Thursday, August 6, 2015

DS NAJIB SEDANG DIADILI "MAHKAMAH RAKYAT"

            MACC kata wang RM2.6 billion dalam akaun peribadi DS Najib bukan wang IMDB, tetapi adalah sumbangan daripada penderma ‘yang baik hati’. MACC juga kata sebenarnya sudah dikenal pasti penderma ‘yang baik hati itu’ yang memasukkan wang berkenaan ke dalam akuan DS Najib. Tetapi MACC tidak dapat hendak menjelaskan nama si penderma berkenaan. Rakyat tentunya mula menyoal, ‘mengapa……?”

            Rakyat Malaysia baca berbagai kenyataan yang dikeluarkan, tetapi soalnya apakah mereka boleh terima kenyataan sedemikian. Inilah persoalan yang sedang dihadapi oleh pihak kerajaan kini. DS Najib sedang diadili oleh ‘mahkamah ghaib’ ia itu mahkamah rakyat. DS Najib sedang bertarung dengan persepsi rakyat Malaysia. DS Najib tidak boleh mengambil sikap tak peduli dan ‘membiarkan saja anjing menyalak gunung’. DS Najib juga tak boleh berbuat begitu kerana beliau harus meyakinkan rakyat atas sebarang tindakan yang dilakukannnya sesuai dengan peranannya sebagai pemimpin dan pelindung rakyat. Beliau tidak harus dilihat sebagai ‘pagar makan padi’

            Kini sudah wujud semacam satu keadaan di mana rakyat hanya ‘memekakkan telinga’ diatas apa juga kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan. ‘Ada mata tengok, ada telinga dengar’. Aku tak kata semua rakyat begitu. Tetapi sebahagian besar rakyat Malaysia dirasakan bersikap demikian. Jikalau sebelum ini selalu diperkatakan bahawa orang kampung yang bersikap acuh tak acuh terhadap apa saja tindakan kerajaan, tetapi  kini keadaan sudah berubah. Orang kampung sudah ‘sedar’ dan tidak mudah ‘digula-gula’ lagi. Mereka seolah-olah sudah dapat memikirkan dengan cara kritis dan dapat menilai tentang lojik tidaknya sesuatu kenyataan yang dikeluarkan oleh seseorang pemimpin itu.

            Sebenarnya keadaan dalam negara kini amat membimbangkan. Mungkin pihak polis dan keselamatan negara lebih tahu dan memahami keadaan yang wujud dalam negara kini. Berasaskan pemerhatian dan ‘cakap-cakap’ di sana sini membayangkan semacam rakyat sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan yang memerintah kini apatah lagi apabila melihatkan tindak-tanduk para Menteri Kabinet kini yang seolah-olah mati hidup mereka memperjuangkan isu IMDB dan ‘menyelematkan’ DS Najib. Dengan bersikap demikian seolah-olah para Menteri Kabinet ini melupakan tanggungjawab mereka sebagai Menteri dalam ertikata yang sebenarnya.

            Dan tindakan setengah Menteri dan Timbalan Menteri yang bersikap ‘membodek’ dengan ‘membabi buta’ juga telah menyebabkan imej DS Najib berada pada paras paling bawah di hati rakyat. Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka kadang-kadang bercanggah antara satu sama lain dan tidak lojik untuk diyakini oleh rakyat.

            Tentulah tidak boleh dipersalahkan sekiranya rakyat, setiap detik dan ketika mempersoalkan tentang lojik tidaknya kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka khususnya yang berkaitan dengan IMDB dan RM2.6 billion yang dimiliki dalam akaun peribadi DS Najib.

            Tambah menghairankan rakyat ialah tentang berbagai-bagai perkara  luar biasa yang berlaku kini. Kadang-kadang hampir tidak masuk akal beberapa tindakan yang diambil oleh pihak-pihak tertentu walaupun ada alasan-alasan yang kononnya ‘konkrit’ disediakan bagi ‘mengalas’ tindakan sedemikian. Ia bermula dengan tindakan menggugurkan TS Muhyiddin Yassin dan DS Shafie Afdal dari kabinet. Alasan yang diberikan diatas pengguguran demikian adalah berpunca daripada ketidakserasian mereka dengan pucuk pimpinan. Namun rakyat Malaysia tahu dan dapat meneka ‘dengan tepat’ bahawa puncanya adalah disebabkan TS Muhyiddin dan DS Shafie begitu kritikal sekali mengkritik perjalanan IMDB. Rakyat tahu.

            Ekoran daripada peristiwa berkenaan timbul pula ‘tangkapan demi tangkapan’ yang dilakukan oleh pihak polis terhadap beberpa orang tenaga penting yang berkaitan dengan penyiasatan IMDB dan RM 2.6 billion dalam akaun peribadi DS Najib. Ada alasan yang disediakan mengapa mereka ditangkap dan didakwa. Tetapi rakyat tidak yakin dengan alasan berkenaan, apatah lagi apabila dikatakan bahawa ada ‘tangan ghaib’ yang menyebabkan pihak polis ‘menggila’ menjalankan tindakan sedemikain. Rakyat hairan tentang mengapa mereka ditangkap dan disoal-siasat oleh polis sedangkan yang dituduh melakukan kesalahan masih bebas, sebebasnya seperti burung di angkasa luas.

            Rakyat sedang mengadili dan ‘menghakimi perbicaraan’ ini. Sebenarnya bukan saja rakyat yang dewasa terlibat dalam urusan ‘perbicaraan dan penghakiman’ ini tetapi juga kanak-kanak yang masih di bangku sekolah rendah sudah tahu hal-hal yang berkaitan dengan IMDB dan RM 2’6 billion ringgit ini. Mereka juga sudah ‘menawarkan’ diri untuk menjadi hakim mengadili kes ini kerana pada anggapan mereka bahawa kes ini juga yang akan menentukan jatuh bangunnya bangsa Malaysia yang mereka merupakan salah seorang bangsa Malysia yang sedang dibentuk.

            Kadang-kadang kelihatan bahawa seolah-olah para penasihat ‘yang bijak sana’ disekeliling DS Najib (termasuklah Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet) semacam tidak sedar bahawa sebenarnya mereka berada dalam Kurun ke21 dan lupa bahawa pengaliran maklumat kini hanya berada ‘di hujung jari’. Dan mereka seolah-olah lupa bahawa DS Najib sedang diadili melalui ‘jari-jari’ rakyat Malaysia, satu keadaan yang amat jauh bezanya dengan keadaan ketika media sosial belum berperanan di negara ini.

            Dan ada dikalangan pemimpin yang masih tidak sedar bahawa seekor lagi ‘dinosaur’ akan ‘tersungkur’ ia itu media cetak arus perdana di negara ini. Hanya masa yang akan menentukan.

abuhassanadam
6 Ogos 2015

            

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Kamisah,

    Freedom of speech and expression adalah pra-syarat prinsip Democracy.

    Pak Abu

    ReplyDelete