Saturday, July 26, 2014

TINDAKAN TG HAJI HADI AWANG ‘TAK BERAPA KENA’

Memang aku tidak layak untuk memperkatakan sesuatu mengenai tindakan yang dilakukan oleh TG Haji Hadi Awang, Presiden PAS, namun aku memberanikan diri juga untuk menyentuh isu yang bukan berkaitan dengan politik ‘per se’ tetapi berkaitan dengan tindakan yang aku kira ‘tidak berapa kena’.

Tindakan TG Haji Hadi membuat kenyataan akhbar secara terbuka menyokong kepimpinan TS Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor adalah dirasakan ‘tidak berapa kena’. Aku tidak pula mempersoalkan kebebasan TG Hadi Awang untuk mengemukakan pandangannya. Bukan begitu. Sebagai Presiden PAS, beliau memang sepatutnya membuat keputusan jelas. Beliau bebas untuk menyokong atau tidak menyokong mana-mana pihak.Tetapi yang aku agak ‘terkilan’ ialah cara keputusan itu disampaikan.

Pada pandangan aku, sepatutnya apa yang ingin disuarakan oleh TG Haji Hadi mengenai sokongannya kepada TS Khalid Ibrahim (yang sekali gus menentang keputusan PKR ) dibincangkan dahulu dalam majlis tertutup antara PAS,DAP dan PKR. Dalam mesyuarat sedemikianlah forum yang paling sesuai untuk percambahan fikiran dan dinyatakan baik buruknya. ‘Penghazaman’ sesuatu isu elok dilakukan dalam bilik mesyuarat tertutup yang dihadiri oleh kaum ‘keluarga’ terdekat dan tidak diketahui langsung oleh sesiapa pun yang tidak berkaitan.

Apabila TG Haji Hadi telah membuat keputusan dan telah menjadi berita besar dan ‘hangat’ maka tentulah terlalu sukar untuk berpatah balik kebelakang sekiranya ada perubahan fikiran di pihak PAS selepas ini. Peribahasa Melayu mengatakan,’ terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’.

DS Anwar Ibrahim telah pun menyatakan bahawa PKR telah membuat keputusan untuk meletakkan Dr Wan Azizah menggantikan TS Khalid Ibrahim. Aku tidak pula mahu mempersoalkan kewajaran cadangan sedemikian. Maknanya menyokong pun tidak dan menetang pun tidak. Cuma yang aku mempersoalkan  ialah tentang bagaimanalah rasa hati dan perasaan DS Anwar Ibrahim apabila mendengar perkhabaran yang PAS menyokong TS Khalid Ibrahim dikekalkan yang bermakna juga PAS menentang cadangan PKR. Tentulah rasa luluh hati yang mendengarkan keputusan berkenaan terutama dari ‘sahabat karib’.

Aku terfikir juga dan aku mempersoalkan. Apakah dalam politik tidak langsung mengambil kira hati dan perasaan kawan dan rakan? Aku bukan mempersoalkan pandangan atau keputusan yang dibuat. Aku lebih mementingkan ‘adab berkawan’ dan ‘menjaga hati kawan’. Mungkin cara berfikir yang aku amalkan sudah tidak secocok dengan pemikiran manusia zaman kurun ke 21. Mungkin…

Sebelum kenyataan yang dibuat oleh TG Haji Hadi ini, sudah berapa pengumuman yang telah dibuat oleh pihak kepimpinan PAS Selangor yang menyatakan sokongan terhadap TS Khalid Ibrahim.Sekali lagi aku nyatakan bahawa hakikat itu bukan persoalannya. Yang aku agak hairan ialah mengapa perlu dinyatakan secara terbuka melalui media massa. Bukankah elok dibincangkan dalam suatu majlis tertutp supaya tidak diketahui oleh masyarakat tentang ‘apa yang ada dalam kain kita’. Ataupun mungkin agaknya sengaja dilakukan begitu oleh pemimpin sedemikian yang mahu menunjukkan bahawa mereka sememangnya hebat dan supaya diketahui oleh orang ramai bahawa mereka sebagai pemimpin berwibawa.

