Wednesday, August 26, 2015

BERSIH 4 – ‘BERTONGKAT PARUH’ KU PERGI JUA

            Sedaya upaya akan aku pergi jua ke Dataran Merdeka pada 29 dan 30 Ogos 2015 ini. Bukan untuk menggulingkan Perdana Menteri DS Najib Tun Abdul Razak. Jauh sekali untuk menggulingkan kerajaan. Pemergian aku adalah untuk bersama rakyat lain ‘memberitahu’ dan ‘menyedarkan’ pemerintahan di negara, khususnya Perdana Menteri bahawa sudah terlalu banyak tindakan yang tidak berapa kena yang dilakukan oleh pihak pemerintah. Moga-moga dengan kehadiran rakyat yang ramai nanti akan ‘memberitahu’ pihak tertentu bahawa rakyat sedang memerhati dan amat tidak puas hati dengan tindakan yang dilakukan.

            Mungkin ada yang merasakan bahawa tindakan sebegini bukan cara yang ‘beradab’ untuk memberitahu pihak pemerintah tentang apa yang telah dilakukan oleh mereka. Aku tak tahu cara lain yang lebih beradab setelah berbagai komen dan cadangan dikemukakan oleh berbagai pihak melalui media cetak dan elektronik mengharapkan ada sesuatu tindakan yang positif dilakukan oleh pihak pemerintah.

            Rakyat Malaysia akur dengan keputusan PRU 13 yang lalu walaupun perasaan tidak puas hati masih ‘bersarang’ di hati sebahgian besar rakyat Malaysia yang merupakan 52% rakyat Malaysia. Mereka tidak menunjuk perasaan menentang keputusan itu walaupun berbagai ‘kerenah’ telah dilakukan oleh pihak pemerintah semata-mata untuk ‘menafikan’ kemenangan Pakatan Rakyat. Rakyat hanya mengharapkan agar pihak kerajaan yang mendapat mandat daripada 48% rakyat yang mengundi, melakukan perubahan demi kebaikan rakyat keseluruhannya.

            Malah berbagai ‘kerenah’ dan tindakan pihak kerajaan yang seolah-olah tidak menghiraukan langsung sungutan dan ‘penderitaan’ yang dialami oleh rakyat terbanyak. Kisah penyelwengan dalam IMDB dan wang RM2.6 billion yang dimiliki akuan peribadi DS Najib merupakan ‘retak menunggu belah’. Walaupun sebahagian besar rakyat sudah sedar tentang penyelewengan sebegini, namun masih ada lagi rakyat terutamanya ahli UMNO akar umbi masih memberikan sokongan kepada apa saja tindakan yang dilakukan oleh pemimpin mereka yang dianggapkan sebagai sokongan membuta tuli.

            Mungkinlah dengan mengadakan demonstrasi begini nanti akan dapat menyedarkan sebahgian besar rakyat Malaysia ( yang masih belum sedar ) bahawa sebenarnya ada perkara-perkara yang dilakukan oleh pihak kerajaan yang dirasakan ‘tidak kena’ dan berkemungkinan akan menyusahkan rakyat Malaysia.

            Biar aku ulangi lagi bahwa demonstrasi sebegini bukan untuk menjatuhkan kerajaan. Ini bukan kali pertama demonstrasi bersih diadakan. Sudah tiga kali demonstarsi sebegini diadakan sebelum ini.  Dan kesemuanya berjalan dengan aman dan tentunya ada juga ‘perubahan-perubahan’ yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan ekoran dari ‘tunjuk perasaan’ oleh rakyat berkenaan.

            Namun aku merasa hairan dan pelik melihatkan gelagat segolongan kecil kumpulan yang kononnya menggelarkan diri mereka sebagai ‘anti Bersih’ dan akan hadir dalam perhimpunan bersih nanti semata-mata untuk mempertahankan sesuatu. Seolah-olah mereka menduga akan ada suatu ‘pertempuran’ besar-besaran di Dataran Merdeka. Lantas mereka mengadakan ‘demonstrasi’ tentang bagaimana mereka akan ‘mempertahankan’ rakyat sekiranya diserang. Apakah mereka fikir bahawa Perhimpunan Bersih 4 itu untuk memerangi antara satu sama lain? Golongan ini amal tersilap dan amat tersasar dari pengamalan prinsip demokrasi.

