DS NAJIB MENANTI SAAT UMNO PECAH BERDERAI
Jikalau
aku tak silap, pernah pada suatu ketika dalam tahun-tahun 1960an, selepas
penubuhan Malaysia, Saudara Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura
mengeluarkan ‘peribahasa’ mengatakan bahawa ‘orang yang mengantuk adalah
makanan si jaga dan si bodoh adalah makanan si cerdik’. Tentu ada sebabnya
mengapa beliau menyatakan ‘peribahasa’ berkenaan. Yang aku boleh rasakan bahawa
beliau menyatakan demikian ialah dalam suasana orang Melayu di Semenanjung Tanah
Melayu ketika itu, dilihat sebagai golongan yang tidak begitu cerdik dan boleh
diputar-belitkan, disamping mengingatkan rakyat Singapura supaya sentiasa
cerdik dan waspada dalam menghadapi apa juga keadaan ketika itu ( dalam suasana
politik yang amat genting yang akhirnya membawa kepada perpisahan antara
Singapura dari Malaysia).
Suasana
politik di Malaysia kini kelihatan seolah-olah DS Najib bergantung kepada
‘talian hayat’ yang menghubungkan beliau
dengan sebahagian besar ahli UMNO yang masih boleh ‘diperkotak-katikan’. Kepada
merekalah para pemimpin memberikan berbagai alasan (yang diciptakan sendiri
oleh mereka) untuk meyakinkan para ahli UMNO peringkat akar umbi bahawa
sebenarnya DS Najib menerima sumbangan wang sejumlah RM 2.6 billion dari
seseorang penderma dari Timur Tengah. Ahli UMNO akar umbi yang merupakan
golongan yang mudah percaya tentang apa saja yang dikatakan oleh pemimpin
mereka terus percaya dan yakin tanpa banyak bicara dan tidak pernah terfikir
untuk mempersoalkan rasional dan lojik tidaknya penjelasan yang diberikan.
Rakyat
Malaysia yang waras cara berfikirnya telah melemparkan tuduhan ‘bodoh’ kepada
ahli UMNO yang bersikap demikian. Ada juga alasan mengapa golongan yang
berpelajaran ini menggelarkan golongan ahli UMNO itu sebagai golongan yang agak
‘bodoh’ kerana boleh ditipu dan diputar-belit oleh pemimpin mereka. Hairan juga
mengapa golongan UMNO yang sebegini boleh yakin dan percaya dengan penjelasan
yang diberikan sedangkan terlalu banyak fakta yang ‘tidak masuk akal’ yang
diberikan oleh para pemimpin dalam usaha meyakinkan golongan UMNO akar umbi
itu. Namun dengan penjelasan yang sedemikian para pemimpin UMNO berjaya dalam
usaha meyakinkan pengikut supaya memberikan sokongan kepada kepimpinan
tertinggi UMNO.
Aku
merasakan bahawa pemimpin akar umbi UMNO tidak bodoh tetapi ‘lurus bendul’.
Mereka tidak langsung mahu menyusahkan fikiran mereka memikirkan
perkara-perkara yang semacam tidak kena mengena dengan kehidupan seharian
mereka. Mereka tidak merasakan keperitan hidup seharian mereka sekiranya nilai
mata wang kita terus merudum kerana mereka tidak merasakan keperitannya
sekiranya berkunjung ke laur negara. Mereka tidak pernah pun keluar negara.
Dengan demikian mereka tidak akan dapat merasakan keperitan sedemikian. Mungkin
bagi mereka yang mempunyai anak belajar di luar negara akan merasa keperitan
sedemikian. Itupun atas tajaan kerajaan.
Justeru
mereka semacam ‘tidak peduli’ tentang apa yang berlaku. Mereka begitu
‘bersyukur’ dengan kehadiran pemimpin negara di mesyuarat UMNO di tempat mereka
dan dapat pula bertemu muka dan beramah mesra dengan pemimpin ‘kesayangan’ mereka.
Disamping itu pasti pula diberikan ‘cenderahati’ dan ‘buah tangan’ yang
pastinya lumayan yang semacam seumur hidup tidak pernah dinikmati oleh mereka.
Lantas mereka akan ‘mengangguk’ dan
‘terus mengangguk’ dengan apa saja yang diperkatakan oleh pemimpin
mereka tanpa berfikir panjang, apatah lagi untuk mempersoalkan kerasionalan apa
yang diperkatakan oleh pemimpin mereka.
Aku
tak kata semuanya begitu tetapi kebanyakannya semacam begitulah. Sebenarnya
bukan ahli UMNO itu yang bodoh tetapi diperbodohkan oleh setengah pemimpin UMNO
yang memberikan penjelasan yang cuba ‘membohongi’ ahli UMNO itu sendiri. Rakyat
Malaysia pada umumnya sudah faham dan jelas tentang hal-hal yang berkaitan
dengan IMDB dan RM 2.6 billion itu. Jelas. Tetapi yang nampak kurang jelas
ialah para ahli UMNO yang terus mengangguk apabila dijelaskan oleh para
‘pemimpin’ mereka. Maknanya mereka setuju 100% apa yang disampaikan oleh para
pemimpin mereka.
Sampai
bila agaknya keadaan jadi begini. Golongan yang bimbang dengan keadaan yang
akan menimpa negara ini terus menerus ‘melolong’ dan ‘melalak’ seperti anjing
menyalak bukit sedangkan golongan yang mempertahankan ‘status Quo’ menggunakan
ahli UMNO peringkat akar umbi sebagai menyambung ‘talian hayat’ mereka untuk
terus menerus memerintah negara ini. Dan yang paling malangnya ialah sudah
kelihatan semacam negara ini sudah tidak berperaturan dan undang-undang dimana
para pemimpin sudah sewenang-wenangnya melakukan apa saja yang terlintas di
hati dan kepala mereka.
Mungkin
agaknya masih ramai lagi rakyat Malaysia yang menunggu saat-saat negara
tercinta ini menjadi ‘padang jarak padang terkukur’. Atau pun mungkin mahu
mellihat negara ini menjadi nasi yang sudah menjadi bubur. Dan sekiranya negara
ini dapat diselamatkan, kedudukan UMNO belum tentu selamat. Mungkin DS Najib
menunggu dan menanti saat UMNO pecah berderai……
abuhassanadam
23 Ogos 2015
No comments:
Post a Comment