DS Wan Azizah di Parlimen Pandan adalah atas kapasitinya sebagai Presiden Keadilan Rakyat. Sudah tentulah seorang Presiden parti bertanding dalam pilihanraya. Dan tentulah anih sekiranya Presdien Parti tidak bertanding dalam pilihan raya.

Kini dituduh pula yang DSAI tidak memilih keluarganya untuk mengosongkan kerusi parlimen yang dimiliki. Maknanya seharusnya beliau ‘mengarahkan’ DS Wan Azizah mengosongkan kerusi Pandan ataupun Nurul Izzah mengosongkan kerusi Permatang Pauh. Sekiranyalah DS Anwar berbuat demikian, maka akan dituduh dan ditempelak pula yang beliau adalah sebagai diktator yang menjalankan ‘pemerintahan’ mengikut telunjuk beliau sendiri dengan tidak merujuk kepada kumpulan kepimpinan.

Lagi pun sebagaimana yang pernah dijelaskan berulang kali bahawa rakyatlah yang meletakkan DS Wan Azizah di Parlimen Pandan dan YB Nurul Izzah di Parlimen Permatang Pauh. Bagi mereka yang sentiasa melaungkan tentang konsep demokrasi tetapi mewar-warkan juga konsep nepotisme, maka apakah ini bukan satu perjalanan demokrasi yang sebenar.

Apakah ‘dosa’ Nurul Izzah sehinggakan beliau hendak ‘dikorbankan’ untuk memberi laluan kepada ayahanda demi untuk memenuhi hasrat segelintir manusia yang semacam cemburu melihat pencapaian beliau dalam politik.

Nurul sudah dijangka oleh banyak pihak yang akan beliau berkemungkinan menjejaki langkah Megawati Sukarno dari Indonesia ( anak Presiden Sukarno ) yang pernah menjadi Presiden Indonesia. Dari Filipina sudah muncul Macapagal Arrooyo ( anak Presiden Macapagal) sebagai Presiden. Di Myanmar juga wujud Aung San Su Kyi  ( anak pejuang kemerdekaan Burma).

Apakah rakyat Malaysia tidak mahu melihat kewujudan seorang serikandi yang akan memperjuangkan nasib rakyat Malaysia pada suatu ketika nanti. Bukankah sudah ada peribahasa Melayu yang menitipkan bahawa ,’ kemana tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi’ dan telah diyakini juga  bahawa, ‘ jika bapanya borik maka anaknya rintik’.

Daripada kata-kata ‘negatif’ yang didengar seolah-olah ada pihak yang cuba ‘menyekat’ perjalanan ‘Puteri Reformasi’ ini. Kemunculan beliau di arena politik bukan disengajakan. Beliau semacam seolah-olah tidak digalakkan untuk menyertai perjuangan politik namun disebabkan keadaan yang mendesak beliau terjun dalam arena politik di Malaysia adalah berpunca daripada kegigihannya membela ayahnda (Anwar Ibrahim) pada tahun 1998. Itu yang dikatakan ‘blessing in disguise’. ‘Kursus dan latihan’ politik yang dilaluinya adalah secara praktikal yang mebelakangi teori. Sebagai anak muda yang masih ‘mentah’ beliau mengharungi zaman-zaman itu dengan penuh tabah berpasakan keyakinan bahawa ‘ayahanda perlu diperjuangkan dan pembelaan harus diteruskan dengan tidak mengenal letih dan lelah.

Kini kelihatan Nurul Izzah sudah matang dalam sepak terajang politik negara Malaysia khususnya. Dan sudah mula berjinak-jinak dengan arus politik dunia. Beliau sudah dilihat sebagai bakan pemimpin yang akan menerajui negara Malaysia pada masa akan datang. Cuma kita tidak tahu bila tarikhnya. Pastinya selepas ayahandanya menjadi Perdana Menteri ke lapan. Namun begitu hanya Allah sahaja yang akan menentukan.

abuhassanadam
15 September 2018


No comments:

Post a Comment