RADIO ‘ERRES’ PAK LANG BRAHIM
Rupanya
radio ‘Erres’ di kedai Pak Lang Brahim diimport dari Belanda. Dikeluarkan oleh Van der Heem & Bloemsma in The Hague, Netherlands, 1952. Hebat betul
keadaan zaman dulu. Kebanyakan barangan yang dimiliki oleh orang kampung aku
(tahun 1950an) hampir kesemuanya barang import. Barang buatan luar negara. Dari
Eropah. Kebanyakannya dari England. ‘Made in England’. Cara orang kampung aku
menyebutnya bukan ‘med in England’ tetapi ‘made in England’ ( ikut cara sebutan
suku kata Bahasa Melayu).
Bukan
sahaja kereta di import dari England (Ford, Hillman, Austin, Morris), sudu,
periuk, pakaian pun diimport dari England. Pendek kata kesemuanya barang
import. Dan seingat aku sehingga awal tahun-tahun 1970an, masyarakat di Malaysia
masih berminat kepada barangan import (sampai kini pun). Dan barangan
sedemikian boleh diperolehi dari Pulau Pinang (bagi penduduk sebelah Utara
semenanjung) dan dari Singapura ( yang pada ketika itu merupakan pelabuhan
bebas cukai).
Radio
Erres Pak Lang Brahim pakai batteri basah. Macam batteri kereta kini. Pada
ketika itu manalah ada kuasa eletrik di kampung aku. Belum merdeka. Oleh itu
jangan haraplah pihak penjajah British menyediakan kuasa eletrik atau pun
bekalan air di kawasan luar bandar seperti
di kampung aku. Justeru radio Erres Pak lang Brahim juga menggunakan batteri
basah. Itu bermakna bahawa radio berkenaan akan berfungsi selama tiga hari dan
dua hari akan ‘direhatkan’ untuk memberi peluang batteri berkenaan di’charge’
di kedai ‘ Ah Yo’ di pekan Padang Rengas.
Demi
untuk menyambut Malam Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Pak Lang Brahim telah
menyediakan Radio Erresnya dengan batteri baru. Maknanya bersempena dengan
menyambut kemerdekaan, Pak Lang Brahim mahu keadaan yang cukup sempurna ketika
mendengar pengumuman kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka
Kuala Lumpur. Untuk mendapatkan pendengaran yang jelas, Pak Lang Brahim telah
meminta pertolongan Pak Said Jebung untuk memasang ariel di bahagian pokok
pinang yang paling tinggi berhampiran dengan kedainya. Dan Pak Lang Brahim juga
berdoa agar pada malam kemerdekaan berkenaan tidak akan berlaku hujan ribut di
kampung kerana itu juga akan mengganggu penerimaan isyarat radio. Dan mungkin
Pak Lang Brahim tidak berani memasang radio Erresnya. Takut disambar petir…….
Kebiasaannya
kedai Pak Lang Brahim akan ditutup pukul 8.00 malam. Selewat-lewatnya pukul
9.00 malam. Tidak ramai pelanggan yang datang pada waktu berkenaan. Kalau ada
pun yang ingin mengunjungi kedai Pak lang Brahim pada waktu berkenaan adalah
anak-anak muda yang ingin bermain ‘Terup Keling’ ataupun yang ingin
menghabiskan waktu dengan bermain Dam atau Catur.
Tetapi
pada malam 31 Ogos 1957, Pak Lang Brahim membuka kedainya hingga jauh malam.
Untuk mendengar siaran radio tentang pengumuman kemerdekaan oleh Tunku Abdul
Rahman. Di kampung aku ketika itu hanya ada tiga buah radio sahaja yang
dimiliki oleh orang kampung. Di kedai Pak Lang Brahim, di rumah Cik Kontak dan
di rumah Pak Mat Bilal. Itu saja.
Oleh itu untuk mendengar pengumuman kemerdekaan
terpaksalah ke kedai Pak Lang Brahim.
Arwah
bapak pelawa aku ke kedai Pak Lang Brahim pada malam itu. Untuk mendengar radio
pengistiharan kemerdekaan katanya kepada aku. Ketika itu aku hanya tahu
menyebut perkataan ‘merdeka’. Itu pun disebabkan orang kampung selalu
menyebutnya. Aku tak tahu biji buahnya apa yang dikatakan ‘merdeka’ itu. Masih
di sekolah rendah. Dan belum lagi belajar tentang sejarah tanah air. Baru dalam SMC 2 ( Special
Malay Class 2). Matapelajaran Sejarah belum diajar lagi. Masih belum
menyanyikan lagu ‘Negaraku’. Masih menyanyikan lagu “God Save the Queen’.
Lebih
kurang pukul 9.00 malam, arwah bapak dan beberapa orang kampung lain sudah
berada di kedai Pak Lang Brahim. Pak Man Ali, Pak Din Kayat, Pak Said Jebung,
Pak Salleh Padat, Pak Teh Wahab sudah berada di situ. Menunggu saat dan ketika
Tunku mengisytiharkan kemerdekaan negara. Disamping itu tentulah ada perbualan,
caka-cakap antara mereka yang hadir mengenai kemerdekaan tanah air. Semacam
‘forum’ di radio pulak. Tidak pakai pengerusi. Bebas. Semua orang boleh
mengeluarkan pendapat dan pandangan mereka. Tidak ada halangan. Kadang-kadang
terdapat juga percanggahan pendapat tetapi diselesaikan dengan cara baik. Dan
bahan-bahan yang diperkatakan oleh mereka ‘ditimba’ dari pembacaan mereka
menerusi akhbar ‘Utusan Melayu’ (Jawi), satu-satunya akhbar berbahasa Melayu
yang terdapat pada ketika itu.
Aku
hanya mendengar perbualan mereka tanpa memahami apa yang diperkatakan oleh
mereka. Yang aku tahu bahawa setelah diisytiharkan kemerdekaan, orang putih
akan meninggalkan Tanah Melayu. Disamping itu aku bimbang juga tentang apa akan
jadi pada sekolah orang putih. Apakah aku akan diberhentikan dari sekolah orang
putih. Berbagai persoalan menerpa benak aku.
Apabila
sampai detik 12 malam, 31 Ogos 1957, semua orang yang berada di kedai Pak Lang
Brahim senyap. Menunggu dengan penuh debaran, ulasan selari yang disampaikan
oleh Bahrain Tahir dan Abu Bakar Ahmad ( juruhebah Radio Malaya ketika itu)
menggambarkan detik peristiwa turunnya bendera Union Jack dan berkibarannya
Jalur Gemilang.
Mujurlah
ada Radio Erres Pak Lang Brahim yang membolehkan aku dan bapak mendengar
pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 oleh Tunku Abdul Rahman.
abuhassanadam
25 Ogos 2015
No comments:
Post a Comment