Wednesday, August 12, 2015

ZAMAN ‘MAHATHIR-ANWAR’ ADALAH ZAMAN KEEMASAN DALAM SEJARAH MALAYSIA

            Sekiranya Tun Abdul Razak hidup lebih lama dan meneruskan agenda pembangunannya di negara ini, berkemungkinan era Tun Razak merupakan zaman keemasan dan keagungan dalam sejarah Malaysia. Malangnya disebabkan usianya yang agak pendek dan meninggal dalam keadaan rakyat amat memerlukannnya, maka hasrat dan cita-citanya terhenti dan semacam tidak dapat diteruskan oleh penggantinya Tun Hussein Onn yang boleh dianggap sebagai ‘ a reluctant Prime Minister’. Memang dijelaskannya bahawa beliau semacam ‘terpaksa’ menerus tugas berkenaan disebabkan ‘kehilangan’ Tun Dr. Ismail yang telah meninggalkan kita lebih awal.

            Rakyat Malaysia pada ketika itu tidak pula mendesak agar Tun Hussein Onn meletakkan jawatan walaupun kelihatan pentadbirannya tidak ‘selaju’ dan ‘sepantas’ apa yang dihasratkan oleh Tun Abdul Razak. Walaupun agak ‘perlahan’, namun kepimpinan Tun Hussein Onn tetap mendapat sanjungan masyarakat Malaysia kerana ketegasan dan bebas rasuahnya. Beliau dianggap sebagai Perdana Menteri yang amat tegas dalam menjalankan tugasnya dan dihormati oleh semua pihak. Paling disanjungi oleh rakyat Malaysia ialah keikhlasanya yang sedia untuk berundur setelah ‘menenangkan’ suasana politik di Malaysia untuk diserahkan tapuk pemerintahan kepada Dr. Mahathir Mohammed.

            Dan bermulalah suatu zaman ‘pembaharuan’ yang dicetuskan oleh beliau. Jikalau benua Eropah pada Kurun ke 16 terkenal dengan zaman ‘Renaissance’nya maka begitu jugalah keadaan di negara ini ketika munculnya Dr. Mahathir Mohammed yang dibantu oleh Tun Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri. Rakyat memberikan sokongan cukup padu diatas segala usaha yang cuba diperkenalkan oleh mereka kepada rakyat Malaysia yang hasratnya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk melonjakkan masyarakat Malaysia ke tahap kemajuan bertaraf dunia.

            Mungkin agak keterlaluan sanjungan yang diberikan kepada pemerintahan Tun Mahathir berbanding dengan berbagai ‘kutukan’ yang diberikan oleh ‘pemimpin’ negara kini yang semacam ‘mencela’ apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir dan DS Anwar ibrahim. Ada Menteri Kabinet kini yang secara sinis mencela kepimpinan pada ketika itu dan ada juga Menteri (yang agak lembut ubun-ubunnya) mempersoalkan kredibiliti Tun Mahathir yang dianggap tidak mempunyai idea lagi untuk memperkatakan sesuatu.

            Apakah para ‘pemimpin’ berkenaan yang juga bertaraf Menteri Kabinet tidak dapat membezakan pemerintahan di Malaysia kini dengan keadaan pemerintahan yang dijalankan oleh kepimpinan Tun Mahathir dalam tahun-tahun 1980an dan 1990an dulu. Bagi aku perbezaannya adalah seperti ‘langit dengan bumi’. Aku masih ingat pada awal zaman pemerintahan Tun Mahathir rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan berbagai ‘kejutan’.

            Tindakannya yang paling awal untuk ‘mengubah’ cara berfikir masyarakat Malaysia ialah tindakannya ‘memutar’ jarum jam ia itu satu jam lebih awal.  Sudah cukup untuk ‘megejutkan’ masyarakat Malaysia yang masih ramai ‘berpeluk tubuh’ dan seolah-olah tidak mahu membuat sebarang perubahan samada ke atas diri atau ke atas masyarakat. Kemudiannya diikuti dengan satu lagi ‘kejutan’ ia itu dengan ‘mengarahkan’ masyarakat Malaysia untuk melihat dan meniru budaya kerja masyarakat Jepun dan Korea dengan memperkenalkan ‘Dasar Pandang Ke Timur’.

