Friday, March 13, 2015

AYAM KAMPUNG

Dikhabarkan bahawa Prince Charles atau keluarga Diraja England akan memilih ayam kampung sekiranya mereka memakan daging ayam. Begitu juga sekiranya mereka memilih telur ayam untuk dimakan. Mesti “Free Range’, maknanya telur ayam yang tidak dikurung tetapi sentiasa berkeliaran mencari makan. Macam ayam kampung. Dan pastinya harga ayam kampung agak mahal berbanding dengan ayam belaan di London. Begitu juga harga telur ayam kampung.

Teringat pula aku suasana di kampung aku dalam tahun-tahun 1950an dahulu. Tidak ada sebuah rumah pun di kampung aku yang tidak membela ayam. Mesti bela ayam. Sekurang-kurangnya lima ekor.Ayam kampung pastinya. ‘Untuk memakan nasi sejuk’, kata Opah aku. Maknanya dengan adanya ayam yang dibela oleh mereka itu dapatlah ayam-ayam berkenaan memakan lebihan nasi ataupun makanan yang sesuai untuk dimakan oleh ayam. Tidaklah membazir.

Jadi apabila aku renungkan semula kenyataan Opah aku itu dan juga ‘pandangan’ orang lain di kampung aku nampak jelas bahawa tujuan mereka membela ayam hanyalah untuk ‘menghabiskan nasi sejuk’ dan seolah-olah tidak terlintas di kepala mereka untuk membela ayam secara besar-besaran yang boleh meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka. Dengan sebab itulah tidak ada seorang pun yang menjadikan menternak ayam sebagai salah satu pekerjaan yang boleh meningkatkan kehidupan mereka.

Bagi orang kampung aku pada ketika itu seolah-olah tidak ada seorang pun yang mahu berusaha untuk menjadi kaya. Masing-masing berpuas hati sekiranya dapat hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Apa tidaknya. Jikalau mereka menternak kerbau misalnya, paling banyak yang dipelihara mereka adalah sebanyak empat ekor. Itu sudah dikira banyak. Paling banyak kambing yang dipelihara oleh mereka adalah sebanyak lima ekor. Begitu jugalah dengan peliharaan ayam atau itik sedangkan kawasan untuk menternak binatang-binatang berkenaan terlalu luas dan amat sesuai untuk menternak secara besar-besaran.

Orang Melayu pada ketika itu ‘tidak nampak’ peluang-peluang yang sedemikian. Dan ‘peluang’ sedemikian digunakan sepenuhnya oleh orang Cina yang ‘menumpang’ tanah orang Melayu pada ketika itu untuk bertanam sayur-sayuran. Dan yang anihnya ramai pula orang Melayu yang bekerja sebagai buruh upahan di kebun sayuran kepunyaan kaum Cina berkenaan. Tentulah agak pelik apabila mengenangkan keadaan sedemikian.

Hanya pada awal tahun 1980an barulah muncul seorang anak muda ‘usahawan’ yang menjalankan penternakan ayam secara ‘besar-besaran’ di kampung aku. Lebih kurang seratus ekor. Ayam telur. Tidak lama ‘umur’ perusahaan yang dilakukan oleh anak muda itu. Tutup. Mengikut katanya ialah tentang pemasaran telur-telur ayamnya. Maksudnya bukan tidak ada yang mahu membeli tetapi dengan harga murah sehinggakan tidak dapat menampung perbelanjaannya untuk membeli makanan ayamnya. Kononnya beliau ada mengadu masalahnya kepada jabatan pertanian tetapi tidak begitu diambil perhatian oleh pihak berwajib. Akhirnya pengusaha muda itu ‘kembali’ semula kepada pekerjaan lamanya. Menoreh getah….

