Friday, July 31, 2015

RAKYAT MALAYSIA GELISAH

            Seingat aku, belum pernah berlaku lagi dalam sejarah di Malaysia rakyatnya dalam keadaan yang amat gelisah, tertekan, ‘kacau-kena’ ( meminjam loghat orang Perak) sepertimana yang dialami kini. Tentulah agak keterlaluan aku membuat kesimpulan yang sebegini dengan tidak mendasarkan hujah aku kepada kajian dan fakta-fakta yang konkrit. Namun aku merasakan bahawa dengan melihat dan memerhati keadaan ‘pergolakan’ dalam masyarakat kini maka dapat dibuatkan kesimpulan sedemikian.

            Dimana-mana saja akan kedengaran rakyat mengeluh dan  mempersoalkan tentang ‘arah tuju negara Malaysia’. Mereka tertanya-tanya ke mana agaknya negara hendak dibawa oleh para pemimpin negara kini. Apakah para pemimpin negara kini memikirkan tentang keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara ataupun hanya memikirkan tentang usaha untuk menyelamatkan diri dan hanya mementingkan diri dan keluarga.

            Rakyat Malaysia ‘gelisah’ mengenangkan  video yang memaparkan tentang kenyataan TS Muhyiddin Yassin yang menjelaskan tentang perbualannya dengan DS Najib yang mengakui bahawa wang sebanyak RM 2.6 billion telah dimasukkan ke dalam akaun beliau. Dan kisah ‘tayangan video’ itu telah merebak seperti api yang membakar hutan di kawasan hutan Yosemeti di California. Bukan sepertimana kebakaran yang merebak di bangunan milik Polis di Bukit Aman. Lebih dari itu. Rakyat hanya mampu ‘gelisah’ dan menunggu apakah tindakan seterusnya yang sepatutnya dilakukan oleh pihak berwajib.

            Tengah malam kelmarin aku dikejutkan dari tidur oleh rakan karib dari kampung yang bertanya tentang samada aku sudah tonton video tentang perbualan TS Muhyiddin mengenai akaun milik DS Najib. Lantas fikiran aku terus memikirkan bahawa sekiranya orang kampung aku, kampung pingitan dan pendalaman sudah mula ‘bangun’ membicarakan kisah DS Najib dan IMDB maka aku amat yakin seluruh negara kini sedang membincangkan isu yang sama. Maknanya seluruh negara sedang dalam keadaan ‘gelisah’, tertekan dan amat kecewa dengan keadaan yang berlaku kini.

            Isu IMDB dan ‘wang RM 2.6 billion’ bukan isu biasa yang ‘bangkai gajah boleh ditutup dengan nyiru’. Angka 2.6 billion sudah merupakan angka sebutan rakyat seluruh Malaysia sehinggakan kanak-kanak yang berumur tujuh tahun pun sudah mula menyebutnya (walaupun mereka tidak tahu tentang biji buahnya). Angka sedemikian tidak mudah untuk ‘dipadamkan’ di hati dan fikiran rakyat Malaysia walaupun berbagai usaha ‘pengalihan’ dan ‘penafian’ dilakukan. Namun ia tetap ‘menghantui’ pemikiran rakyat Malaysia.

            Media sosial dengan berbagai saluran maklumat yang meledak pemikiran rakyat telah memperkatakan tentang wang 2.6 billion ringgit. Di mana saja kita berada isu ini diperkatakan. Betul kata peribahasa Melayu, ‘ mulut tempayan boleh disumbat (ditutup) tetapi mulut manusia tidak boleh ditutup dan disumbat’. Nampaknya semakin hari semakin ghairah rakyat Malaysia memperkatakannnya. Ada juga asasnya mereka berbuat demikian. Rakyat sedar bahawa wang sebanyak  itu adalah wang mereka. Titik peluh mereka. Dan rakyatlah yang akan bertanggungjawab terhadap apa saja yang akan berlaku kepada wang sebanyak itu. Rakyat sebagai pembayar cukailah yang akan membayar segala hutang piutang negara nanti. Lantas ada asasnya mereka gelisah.

            Ada pula golongan ‘hingusan’ dalam UMNO mempersoalkan tentang apa perlunya TS Muhyiddin mengambil tahu hal mengenai akaun peribadi DS Najib. Maknanya pada pandangan golongan ini, mengapa TS Muhyiddin ‘menyebuk’ dan terlalu ‘gatal’  mendedahkan mengenai akuan berkenaan. Dalam hal ini ada dua perkara yang aku lihat amat tidak kena dilakukan oleh golongan ‘hingusan’ dalam UMNO  ini.

·      Sikap yang agak ‘biadab’ yang ditonjolkan oleh golongan ini kepada ‘orang tua’ yang baru sahaja ‘lekang dari jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dulunya merupakan boss mereka juga yang sentiasa ‘dicium’ tangannya. Baru sahaja tidak pun sampai 48 jam, golongan berkenaan telah sanggup ‘biadap’. Apakah cara sedemikian yang diajar oleh ibu bapa mereka atau para guru mereka ketika disekolah dulu?
·      Rakyat mahu ambil tahu mengenai akuan peribadi DS Najib disebabkan oleh jumlah wang yang agak luar biasa tersimpan dalam akaun berkenaan. Luar biasa. RM 2.6 billion. Bukannya 26 ribu atau 260 ribu atau pun 2.6 juta atau 26 juta atau 260 juta tetapi jumlahnya ialah 2600 juta – 2600,000,000.00 (mungkin aku tersilap menuliskan angka demikain).

            Rakyat Malaysia mahu tahu hal sedemikian disebabkan DS Najib adalah ‘milik’rakyat Malaysia. Rakyat tidak peduli sekiranya orang lain yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan Malaysia melakukannya. Dan sebenarnya, rakyat Malaysia sudah agak ‘letih’ dengan cerita-cerita yang berlegar berkaitan dengan IMDB ini. Sudah jemu dan meluat dengan pendedahan tanpa tindakan ini. Dan aku yakin bahawa sekiranya DS Najib berdepan dengan rakyat secara jujur dan menjelaskan juga secara jujur sebagai seorang pemimpin yang ikhlas, aku yakin rakyat akan pasti menerima penjelasan berkenaan.

            Selagi tidak mendapat penjelasan yang berbentuk ‘ya’ atau ‘tidak’ maka selagi itulah rakyat Malaysia akan terus gelisah.

            Sampai bila agaknya…….

abuhassanadam

31 Julai 2015

No comments:

Post a Comment