Wednesday, August 19, 2015

PEMIMPIN NEGARA KINI  ‘TENGGELAM PUNCA’

            Sebenarnya masyarakat Malaysia kini sudah ‘tenggelam punca’ ekoran daripada pemimpin negara yang juga berada dalam keadaan ‘tenggelam punca’. Orang putih kata ‘confused’. Amat keliru. Hampir tak tahu nak buat apa dengan keadaan yang menyelubungi suasana negara kini. Belum pernah aku rasa lagi suasana di negara Malaysia ‘kelam kabut’ sebegini. Mungkin ada. Tetapi ketika itu mungkin aku masih kecil. Tak tahu apa-apa agaknya. Namun seingat aku keadaan negara kini sudah menjadi cukup keliru dan kelam kabut sehinggakan Tun Mahathir yang pernah memerintah negara ini juga menyatakan bahawa beliau juga agak buntu dengan keadaan dalam negara kini.

            Terlalu banyak cerita yang ‘tidak masuk akal’ diceritakan kepada para pemimpin UMNO peringkat bahagian dan cawangan dan malangnya (atau mungkin juga ‘yang menghairankan’ ) para pemimpin UMNO peringkat Bahagian menerima ‘bulat-bulat’ kenyataan sedemikian. Yakin dan percaya dan tidak ada langsung usaha untuk menilai sejauh manakah kebenaran ‘cerita’ yang diceritakan kepada mereka.

            Mungkin ada pula para pemimpin UMNO yang mempersoalkan tentang sumber-sumber berita luar negara yang diperolehi melalui Wall Street Journal atau pun sarawak Report ia itu tentang kesahihan berita tersebut. Rakyat Malaysia kini sudah ‘diasuh’ untuk percaya kepada sesuatu sumber berita selagi tidak ada pihak yang menafikan atau mengambil tindakan undang-undang terhadap kesahihan sesuatu berita yang dipaparkan.

            Kita telah melihat dengan ‘mata kepala’ sendiri tentang keghairahan pemimpin Malaysia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap berita yang dianggap mereka berita palsu dan lantas mereka menggunakan saluran undang-undang. Dengan demikian rakyat Malaysia beranggapan sekiranya berita yang disiarkan oleh akhbar-akhbar luar negara itu tidak benar dan sahih pastilah para pemimpin di Malaysia akan terus ‘melompat’ dan mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang. Justeru sekiranya tidak ada tindakan undang-undang diambil maka jelaslah bahawa berita yang disiarkan oleh Wall Street Journal atau sarawak Report atau Guardian atau akhbar-akhbar lain dari luar negara adalah berita sahih dan benar belaka tanpa sebarang keraguan.

            Amat menggelikan hati rakyat Malaysia adalah ‘cerita-cerita’ tentang kononnya ada komplot dari kalangan ahli parlimen UMNO/BN yang berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan. Sebenarnya bukan ‘untuk menjatuhkan kerajaan’ tetapi ialah ‘untuk menjatuhkan DS Najib’ dari jawatan Perdana Menteri. Itulah ‘nyanyian’ yang ‘didendangkan’ oleh YAB DS Zahid Hamidi saban hari mengatakan bahawa ada percubaan sedemikian yang diterajui oleh ‘ahli parlimen tua’. Maka ‘berduyun-duyun’ pulalah golongan tertuduh menafikan tuduhan yang dilimparkan terhadap mereka. Sekali lagi rakyat tersenyum simpul melihat gelagat wakil rakyat mereka yang sudah mirip kepada perangai kanak-kanak di sekolah rendah.

            Maka terpaksalah juga Pengerusi Kumpulan Penyokong Kerajaan di Parlimen, YB TS Shahril Samat membuat kenyataan menafikan tentang adanya ahli parlimen BN yang terlibat dalam komplot itu. Katanya, "What we have heard, read and saw on blogs and such about the 20 BN MPs who are involved in the plot to topple the government is actually a made up story…..It is not true at all. There isn't anyone among the MPs who contacted or were contacted by any individuals regarding this issue," he told a press conference in Kuala Lumpur today.
           