Ini bukan berlaku kepada kepimpinan PAS sahaja. Ada juga pemimpin PKR bersikap sedemikian rupa yang mengkeritik kepimpinan TS Khalid Ibrahim secara terbuka. Kata orang Melayu ‘membuka pekung di dada’ yang lantas mengaibkan PKR juga. Mungkin pemimpin PKR sedemikian tidak tahu bahawa dengan mendedahkan sedikit sebanyak kepincangan pentadbiran TS Khalid  telah ‘memberitahu’ rakyat bahawa berlaku kepincangan yang serious dalam PKR. Apakah ‘tokoh’ yang sebegini layak menjadi pemimpin sekiranya tidak begitu arif tentang adab dan peraturan berpolitik?

Aku terpaksa menyentuh juga tentang kepimpinan UMNO. Mungkin disebabkan yang UMNO telah wujud beberapa lama dan berbagai pengalaman yang telah dilalui oleh pemimpinnya, maka keadaan sedemikian dapat dibendung oleh mereka. Bukan tidak ada berlaku keadaan ‘perpecahan’ dalam UMNO, malah perpecahan dalam UMNO hanya menunggu masa untuk belah, tetapi disebabkan kelicikan berpolitik dan sudah mahir dengan ‘sepak terajang’ berpolitik maka kemelut berkenaan dapat diselesaikan. Berita-berita yang mengaibkan UMNO terus ‘ditutup’ dan ‘disembunyikan’.

Peristiwa pertukaran Menteri Besar di Terengganu baru-baru ini bukan merupakan isu yang kecil. Malah boleh membawa kepada perpecahan di Terengganu. Malah sehingga kini, isu itu masih ada, ibarat seperti duri dalam daging. Hanya menunggu masa untuk ‘meletup’. Tetapi disebabkan kepimpinan UMNO tahu cara dan jalan ‘menutup’ kelemahan parti mereka, maka seolah-olah kelihatan tenang. Tetapi ‘air tenang jangan disangka tiada buaia’.

Pakatan Rakyat harus juga mencontohi apa yang dilakukan oleh UMNO dalam hal kerahsiaan parti. Amat penting untuk mengekalakn keyakinan rakyat kepada parti ini. Percanggahan dan perbezaan pendapat adalah asas demokrasi dan harus disuburkan. Tetapi seharusnya dilaksanakan secar bijaksana. Tentulah ada disiplin-disiplin yang mesti diikuti oleh kepimpinan parti. Orang tua-tua pernah berkata, sekiranya membunuh ular, ular mesti, kayu jangan patah dan tanah jangan lebam’. Begitulah cermatnya yang seharusnya dilakukan oleh pihak kepimpinan dalam menangani suatu masalah yang rumit dan kritikal.

Menyelesaikan isu politik yang rumit adalah seperti menarik rambut dalam tepung. Rambut dapat ditarik keluar dan tepung tidak berselerak.

abuhassanadam
26 Julai 2014


Friday, July 25, 2014

BERMUSUHAN: BUKAN ADAT DAN BUDAYA MELAYU TULIN

Kadang-kadang aku merasakan bahawa aku tidak dapat mempastikan bahawa aku dan beberapa orang yang ‘seangkatan’ dengan aku sesuai atau tidak berada dalam zaman ini. Kadang-kadang aku terfikir bahawa kami semacam sudah tidak sesuai dan cocok untuk berada dalam Kurun ke 21 kerana terdapat beberapa perbezaan yang jelas antara nilai yang kami anuti dengan nilai-nilai yang diamalkan oleh masyarakat Melayu kini.

kadang-kadang aku menyoal diri aku. Apakah aku yang bersalah yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan nilai dan pemikiran masyarakat Melayu kini? Dan apakah ajaran-ajaran dan nilai yang disematkan oleh ibu bapa kita dulu sudah tidak sesuai lagi dengan zaman kini. Dan hendak aku katakan bahawa budaya Barat banyak mempengaruhi pemikiran dan budaya Melayu kini, tidak pula ternampak begitu keadaannya. Agak lama juga aku berada di luar negara – beberapa buah negara. Dan tidak pula aku ternampak kepelikan yang sebegeini yang diamalkan oleh sekumpulan orang Melayu di Malaysia. SUKA BERMUSUHAN.

Bukanlah ramai yang berperangai sebegini. Namun disebabkan oleh segelintir kumpulan Melayu yang berperangai sedemikian, masyarakat Malaysia lain mula beranggapan yang negatif terhadap masyarakat Melayu. Dan mujur jugalah ramai golongan bukan Melayu yang faham bahawa sebahagian besar masyarakat Melayu di Malaysia masih rasional dalam tindak tanduk mereka terutama dalam hubungan dengan golongan bukan Melayu.

