Tuesday, October 29, 2019

DESA PINGITAN


DESA PINGITAN

            Desa Pingitan yang aku maksudkan adalah Kampung Ulu Mengkuang. Sebuah kampung dipedalaman terletak di daerah kecil Selama Perak. Di kampung inilah juga terdapat sebuah sekolah rendah yang dinamakan Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang, tempat aku mula-mula menjejakkan kaki sebagai seorang pendidik ketika berumur 21 tahun.

            Sangat sukar bagi aku untuk melupakan ‘desa pingitan’ ini walaupun sudah puluhan tahun aku meninggalkannya, namun kenangan lama masih segar di ingatan sehingga kini. Ulu Mengkuang bukan tempat kelahiran aku tetapi entah macam mana hati ini ‘terpikat’ dan ‘terikat’ dengan kampung yang indah permai ini dari kaca mataku.

            Aku mencintai alam yang menghiasi desa pingitan ini
            Aku suka mendengar siulan burung-burung pada waktu pagi
            Aku terpikat dengan budi bahasa orang kampung
            Aku kagum dengan air sungai yang jernih berkaca
           
            Lebih kurang tujuh kilometer jauhnya dari pekan Rantau Panjang. Pekan kecil ini terletak antara jalan raya yang menghubungkan pekan Selama Perak dengan Sungai Bayor. Di Pekan Rantau Panjanglah  penduduk Ulu Mengkuang membeli belah barang keperluan dapur. Pada ketika itu (tahun 1965) tidak ada jalan bertar yang menghubungkan Ulu Mengkuang dengan Rantau Panjang.

            Gelabah juga hatiku apabila dapat surat arahan bertukar ke Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang. Pastinya sekolah di luar bandar kata hati kecilku. Takut juga aku mengenangkan kehidupan yang akan aku lalui walaupun aku lahir dan dibesarkan dalam suasana kampung. Suasana kehidupan di kampung tentulah merupakan kebiasaan pada kehidupan aku. Tapi ini sebuah kampung yang amat asing bagi aku.

            2 Januari 1965 satu tarikh keramat bagi aku ia itu tarikh aku menjejakkan kaki di Ulu Mengkuang. Dari pekan Selama Perak aku menaiki kereta sewa (sapu) pergi ke Ulu Mengkuang. Akhirnya sampailah aku ke Kampung Ulu Mengkuang. Mataku mencari-cari dimana sekolahnya. Kelihatan dari jauh papan tanda menyatakan Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang. Amat jauh bezanya sekolah Ulu Mengkuang kini dengan Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang tahun 1965 ketika aku mula-mula mengajar di situ.

            Hanya ada 68 orang murid ketika itu. Guru Besarnya Cikgu Ismail bin Ahmad (orang kampung panggil Pak Da). Hanya terdapat empat orang guru penolong termasuklah aku. Ada enam kelas. Darjah satu sampai Darjah Enam. Seingat aku Pak Da sebagai guru besar dan juga guru Darjah 4. Aku mengajar Darjah Satu dan Darjah Dua ( pegang dua kelas). Cikgu Jaafar pegang dua kelas – Darjah Lima dan Darjah Enam. Cikgu Talib (guru sementara) pegang DarjahTiga.

            Kedatangan kami (aku dan Jaafar) disambut meriah oleh orang kampung. Maklumlah sekolah berkenaan tidak pernah diajar oleh guru terlatih (lepasan DTC seperti kami) melainkan sepanjang hayatnya diajar oleh guru sementara. Maka bagi orang kampung ( pada ketika itu) Ulu Mengkuang, kedatangan kami merupakan sesuatu yang luar biasa.

            Sejak dari mula aku tidak merasa kesal mengajar di Ulu Mengkuang malah aku berasa begitu seronok sekali mengajar dan bergaul mesra dengan anak-anak dan orang kampung disini walaupun ramai rakan-rakan guru yang memandang rendah kepada aku kerana mengajar di sebuah sekolah pedalaman seperti Ulu Mengkuang. Aku tidak pernah ambil pusing dengan sindiran mereka yang dilemparkan terhadap aku. Malah aku menyimpan suatu dendam.

            Dendam yang aku maksudkan itu ialah akan aku buktikan bahawa aku akan berada di Ulu Mengkuang (UM) selama lima tahun dan selepas itu aku akan melanjutkan pelajaran di University Malaya (UM). Maksudnya dari UM ke UM juga. Rupa-rupanya hasrat terpendam itu dimakbulkan oleh Allah juga akhirnya.

            Sepanjang aku berada di Ulu Mengkuang, murid-murid lah sebagai ‘teman hidup ku’. Sejak dari  pagi sehinggalah terbenam mata hari aku akan bersama murid-murid – belajar dan bermain. Kadang-kadang pada waktu malam aku sentiasa berada di sekolah dan ramai juga murid-murid yang ingin belajar di sekolah. Seronok sekali. Apa tidaknya. Itulah hiburan yang ada pada seorang guru muda untuk menghabiskan waktu siang dan malamnya dalam suasana ketiadaan bahan hiburan lain, kecuali radio transistor kecil yang menjadi ‘teman’ sebelum mata terlelap.

            Kampung Ulu Mengkuang amat sunyi di waktu malam. Hanya kedengaran suara jengkerik memecah sunyi malam ‘mendendangkan lagu riang mereka’ menyambut malam tiba. ‘Duniaku’ akan gelap gelita setelah anak-anak muridku pulang ke rumah masing-masing dari sekolah setelah penat belajar. Mereka datang ke sekolah pada malam hari ditemani oleh ibu bapa mereka. Begitu bersemangat sekali ibu bapa di desa pingitan ini. Itu jugalah yang memberikan rangsangan untuk aku mencurahkan jasa baktiku kepada anak-anak di kampung ini.

            Menjelang tengah malam aku keseorangan di rumah guru (rumah yang dibina oleh orang kampung bertiangkan batang pinang). Tidak ada teman untuk berbicara sementelahan pula ketika itu tidak ada TV untuk ditonton. Mahu tak mahu hanyalah radio kecil jadi teman penghibur mendengar suara lunak juruhebah bertugas dari corong Radio Malaysia seperti Zulkifli Amin, Azhar Ahmad, Mahani Ujang yang memainkan lagu-lagu romantis dendangan M Bakri, Taufik Haji Ali, Wan Salman Ahmad, Nik Hasni.

            Lima tahun aku berada di Ulu Mengkuang (1965-1970). Dalam jangka masa itu ramai juga anak muridku yang berjaya dan ada yang menjejakkan kaki ke menara gading. Dan aku juga telah ditakdiran berjaya juga lulus Senior Cambridge dan Higher School Certiificate ( yang diusahakann secara bersendirian) ketika mengajar di desa pingitan – Ulu Mengkuang.

            Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
            jikalau tidak dipecahkan ruyung bagaimana mendapat sagunya.

abuhassanadam
29 Oktober 2019

No comments:

Post a Comment