Thursday, March 5, 2015

HANYA EMPAT MUKA SURAT AKHBAR ‘THE STRAITS TIMES”

Kini rakyat di Malaysia ‘heboh’ bercerita tentang keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bagi yang berjaya mendapat keputusan cemerlang tentulah ‘mengelekek’ (loghat Perak membayangkan keadaan yang amat mengembirakan). Namun bagi yang tidak begitu bernasib baik tentulah merasa dukacita menerima keputusan yang sedemikian. Walau bagaimana pun bagi yang gagal tidak bermakna sudah tertutup semua jalan untuk berjaya dalam hidup ini. Banyak lagi ruang-ruang yang boleh diterokai. Dan yang penting untuk difikirkan ialah tentang hikmah yang terselindung. Mungkin ada hikmahnya disebalik sesuatu keadaan yang berlaku itu.

Cerita mengenai Peperiksaan SPM kini mungkin sudah ‘basi’ berbanding dengan kisah ‘Peperiksaan SPM” zaman dulu. Zaman aku dulu-dulu. Bukan Sijil Pelajaran Malaysia namanya. Senior Cambridge pun dia. School Certificate pun dia. Malaysia Certificate of Education (MCE) pun dia. Semuanya cakap orang putih. Sekali masuk peperiksaan, dua sijil diperolehi. Cambridge School Certificate dan Malaysian Certificate of Education (MCE).

Pada ketika itu ( tahun-tahun 1950an) tak ramai anak Melayu yang belajar di sekolah orang putih. Kebanyakan orang Melayu tinggal di kampung-kampung terpencil yang tidak dihubungi dengan jalan raya. Aku dikira bernasib baik disebabkan kampung aku terletak tidak jauh dari Kuala Kangsar. Dihubungkan dengan jalan raya, walaupun tidak bertar. Dan Kuala Kangsar pada ketika itu boleh dikatakan sebagai  salah satu pusat perkembangan pendidikan  di Tanah Melayu.

Apa tidaknya. Pada ketika itu di Kuala Kangsar sudah pun ada tiga sekolah orang putih. Premier school. Malay College Kuala Kangsar, Clifford School dan untuk pelajar perempuan pula ada Government English Girls School ( kini Sekolah Yang Kalsom). Sekolah persendirian pun ada. Public School Kuala Kangsar. Jadi tidak timbul masalah bagi anak-anak di kawasan ini untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah orang putih berbanding dengan tempat-tempat lain di Tanah Melayu. Walaupun terdapat banyak sekolah orang putih di Kuala Kangsar, berapa ‘kerat’ saja anak Melayu yang  berpeluang belajar sekolah orang putih.

Banyak kekangan yang dihadapi oleh orang Melayu untuk meneruskan persekolahan anak mereka. Yang akan aku ceritakan ialah pengalaman peribadi aku sendiri. Dan aku merasakan bahawa apa yang aku ceritakan nanti adalah juga merupakan pengalaman orang lain yang seangkatan dengan aku. Dan yang ingin aku tegaskan di sini ialah sekiranya ibu bapa kami tidak gigih dan betul-betul bersemangat untuk memberi pelajaran kepada anak-anak seperti kami, maka pastinya aku dan rakan-rakan yang ‘sewaktu’ dengan aku akan terus senasib dengan rakan-rakan lain yang ada di kampung kini.

Untuk pengetahuan anak-anak,

Untuk ke sekolah, aku terpaksa bangun pagi pada pukul 4.30 pagi. Mandi di telaga ( bukannya di bilik mandi yang pakai shower) yang agak jauh dari rumah, bersarapan pagi ( rebus pisang atau rebus ubi atau bikut kering atau nasi sejuk berlaukkan ikan kering) dan selepas itu bersiap untuk ke sekolah. Pukul 5.15 pagi keluar dari rumah ke pekan Padang Rengas melalui batas sawah padi, melalui kampung Lalang, melalui Kampung Pondok dan akhirnya sampai ke sebatang sungai berdekatan dengan stesen keretapi  (lama) Padang Rengas. Di sungai berkenaanlah aku membasuh kaki ( yang berselut lumpur ) dan memakai kasut ( yang dipikul dalam perjalanan). Kemudian meneruskan perjalanan ke pekan Padang Rengas untuk menunggu bas ke Kuala Kangsar.