Yang anihnya hendak aku katakan bahawa perangai ‘suka bermusuhan’ ini diimport dari Barat, tidak pula orang Barat berperangai demikian. Dan hendak aku katakan yang berperangai ‘suka bermusuhan’ ini merupakan amalan pemuda Melayu, tidak juga begitu keadaannya. Hendak aku katakan bahawa perangai ‘suka bermusuhan’ ini amalan orang kampung yang tinggal di bandar, maka aku tentulah merenung diri aku, orang kampung totok tetapi tidak pula terlintas untuk bermusuhan dengan orang lain. Justeru tentulah aku tertanya-tanya, mengapalah terdapat sekumpulan kecil orang Melayu yang bersifat demikian.

Kumpulan kecil orang Melayu ini dapat aku katakan bahawa sememangnya suka bermusuhan. Suka bergaduh. Suka cari gaduh. Disebabkan isu dan masalah kecil maka mereka akan mencetuskan pergaduhan. Dan punca yang mencetuskan pergaduhan adalah timbul dari isu yang kecil. Remeh. Tidak masuk akal. Tidak lojik. Namun disebabkan oleh perangai dan sifat yang ‘suka bermusuhan’ mereka akan mencari sebab dan dalih untuk mencetuskan pergaduhan.

Kini golongan ini sudah menjadi bahan ketawa masyarakat Malaysia. walaupun masih ada juga ‘pengikut’nya yang membuta tuli merasakan tindak tanduk golongan ini wajar disokong. Dan mungkin juga agaknya, pengikut setia golongan ini mendapat upah dan bayaran untuk menjadi pengikut setia. Mungkin. Sekiranya tidak begitu keadaannya, takkanlah anggup menjadi ‘pengikut’ sehingga tidak dapat berfikir secara rasional, untuk membezakan yang benar dan yang salah. Dan apakah mungkin ada pula ‘tangan ghaib’ yang berperanan ‘menggerakkan’ kegiatan kumpulan ini supaya mengikut rentak dan rencana yang dirancang oleh mereka.

Aku terpanggil untuk menulis rencana sebegini didorong oleh tindakan setengah pihak yang menyokong tindakan yang agak biadab seorang anak muda terhadap orang tua ekoran daripada satu kemalangan jalan raya. Bagi aku yang turut menonton video berkenaan merasakan tindakan anak muda itu sememangnya tidak sesuai dan wajar. Walaupun anak muda itu gadis Melayu yang beragama Islam ( bertudung), namun aku sebagai orang Melayu tetap menyalahkan gadis Melayu berkenaan di atas tindakannya memaki hamun orang tua (Cina).

Bagi aku tindakan perempuan itu tetap salah. Samada dilakukan oleh orang Melayu ke, Cina ke, India ke, Belanda ke perbuatan yang agak biadab itu tetap salah. Aku yakin bahawa tidak akan ada masyarakat lain di dunia yang menyokong tindakan sedemikian. Tetapi yang anihnya ada pula kumpulan NGO di negara ini yang sedang mengumpulkan wang untuk membantu menyelesaikan denda yang telah diputusakn oleh pihak mahkamah. Maknanya pihak NGO sedemikian telah ‘bersekongkol’ dan menyetujui apa yang telah dilakukan oleh perempuan muda demikian. Maknanya bagi kumpulan NGO ini apa yang dilakukan oleh orang Melayu tidak boleh ‘disentuh’ walaupun perbuatan dan tindakan itu amat bertentangan dengan nilai-nilai yang diamalkan oleh manusia sejagat.

Aku ‘pening’ dan terus jadi ‘biul’ mengenangkan isu ini.

Sejak zaman berzaman, telah menjadi satu ‘pegangan’ bangsa-bangsa di dunia mengatakan bahawa orang Melayu adalah ‘peace-loving’ people. Bacalah buku-buku mengenai orang Melayu yang ditulis oleh penulis-penulis Barat tetap akan mengatakan bahawa orang Melayu itu adalah bangsa yang tidak suka bermusuhan walaupun sehingga sanggup menggadaikan tanah airnya.

