BUKAN BERTUJUAN MENGGULINGKAN KERAJAAN….
Kononnya
ada golongan tertentu dikalangan rakyat Malaysia yang merancang untuk
menggulingkan kerajaan. Aku tidak berani mengatakan betul-tidaknya hasrat sedemikian
kerana tidak ada bukti kukuh yang menyokong saranan demikian. Mungkin pihak
polis mempunyai bukti kukuh, lantas ‘berani’ mengatakan bahawa ada percubaan ‘rampasan
kuasa’ untuk menggulingkan kerajaan yang ada. Namun dilihat secara mata kasar
sememangnya tidak ternampak langsung usaha untuk menggulingkan kerajaan yang
ada. Yang sering diperkatakan kini ialah mengenai isu IMDB dan isu akaun
peribadi DS Najib Tun Razak.
Sejarah
Malaysia ‘mengatakan’ bahawa bangsa Malaysia samada keturunan Melayu ke, Cina
ke, India ke tidak pernah lagi menunjukkan sikap menggulingkan kerajaan secara
haram. Apatah lagi orang Melayu. Pantang anak Melayu menderhaka. Justeru jarang
sangat sejarah memaparkan tentang kisah anak Melayu menderhaka kecuali kisah
penderhakaan Hang Jebat menentang Raja Melaka kerana membela Hang Tuah yang
difitnah dan dizalimi. Dan ada pula pegangan orang Melayu yang mengatakan
bahawa ‘Raja adil raja disembah dan raja zalim raja disanggah’. Ini bermakna
bahawa orang Melayu akan menentang pemerintah sekiranya didapat pihak
pemerintah bersikap terlalu zalim dan tidak menjalankan pemerintahan dengan
betul.
Tuduhan
yang mengatakan bahawa ada usaha untuk menggulingkan kerajaan adalah sesuatu
tuduhan yang agak keterlaluan dan tidak harus dilemparkan kepada rakyat
Malaysia yang sentiasa berpaut kepada keadaan harmoni. Fakta sejarah menunjukkan
bahawa bangsa Malaysia dan khususnya orang Melayulah bangsa yang amat tertib
dalam mengendalikan apa juga kemelut yang wujud. Pinsip ‘pakatan’ sentiasa
diutarakan sehingga penjajah British seolah-olah ‘malu’ dengan bangsa Malaysia
yang semacam ‘tidak menuntut kemerdekaan’ tetapi hanya mahu Malayan Union
dihapuskan. Begitu tertibnya ‘perjuangan’ bangsa Malaysia dalam menuntut
kemerdekaan. Seperti menarik rambut dalam tepung. Rambut dapat ditarik
sedangkan tepun tidak berselerak.
Timbulnya isu ‘mengguling kerajaan’ adalah ekoran
daripada kemelut IMDB dan isu akaun peribadi DS Najib Tun Razak yang kononnya
memiliki wang sejumlah RM 2.6 billion. Rakyat terus menerus mempersoalkan isu
sedemikian. Dan sepatutnyalah rakyat membincangkan kerana melibatkan Perdana
Menteri mereka yang disayangi. Seharusnyalah pihak tertentu yang
bertanggungjawab menyiasat akaun demikian, menyiasat dengan begitu teliti tentang ‘betul-tidak’nya wang sebanyak itu
dimasukkan ke dalam akaun DS Najib. Rakyat mahu tahu. Itu saja. Dan tidak pula
bermakna bahawa apabila rakyat ingin tahu hal sedemikian maka rakyat dituduh
pula berusaha menggulingkan kerajaan.
Kini
telah disahkan oleh MACC bahawa sememangnya wang sejumlah RM 2.6 billion itu
dimasukkan ke dalam akaun peribadi DS Najib. Rakyat akan terus menyoal lagi
kerana didorong oleh naluri ingin tahu rakyat yang memuncak. Jikalau bukan wang
itu milik IMDB, dari mana pula datangnya jumlah wang sebanyak itu. Siapa yang
begitu bermurah hati mendermakan wang sejumlah itu. Berapa oranglah agaknya
rakyat Malaysia yang pernah memiliki wang tunai sejumlah RM 1Juta dan jauh
panggang dari api untuk memiliki wang sejumlah RM 2.6 billion bersamaan dengan
RM 2,600 juta.
Rakyat
Malaysia akan bertanya dan terus bertanya kerana ‘kehairanan’ yang amat sangat.
Terlalu banyak perkara yang dihairankan oleh rakyat Malaysia kini.
·
TS Muhyiddin
Yassin dan DS Shafie Afdal mempersoalkan tentang IMDB dan tidak lama selepas
itu mereka dilucutkan dari jawatan yang mereka sandang. Rakyat hairan.
·
Peguam
Negara dengan tidak semena-mena diberhentikan dari jawatan yang disandang dan
digantikan dengan Peguam Negara baru. Rakyat hairan juga.
·
Empat orang
ahli yang menganggotai PAC dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Menteri dan
termasuk juga Pengerusinya sendiri yang menyebabkan kerja-kerja menyiasat PAC
mengenai IMDB terhenti dan ditangguhkan kepada suatu tarikh yang tidak tahu
entah bila. Rakyat Malaysia tercengang hairan.
·
Berlaku
beberapa tangkapan terhadap pegawai-pegawai MACC yang menyiasat hal-hal
berkaitan dengan IMDB oleh pihak polis. Rakyat hairan juga.
Yang
paling menghairankan rakyat Malaysia ialah kisah beberapa orang Menteri dan
timbalan menteri yang kerjanya hanya memperkata dan mempertahankan IMDB. Mereka
mengemukakan berbagai hujah untuk ‘menegakkan benang basah’, walaupun
hujah-hujah mereka sukar dipercayai dan diyakini oleh rakyat. Dan kadang-kadang
ditertawakan. Mereka terus menerus tanpa segan dan silu menjalankan aktiviti
berkaitan dengan isu IMDB, walaupun tugas mereka adalah untuk bertanggungjawab
kepada portfolio yang dipertanggungjawabkan.
Kini
telah terbukti bahawa wang RM 2.6 billion yang terdapat dalam akaun peribadi DS
Najib adalah hasil sumbangan Pak Arab dari Timur Tengah dan bukan dari IMDB. Ada
rakyat yang ‘mengangguk’ tetapi ramai yang ‘menggelengkan kepala’. Ada yang
tersenyum tetapi ramai yang ‘tersenyum sinis’.
Sebagaimana
yang telah ditegaskan bahawa rakyat Malaysia adalah bangsa yang tidak mahu ‘menjatuhkan
air muka’ orang lain namun sekiranya mereka sudah ‘sampai ke dinding’ berbagai
kemungkinan akan berlaku…..
Entahlah……
abuhassanadam
4 Ogos 2015
No comments:
Post a Comment