Sampai tempat menunggu bas ( kedai Cina Moh Khaw) pukul 6.15 pagi. Bas pertama ( Red &Yellow dari Taiping ) akan sampai ke Padang Rengas pada pukul 6.30. Dari Padang Rengas ke Kuala Kangsar mengambil masa 30 minit. Sampai setesen bas Kuala Kangsar pukul 7.00 pagi. Berjalan kaki pula ke sekolah (Clifford School) selama 15 minit.

Itu baru cerita kesusahan yang dialami untuk ke sekolah. Belum lagi kesengsaraan dan keazaban lain yang dideritai yang mesti ditempuhi untuk mencapai kejayaan. Keadaan kemiskinan yang menyelubungi kebanyakan keluarga Melayu pada ketika itu telah menyebabkan orang Melayu kurang mendapat kejayaan berbanding dengan pelajar-pelajar bukan Melayu yang lain. Istilah ‘buku rujukan’ adalah amat asing bagi aku dan kawan-kawan yang lain. Sekiranya dapat kami meiliki buku teks pun sudah cukup bertuah. Ramai kawan-kawan aku yang hanya menggunakan buku teks yang telah terpakai (mungkin sudah berusia beberapa tahun) dibeli dengan separuh harga dari pelajar yang terdahulu.

Kami hanya mengharapkan nota yang diberikan oleh guru dan buku teks semata-mata sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan. Jika dibandingkan dengan persediaan anak-anak kini (apatah lagi persediaan yang disediakan untuk cucu-cucu) adalah ibarat langit dengan bumi, ibarat siang dengan malam. Namun begitu dengan berkat ketabahan dan kegigihan kami berjaya juga sampai ke peringakt sebagaimana yang diharapkan oleh ibu bapa kami. Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Alfatihah…….

Apbaila sampai hari pengumuman keputusan peperiksaan OSC/ MCE atau HSC seperti yang berlaku kini, agak berbeza sedikit dengan keadaan masa kini. Pada hari berkenaan, sekolah berkaitan meletakkan juga nama-nama pelajar yang berjaya dengan kelulusan setiap mata pelajaran, namun sekiranya ada pelajar yang agak ‘malas’ untuk melihat keputusan peperiksaannya di sekolah, maka bolehlah melihat keputusan peperiksaannya melalui akhbar ‘The Straits Times’.

Melalui akhbar berkenaan akan tercatat nama calon-calon yang lulus samada Gred 1 atau 2 atau 3. Kebiasaannya tidak ramai yang lulus apatah lagi untuk mendapat Gred Pertama. ‘Memang berdarah biji mata’ (ungkapan orang Perak) untuk mendapat gred berkenaan. Untuk mendapat Gred A matapelajaran pun terlalu sukar. Mungkin seorang sahaja dari sesebuah sekolah yang boleh mendapat enam atau tujuh A. Amat berbeza dengan keadaan sekarang. ‘ Macam tembikai jualan di tepi jalan’ kata kawan aku.

Untuk seluruh Tanah Melayu hanya empat atau lima muka surat akhbar ‘The Straits Times’ diperlukan untuk memuatkan senarai pelajar-pelajar yang lulus OSC/MCE. Mungkin hanya beberapa ribu sahaja calon yang berjaya dalam peperiksaan pada ketika itu berbanding dengan keadaan kini yang meningkat kepada ratusan ribu.

