ORANG MELAYU MUDAH PERCAYA DAN
SENANG DITIPU
Bagi aku terdapat
sikap dan amalan orang Melayu yang amat sukar difahami oleh orang bukan Melayu,
malah amat sukar juga difahami oleh orang Melayu sendiri. Mudah percaya dan
senang ditipu. Dan biar aku tambah satu lagi ia itu malas berfikir. Dan yang
tambah ‘memberatkan’ lagi ialah malas membaca. Bagi aku inilah yang menyebabkan
masyarakat Melayu seolah-olah masih berada di takuk lama seperti dalam keadaan
ketika Abdullah Munshi melawat Kelantan dan Terengganu pada awal Kurun ke 19.
Ataupun jika dibandingkan dengan keadaan ketika James Birch menandatangani
Perjanjian Pangkor di Perak (1874) pada
suatu ketika dahulu, memang tak banyak berubah.
Penenkanan rencana
ini adalah mengenai sikap kebanyakan orang Melayu. Tentulah dalam aspek-aspek
lain sudah banyak kemajuan yang dicapai oleh orang Melayu. Memang besar jasa
dan sumbangan kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan telah menyediakan jalan raya,
telaga raya, lembu raya, bangunan sekolah, hospital, klinik, balai raya
diserata ceruk rantau. Pendek kata dalam hal bina membina dan menyediakan
projek-projek yang boleh mendatangkan keuntungan kepada pihak tertentu, maka
kerajaan Barisan Nasional amat terkehadapan berbanding dengan kerajaan lain di
dunia.
Aapabila membicarakan
tentang sikap, maka dalam hal tertentu orang Melayu tidak banyak berubah.
Dengan sebab itulah agaknya keadaan majoriti orang Melayu berada di takuk lama.
Aku terpanggil untuk menyentuh satu aspek amalan orang Melayu yang sudah turun
temurun diamalkan. Dan amalan sedemikian ada kaitanya dengan sikap orang Melayu
yang amat mudah percaya dan amat senang dipengaruhi.
Sejak pertengahan
abad ke 20 lagi sehingga kini, cara pengajaran dan pembelajaran agama Islam
tidak banyak berubah. Aku tidak menafikan tentang adanya pembesar suara yang
digunakan oleh para penceramah untuk menyampaikan kuliahnya. Dan kuliah-kuliah
agama disampaikan dalam masjid atau surau yang berhawa dingin. Dan bayaran sagu
hati yang diberikan kepada penceramah agama juga bukan lagi puluh ringgit
tetapi ada yang mencecah ribuan rnggit. Itu perubahan yang amat ketara.
Yang ingin
dipersoalkan ialah cara penyampaian dan isi ceramah yang disampaikan oleh
penceramah agama tidak banyak berubah seperti mana yang pernah aku ikuti ketika
aku mengikuti ‘kuliah’ Ustaz Zain dan Ustaz Jidin bersama dengan bapak aku di
surau Ekor Dusun pada tahun-tahun 1950an dulu. Tak banyak berubah. Para
pendengar akan mengangguk-anggukkan kepala ketika Ustaz Jidin menyampaikan
ceramah tanda setuju seratus peratus apa yang dikatakan oleh Ustaz Jidin. Tidak
ada soal jawab kerana ada pula ‘doktrin’ yang mengatakan bahawa ‘Tok Guru
jangan disoal…berdosa!’ Lantas semacam tidak berani para pendengar untuk
menyoal tok guru.
Menjelang tahun 2018
keadaan pengajaran dan pembelajaran agama di masjid dan surau tidak banyak
berubah. Macam takuk lama juga. Hampir setiap minggu diadakan ceramah. Bukan
satu dan bukan dua ceramah yang diadakan. Dan setiap selepas ceramah akan
disediakan pula jamuan yang enak.
Isi ceramah hampir
sama. Dan penceramah akan menyelitkan unsur jenaka untuk mencelikkan mata
pendengar yang mula tertutup (kuliah subuh). Dan kebiasaannya jenakanya
diselitkan dengan unsur seks (semacam amat disukai oleh tuan-tuan guru).
Sebagai mukkadimah, si penceramah akan membaca ‘citation’ dalam bahasa Arab
(mungkin selama tiga hingga lima minit) dan para pendengar akan mendengar
dengan penuh ‘kusyuk’ dan tidak faham apa maknanya (dan mungkin tuan gguru juga
tidak faham apa maksudnya). Selepas itu ‘pengenalan’ lagi. Mungkin selama
sepuluh minit. Dan isi ceramah yang sebenar mungkin boleh disampaikan dalam
masa 15 minit (ditolak segala cerita dan bualan si penceramah)
Si pendengar tidak
pula berminat untuk menyoal tuan guru. Mungkin ada yang ingin menyoal tetapi
‘bimbang’ takut-takut dituduh golongan ‘wahabi’ pula atau pun dituduh anti
kerajaan. Maka begitulah berakhirnya sesuatu ceramah agama yang diadakan
semenjak dari zaman dahulu hinggalah sekarang.
Sebenarnya banyak
perkara dalam pengajaran agama Islam boleh dipersoalkan disebabkan cara
penyampaian seseorang tuan guru itu agak
mengelirukan, dan tidak sekali-kali agama Islam itu yang mengelirukan. Pernah
seorang Tok Guru di kampung aku pada suatu ketika dahlu (tahun 1950an) mengatakan
bahawa “ Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu, tetapi mestilah ilmu agama
sahaja”
Mahu rasanya aku
menyoal tuan guru pada ketika itu tentang keadaan aku yang pada ketika itu
sedang belajar disekolah Inggeris. Apakah aku akan ‘dihumban’ ke neraka
disebabkan belajar disekolah Inggeris. Para pendengar pada ketika itu menganggukan
kepala mereka (tanda setuju agaknya)
kecualilah arwah bapak aku!. Ada yang memandang ke arah arwah bapa aku,
seolah-olah kenyataan itu ditujukan kepadanya.
‘Mangsa’ (mungkin!) ekoran
daripada kenyataan tuan guru itu ialah rakan baik aku yang sama-sama belajar di
Clifford School diberhentikan sekolah oleh ayahnya kerana beliau tidak lancar
membaca ‘Al-Fatihah’. Aku amat sedih sekali pada ketika itu dan sehingga kini
kesedihan itu masih ada. Dan selalu aku menceritakan kisah ini kepada
rakan-rakan tentang ‘blunder’ yang menimpa rakan ku itu , yang dilakukan oleh
setengah tuan guru yang semacam berperanan menyekat kemajuan orang Melayu. Dan
yang lebih penting lagi mereka tidak menggalakkan langsung supaya orang Melayu
berfikir.
Setengah tok guru
hanya menganggap bahawa seolah-olah mereka sahaja golongan yang direstui oleh
Allah untuk ke syurga. Tidak hairanlah ada diantara mereka yang sentiasa
menyalahkan orang lain sedangkan mereka tidak pun berusaha untuk membetulkan
keadaan sedemikian. Maka dengan sikap dan cara sedemikian, maka orang Melayu
akan terus ketinggalan dalam keadaan tidak mahu berfikir, tidak mahu membaca,
mudah percaya kepada apa sahaja yang diperkatakan dan kesannya amat senang
ditipu.
Apakah kenyataan Hang Tuah yang mengatakan, ‘Takkan hilang Melayu di
dunia’ itu ‘relevant’?
abuhassanadam
1 Disember 2018