Seingat aku, ketika aku masih kanak-kana, jarang sekali aku menikmati lauk ayam, samada gulai ayam atau goreng ayam atau apa saja yang berkaitan dengan daging ayam. Bukan lah aku seorang yang mengalami keadaan begitu. Aku merasakan semua orang kampung begitu. Menikmati lauk ayam hanya apabila ada tetamu (sanak saudara) dari Kuala Lumpur datang ke rumah ataupun apabila ada majlis khenduri kahwin di kampung ataupun ketika menyambut Hari Raya. Itulah keadaan dan masa yang ‘bertuah’ bagi kami untuk menikmati makanan yang berlaukkan daging ayam.

Orang kampung aku membela ayam bukan untuk dimakan dagingnya ataupun telurnya untuk dimakan. Mereka membela ayam untuk dijual untuk menampung perbelanjaan harian ataupun untuk membeli pakaian baru menjelang Hari Raya. Telur ayam juga untuk dijual sebagai pendapatan tambahan untuk membeli ikan kering sebagai lauk waktu makan malam. Hampir tidak pernah kedengaran pada waktu itu, orang kampung aku makan telur separuh masak ketika menikmati sarapan pagi.

Apabila aku mula belajar di sekolah orang putih, dan kawan-kawan sentiasa memperkatakan tentang ‘morning breakfast’. Kadang-kadang aku bernasib baik juga kerana Cikgu tidak menyoal aku tentang makanan yang aku makan waktu ‘morning breakfst’. Nasib aku agak baik kerana cikgu tidak menyoal aku. Rakan sedarjah aku yang berketurunan Cina dan India masing-masing menceritakan ‘breakfast’ mereka yang terdiri dari telur separuh masak, roti dengan jam dan lain-lain.

Sekiranya aku ditanya, maka tentulah teragak-agak bagi aku untuk menyatakan ‘breakfast’ yang aku makan. Mungkin ramai rakan-rakan aku yang agak terpinga-pinga kalau aku katakan breakfast aku terdiri dari pisang rebus atau ubi rebus atau nasi sejuk berlaukkan ikan Belanak bakar…….

abuhassanadam

13 Mac 2015

Thursday, March 12, 2015

IMDB – KE MANA MENGHILANGNYA PERKASA DAN ISMA

Walaupun tidak semua namun aku merasakan majoriti orang Melayu patut dipersalahkan. Betul sebagaimana kata Dr. Mahathir yang orang Melayu mudah lupa. Betul kata penjajah British yang menjajah Tanah Melayu dulu yang mengatakan orang Melayu sukakan hiburan. Betul juga kata setengah orang Melayu yang mengatakan orang Melayu boleh ditundukkan dengan menghadiahkan sehelai kain batik. Betul juga kata orang kampung aku bahawa orang Melayu kampung boleh ‘dibeli’ hanya dengan sebatang rokok saja.

Aku terpanggil untuk bersama-sama mengemukakan pandangan aku apabila terbaca artikel Datuk  Kadir Jasin yang berjodol, ‘ Be haste in Tracking Down Jho Low’ bertarikh 11 Mac 2015. Aku amat terusik terutama apabila para akhir rencana berkenaan  mengatakan,

“ The rakyat and their elected representatives must step up the pressure to ensure that the task force carries out its mandate transparently and freely. Never mind if the 160-UMNO divisional leaders, who attended the redi shirt solidarity day on March 8 at the PWTC, believed unequivocally in their Presidents explanation of IMDB”

Aku ‘takut’ untuk menterjemahkannya.Takut silap. Namun biarkanlah aku sisip fahaman dan pentafsiran aku mengenai apa yang diperkatakan oleh Dato’ Kadir itu. Aku merasakan bahawa beliau amat bimbang tentang apa yang berlaku kini dan kebimbangan itu samalah yang dirasakan oleh rakyat Malaysia yang perihatin akan nasib malang yang akan dilalui oleh negara sekirannya tidak dilakukan ‘pengubatan’ yang sesuai dan berkesan. Peristiwa BMF yang menimbulkan kesan buruk yang mendalam kepada negara Malaysia masih segar dalam ingatan rakyat yang merasai dan berada dalam zaman itu.