Dari segi ramainya pelajar yang mengambil peperiksaan, bolehlah dikatakan sebagai satu kejayaan orang Melayu…..

abuhassanadam
5 Mac 2015



Wednesday, March 4, 2015

RAKYAT HANYA MAHUKAN PENJELASAN……

Melihatkan kepada beberapa perkembangan dalam negara kini 
( yang semacam membimbangkan ) menampakkan seolah-olah ada dikalangan pemimpin negara kini semacam sudah tidak berintegriti. Tidak menampakkan ada perasaan malu kepada masyarakat yang dipimpin oleh mereka. Tidak langsung ada segan silu untuk membohongi masyarakat yang dipimpin dengan fakta-fakta yang diadakan. Tidak ada langsung merasa takut kepada Tuhan diatas pembohongan yang dilakukan walaupun ada yang berlatarbelakngkan pendidikan agama. Seolah-olah mereka langsung tidak memikirkan ‘hati dan perasaan’ roh arwah ayahanda dan bonda yang sudah pergi. Langsung mereka tidak memikirkan hal yang sedemikian.

Maruah diri adalah sesuatu yang perlu dijaga dan dipelihara, apatah lagi bagi orang Melayu yang menganggap bahawa maruah diri adalah sesuatu yang amat berharga untuk dimiliki. Bagi orang Melayu (lama) maruah adalah lebih kurang sama dengan nyawa dibadan. Dan antara maruah dan budi pula mungkin sama-sama dipelihara dan dijaga oleh orang Melayu. Seolah-olah tidak adanya budi dan hilangnya maruah maka hilanglah orang Melayu itu sendiri.

Kini ada dikalangan pemimpin kita seolah-olah sudah tidak mempedulikan maruah yang terhakis kepada diri mereka. Rakyat semacam mempersoalkan tentang ‘apakah para pemimpin kita semacam tidak bermaruah”. Tentulah ada asasnya mengapa rakyat menuduh para pemimpin kita kini sudah tidak bermaruah. Ramai pemimpin semacam sudah tidak mempedulikan teguran dan kritikan rakyat terbanyak tentang tindak-tanduk yang mereka lakukan. Mereka seolah-olah tidak tahu bahawa rakyat terbanyak tahu dan sedar apa yang mereka lakukan. Hanya mereka yang merasakan baahwa rakyat kurun ke 21 masih bodoh dan tolol. Mereka seolah-olah memekakkan telinga dan membutakan mata. Para pemimpin hanya ‘menutup telinga’ apabila timbul ‘jeritan’ dan ‘kutukan’ yang dilimparkan terhadap mereka. Dan yang amat malang lagi ialah apabila ada jabatan-jabatan kerajaan yang sepatutnya bertindak terhadap sesuatu penyelewengan juga melakukan tindakan yang serupa, ‘memekakkan telinga dan memejamkan mata’.

Banyak sangat aku baca dan aku dengar diperkatakan mengenai IMDB. Banyak sangat jumlah duit yang terlibat dalam perniagaan ini. Berbillion. Seperti juga orang Melayu miskin yang lain, aku tidak dapat membayangkan sebanyak mana atau ‘seberat’ mana wang kertas yang berjumlah satu billion ringgit itu. Disamping itu tidak dapat aku hendak membincangkan isu yang berkaitan dengan 1MDB disebabkan kejahilan aku mengenai ilmu ekonomi. Justeru tentulah aku mengharapkan sumbangan penulis lain untuk memberikan ‘input’ berkaitan dengan perjalanan 1MDB.

