Monday, August 17, 2015

MASIH ADA LAGIKAH PEMIPIN YANG BERINTEGRITI

            Dalam suatu majlis yang aku hadiri baru-baru ini, aku amat tertarik dengan saranan seorang penceramah yang meminta para hadirin ‘meneroka’ perkataan  ‘integriti’ dan mencari makna yang tersurat dan tersirat. Sepanjang ceramah berlangsung aku masih tertunggu-tunggu untuk mendengar penjelasan selanjutnya tentang mengapa si penceramah meminta para hadhirin ‘mengkaji’ makna dan erti perkataan ‘integriti’ atau pun ‘integrity’. Sampai ke akhir ceramah yang disampaikan aku masih tertanya-tanya apakah sebenarnya hasrat si penceramah menelurkan idea sedemikian.

            Aku tahu makna integrity. Memang selalu disebut-sebut oleh para pemimpin kita tentang perkataan ini. Dan semacam menjadi buah mulut para pemimpin untuk memberikan nasihat kepada siapa sahaja agar seseorang pemimpin itu mesti berintegrity. Mesti jujur. Mesti amanah. Mesti ‘bersih’ dalam melaksanakan apa saja tugas yang diberikan. Tetapi sama ada apa yang disampaikan itu diamalkan oleh si penyampai tentulah tidak dapat dipastikan.

            Aku masih tak puas hati selagi tidak melihat makna ‘integrity’ berdasarkan sebuah kamus. Lantas mengikut Oxford Dictionary of English, ‘integrity’ bermakna ‘ the quality of being honest and having strong moral principles: a gentlement of complete integrity”. Dan ekoran daripada itu berbagai persoalan pula menerjah benak aku. Mengapa si penceramah mengemukakan isu sedemikian dalam ceramahnya dengan tidak menghuraikan lebih lanjut hasrat hati dan perasaannya. Apakah isu yang sebenarnya yang ingin disampaikannya. Cuma yang dapat aku fahami daripada ucapan ringkasnya ialah beliau meminta agar hadhirin menjadi seorang yang berintegriti apabila dewasa nanti. Dan kebetulan pula yang mendengar ceramahnya itu terdiri dari pelajar-pelajar sekolah menengah.

            Olehkerana para hadhirin yang mendengar ucapan demikian terdiri dari para pelajar maka dapat aku simpulkan bahawa ucapan penceramah ini lebih merupakan nasihat agar para pelajar menjadi seorang yang berintegriti apabila dewasa kelak. Mungkin beliau merasakan bahawa sudah sampai masanya nasihat sedemikian diberikan kepada anak-anak muda yang bakal ‘mengharungi’ negara ini dan menentukan jatuh bangunnya negara Malaysia yang tercinta ini.

            Ada disentuhnya tentang kekayaan yang dimiliki oleh negara ini dan ada juga disentuhnya agar para pelajar dapat menjaga negara ini dengan sebaik-baiknya agar kekayaannya dapat dinikmati secara bersama oleh bangsa Malaysia. Penceramah mahu anak-anak memikirkan tentang nasihatnya yang ringkas dan pendek itu. Dan yang paling menghairankan aku ialah ucapan ringkasnya itu disambut dengan tepukan yang gemuruh dari para pelajar yang hadir, seolah-olah para pelajar betul-betul menghayati apa yang ingin disampaikan oleh beliau.

            Si penceramah tidak menyentuh langsung tentang kemelut politik yang melanda negara kini. Walaupun beliau memperkatakan tentang integrity, namun beliau tidak menyentuh langsung tentang adanya pemimpin negara kini yang semacam tidak berintegriti dalam melaksanakan tugas memerintah negara ini. Beliau tidak pula menyentuh tentang ramainya pemimpin di negara kita yang sudah tidak jujur dan amanah dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

            Si penceramah tahu dan sedar bahawa beliau menyampaikan ucapannya kepada pelajar sekolah menengah. Beliau seolah-olah  mahu setiap pelajar yang berada dalam dewan berkenaan bersifat jujur, bersifat amanah, bersifat ikhlas dan seterusnya memiliki sifat-sifat dan nilai yang harus dipusakai bagi menetukan jatuh bangunnya bangsa dan negara Malaysia ini. Beliau mungkin amat sedar bahawa kepada anak-anak ini diletakkan harapan agar meneruskan perjuangan membela bangsa dan negara yang amat dicintai ini.

            Ucapan ringkas si penceramah ini telah membuat aku betul-betul termenung.  Seolah-olah ucapannya itu terjelma dari hati dan perasaan yang bercampur baur – antara sedih dan pilu mengenangkan keadaan kemelut dalam negara ini yang kini sudah merupakan percakapan dan perbualan di mana sahaja ia itu mengenai keadaan negara yang sudah tidak tentu arah tujunya. Mungkinkah itu yang merupakan hasrat yang hendak dilahirkan oleh si penceramah tetapi tidak kesampaian disebabkan hadirin yang ada terdiri dari pelajar-pelajar.

            Namun begitu dengan meminta pelajar-pelajar ‘meneroka’ dan mencari makna yang sebenar perkataan ‘integrity’ sudah dapat memberikan gambaran kepada pelajar bahawa mereka harus memiliki sifat yang berharga ini ketika mereka menempuh hidup yang penuh cabaran kelak.

abuhassanadam
17 Ogos 2015


No comments:

Post a Comment