Wednesday, August 5, 2015

IMDB DAN POKOK DURIAN SEBATANG

         Entah siapalah agaknya yang menanam pokok durian berkenaan. Arwah bapa aku tidak dapat mengingati siapa yang menanam pokok durian berkenaan. Bukan dia yang menanamnya. Itu sah. Mungkin tumbuh secara liar agaknya. Tetapi ‘kehadiran’ poko durian berkenaan telah menimbulkan kerunsingan yang amat sangat pada arwah bapa aku kerana pokok durian itu tumbuh betul-betul di sempadan tanah antara tanah milik ibu dengan tanah milik sepupunya, Cikwa.

         Bapa amat bimbang dengan keadaan pokok durian sebatang itu. Arwah bapa takut kalau-kalau anak cucunya nanti makan durian berkenaan yang belum sah tentang siapa yang empunya, walaupun Cikwa kerap kali mengatakan pokok durian itu milik ibu ku. Maksudnya dalam kawasan tanah milik ibu. Namun bapa aku yang amat kuat pegangan agamanya masih tidak mahu ‘mengalah’. Beliau masih mahu bertegas untuk menyukat semula tanah berkenaan untuk menentukan sempadan yang jelas agar tahu tentang kedudukan sebenar pokok durian berkenaan agar anak cucunya tidak makan ‘barang haram’ (buah durian yang tidak sah siapa yang empunya).

         Setelah disukat oleh tukang sukat yang bertauliah, maka sahlah yang pokok durian itu berada di kawasan tanah ibu. Dan barulah ‘puas’ hati bapa aku supaya anak cucunya nanti tidaklah makan buah durian yang berkemungkinan ‘haram’ untuk dimakan. Begitu cermat sekali tindakan bapa aku berkaitan dengan hal ‘halal-haram’.

         Mengenangkan hal dan tindakan bapa itu terlintas aku dengan keadaan yang berlaku dalam masyarakat kini yang seolah-olah langsung tidak mempedulikan langsung hal halal-haram. Kegiatan rasuah bermaharajalela. Rupa-rupanya semakin terpelajar ‘manusia’ di Malaysia kini maka semakin ‘bermaharajalela’ jugalah kegiatan rasuah dikalangan pemimpin negara, pegawai tinggi kerajaan dan siapa saja yang berkesempatan untuk ‘menikmati’ apa saja yang berbentuk rasuah. Tentulah terlalu sukar untuk mengambil tindakan terhadap golongan sebegini kerana mereka lebih ‘pintar’ untuk mengelakkan diri dari dikenakan sebarang tindakan.

         Kini rakyat sudah sibuk pula memperkatakan bahawa rupa-rupanya ‘rasuah’ sudah boleh ditukar dan ditafsirkan sebagai ‘hadiah’. Diperkatakan bahawa setiap pemberian kepada pihak berkuasa yang dianggap oleh rakyat sebagai ‘rasuah’ sudah boleh ditafsirkan sebagai ‘hadiah’ oleh pihak-pihak yang menerima ‘hadiah’ berkenaan. Lantas pemberian ‘Rasuah/Hadiah’ sudah semacam ‘dihalalkan’ dan tidak ada halangan dan larangan lagi bagi sesiapa sahaja yang ingin mengamalkan perbuatan terkutuk itu (mengikut pandangan dan pegangan orang seperti bapa aku yang lahir pada tahun 1920an)

         Mungkin tindakan bapa aku mempersoalkan tentang ‘sebatang pokok durian’ dianggap oleh para pemimpin negara kini dan juga oleh para pegawai tinggi kerajaan sebagai tindakan yang kolot dan ‘membuang masa’. Dan boleh juga disifatkan sebagai satu tindakan yang ‘ketinggalan zaman’. Mungkin tindakan yang dilakukan oleh bapa aku itu dianggap oleh golongan ‘perasuah/pehadiah) kini sebagai tindakan Pak pandir yang membayangkan tentang kebodohan orang Melayu. Walau apa pun tuduhan yang dilepmparkan terhadap golongan manusia seperti bapa aku, namun sekurang-kurangnya rezeki yang dihidangkan untuk keluarganya adalah rezeki yang halal.

         Amat jauh berbeza dengan keadaan kini. Sudah agak ramai antara kita (orang Melayu yang beragama Islam) sudah tidak mementingkan lagi hal ‘ halal-haram’ yang amat dipentingkan oleh agama Islam yang dianuti. Hampir setiap tahun kelihatan berduyun-duyun para pemimpin negara dan golongan yang berharta pergi menunaikan Haji atau Umrah tetapi setelah pulang ke tanah air mereka akan terus mengamalkan perangai ‘asal’ mereka menerima ‘rasuah/hadiah’.

         Dan tentunya yang amat merunsingkan lagi ialah kegiatan menerima ‘rasuah/hadiah’ ini sudah mula diamalkan oleh golongan muda. Pemimpin muda. Mereka seolah-olah sudah tidak lagi merasa segan dan silu mempamerkan hasil ‘sumbangan’ yang diterima oleh mereka itu dalam bentuk jam tangan yang berharga ratusan ribu, kereta-kereta mewah yang mencapai harga jutaan ringgit dan malah merasa begitu berbangga dengan tindakan yang mereka lakukan itu. Seolah-olah sekiranya mereka tidak melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh para pemimpin negara kini maka mereka akan ketinggalan zaman.Mungkin mereka memikirkan bahawa taraf berfikir mereka adalah sama dengan taraf berfikir yang ‘kolot’ sepertimana yang diamalkan oleh bapa aku – mempersoalkan hal sebatang pokok durian.

         Namun aku tetap bangga dengan pendirian arwah bapa aku kerana aku yakin ‘darah daging’ yang mengalir ditubuh aku adalah hasil rezeki halal dari titik peluh yang redhai Tuhan.

abuhassanadam

5 Ogos 2015

No comments:

Post a Comment