Berikut diperjelaskan pandangan Tun Dr. Mahathir melalui blognya,’Che Det’ yang menceritakan mengenai IMDB. Katanya,’ 1MDB ialah satu dana yang ditubuh oleh Kerajaan sebagai dana kekayaan negara (sovereign wealth fund) untuk dilabur supaya negara akan dapat hasil dari kekayaannya bagi masa depan. Biasanya dana seperti ini ditubuh oleh negara pengeluar minyak yang banyak yang tidak dapat habiskan pendapatan setelah mentadbir dan membangun negara”
“Malaysia bukanlah negara pengeluar minyak yang besar. Hampir semua 650 ribu tong yang dikeluar tiap hari diguna dalam negeri. Dan Malaysia pula mengalami defisit dalam belanjawannya. Tidak ada lebihan wang untuk dana kekayaan negara. Oleh itu Kerajaan terpaksa hutang untuk dana kekayaan ini….Pada 1 September 2009 1 Malaysia Development Bhd (1MDB) menggegarkan industri perbankan apabila bersetuju membayar faedah 5.75% keatas hutang RM 5 billion. Hutang ini dijamin oleh Kerajaan Malaysia. Biasanya bon Kerajaan membayar hanya 4.0%. Petronas membayar 3.6% sahaja”
“Jurucakap Kerajaan menjelaskan bahawa 1MDB memiliki harta bernilai lebih dari RM40 billion sedangkan hutangnya hanya RM38 billion. Oleh itu rakyat tidak perlu bimbang. Tetapi kenapa bayaran kepada Goldman Sachs begitu tinggi? Sebahagian wang yang dipinjam ini diguna untuk membeli stesyen janakuasa swasta. Ini dilapur dalam akhbar. Tetapi harga belian jauh lebih tinggi dari harga pasaran. Kenapa demikian?”
Kini isu IMDB sudah hangat diperkatakan. Bukan sahaja ‘hangat’ di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa. Seharusnya isu sebegini secepat mungkin ditangani oleh pemimpin kita. Harus diambil perhatian dan diperjelaskan oleh pihak tertentu supaya rakyat tidak tertanya-tanya apakah yang sebenarnya berlaku. Tetapi yang menghairankan juga ialah rakyat yang menjadi ahli UMNO seolah-olah tidak mahu tahu tentang perkara sedemikian. Seolah-olah mereka sudah cukup puas hati tentang prestasi kerajaan sehinggakan mereka senyap sepi dan tidak mahu tahu langsung. Mereka sudah cukup yakin apa yang dilakukan oleh pemimpin yang mereka lantik itu sudah cukup dapat memuaskan hati mereka dalam menjalankan pentadbiran di negara ini. Seolah-olah mereka sokong dengan cara membuta tuli. Mereka tidak langsung memikirkan peribahasa Melayu yang menceritakan tentang ‘sokong boleh membawa rebah’

Ada terdapat juga pemimpin UMNO yang mempertahankan  pemimpin negara secara membuta tuli juga. Dan sebaliknya mengecam sekeras-kerasnya tindakan ‘whistleblower’ yang dianggap sebagai sengaja bertujuan untuk memburuk-burukan pemimpin negara. Itu anggapan mereka yang bersikap demikian. Tetapi sebenarnya ialah hasrat golongan yang memperkatakan tentang 1MDB dan isu-isu lain adalah untuk mendedahkan keburukan yang berlaku dalam negara dan mengharapkan pihak-pihak tertentu untuk mengambil tindakan menyelesaikannya. Rakyat mana yang mahu merosakkan negara. Adalah amat silap sekiranya ada pihak yang menuduh pihak pemberi maklumat sebagai golongan yang bersifat perkauman dan anti kerajaan. Terlalu jahil bagi mereka yang melemparkan tuduhan sedemikian rupa

Hasrat mereka bukan untuk memburukkan nama negara tetapi mengharapkan penjelasan dari pihak-pihak tertentu supaya rakyat faham dan tidak keliru. Selagi para pemimpin tidak tampil untuk menjelaskan isu-isu yang agak kusut ini, maka selagi itulah rakyat akan bertanya dan mempersoalkannya. Seelok-eloknya DS Mohd Najib sendiri tampil dan jelaskan kepada rakyat dan bukan hanya terhad kepada golongan ahli UMNO semata-mata. Jelaskan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya tanpa mengira kaum dan agama.

Salahkan rakyat bertanya dan ingin mengambil tahu?

abuhassanadam
4 Mac 2015


Monday, March 2, 2015

MASIH ‘RELEVAN’ KAH KEPIMPINAN ULAMA PAS?