Hussin Mutalib dan Ee Heok Kua dalam buku mereka berjodol,’ Islam in Malaysia: From Revivalism to Islamic State” ada menyatakan bahawa, “……Malaysians are generally a peace-loving people. We don’t want big changes to the values and traditions which we all practice. In the past, and I know this since I have been through all since independence, Malays, Chinese and Indians had no problems because we stuck to our constituional bargain and don’t want to impose our values on other people….”

Lantas aku terfikir bahawa disebabkan bangsa Malaysia adalah bangsa yang suka kepada keamanan, maka itulah merupakan amalan baik yang perlu dilakukan oleh kita dan anak cucu kita di negara tercinta ini. Sekiranya ada juga pihak-pihak yang cuba menelurkan perasaan permusuhan antara satu kaum dengan kaum lain, maka adalah menjadi tugas kita yang rasional ini untuk terus membiarkan ‘anjing-anjing yang terus menyalak bukit’ kerana kita amat yakin bahawa ‘bukit tidak akan runtuh’

Semoga falsafah Ramdan terus diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia.

Abuhassanadam
25 Julai 2014


Thursday, July 24, 2014

MENUNGGU LAILATUL QADAR

Biar aku berterus terang supaya apa yang yang akan aku tulis dan ceritakan nanti dapat diketahui oleh anak-anak zaman ini. Mungkin anak-anak zaman ini ada diberitahu atau dikisahkan oleh ibu bapa mereka tentang kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh ibu mereka. Mungkin ada ibu bapa yang suka menceritakan kisah-kisah lama kepada anak-anak terutama pada waktu makan malam. Tetapi ada juga ibu  bapa kini ( yang tinggal di bandar) yang terlalu sibuk dengan tugas mencari rezeki sehinggakan tidak ada masa untuk berbual dan berbicara dengan anak-anak.

Aku yakin bahawa apa yang aku alami ( dalam soal kemiskinan dan penderitaan) adalah juga pengalaman yang dialami oleh kebanyakan ‘anak-anak kampung’ yang hidup dalam tahun-tahun 1950an dan 1960an. Pada kali ini tentulah penumpuan aku tentunya kisah suka dan derita yang dialami oleh ‘anak-anak kampung’ pada bulan Ramadan.

Hampir seluruh ‘anak-anak kampung’ di kampung aku akan bersetuju sekiranya aku katakan bahawa peluang kami untuk menikmati lauk ayam adalah pada waktu-waktu tertentu dalam kehidupan seharian kami. Ibu ku ada memelihara ayam dan itik, namun ayam yang dipelihara oleh ibu bukan untuk dimakan oleh keluarga tetapi untuk dijual. Ayam yang dipelihara oleh ibuku selalu juga bertelur. Tetapi telurnya bukan untuk kami makan tetapi untuk dijual sebagai tukaran untuk membeli ikan bilis di kedai Pak Alang Ibrahim.Begitu jugalah dengan peliharaan itik. Bukan untuk dimakan dagingnya tetapi untuk dijual telurnya. Dengan hasil jualan itulah dapat menampung pendapatan keluarga disamping dapat menambah pendapatan bapa yang kerja hariannya sebagai penoreh getah.

Seingat aku ada ‘beberapa peristiwa’ sahaja yang memberikan peluang aku menikmati lauk dari daging ayam. Antaranya ialah  di majlis khenduri ataupun apabila dikunjung oleh keluarga dari jauh  ( dari Kuala Lumpur misalnya) ataupun pada Hari Raya Aidilfitri. Oleh kerana Hari Raya Aidiladha dianggap ‘tidak begitu penting’ maka tidak perlulah disembelih ayam dan memadai dengan lauk udang atau kerang sahaja. (Pada ketika itu harga makanan laut masih lagi murah berbanding dengan harga daging dan ayam).

Bukan semua majlis khenduri dihidangkan dengan lauk ayam. Kebanyakan khenduri di kampung aku hanya berlaukkan ikan kering dan sayur kampung sahaja. Lauk ayam mungkin hanya untuk VVIP ( tok imam dan bilal masjid) sahaja. Begitu juga apabila dikunjungi saudara mara jauh.

