‘DI MANA-MANA SAJA DI MALAYSIA’
Secara
kebetulan pagi tadi aku bertembung dengan ‘boss’ lama Dato Haji Jumaat Mohd
Noor yang sama-sama membelek-belek sayuran di sebuah pasar tani di Kelana Jaya.
‘ Hai dah tak menulis lagi?’ Itulah uacapan pembukaannya. Tak tahu aku
menjawabnya bila diketemukan dengan soalan sedemikian oleh seorang yang aku
hormati – kini dan selama-lamanya.
Lantas
aku terpanggil untuk terus menulis disebabkan ‘gesaan’ sedemikian. Apatah lagi oleh
seorang yang banyak memberi sumbangan kepada bangsa dan negara. Beliau pernah
menjadi guru, Pengarah Pendidikan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, dan
banyak lagi laa. Itu tidak termasuk NGO yang disertainya.
Bagi
aku ‘sindiran’ Dato Haji Jumaat itu merupakan sindiran seorang ‘guru’ terhadap
anak muridnya. Dan artikel yang sedang aku fikirkan kini merupakan artikel
pertama setelah buat beberapa ketika aku ‘berehat’. Dan tentulah pembaca yang
sudi membaca artikel sebegeni samalah ibaratnya seperti menaiki ‘roller
coaster’. Maklumlah sudah lama tidak menulis. Dah berkarat.
Pertama
kali aku megenali Dato Haji Jumaat ia itu ketika beliau berkhidmat sebagai
Pengarah Pendidikan Negeri Kedah. Ketika itu aku baru saja ditempatkan mengajar
disebuah sekolah menengah di bandar Kulim Kedah selepas tamat pengajian. Tahun
1974. Aku diarahkan berjumpa dengan Tuan Haji Jumaat pada ketika itu kerana
‘ingkar’ perintah jabatan ia itu disebabkan aku enggan untuk mengajar di
sekolah di mana aku ditugaskan.
Aku
memberanikan diri aku berjumpa dengan ‘orang besar’ pelajaran di negeri Kedah
itu. (Mungkin Tuan Haji Jumaat tak ingat pertemuan berkenaan. Biar aku ingatkan
semula ). Aku disuruh jelaskan mengapa aku enggan bertugas di sebuah sekolah di
tengah-tengah bandar Kulim. ‘Ini sekolah bandar cikgu!’ kata beliau. ‘Bukan di
kampung. Ramai lagi yang tidak berpeluang macam cikgu…mengajar disekolah
bandar’. Panjanglah penjelasan beliau dan aku hanya mendiamkan diri, menunggu
untuk memberikan penjelasan. Akhirnya sampailah giliran aku memberikan
penjelasan.
“
Sebenarnya tuan saya memang nak mengajar di kampung’ kataku memulakan hujjah
aku pulak. Sememangnya aku berhasrat untuk mengajar di kawasan desa. Malah
ketika mengisi borang penempatan mengajar pun aku telah mengisikan dengan ayat
‘di mana-mana saja di Malaysia’. Ramai rakan-rakan yang mengatakan yang aku
kurang siuman menulis kenyataan dalam borang penempatan sedemikian. Itu aku tak
peduli. Ini cerita benar. Itulah ayat yang aku tuliskan dalam borang penempatan
berkenaan. Tidak menjadi halangan pada aku sekiranya aku ditugaskan di
pendalaman Sabah atau Sarawak. Tak apa. Sedia berkhidmat asalkan di kampung.
Sememangnya
aku nak berkhidmat di kampung. Terus terang aku katakan bahawa aku amat
terpengaruh dengan siaran Sandiwara Radio yang disiarkan menerui Radio Malaysia
bertajuk ‘Serunai Malam’ hasil tulisan Dato Usman Awang yang dilakonkan oleh
Azhar Ahamad dan Adibah Amin pada suatu ketika dulu. Terus terang aku katakan aku amat terpengaruh
dengan drama berkenaan. Dan melalui drama berkenaan juga aku bertekad untuk
terus belajar secara bersendirian dan menjejakkan kaki ku di University Malaya
pada tahun 1971.
‘Sememangnya
saya nak berkhidmat di kampung, tuan. Di mana-mana pun tak apa’ aku ulang lagi
kenyataan ku itu. Pada ketika itu ramai guru-guru yang takut bertugas di
kampung. Tidak ada kemudahan tidak tersedia pada ketika itu berbanding dengan
keadaan kini. Contohnya kampung Ulu Mengkuang yang terletak di daerah Selama
Perak.
Di
kampung inilah aku mula-mula di tempatkan untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan
Ulu Mengkuang Selama Perak selepas tamat dari Maktab Perguruan pada tahun 1965.
Tidak perlulah aku berpanjang lebar menjelaskan keadaan Ulu Mengkuang pada
tahun 1965. Tidak perlulah aku jelaskan kesusahan yang dialami ketika mengajar
di situ. Namun begitu aku merasa amat bahagia bersama dengan anak-anak di situ
dan masyarakatnya yang cukup membahagiakan kehidupanku.
Aku
bertekad akan berpindah dari Ulu Mengkuang (UM) ke University Malaya (UM).
Jarak masa tidak dapat aku tentukan. ‘Pengembaraan’ku itu agak mustahil jika
diperhalusi. Bayangkan aku meneroka alam perguruan hanya berbekalkan sijil LCE
(Lower Certificate of Education) dan tidak pernah pun menjejakkan kaki di
Tingkatan 1V dan jauh panggang dari api di Tingkatan V dan VI. Kini aku
mengajar di Ulu Mengkuang dan bertekad untuk pergi ke University Malaya.
Tentulah tak masuk akal. Kita hanya merancang dan Tuhan yang menetukan. Aku belajar secara bersendirian.
Setelah
mendengar penjelasan dari aku dan ‘pengalaman’ yang aku lalui, aku nampak Tuan
Haji Jumaat sudah amat simpati dengan ‘perjuangan’ ku ia itu ‘menjadikan desa
kepada kota’ (ungkapan Dato Usman Awang dalam ‘Serunai Malam’ yang masih
terngiang-ngiang ditelinga aku sehingga kini).
‘Kalau
saya tempatkan Cikgu di Mahang setuju tak?’ soal Tuan Haji Jumaat.
“Kan
saya dah katakan di mana-mana saja Tuan asalkan di kawasan desa, mengajar anak
kampung’
“Beginilah…
saya tempatkan Cikgu di Serdang, Selatan Kedah. Setuju tak?’ Katanya lagi. ‘Minggu
depan mula. Satu haribulan’ arahannya’
‘Saya
akan pergi ke sekolah berkenaan pada hari ini tuan untuk lapor diri’ Kataku
sambil tersenyum.
Agak
lama juga aku tidak berjumpa dengan Tuan Haji Jumaat sehinggalah aku juga sama-sama bertugas di Kementerian Pendidikan pada suatu ketika sepuluh tahun selepas itu setelah aku diarahkan bertukar ke Kementerian Pendidikan di Kuala Lumpur. Dan pagi tadi
berjumpa semula dengan Dato Haji Jumaat bin Mohad Noor. Masih sihat.
abuhassanadam
26 Oktober 2019
No comments:
Post a Comment