Keadaan perkembangan politik dalam parti PAS kini seolah-olah sama dengan keadaan yang berlaku kepada Muhammadiyah di Indonesia dalam tahun-tahun 1960an. Terdapat suatu keadaan di mana rakyat merasakan bahawa pertubuhan Muhammadiyah lebih memerlukan intelektual Islam yang berlatar-belakangkan pendidikan Barat (dan fasih berbahasa Belanda) berbanding dengan golongan ulama yang semata-mata berasaskan pendidikan Islam dan hanya tahu berbahasa Arab.

Walaupun pada awal penubuhannya golongan agama berpendidikan timur tengah yang menonjol dalam kepimpinan Muhammadiyah tetapi dengan perkembangan zaman, rakyat sudah merasakan bahawa kepimpinan ulama sudah tidak begitu relevan lagi. Ini tidak bermakna bahawa golongan agama hilang peranan mereka dalam hal yang berkaitan dengan agama Islam. Golongan ini masih berperanan begitu besar. Hanya dalam bidang politik dan pentadbiran dirasakan bahawa golongan berpendidikan Barat (Belanda) dapat melakukannya dengan berkesan.

Lantas kepimpinan ulama dalam Muhammadiyah menyedari hakikat ini dan bermulalah usaha untuk ‘memikat’ golongan intelektual Islam berpendidikan Barat menerajui Muhammadiyah. Tentulah tidak ramai yang menyahut seruan ini. Namun lama kelamaan golongan ini semakin membesar dalam menerajaui Muhammadiyah terutama selepas penubuhan  “ Jong Islamieten Bond’ (JIB) dalam tahun 1924 oleh Haji Agus Salim yang bertujuan untuk menyuburkan pengertian kepada agama Islam dikalangan intelektual Islam berpendidikan Barat.

Pengalaman yang dialami oleh parti Muhammadiyah di Indonesia boleh juga dijadikan pedoman dan contoh bagaimana terdapat sedikit ‘pertembungan’ antara golongan intelek Indonesia pendidikan Belanda dengan golongan ulama dalam menerajui pertubuhan Muahmmadiyah. “ Intelektual Islam yang jumlahnya tidak banyak inilah yang menceburkan diri ke dalam perjuangan Islam yang lalu, sehingga dapat duduk sama rendah tegak sama tinggi dengan intelektual yang lain dalam menegakkan Republik Indonesia….” HAMKA,” Dari Hati Ke Hati’.

Perkembangan mutakhir kini di MAlaysia, menampakkan bahawa telah muncul golongan dalam PAS yang sudah tidak segan silu menyuarakan hasrat hati dengan tidak memikirkan adab dan tata susila yang sudah sekian lama di pegang dan ‘dianuti’ oleh PAS. Terdapat golongan yang merasakan apa sahaja yang dilakukan oleh  mereka sebagai tindakan yang betul dan tepat dalam tindak tanduk mereka sementara sentiasa melihat tindakan golongan lain sebagai salah dan tidak betul. Persepsi yang sebegini adalah amat bahaya dalam perjuangan sesuatu pertubuhan.

Kadang-kadang ternampak semacam peristiwa ‘pertembungan’ Kaum Muda dan Kaum Tua sudah muncul semula dalam parti PAS. Golongan ulama masih yakin yang perjuangan mereka adalah masih ‘relevan’ dan masih diterima oleh rakyat di negara ini. Mungkin betul juga anggapan sedemikian berdasarkan kepada sejarah lampau apabila Tuan Guru Nik Aziz (yang mewakili golongan ulama) berjaya mengenepikan Dato Asri Haji Muda ( yang condong kepada nasionalis Melayu ) dalam menerajui kepimpinan PAS.

Dan jangan dilupakan juga bahawa tewasnya Datuk Asri mungkin juga disebabkan penglibatannya dalam mengusahakan kerjasama dengan UMNO…..Dibawah kepimpinan Dato’ Asri, PAS telah menjadi anggota Barisan Nasional antara tahun 1973- 1978. Dan pernah juga Dato Asri menjawat jawatan Menteri Tanah dan Pembangunan Luar Bandar peringkat pusat pada ketika itu.