Dengan sebab itulah agaknya beliau menyeru rakyat dan wakil yang dilantik oleh mereka untuk tanpil untuk memberikan tekanan kepada pihak tertentu untuk menyegerakan tugas menyiasat hal yang berkaitan dengan 1MDB ini. Seolah-olah tidak ada tempat lain untuk mengadu, melainkan menyerahkan kepada rakyat yang masih mahu berfikir dan menyelamatkan bangsa dan negara Malaysia yang tercinta ini. Dan beliau menambah agar kita tidak mempedulikan sikap 160 ketua bahagian UMNO yang hadir mendengar penjelasan daripada DS Najib tempoh hari yang berkaitan dengan !MDB. Biarkanlah mereka bersikap demikian. Biarkanlah mereka berkeadaan sedemikian sekiranya mereka yakin dan percaya sepenuhnya penjelasan yang diberikan.

Aku tidak menyalahkan sepenuhnya orang Melayu yang tidak faham tentang perjalanan 1MDB tetapi aku hanya mahu menyalahkan sikap setengah orang Melayu yang tidak mahu langsung mendengar penjelasan yang diberikan oleh pihak-pihak yang arif tentang 1MDB ini. Kadang-kadang ternampak semacam sudah ‘tertutup’ telinga mereka dari mendengar penjelasan mengenai isu yang hangat diperkatakan ini. Seolah-olah apa yang disampaikan kepada mereka, masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan.

Nampaknya rakyat tidak boleh lagi menggantungkan harapan kepada UMNO kerana pemimpin mereka sudah diperjelaskan mengenai 1MDB dan mereka yakin dan percaya tentang penjelasan itu. Rakyat terutamanya orang Melayu tidak boleh mengharapkan PERKASA atau ISMA dalam hal ini kerana sehingga kini belum terdengar lagi suara mereka yang mempersoalkan tentang IMDB berbanding dengan tindakan pantas dan cepat mereka apabila muncul isu-isu seperti kalimah Allah. Begitu jugalah NGO-NGO lain yang pada suatu ketika dulu amat aktif memperjuangkan sesuatu isu terutama yang kononnya membabitkan orang Melayu tetapi kelihatan sunyi sepi kini.

Hendak mengadu kepada Saudara Anwar Ibrahim, beliau telah dipenjarakan. Hendak mengadu kepada Tuan Guru Nik Aziz beliau telah kembali lebih awal. Jikalau dulu Karpal Singh akan ‘mengaum’ apabila timbul isu yang membabitkan rakyat, kini mendiang juga telah pergi lebih awal. Cuma yang masih ada tempat untuk ‘menyangkutkan dagu’ ialah kepada YB Lim Kit Siang, Rafizi Ramli, Tony Pua dan beberapa orang lagi pemimpin muda yang terus menerus memperjuangkan nasib rakyat.

Apakah pemimpin muda ini akan ‘tenggelam’ ditenggelamkan oleh kejahilan sebahagian besar rakyat Malaysia?

abuhassanadam
12 Mac 2015





Wednesday, March 11, 2015

NAMA TS MUHYIDDIN  DISEBUT-SEBUT

Sebagaimana yang biasa aku lakukan, sebulan sekali atau tiga minggu sekali aku panggil kawan-kawan lama yang pernah sama-sama ‘berjuang’ pada suatu ketika dahulu. Bertanya khabar. Sihat ker, sakit ker?. Berapa orang cucu. Bila nak buat Umrah. Atau bila nak buat khenduri kahwin lagi. Dan kebiasaannya jawapan yang diterima ialah si anu masuk hospital, si anu dah tak ada lagi, si anu tinggal bersama  anaknya di London, si anu dah pakai kerusi roda…….

