AMANAH RAKYAT YANG DIKHIANATI
YB
Rafizi Ramli, selaku Ahli Parlimen Pandan
dalam kenyataannya pada 24 Jun 2015 menyatakan, “Pendedahan
eksklusif yang dibuat oleh akhbar Australia The Age yang bertajuk “Corrupt Malaysia money distorts Melbourne
market” bukan sahaja memalukan nama baik Malaysia tetapi juga
menimbulkan persoalan integriti dan sejauh mana wang amanah rakyat MARA
disalahgunakan. Menurut
laporan tersebut, pembelian hartanah The Dudley yang sepatunya berlaku pada
harga RM51.5 juta telah dibeli pada harga RM 65.4 juta yang mana lebihan RM
13.8 juta daripada nilai sebenar telah diselewengkan.
Kemudian beliau menambah,’Sekiranya
tuduhan penyelewengan dalam pembelian The Dudley mempunyai asas, Perdana
Menteri perlu mengarahkan siasatan menyeluruh termasuk pembelian
hartanah-hartanah yang lain yang secara keseluruhannya melibatkan ratusan juta
ringgit wang amanah rakyat”
Semalam dilaporkan pula tentang
pembelian hartanah oleh MARA yang terlebih bayar. Melalui rencana berjodol,’
Satu lagi hartanah MARA didakwa terlebih bayar’ dalam Malaysiakini, saudara
Akmal Nasir selaku Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Negara (NOW)
‘mendakwa harta tanah itu melibatkan bangunan 51 Queen Street di
Melbourne yang dijual oleh Quintessential Group of Companies (QGC) kepada pihak
tidak dinamakan pada 2013’
Rakyat Malaysia tentulah merasa
sedih dengan ‘kelakuan dan perangai’ pihak tertentu yang sanggup ‘menggadaikan’
harapan rakyat demi kepentingan peribadi sendiri. Pendek kata kebelakangan ini
orang Melayu sering diserang oleh perasaan yang amat sedih. Lepas satu, satu
peristiwa sedih dan malang yang menimpa orang Melayu disebabkan tidak
bertanggung jawabnya ‘pemimpin Melayu’ yang sanggup memusnahkan harapan dan
amanah rakyat.
Isu IMDB amat menyakitkan hati orang
Melayu dan rakyat Malaysia
keseluruhannya.
Isu Tabung Haji amat memilukan hati
dan perasaan orang Melayu.
Kini timbul pula isu MARA yang amat
menghiris perasaan orang Melayu
mengenangkannya.
MARA adalah singkatan kepada Majlis
Amanah Rakyat. Aku ulangi sekali lagi ‘AMANAH RAKYAT’. Yang menyedih dan
menghiris hati rakyat Melayu khususnya apabila mendengar berita ‘sedih’ itu
ialah tentang sanggup dan sampai hatinya para ‘pejuang’ dan ‘pemimpin’
(konon!!) Melayu sendiri mengkhianati
amanah dan harapan rakyat. Ini jelas menepati peribahasa Melayu yang
mengatakan, ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’. Tepat.
Nama MARA tercetus ekoran daripada
satu resolusi ekonomi bumiptera yang diadakan pada 5 Jun 1965, menggantikan
nama RIDA (Rural Industrial Development Authority) yang ditubuhkan pada bulan
Oktober 1950 yang mana tujuan penubuhannya adalah untuk memajukan ekonomi dan
pendidikan masyarakat luar bandar khususnya orang Melayu yang dipengerusikan
oleh Dato’Onn Ja’afar.
Sekiranya Dato’Onn Ja’afar masih
hidup pastinya beliau juga akan menitiskan air mata mengenangkan peristiwa
penyelewengan yang dilakukan oleh ‘anak cucu’nya yang amat tidak
bertanggungjawab ini. Aku juga masih ingat bagaimana arwah bapak aku (orang
kuat UMNO peringkat kampung) bersama-sama dengan rakan seperjuangannya Pak
Leman dan Pak Pin telah pergi ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Kongres Ekonomi
Bumiputera yang pertama yang diadakan pada tahun 1965 itu. Menaiki keretapi
malam.
Begitu riang dan gembira sekali
mereka ketika itu menceritakan pengalaman mereka ketika berada di Kuala Lumpur
untuk menghadiri persidangan berkenaan. Mungkin pemergian mereka hanya sebagai
pemerhati sahaja namun melalui perbincangan mereka itu dapat aku fahami bahawa
mereka merasakan amat bangga dengan apa yang diputuskan oleh Kongres berkenaan
yang pada anggapan mereka akan meletakkan orang Melayu di persada yang
sepatutnya sebagai sebuah bangsa yang merdeka.
Rupa-rupanya harapan bapak aku dan
orang Melayu lain yang menghadiri Kongres berkenaan berkecai, dimusnahkan oleh
‘anak-anak’ yang tidak mengenang budi jasa orang tua yang bersusah payah untuk
merealisasikan satu mimpi dan harapan bangsa Melayu. Orang Melayu yang
menghadiri Kongres pada ketika itu adalah terdiri dari orang Melayu yang hanya
berkelulusan ‘sekolah atap’ (berpendidikan rendah) berbanding dengan ‘pemimpin-pemimpin’
kini yang memiliki bergulung ijazah. Pemimpin pada ketika itu mampu merancang
sesuatu yang menggunung untuk masa hadapan anak cucu tetapi pemimpin kini yang
memiliki ijazah berjela sanggup memusnah dan mengkhianati harapan dan impian bagsa
Melayu itu sendiri.
Ke manalah hilangnya maruah anak
bangsa ku kini….
abuhassanadam
2
Julai 2015
sedih
ReplyDeletesedih
ReplyDelete