Sejarah sebegini mungkin juga berulang kini apabila ada khabar-khabar angin yang mengatakan ada antara kepimpinan PAS kini yang sudah berjinak-jinak untuk bekerjasama dengan UMNO (Barisan Nasional), apatah lagi dengan ketiadaan lagi TG Nik Abdul Aziz yang semenjak dulu lagi memang menentang  kerjasama PAS dengan UMNO.

Jikalau dahulu kepimpinana Ulama yang beria-ia menentang kerjasama PAS dengan UMNO tetapi kini menampakkan keadaan sebaliknya pula berlaku walaupun tidak ‘dijelmakan’ secara terang-terangan. Dari tindak-tanduk golongan ini menampakkan bahawa mereka sudah agak ‘termakan’ dengan ‘umpan’ yang disediakan oleh UMNO untuk mewujudkan perpaduan dikalangan orang Melayu.

Dan yang bersungguh menentang kerjasama demikian adalah golongan bukan ulama dalam PAS, dan golongan ini dikatakan sebagai penentang kepimpinan presiden. Apakah ini sebagai satu tektik untuk mengalihkan pandangan ahli kepada isu yang lebih besar yang sedang dalam perancangan golongan tertentu yang matlamatnya ke arah ‘perpaduan Melayu’ itu.

Berbagai tuduhan dan tohmahan telah dilemparkan oleh golongan ulama terhadap golongan progresif dalam PAS. Dan yang paling ketara ialah tohmahan yang mengatakan bahawa golongan progresif mahu menggulingkan kepimpinan tertinggi dalam PAS terutama TG Haji Hadi Awang. Berbagai tuduhan dilemparkan.

Namun mereka mungkin lupa bahawa TG Nik Aziz pernah menggugat Dato Asri Haji Muda ( sebagai Presdien PAS) apabila majoriti ahli merasakan kepimpinan beliau sudah tidak relevan dan tidak diperlukan pada ketika itu.

Atas prinsip yang sama jugalah maka kedudukan TG Haji Hadi boleh diketepikan sekiranya dianggap tidak relevan dengan perjuangan rakyat masa kini. Mungkin…….

abuhassanadam
2 Mac 2015


Sunday, March 1, 2015

MASIH MISKINKAH ORANG MELAYU KINI?

Terserampak aku dengan tajuk dalam Malaysiakini berjodol,’ PM: Agenda Bumi selagi ada bulan dan bintang”. Teringat pula aku kepada Perjanjian Pangkor yang ditandatangani oleh JWW Birch dengan Sultan Perak pada tahun 1874 yang merupakan saat bermulanya orang Melayu kehilangan maruah di tanah tumpah darahnya. Kononnya ‘Perjanjian Pangkor’ itu juga telah bersaksikan bulan dan bintang sebagaimana ikrar yang dibuat oleh DS Mohd Najib itu.

Tetapi persoalannya ialah, masih miskinkah orang Melayu di Malaysia kini?

Mengikut ‘lengguk dan lentuk’ ucapan DS Mohd Najib itu seolah-olah orang Melayu masih belum maju lagi. ‘"Sebagai perdana menteri, saya beri jaminan kerajaan pimpinan saya akan terus membantu orang Melayu Bumiputera untuk berjaya…Maka kita akan terus menggubal dasar, program dan tindakan yang sesuai dengan hakikat ini…..Selagi ada bulan dan bintang, selagi darah Melayu ini mengalir, selagi itu wadah umat ini akan terus diperjuangkan," katanya sewaktu berucap pada Majlis Himpunan Melayu di Kuala Lumpur tadi.