Jawapan yang aku terima kali ini dari seorang rakan aku , seorang pemimpin UMNO Bahagian lain macam bunyinya. Marah-marah. Walaupun dalam nada bergurau tetapi aku faham bahawa dia dalam ‘kesusahan’. Dia menyoal aku samada aku faham atau tidak keadaan yang menyelubungi UMNO sekarang. Terus terang aku katakan bahawa sebagai ‘orang luar’, manalah aku tahu tentang keadaan ‘dalaman’ yang berlaku dalam UMNO. Cuma yang aku tahu melalui berita (media sosial bukan akhbar arus perdana yang sudah lama aku tidak membacanya) bahawa DS Najib telah memanggil ketua-ketua bahagian UMNO ke Kuala Lumpur untuk menjelaskan sesuatu mengenai 1MDB. Dan aku mendapat khabar juga bahawa TS Muhyiddin tidak ada bersama dalam perjumpaan itu. Dan ada beberapa orang pemimpin tertinggi UMNO lain juga turut tidak hadir.

“ Ini yang aku runsingkan….” jawapan tegas dari rakan aku.

Sekilas ikan di air aku sudah tahu jantan betinanya. Inilah isu yang merunsingkan rakan aku itu. Memang tak boleh tidur sebab isu sebgini bagi mereka adalah merupakan isu ‘hidup mati’. Isu ‘periuk nasi’. Mereka sebagai ketua bahagian UMNO terpaksa membuat perhitungan dan membuat keputusan yang betul, takut-takut tersilap membuat keputusan ‘periuk akan dipenuhi pasir’. Mereka sudah dapat merasakan bahawa keadaan dalam UMNO akan menjadi kelam kabut. Akan berlaku pertukaran pucuk pimpinan. Dan sebagaimana biasa golongan seperti rakanku itu tidak peduli siapa yang akan menjadi pemimpin. Yang pasti mereka akan dapat kontrek, ‘poket’ mereka sentiasa penuh dan seolah-olah mereka tidak peduli apa akan terjadi kepada negara dan bangsa. Itulah sifat dan perangai rakan karib ku itu. Aku tak tahu perangai pemimpin lain.

Teringat aku tentang peristiwa ‘the changing of the Guard’ suatu ketika dulu. Bukan ‘Changing of the Guard’ dekat Buckingham Palace di London tu. Bukan. Ini peristiwa yang berkaitan dengan pemecatan Saudara Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1998. Aku masih ingat dan masih segar dalam ingatan aku tentang berbagai-bagai peristwa yang berlaku pada malam selepas Saudara Anwar Ibrahim di pecat.

Hari Rabu malam Khamis. Hari Rabu mesyuarat Kabinet dan pada malamnya Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO. Pada malam itulah Saudara Anwar dilucutkan semua jawatannya. Pada malam berkenaan berkumpullah ribuan manusia di rumah Timbalan Perdana Menteri tidak jauh dari Seri Perdana. Dan pada malam itu juga saluran letrik ke rumah berkenaan sudah diputuskan dan aku dah lupa samada air juga sudah diberhentikan.

Dalam kegelapan malam itu yang hanya ditemankan lampu bertenagakan generator, puluhan ribu rakyat memberikan sokongan simpati di atas ‘malang’ yang menimpa Anwar Ibrahim. Aku masih ingat ‘muka-muka’ pemimpin UMNO yang hadir pada malam itu. Malah aku ingat antara ‘dialog’ yang diungkapkan oleh mereka pada malam itu. Pendek kata semuanya akan tetap bersama Saudara Anwar dalam keadaan senang dan susah. Akan sehidup semati dengan beliau memperjuangkan nasib bangsa. Malah ada Ketua Bahagian UMNO dari Utara yang memberitahu aku akan ‘berkampung’ di rumah Anwar sehinggalah nasib Anwar terbela.

