MENYEKAT PELAJAR UNIVERSITI MENYERTAI BERSIH 4 – SATU ‘KEZALIMAN’
Aku
tidak menggalakkan pelajar-pelajar universiti awam dan swasta menyertai
perhimpunan Bersih 4 yang akan diadakan pada 29 dan 30 Ogos 2015. Dan melarang
pun tidak. Maknanya terpulanglah kepada diri pelajar itu sendiri samada ingin
menyertai atau ‘menjauhkan’ diri. Peribahasa Melayu kata ‘tepuk dada tanya
selera’. Kini peribahasa itu telah berubah kepada ‘tepuk dada tanya iman’.
Pakailah ‘versi’ mana sekalipun.
Yang
ingin aku persoal dan kesalkan ialah sikap berkuasa universiti dan kolej yang
bertindak menyekat kebebasan bersuara para pelajar kita. Yang ini betul-betul
membuat aku bingung (bukan sahaja tak faham). Telah berapa ‘kurun’ dikatakan
bahawa univeristi atau pusat pengajian tinggi adalah sebagai tempat anak-anak
muda mengasah bakat, mendedahkan diri dengan berbagai pengalaman yang boleh
ditimba ketika berada di menara gading. Adalah amat salah dan tidak kena
sekiranya masih ada lagi ‘saki-baki’ ‘keturunan’ yang menganggap bahawa
universiti hanya sebagai tempat untuk menuntut ilmu dan lulus dengan cemerlang
dalam bidang ilmu yang dipelajari.
Aku
petik kenyataan seorang ‘penguasa’ universiti berkaitan dengan hal larangan
pelajar menghadiri Bersih 4. “Students should stay away from being used by certain parties or
organisations not recognised by the government and should instead, concentrate
on their studies,” public universities vice-chancellor/rector committee
chairperson Kamarudin Hussin was quoted as saying in a Bernama report’.
Apakah rakyat Malaysia tidak berasa sedih
membaca kenyataan sedemikian? Dan apakah ibu bapa kepada pelajar-pelajar
univeristy ‘merelakan’ pemergian anak-anak ke universiti semata-mata untuk
menuntut ilmu sepertimana mereka dihantar ke sekolah menengah untuk lulus SPM atau
STPM. Apakah ibu bapa di Malaysia masih mahu anak-anak mereka bersikap
sedemikian rupa walaupun berada di menara gading?
Dalam hal isu yang berkaitan dengan Bersih 4, sepatutnya
para penguasa universiti di negara ini memberikan kebebasan berfikir dan
bersuara kepada pelajar agar dapat menentukan hala tuju para pelajar itu
sendiri. Lagi pun para pelajar di Malaysia kini harus memikirkan masa hadapan
mereka kerana ‘masa hadapan’ itu milik mereka dan seharusnyalah mereka yang
menentukan. Mereka adalah ‘the conscience of the majority’. Dan amat malang
sekiranya masa hadapan para pelajar ditentukan oleh ‘pemimpin tua’ kini yang
tidak berapa tahu dan faham apa sebenarnya yang terpendam di hati dan perasaan
anak-anak yang berada di menara gading ketika ini.
Dan penguasa UITM juga terus menunjukan ‘kehebatan’
mereka dengan memberi amaran kepada pelajar-pelajar UITM agar tidak menyertai
Bersih 4. Biar aku petik kenyataan dari Bernama.
“Sahol Hamid turut menasihatkan
semua penuntut UiTM supaya tidak melibatkan diri dengan mana-mana aktiviti yang
diharamkan kerajaan, sebaliknya fokus dengan pengajian mereka."Jika ada
mana-mana penuntut UiTM dibuktikan terlibat dengan perhimpunan (yang polis
klasifikasikan) haram itu, mereka boleh diambil tindakan sehingga digantung
pengajian mengikut tahap kesalahan.
"Golongan
ini hanya memburukkan nama universiti sedangkan mereka sebenarnya terikut-ikut
dengan maklumat yang diterima tanpa usul periksa dan membuat andaian sendiri
menggunakan ilmu pengetahuan yang cetek," katanya kepada pemberita di Shah
Alam hari ini.
Apakah pihak ‘cerdik pandai’ di universiti
berkenaan tidak merasa ‘malu’ mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa yang
ditujukan kepada pelajar yang berada dalam Kurun ke 21. Apakah cara pemikiran
golongan ‘bijak pandai’ kita masih lagi seperti katak di bawah tempurung.
Apakah mereka tidak dapat melihat perkembangan pemikiran di
universiiti-universiti dari negara-negara maju dunia.
Mungkinlah para penguasa universiti
bertindak sedemikian disebabkan ada ‘arahan-arahan’ dari pihak atasan supaya
bertindak sedemikian rupa. Tetapi soalnya apakah pihak penguasa universiti kini
sudah turun darjat sebagai ‘tukang angguk’ dan hanya mengangguk tentang apa
saja yang diarahkan ‘pihak atasan’. Apakah sudah hilang dan lenyap kredibiliti
para ‘cerdik pandai’ di universiti kni sehinggakan tidak lagi berani untuk
menyuarakan pendapat dan menentang ( secara hormat) arahan-arahan yang tidak
masuk akal itu.
Tindakan para penguasa univeristi
kini adalah seperti mengurung burung dalam sangkar. Mata lepas keluar sedangkan
badan terkurung. Bayangkan keadaan pemimpin yang akan dilahirkan oleh pusat
pengajian tinggi sebegini yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan
datang. Yang malangnya juga ialah pelajar-pelajar UITM adalah terdiri dari pelajar
Melayu.
Apakah pemimpin sedemikian yang
diperlukan untuk menjadi pemimpin Malaysia pada masa akan datang? Bukan salah
pelajar!!!........
abuhassanadam
27 Ogos
2015
No comments:
Post a Comment