KE MANA PERGINYA
‘PEMUDA HARAPAN BANGSA’?
Peranan
anak muda Malaysia dalam kemelut yang dihadapi oleh negara kini tidak begitu
ketara. Kadang-kadang aku merasakan bahawa seolah-olah negara Malaysia sudah
tidak mempunyai anak muda yang boleh berperanan membela bangsa seperti
anak-anak muda zaman sebelum kemerdekaan. Dan apabila aku memperkatakan tentang
‘anak muda’ bermakna bahawa aku juga mempersoalkan tentang ‘pemudi tiang
negara’ juga.
Dalam
suasana negara menghadapi suatu keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini,
kelihatan bahawa anak muda seolah-olah menyembunyikan diri, semacam tidak
peduli tentang apa yang berlaku kepada negara kini. Mungkin mereka bergerak
secara diam-diam, berperanan yang sepatutnya dimainkan oleh anak muda harapan
bangsa. Mungkin.
Di
kampus-kampus universiti juga agak ‘lengang’. Seolah-olah para pelajar kita
begitu ghairah hanya menumpukan perhatian mereka kepada pelajaran mereka
sebagaimana yang sentiasa dinasihatkan oleh kerajaan agar para pelajar di pusat
pengajian tinggi tidak terlibat dalam kegiatan yang ‘tidak menguntungkan’
seperti terlibat dalam persatuan yang mempersoalkan tentang pemerintahan
negara. Lantas anak-anak muda kita ‘patuh’ sepenuhnya dengan ‘nasihat’ oleh
pemimpin kita dan wujudlah suasana yang amat ‘damai’ di pusat-pusat pengajian
tinggi kini dimana anak muda langsung tidak mempedulikan apa yang akan berlaku
kepada negara yang mereka juga akan mewarisinya pada suatu ketika nanti.
Anggapan sebegini mungkin meleset.
Keadaan
pelajar-pelajar kini tentulah amat berbeza dengan keadaan pelajar tahun-tahun
70an di mana para pelajar universiti sama-sama memperjuangkan apa yang disebut
oleh Saudara Anwar Ibrahim sebagai ‘the conscience of the majority’. Dan
sememangnya pelajar-pelajar pada ketika itu amat peka dengan keadaan yang
berlaku dalam negara pada ketika itu. Para pelajar seolah-olah merupakan
telinga dan mata masyarakat. Apa saja yang berlaku dalam negara yang dirasakan
oleh pelajar tidak sesuai dan ‘tidak kena’ maka para pelajar akan ‘berarak di
jalan raya’ menuntut agar ‘keadaan yang tidak betul’ itu diperbetulkan.
Mungkin
‘zaman’ para pelajar bertindak sedemikian sudah berlalu. Mungkin tindakan
sedemikian hanya sesuai untuk pelajar-pelajar tahun 1970an pimpinan Anwar
Ibrahim saja. Mungkin. Namun tentulah ada pula kaedah-kaedah lain yang boleh
‘dicipta’ oleh para pelajar di pusat pengajian tinggi hari ini untuk
‘membetulkan’ apa yang tidak betul berlaku di negara kita pada hari ini. Aku
membangkitkan isu sebegini disebabkan wujud suasana yang amat ‘tenang’ di
pusat-pusat pengajian tinggi seolah-olah anak-anak kita langsung tidak peduli
tentang keadaan yang berlaku dalam negara kini. Seolah-olah anak-anak kita
sudah menjadi manusia ‘mati pucuk’ yang boleh ‘dicucuk hidung’ dan boleh
disuruh arah mengikut kehendak pihak-pihak tertentu.
Mungkinlah
ini merupakan ‘kejayaan besar’ pihak kerajaan Malaysia yang telah berjaya
‘menjinakkan’ para pelajar supaya ‘diam membisu’ dan hanya menumpukan perhatian
kepada pelajaran demi untuk lulus dalam peperiksaan. Para pelajar di pusat
pengajian tinggi kini bukan lagi merupakan ‘ayam tambatan’ yang diharapkan
untuk berjuang membela bangsa dan negara.
Amat
sedih apabila melihatkan tidak kedengaran langsung ‘suara’ pelajar dan suara
anak muda memperkatakan tentang isu IMDB dan isu lain yang sedang hangat
diperkatakan. Tidak pula aku meminta para pelajar untuk menentang kepimpinan
kerajaan ekoran daripada isu berkenaan. Sekurang-kurangnya rakyat merindui amat
sangat untuk mendengar ‘suara’ anak muda kita memperkatakan tentang isu IMDB
dan isu yang berkaitan dengan wang RM 2.6 billion yang dimiliki oleh akuan DS
Najib. Atau pun mungkin juga aku yang ‘pekak’ kerana tidak dapat mendengar ‘jeritan’
pelajar. Mungkin.
Sehingga
kini hanya kedengaran suara-suara ‘wira tua’ yang tampil memperkatakan dan
memperjuangkan apa yang dirasakan tidak kena yang berlaku dalam negara kini.
Hanya ‘wira tua’ yang terpaksa ‘banun’ semula memperkatakan apa yang dirasakan
tidak kena dilakukan oleh kepimpinan negara kini. Apakah para pelajar dan anak
muda kini tidak merasa ‘sedih’ dan ‘pilu’ melihatkan peranan yang terpaksa
dimainkan oleh Tun Mahathir (yang sudah melebihi usia 90 tahun) seorang ‘wira
tua’ yang terpaksa tampil semula ‘bersepak terajang’ di arena politik negara
yang menghadapi kemelut yang bukan kepalang.
Mungkin
ada yang mengatakan bahawa peranan anak muda seperti Khairi Jamaluddin, Rafizi
Ramli, Tony Pua sudah cukup untuk mewakili peranan yang harus dimainkan oleh
anak muda negara ini. Betul. Persoalan yang berada di hadapan kita ialah
tentang peranan yang harus dimainkan oleh pelajar-pelajar di pusat pengajian
tinggi sebagaimana yang dilakukan oleh pelajar-pelajar dari negara maju. Para
pelajar harus tahu dan peka dengan perkembangan yang berlaku dalam negara kini.
Para pelajar harus melihat suasana dalam negara kini dengan penuh rasional dan
dapat membuat penilaian berdasarkan pemikiran yang kritis.
Anak-anak
pelajar di pusat pengajian tinggi adalah merupakan golongan terpilih yang boleh
menilai baik–buruk sesuatu keadaan. Dan anak-anak di pusat pengajian tinggi
juga yang seharusnya bertindak menetukan jatuh bangunnya bangsa Malaysia, bukan
sahaja kini tetapi pada masa akan datang. Dan apabila memperkatakan tentang
Malaysia pada tahun 2020 adalah juga memperkatakan tentang nasib anak-anak juga
yang akan ‘menghuni’ Malaysia pada ketika itu.
Jangan
mengharapkan kepada ‘wira-wira tua’ untuk memperjuangkan nasib saudara-saudara
semua. Dan bertindaklah sebelum terlambat.
abuhassanadam
18 Ogos 2015
Pak Abu,
ReplyDeletePemuda pemudi sibuk dgn gadget zaman skrg ni.