Kesemuanya omong kosong. Lihatlah apa yang telah terjadi kepada Saudara Anwar sekarang. Betul dan tepat kata-kata orang tua-tua dahulu, ‘yang ketawa ramai dan yang menangis keseorangan’. Perbezaannya dengan nasib Saudara Anwar ialah yang menangis masih ramai, tetapi bukannya golongan pemimpin UMNO yang sama-sama ketawa bersamanya ketika beliau berkuasa. Yang sanggup menangis bersamanya kini ialah golongan marhaen, orang kampung yang miskin, buruh kasar yang kais pagi makan pagi, para pegawai kerajaan berpendapatn rendah dan rakan-rakan lama yang betul-betul seperjuangan dalam membela bangsa dan negara yang tercinta.

Rakan-rakannya yang kononnya sama-sama berjuang dalam UMNO hampir kesemuanya ‘lari’ betempiaran mencari ‘perlindungan’ untuk meneruskan kehidupan yang mewah. Hanya yang tinggal adalah beberapa orang rakan yang betul-betul menepati ertikata sebagai rakan yang sehidup semati.

Kini menampakkan seolah-olah akan berlaku lagi ‘the changing of the Guard’ dalam UMNO sepertimana yang pernah berlaku dulu-dulu. Dan apabila ramai yang menyebut nama TS Muhyiddin Yassin menampakkan yang ‘perubahan’ sebegini akan berlaku dengan pantas. Mungkin dengan sebab itulah rakan yang aku telefon ini sedang ‘berkira-kira’ dan ‘menghitung-hitung’ agar keputusan yang dilakukannya nanti tidak menyebabkan ‘periuknya dipenuhi pasir’. ‘Keselamatan’ dirinya terjamin.

Yang penting kepada golongan seperti ini ialah ‘kontrek’ yang mengatasi perjuangan untuk memajukan bangsa, negara dan agama yang merupakan tunggak perjuangan UMNO.

abuhassanadam
11 Mac 2015



Tuesday, March 10, 2015

SYABAS NURUL IZZAH!.........

Seingat aku Nurul ‘tercampak’ di dalam kancah politik tanah air
(dalam keadaan terlalu awal) bukan atas kerelaannya tetapi semacam dalam keadaan terpaksa. Namun demikian bukanlah kehendaknya begitu tetapi seolah-olah telah ‘ditentukan’ dan ditakdirkan terjadi sedemikian. Beliau terpaksa terlibat secara aktif untuk memperjuangkan nasib ayahandanya Saudara Anwar Ibrahim yang terpaksa menghadapi berbagai dugaan yang datang pada akhir tahun-tahun 1990an.

Dalam usia yang begitu muda beliau telah menjadi ‘jurucakap’, ‘duta’, ‘peguambela’, ‘diplomat’ bagi pihak ayahnda dan juga bagi pihak rakyat Malaysia untuk menjelaskan sesuatu kepada masyarakat Malaysia dan masyarakat antarabangsa mengenai nasib yang menimpa Anwar Ibrahim pada ketika itu. Persepsi masyarakat Malaysia dan masyarakat antarabangsa tidak yakin dengan tuduhan yang dilemparkan terhadap Anwar Ibrahim yang menyebabkan beliau terpaksa merengkok dalam penjara dan merupakan tanggungjawab Nurul pula untuk menjelaskan kepada masyarakat Malaysia dan dunia tentang keadaan sedemikian walaupun dibantu oleh pemimpin Pakatan rakyat lain.

Bak kata peribahasa Melayu,’ ke mana tumaphnya kuah jikalau tidak ke nasi’. Begitulah keadaan Nurul. Walaupun boleh dianggap sebagai ‘the reluctant politician’ pada ketika itu namun mungkin telah tersurat yang beliau terpaksa memikul tanggungjawab seberat itu demi untuk menyambung ‘agenda yang belum selesai’.