            Suasana yang menyelubungi senario politik di Malaysia dapat aku anggap seperti suasana ketika aku masih kanak-kanak ketika mengaji di rumah Pak Haji Sulaiman suatu ketika dulu. Ketika berada dalam kumpulan mengaji ( 5 atau 6 orang ) tiba-tiba ada diantara kami yang ‘mengeluarkan angin dari badan’ dengan baunya ‘semerbak’ menyakitkan hidung yang terpaksa menghidunya. Maka mulalah ‘proses’ tuduh menuduh tentang siapa yang bertanggung jawab. Masing-masing tidak mahu mengaku ‘mengeluarkan angin berkenaan’.Terlalu sukar mencari bukti. Kadang-kadang berakhir dengan satu pergaduhan yang agak sengit. Mungkinkah suasana politik di Malaysia kini berakhir dengan keadaan yang demikian juga. Mungkin.

            Namun kenyataan TS Rafidah Aziz berkaitan dengan hal komplot dan konspirasi ini agak waras. Katanya, "It must be remembered that plots or conspiracies would not determine (the leadership) but the people as voters in the coming general election…..So put the people first and administer the nation as best as possible,". Juga merupakan sindiran yang amat dalam kepada kepimpinan negara kini.

            Yang peliknya, dalam melihat keadaan suasana politik di negara kini ialah tentang ‘perangai’ yang ditonjolkan oleh TG Haji Hadi pemimpin PAS dan yang juga merupakan  pembangkang di parlimen sudah semacam teragak-agak untuk menyatakan pendirian berkaitan dengan IMDB dan wang RM 2.6 billion milik akaun peribadi DS Najib. Kenyataan yang dikeluarkan oleh TG Haji Hadi seolah-olah beliau mewakili salah satu bahagian UMNO di Terengganu dan tidak semacam suara seorang pembangkang atau pun suara seorang yang ingin mencari kebenaran tentang hal yang sebenar. Kenyataannya lebih merupakan ‘sokongan’ kepada DS Najib atas apa juga yang telah dilakukan oleh DS Najib. Dengan sebab itulah agaknya ramai ‘anak buah’nya telah ‘melarikan diri lintang pukang’ meninggalkan parti yang diperjuangkan mereka begitu lama, yang kini sudah berubah haluan. Tentulah ‘ada udang disebalik batu’ juga agaknya.

            Rakyat kadang-kadang ‘terhibur’ juga melihatkan keadaan dan perangai ‘pemimpin-pemimpin’ di Malaysia kini yang kadang-kadang kelihatan seperti ‘cacing kepanasan’ dan kadang-kadang ‘seperti kera kena belacan’.

            Orang Perak kata, suasana pemimpin sebegini adalah dalam keadaan ‘kacau-kena’!.........

abuhassanadam
19 Ogos 2015


5 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Kamisah,

    Sebenarnya isu mufti dan ulamak yang tidak 'bersuara' yang hendak saya paparkan pada hari ini. Entah macam mana isu lain pula yang 'keluar'. Insyallah anda semua memberikan kekuatan kepada saya untuk terus memberikan pandangan yang tak sepertinya.

    Pak Abu

    ReplyDelete
  3. Pak Abu,

    Minta sentuh Pusat Zakat di Malaysia yg mengutip billion ringgit tetapi masih ramai asnaf yg terbiar. Isu ini sudah lama disentuh Dr Maza namun Pusat Zakat masih bermewah,

    Harap bongkar.

    ReplyDelete
  4. Madstone,

    Saya amat bahagia 'menikmati' suara anak muda. Didoakan lebih ramai lagi tampil menggantikan yang tua.

    Pak Abu

    ReplyDelete
  5. Madstone,

    Saya amat bahagia 'menikmati' suara anak muda. Didoakan lebih ramai lagi tampil menggantikan yang tua.

    Pak Abu

    ReplyDelete