            Yang anihnya juga ialah pihak polis tidak bertindak terhadap kumpulan ini yang terang-terang melanggar peraturan dan undang-undang keselamatan negara berbanding dengan kumpulan Bersih yang jelas mengadakan perhimupunan ini bersesuaian dengan kehendak amalan demokrasi di mana-mana saja di dunia. Perhimpunan Bersih ‘terang-terang’ menjelaskan bahawa tujuannya ialah untuk menunjukkan perasaan secara aman, bersantai, bersiar-siar disamping ‘memberitahu’ dan ‘menyedarkan’ pihak pemerintah bahawa sesuatu tindakan perlu dilakukan untuk ‘menyelamatkan’ negara yang dirasakan sudah agak ‘tergelincir’ dari landasan pemerintahan sebenar.

            Rakyat merasa terhimpit dengan pelaksanaan cukai GST. Rakyat merasa cukup bimbang dengan kejatuhan nilai mata wang ringgit kita berbading dengan Dollar Amerika dan mata wang dari negara lain. Rakyat amat bimbang dengan kenaikan harga barang keperluan harian yang dirasakan akan terus menerus menyempitkan kehidupan rakyat. Rakyat amat bimbang dengan kisah IMDB yang masih belum selesai ‘hujung-pangkal’nya. Rakyat terus menerus merasa hairan bagaimana wang RM 2.6 biliion boleh dimiliki oleh akaun peribadi DS Najib.

            Berbagai andaian diberikan untuk menyakinkan rakyat bahawa wang sejumlah itu diberikan kepada DS Najib sebagai hadiah dan sumbangan oleh negara-negara Timur Tengah. Tetapi rakyat mula mempersoalkan kesahihan dan kewajarannya. Rakyat semacam tidak percaya tentang adanya ‘manusia’ dalam  dunia ini yang sanggup memberikan sumbangan sebanyak itu. Kalau betullah begitu. Sekali lagi aku ulangi….kalau betulah begitu maka tentulah negara kita Malaysia  jadi cagarannya!!......

            Atas alasan yang betul-betul ikhlas semata-mata untuk memberitahu dan menyedarkan pihak tertentu tentang berbagai kesilapan yang dilakukan, maka adalah amat wajar pihak pemimpin negara ‘mendengar’ suara hati rakyat Malaysia. Inilah cara yang masih tinggal bagi rakyat melahirkan perasaan mereka menjelaskan bahawa bukan semua tindakan pemerintah itu betul belaka.

            Semua pihak termasuklah pihak polis yang menjaga keamanan negara ini harus sedar bahawa tujuan rakyat menghadiri perhimpunan Bersih bukan untuk menggulingkan DS Najib sebagai Perdana Menteri dan jauh sekali daripada menggulingkan kerajaan tetapi hanya untuk ‘memberi tahu’ pihak pemerintah bahawa mereka perlu membuat perubahan ke arah kebaikan rakyat Malaysia keseluruhannya.

            Didoakan perhimpunan Bersih berjaya mencapai matlamat dan tujuannya. Insyallah.

abuhassanadam

26 Ogos 2015

4 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Kamisah,

    Terima kasih. Iringi mereka yang berjuang dengan doa.

    Pak Abu

    ReplyDelete
  3. Pak Abu,
    Saya sebagai rakyat Malaysia bangsa cina amat kagum dan menghormati apa yang dikatakan oleh Pak kerana semua ini memang betul dan benar.Selama ini hidup saya di tanah air ini sudah 50 tahun tidak pernah pedulikan siapakah yang memimpin negara ini asalkan dia adalah seorang pemimpin yang adil dan saksama untuk rakyat di negara ini dan saling hormat menghormati sesama kaum.walaupun bet apa beradanya kita sekarang Ini tetapi diakhiratnya kita ini semua insan yang sama.Saya mohon negara kita ini sentiasa aman dan sejahtera Sesama perkauman Dan tidak dipandang hina oleh orang luar negara terhadap kita.

    ReplyDelete
  4. Malaysiaku,

    Negara Malaysia adalah milik Melayu, Cina, India dan lain-lain. Bangsa Malaysia harus dinobatkan dalam erti kata sebenar-benarnya.

    Pak Abu

    ReplyDelete