Kini sekali lagi Nurul Izzah berhadapan dengan suasana yang mungkin tidak pernah terfikir olehnya sebelum ini ia itu menjalankan tanggungjawab sebagai ‘ketua pembangkang’ di parlimen tugas dan tanggungjawab yang begitu berat yang disandang oleh ayahandanya. Dengan sokongan yang kuat daripada parti DAP ( yang sentiasa mendapat jolokan seperti parti yang dimonopoli kaum Cina ) memberikan suatu isyarat yang jelas bahawa inilah tokoh yang betul-betul layak dan diyakini menjadi pemimpin negara Malaysia pada masa akan datang.

Nurul Izzah mungkin dianggap sebagai tokoh muda berbanding dengan TG Haji Hadi Awang dari segi umur. Nurul Izzah juga boleh dianggap sebagai kurang berpengalaman berbanding dengan YB Lim Kit Siang tetapi Nurul adalah merupakan ‘wakil’ masyarakat Kurun ke 21 yang terdiri dari golongan muda kini yang akan menempuh kurun berkenaan. Hanya pemimpin-pemimpin muda seperti Nurul yang tahu dan merasakan denyut nadi masyarakat yang akan menempuh kurun ini dengan agak berkesan.

Malah boleh juga dikatakan bahawa keadaan kepimpinan negara kini sudah tidak sesuai berada di temapt mereka berada sekarang disebabkan keadaan dunia yang berubah dalam keadaan yang terlalau pesat sehinggakan ternampak semacam pemimpin negara kini sudah tidak dapat menjejak perubahan-perubahan yang sedang berlaku. Dan apakah itu yang menyebabkan negara kita Malaysia kini tidak maju sepertimana yang diharapkan. Mungkin….

Pemimpin-pemimpin di Malaysia harus berfikir tentang perubahan-perubahan drastik yang berlaku dan seharusnya pula bergerak seiring dengan rentak dan gaya kehidupan masyarakat global. Pernahkah para pemimpin lama di Malaysia berfikir bahawa China dan India akan menggantikan Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah lain sebagai kuasa besar dunia. Dan pernahkah pemimpin kita berfikir bahawa Brazil dari Amerika Latin akan menjadi kuasa ekonomi dunia juga disamping negara-negara Asia seperti Korea Selatan, Jepun dll. Sekiranya ‘mindset’ pemimpin lama tidak mahu berubah mengikut peredaran zaman maka lambat laun Malaysia akan terus ketinggalan dalam keadaan ‘syok sendiri’.
Nurul dan beberapa orang pemimpin muda lain harus sedar tentang hakikat ini dan hendaknya jangan lepaskan peluang yang ‘terhidang’ di hadapan anda walaupun kadang-kadang bukan dengan kerelaan. Nasib Nurul semacam ada persamaan dengan nasib yang dihadapi oleh Benazir Bhutto, anak perempuan kepada Perdana Menteri Pakistan Zulfikar Ali Bhutto. Sekembalinya ke Pakistan dari pengajiannya di Oxford University pada tahun 1977 beliau telah diletakan dibawah tahan di rumah selepas berlakunya rampasan kuasa tentera pimpinan General Mohammad Zia ul-Haq yang melenyapkan kerajaan pimpinan ayahandanya Ali Bhutto. Dari situlah Benazir melakar sejarahnya yang berakhir dengan dirinya menjadi Perdana Menteri wanita Pakistan pertama pada tahu 1998 sehinggalah pembunuhannya pada tahun 2007.
‘Langkah’ yang terlagang untuk Nurul mungkin sama juga dengan ‘nasib’ yang dilalui oleh Puan Indira Gandhi anak perempuan kepada Jawaharlal Nehru, Perdana Menteri India yang pertama. Setelah kematian ayahandanya Indira telah dilantik menjadi Presiden Indian National Congress pada tahun 1960 dan tidak lama kemudiannya menjadi Perdana Menteri wanita pertama bagi negara India.
Apakah Nurul Izzah akan mengekori jejak langkah pemimpin-pemimpin wanita ini untuk menjadi Perdana Menteri wanita pertama bagi negara Malaysia akan datang?
Hanya Allah yang menentukan..
abuhassanadam
10 Mac 2015