BERANIKAH AHLI UMNO BERSUARA?
Kecuali
TS Muhyiddin Yassin dan DS Shafie Afdal dan beberapa ‘kerat’ yang lain,
kebanyakan ahli UMNO mengambil sikap
mendiamkan diri. Membisu seribu bahasa. Taku setakut-takutnya. Gentar
segentar-gentarnya. Bimbang sebimbang-bimbangnya kalau-kalau ‘habuan’ yang
sentiasa ‘luruh dari langit’ itu akan terhenti sekiranya mereka bersuara
terutama yang berkaitan dengan IMDB dan RM 2.6 billion milik pemimpin
kesayangan mereka DS Najib Tun Abdul Razak.
Diwar-warkan
bahawa ahli UMNO peringkat akar umbi boleh menyuarakan pandangan mereka tentang
apa saja yang berkaitan dengan isu “IMDB dan “RM 2.6 billion”. Dari Perlis
dikatakan bahawa ahli UMNO disana boleh menyuarakan hasrat mereka. Dari Johor
tempat kelahiran UMNO juga dikatakan bahawa ahli UMNO disana bebas menyuarakan
apa yang ‘terasa’ di hati. Dan sekurang-kurangnya dari Johor muncul anak muda
yang berani menyatakan apa yang dirasakan tidak kena berlaku dalam negara kini.
Selain
dari itu kelihatan UMNO semacam parti yang sudah ‘mati pucuk’ yang langsung
tidak berani bersuara selain dari menjadi ‘tukang angguk’ walaupun atas isu-isu
yang dirasakan amat merugikan negara dan bangsa. Rakyat seluruh Malaysia
merasakan bahawa ada yang tidak kena yang berkaitan dengan isu ‘IMDB dan RM 2.6
billion’. Bukan sahaja sebahagian besar rakyat Malaysia merasakan begitu tetapi
komen-komen dari masyarakat dunia juga memberikan komentar yang sedemikian.
Merasakan bahawa ada sesuatu yang ‘tidak kena’ mengenai perlaksanaan IMDB dan
akaun peribadi milik DS Najib yang mengandungi RM 2.6 billion itu.
Pemimpin
UMNO dan ahli UMNO keseluruhannya masih mendiamkan diri. Seolah-olah tidak ada
apa yang berlaku dalam negara kini. Ahli-ahli UMNO masih mahu menyalahkan
pembangkang yang kononnya menimbulkan isu sedemikian. Ahli UMNO masih ‘bertepuk
sorak’ walaupun negara hampir ‘terbakar’
sepertimana suasana ketika Rome terbakar dan Maharaja Nero terus menerus
memetik gitarnya melihat api menjulang ke langit. Pemimpin UMNO yang disokong
oleh ahli-ahlinya masih mahu mengalihkan pandangan masyarakat Malaysia dengan
menimbulkan isu-isu ‘konspirasi’ di sana sini semata-mata untuk
‘menenggelamkan’ isu “IMDB dan RM 2.6 billion’
Ahli-ahli
UMNO di seluruh negara terikut-ikut sama ‘menari dan menyanyi’ lagu yang
‘ditarikan’ oleh pemimpin-pemimpin mereka. Sehinggakan hampir tidak kelihatan
ahli UMNO ( kecuali beberapa orang yang boleh dibilang dengan jari) yang mahu
sama-sama bersimpati dengan rakyat Malaysia lain, mempersoalkan tentang isu
‘IMDB dan RM 2.6 billion” itu.
Apakah
mereka terlalu bodoh dan pandir sehinggakan tidak langsung memahami suasana
yang sedang berlaku kini. Apakah golongan ini amat berpuas hati dengan ‘habuan’
yang sentiasa mereka terima sehinggakan terlalu ‘kekenyangan’ yang menyebabkan
mulut mereka ‘terkunci’ dan terlalu ‘menganntuk’ sehinggakan tidak langsung
dapat berfikir dengan waras untuk mempersoalkan sesuatu yang dirasakan tidak
kena berlaku kepada bangsa dan negara kini.
Kita
pernah melihat bagaimana ‘aktifnya’ ahli UMNO ‘memperjuangkan’ tentang isu
bangsa dan agama. Kita pernah melihat ‘kehebatan’ ahli UMNO yang sanggup
memikul kepala lembu demi untuk menunjukkan iltizam mereka memperjuangkan agama
Islam. Dan ada juga terdapat peristiwa ahli UMNO yang sanggup melakukan apa
saja yang kononnya demi mempertahankan bangsa dan kesucian agama. Tetapi dalam
hal isu “IMDB dan RM 2’6 billion’ ini ahli UMNO bersikap mendiamkan diri. Sepi
sesepinya. Ke manalah agaknya hilangnya taring dan keberanian ahli UMNO yang
pernah dipusakai oleh ahli UMNO sebelumnya.
Memang
betullah kata ramai pemerhati politik bahawa UMNO kini amat berbeza dengan UMNO
zaman dahulu. Ahli UMNO kini hanya pandai berhibur dan berpesta di Dewan
Merdeka ketika menghadiri Persidangan Agung UMNO. Perwakilan UMNO hanya mampu
bergelak ketawa ketika mendengar ucapan dan lawak jenaka ketika perbahasan
dijalankan. Ahli UMNO kini hanya tahu menyebut perkataan ‘projek’ dan ‘habuan’
sedangkan perjuangan untuk membela bangsa dan negara dan agama telah
dikesampingkan. Mungkin betul agaknya persepsi dan pemerhatian pemerhati
politik sedemikian.
Jikalau
Dato Onn Jaafar masih ada pasti beliau akan menangis dan terus menangis
melihatkan gelagat ‘anak-anak’nya yang sudah jauh menyimpang dari perjuangan
asal UMNO. Jiakalulah Tun Abdul Razak masih hidup pasti beliau juga akan
teresak-esak mengenangkan tentang nasib yang menimpa negara kini di bawah pentadbiran
anakanda kesayangannya. Pasti beliau akan bertanya pada dirinya, apakah salah
asuhan atau pun ada pihak lain yang menghasut dan memporak-perandakan
pentadbiran anakandanya itu. Tun Abdul Razak pasti sedih dan sesedihnya.
Dan
aku tidak dapat bayangkan suasana dan keadaan sekiranya Tun Dr. Ismail masih
hidup dalam suasana negara yang sebegini ‘dahsyat’ ujiannya. Apakah beliau akan
terus marah-marah atau akan terus menangis teresak-esak…..
Tidak
dapat aku bayangkan…..
abuhassanadam
8 Ogos 2015
No comments:
Post a Comment