Aku merasakan ucapan yang sedemikian telah ‘berkumandang’ semenjak tahun-tahun 1920an lagi. Yang membezaknya ialah penyampainya sahaja yang berbeza. Ada yang benar-benar ikhlas dan bersusaha berdungguh untuk memajukan orang Melayu dan tidak ketinggalan juga yang hanya menyampaikan untuk meleoaskan batuk ditangga. Dan ada yang hanya bertujuan untuk mendapatkan tepukan gemuruh dari pendengarnya, supaya dia dikatakan hebat dalam menyampaikan ucapan. Dan para pendengar setia akan ‘lena tidurnya’ selepas mendengar ucapan yang ‘berapi-api’ walaupun mereka masih berada ‘di takuk lama’ setelah puluhan tahun mendengar ucapan yang hampir serupa.

Aminuddin Baki betul-betul menangis mengenangkan nasib orang Melayu yang seperti ayam yang mati dikepuk padi dan seperti itik kehausan di air tenang.

Ungku Umar pun begitu juga. Amat sedih mengenangkan nasib orang Melayu yang miskin.

Berpuluh dan beratus sajak Usman Awang yang membayangkan tentang penderitaan orang Melayu.

Keris Mas, Shahnon Ahmad dan beberapa penulis lain sentisa mengenangkan nasib orang Melayu yang miskin.

Za’ba menerusi majalah Al-Ikhwan bertarikh 1 Mac 1927 ( genap 88 tahun yang lampau) telah menulis mengenai kemiskinan orang Melayu. Katanya,

“ Orang kita Melayu ini pada hitungan am atau jumlahnya ialah kaum yang tersangat miskin. Kemiskinan itulah sifat yang terlebih sangat lengkap dan nyata daripada lain-lain sifat kebangsaannya dan ialah juga sebenar-benar kekurangan yang menjadikan mereka kalah atau ketinggalan di belakang dalam perlumbaan kemajuan. Miskin pada wang ringgit dan harta benda, miskin pada hemat dan cita-cita, miskin pada pelajaran dan latihan pengetahuan. miskin pada alat-alat kelengkapan otak dan pada beberapa sifat-sifat keperangaian yang tinggi dan mulia – jadilah mereka tak dapat tiada tersangkut dan ketinggalan dalam perjalanan bangsa-bangsa” Petikan dari Adnan Haji Nawang,” Za’ba – Patriot dan Pendeta Melayu”

Keadaan orang Melayu seperti yang digambarkan oleh Za’ba itu masih lebih kurang sama kini jika dibandingkan dengan orang lain. Tentulah ada perbezaan sekiranya dibandingkan orang Melayu zaman Za’ba dengan orang Melayu zaman DS Najib. Ringkasnya orang Melayu masih mundur. MUNDUR DAN MISKIN…….

Mengapa begitu?

Aku tak tahu entah berapa ribu seminar dan simposium diadakan untuk membincangkan tentang orang Melayu miskin dan orang Melayu mundur. Kadang-kadang semacam ‘mengabihkan bogaigh’ (menghabiskan beras ) sahaja.

Pada hakikatnya secara umumnya orang Melayu kini masih miskin dan ketinggalan (berbanding dengan bangsa lain di Malaysia). Ada orang Melayu yang kaya. Segelintir. Mungkin golongan yang istimewa yang dapat menikmati hidup secara istimewa di negara tercinta ini. Golongann sedemikian sememangnya kaya raya.

Golongan yang mendapat kedudukan istimewa ini juga sentiasa mengharapkan ikhsan pihak tertentu untuk meneruskan ‘kekayaannya’. Tanpa bantuan dan ‘pertolongan’ pihak tertentu golongan orang Melayu yang sebegini juga akan ketinggalan. Tidak ramai orang Melayu yang memiliki kekayaan tulin hasil dari titik peluh mereka yang sebenar tanpa pertolongan pihak-pihak tertentu.Oleh itu dapat dikatakan bahawa kekayaan yang dinikmati oleh kebanyakan orang Melayu kini bukan merupakan kekayaan tulin.

Aku harap pandangan aku tidak rasional dan pemerhatian aku juga tidak tepat mengenai orang Melayu kini.

abuhassanadam

1 Mac 2015