            Dan selepas itu satu demi satu ‘kejutan’ diperkenalkan. Yang turut menghairankan rakyat ialah dasar ‘Buy British Last’nya yang ditujukan kepada Great Britain  sebagai tindak balasnya terhadap kerajaan Margaret Thatcher yang menaiki yuran pengajian di universiti-universiti di Britain yang mana ‘tempias’nya terkena juga kepada pelajar Malaysia. Sebagai tindak balasnya Dr. Mahathir melancarkan ‘serangan balasnya’ terhadap Britain.

            Adalah dirasakan bahawa tujuan Tun Mahathir memperkenalkan berbagai dasar itu adalah semata-mata untuk mengajak rakyat Malaysia dari semua bangsa untuk membuat perubahan, terutama perubahan cara berfikir. Berbagai tindakan dari berbagai sudut dan aspek dilaksanakan demi untuk mengubah cara berfikir rakyat Malaysia. Dan matlamat akhirnya ialah agar rakyat Malaysia boleh berdiri sama tegak dan duduk sama rendah dengan masyarakat dunia lain.

            Mungkin juga tidak adail sekiranya dikatakan bahawa tidak wujud keadaan sedemikian kini berbanding dengan berbagai tindakan yang dilakukan oleh pemerintahan Tun Mahathir. Aku tidak mengatakan bahawa pemerintahan dalam era kini tidak melakukan sebarang kemajuan. Ada. Tetapi berbanding dengan apa yang dilakukan oleh pemerintahan zaman Mahathir (yang kemudiannya gandingan Mahathir-Anwar) amatlah jauh bezanya.

            Anak-anak yang berada dibangku sekolah kini dan yang mempelajari dasar-dasar kerajaan yang diperkenalkan pada zaman pemerintahan Mahathir-Anwar amat ‘merindui’ untuk kembali ke zaman berkenaan kerana apa yang didengar dan dipelajar oleh mereka melalui buku teks sejarah mereka, bahawa zaman berkenaan adalah semacam zaman keemasan dalam sejarah Malaysia.

            Para pelajar dan anak muda kini yang tidak dapat merasakan ‘nikmat’ berada dalam zaman berkenaan sentiasa mendoakan agar zaman berkenaan akan muncul semula dalam masa terdekat. Insyallah….

abuhassanadam
12 Ogos 2015


            

2 comments:

  1. Madey mentadbir negara selama 22 tahun dan Anuar Ibrahim bersama Madey tak sampai 22 tahun. Terlalu banyak kisah bagaimana Madey dah tanam benih perosak negara antaranya merosak institusi kehakiman, pendidikan termasuk merosotnya piawai bahasa Inggeris, melebarkan lagi jurang sosio-ekonomi antara elit dan orang ramai, menggalakan budaya rasuah, menumpulkan taring institusi polis, sprm, parliamen, skandal mega seperti bmf, mas, pewaja, maminco dan banyak lagi.
    Betul kita ada klia, petronas tower, kereta proton, plus, formula one dan putrajaya tapi hutang negara bagaimana ?
    Benar kini ada kelas menegah Melayu tapi bagaimana mutu hidup kelas kebanyakan Melayu?
    Rasa2nya kepimpinan Madey dalam gambaran besar tak bawa apa2 signifikan, banyak retorik politik, agama dan ras dan pembaziran berlaku. Rakyat diperbodohkan sepanjangan dan terus diteruskan oleh kepimpinan selepas beliau pencen. Lihat mutu kepimpinan kerajaan kini, banyak menteri yg ngok dan bahalul.

    ReplyDelete
  2. Madey mentadbir negara selama 22 tahun dan Anuar Ibrahim bersama Madey tak sampai 22 tahun. Terlalu banyak kisah bagaimana Madey dah tanam benih perosak negara antaranya merosak institusi kehakiman, pendidikan termasuk merosotnya piawai bahasa Inggeris, melebarkan lagi jurang sosio-ekonomi antara elit dan orang ramai, menggalakan budaya rasuah, menumpulkan taring institusi polis, sprm, parliamen, skandal mega seperti bmf, mas, pewaja, maminco dan banyak lagi.
    Betul kita ada klia, petronas tower, kereta proton, plus, formula one dan putrajaya tapi hutang negara bagaimana ?
    Benar kini ada kelas menegah Melayu tapi bagaimana mutu hidup kelas kebanyakan Melayu?
    Rasa2nya kepimpinan Madey dalam gambaran besar tak bawa apa2 signifikan, banyak retorik politik, agama dan ras dan pembaziran berlaku. Rakyat diperbodohkan sepanjangan dan terus diteruskan oleh kepimpinan selepas beliau pencen. Lihat mutu kepimpinan kerajaan kini, banyak menteri yg ngok dan bahalul.

    ReplyDelete