Wednesday, October 30, 2019

PERANAN ANWAR MEMENANGKAN PRU14


 PERANAN ANWAR MEMENANGKAN PRU14

            Rakyat Malaysia dari semua kaum memberikan mandat kepada kepimpinan Pakatan Harapan dalam PRU14 yang lalu adalah disebabkan keyakinan mereka bahawa tapuk pemerintahan negara akan digalas oleh Tun Mahathir dan kemudiannya ( selepas beebrapa ketika) menyerahkan kepada DS Anwar Ibrahim. Maknanya kedua-dua tokoh ini penting di hati dan rakyat. Kurang tepat sekiranya dikatakan bahawa pada Tun Mahahir terletaknya kunci kemenangan PRU 14 yang lalu. Atau sokongan kepada DS Anwar Ibrahimlah yang menyebabkan Barisan Nasional kecundang. Senario ini harus difahami betul-betul oleh rakyat Malaysia.

            Rakyat diyakinkan bahawa Tun Mahathir akan menjadi Perdana Menteri buat seketika sementara menunggu usaha ‘mengeluarkan’ Saudara Anwar dari penjara. Rakyat begitu yakin yang DS Anwar akan menerima pengampunan dari YDP Agung yang membolehkan beliau bertanding dalam pilihanraya kecil yang lemudiannya melayakkan dirinya menjadi pengganti Tun Mahathir.

            Rakyat Malaysia yakin dengan percaturan sedemikian ia itu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sementara menunggu pengambil-alihan kepada DS Anwar. Dan yang menyebabkan rakyat Malaysia ‘bermatian’ mengundi Pakatan Harapan adalah harapan menggunung agar cita-cita reformasi yang dilaung-laungkan oleh gerakan reformasi akan terlaksana. Para otai reformasi menunggu dengan penuh debar agar akan sampai masanya DS Anwar Ibrahim akan menjadi peneraju negara ini.

            Ini tidak pula bermakna bahawa para pejuang yang berjuang mati-matian itu tidak mengiktiraf kepemimpinan Tun Mahathir. Mereka juga yakin bahawa tanpa adanya Tun Mahathir memimpin Pakatan Harapan( yang kemudiannya menumbangkan BN) besar kemungkinan negara ini akan terus berada dibawah Barisan Nasional, kepimpinan kleptocrat yang dilaung-laungkan itu. Kehadiran Tun Mahathir amat penting sebagai penyatu kepada parti-parti yang menganggotai Pakatan Harapan. Dengan kepimpinan beliaulah Parti Amanah, DAP, PKR bersatu hat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.

            Membuktikan ketulusan para pemimpin Pakatan Harapan pada ketika itu yang semata-mata untuk menumbangkan Barisan Nasional, mereka sanggup ‘bernaung’ di bawah logo Parti Keadilan Rakyat ia itu ‘mata lebam’. Begitulah rupa hasrat yang menggunung para pemimpin yang disokong oleh rakyat terbanyak yang amat ‘meluat’ dengan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

            Keadaan dan senario yang harus difahami oleh banyak pihak ialah bahawa rakyat Malaysia menyokong Pakatan Harapan bukan hanya disebabkan kepimpinan Tun Mahathir seorang tetapi ‘penyertaan’ DS Anwar juga yang memainkan peranan begitu penting, walaupun beliau berada di penjara pada ketika itu. Itu merupakan satu hakikat yang tidak boleh dinafikan. Kerana menyedari hakikat bahawa mahu tidak mahu nama DS Anwar perlu diketengahkan, maka Tun Mahathir sanggup berjumpa dengan DS Anwar ketika beliau masih dipenjara, menunjukkan kepada rakyat bahawa Tun Mahathir bukan keseorangan dalam perjuangan menumbangkan kerajaan Barisan Najib tetapi bersama-sama  dengan DS Anwar.

            Ramai yang tidak menyedari ataupun sengaja tidak mahu menyedari bahawa walaupun berada di penjara, DS Anwar mempunyai pengikut yang masih ramai. Jikalau mahu menggunakan istilah yang selalu dipakai oleh para artist ialah bahawa DS Anwar Ibrahim memang ramai peminat. Bukan sahaja peminat dalam negara tetapi di luar negara pun. Samalah seperti Tun Mahathir yang disanjung oleh kebanyakan pemimpin dunia.

            Kini sudah mula kedengaran dan kelihatan tentang adanya golongan yang cuba menganggu gugat tentang peralihan kuasa sebagaimana yang telah diputuskan oleh kepimpinan Pakatan Harapan menjelang PRU14 yang lepas. Matlamat ‘puak-puak’ yang cuba mengganggu-gugat itu mempunyai semacam matlamat serampang dua mata. Pertama ialah untuk menggagalkan peralihan kepimpinan dari Tun Mahathir kepada DS Anwar Ibrahim dan yang kedua ialah memecahbelahkan perpaduan dalam Pakatan Harapan.

            Melihat kepada usaha-usaha yang dilakukan ke arah itu jelas menampakkan bahawa golongan sedemikian lebih mementingkan perut daripada kepentingan negara. Mengapa dikatakan begitu?  Jelas menampakkan keghairahan usaha ke arah itu adalah untuk mendekati pihak-pihak tertentu dengan harapan menerima habuan yang lumayan. Golongan ini tahu dan sedar bahawa tindakan mereka itu merupakan sesuatu yang boleh dianggap tidak begitu cerdik memandangkan tentang adanya peraturan-peraturan tertentu dalam berpersatuan. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Tun Mahathir dan DS Anwar juga bahawa penentuan kepimpinan negara akan ditentukan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

            Tetapi soalnya mengapa timbul lagi riuh rendah  tentang isu peralihan itu. Masyarakat Malaysia sebenarnya sudah amat faham tentang kewujudan golongan yang boleh ditakrifkan sebagai golongan ‘cari makan’ ini. Jikalau zaman-zaman sebelum ini ‘dedak’ bertaburan merata-rata tetapi kini mungkin sudah agak kekurangan. Lantas golongan ini mencari sumber-sumber yang boleh menampung keperluan mereka. Mungkin!

            Persoalan peralihan ini harus dirujuk dan difahami mengikut fahaman budaya dan adat Melayu. Ia merupakan satu janji yang didimeterai bersama oleh kepimpinan parti-parti dalam Pakatan Harapan ketika menjelangnya PRU 14 dulu. Tentulah tidak timbul usaha ‘khianat’ yang cuba digembar-gemburkan ketika ini. Negara Malaysia akan ‘hancur’ sekiranya perjanjian sedemikian cuba dikhianati. Manusia biasanya dipegang pada janji. Dan setiap janji semestinya ditepati.


abuhassanadam
30 Oktober 2019




No comments:

Post a Comment