Bagi ‘anak-anak kampung’ pada ketika itu, Hari Raya ditunggu dengan penuh debaran. Pada hari Rayalah kami berpeluang untuk menikmati lauk yang agak lumayan berbanding dengan lauk harian yang rata-rata terdiri dari ikan kering dan sayur kampung. Pada hari Raya jugalah kami berpeluang menikmati kuih-kuih seperti Kuih Bangkit, Bauhulu, Dodol, Putu Kacang dan lain yang tidak akan berpeluang dinikmati pada hari-hari biasa. Hanya pada hari Raya kami dapat merasa memakai pakaian baru. Itu pun hanya sepasang sahaja. Tidak lebih dari itu.

Justeru sememangnya Hari Raya dinanti dan ditunggu-tunggu oleh ‘anak-anak kampung’ tahun-tahun 50an dan 60an.

Kami pada ketika itu tidak mengharapkan ‘duit raya’ ketika berkunjung ke rumah-rumah jiran. Budaya memberi ‘duit raya’ sudah pun ada pada ketika itu. Namun ‘quantum’nya hanyalah disekitar 10 sen dan 20sen. Paling tinggi ‘kutipan’ yang pernah aku perolehi ialah RM 1.20sen. Cukup untuk pergi ke Kuala kangsar untuk menonotn wayang cerita ‘ Sarjan Hassan”. (Tambang bas 30 sen –pergi balik, tiket wayang 30sen ( kelas tiga), makan ‘Mee Lambung’ di Lembah – 30 sen). Masih berbaki 30sen.

Hari Raya bagi kami ‘anak-anak kampung’ pada ketika itu memang menyeronokkan. Mungkin tidak sama dengan keseronokan yang dialami oleh kanak-kanak kini. Dari segi ‘quantum’ kutipan  ‘duit raya’ sudah dapat membezakan keadaan dulu dan sekarang. Seperti bumi dengan langit. Jumlah RM 1.20 sen yang aku perolehi mungkin akan ditertawakan oleh cucu aku yang kebiasaannya menerima ‘kutipan’ beratus kali ganda apa yang aku perolehi. Namun itulah hakikatnya keadaan Hari raya pada tahun-tahun 1950an dan 1960an.

Dengan sebab itulah ‘kanak-kanak kampung’ zaman itu menunggu-nunggu kehadiran malam Lailatul-Qadar. Pak Haji Sulaiman (guru Quran di kampung aku) pernah menyatakan bahawa, Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa beribadat sesaat pada malam Qadar, kira-kira selama seorang penggembala memerah susu kambingnya, maka adalah lebih disukai Allah daripada berpuasa setahun penuh. Demi Allah yang telah mengutus daku dengan hak menjadi nabi, sesungguhnya membaca satu ayat dari al-Quran pada malam Qadar adalah lebih disukai Allah daripada mengkhatamkannya pada malam-malam yang lain.“

Sememangnya pada ketika itu kami (anak-anak kampung)  mengharapkan sangat ‘turun’nya Lailatul Qadar. Apalah lagi yang perlu kami tunggu dan mengharapkan pada ketika itu selain daripada menunggu Malam Lailatul Qadar. Mungkin anak-anak zaman ini tidak faham apa yang aku maksudkan dengan kenyataan,’ Apalah lagi yang perlu kami tunggu dan mengharapkan pada ketika itu selain daripada menunggu Malam Lailatul Qadar”

Maksud aku begini. Disebabkan kesusahan dan kemiskinan yang menghimpit setiap keluarga di kampung, maka tidak ada langsung ‘cahaya kesenangan dan kebahagian’ yang dapat diharapkan. Yang boleh memberikan kesenangan dan kebahagiaan ialah janji Allah kepada malam Lailatul Qadar. Itu pun pada ‘hari kemudian’ setelah kita berada di alam lain.

Namun ‘anak-anak kampung’ seperti aku masih terus menunggu dan menunggu.

Abuhassanadam
24 Julai 2014


Wednesday, July 23, 2014

PANJUT

Aku tidak tahu apa panggilannya di tempat lain. Di negeri Perak Itulah perkataan yang biasa digunakan. Di mana-mana saja di negeri ini, pada  malam 27 Ramadan rakyat negeri ini akan memasang Panjut.

Itu dulu. Ketika aku masih kecil. Sehingga tahun-tahun 60an begitulah keadaannya di negeri Perak. Di setiap kampung dan ceruk rantau mereka akan memasang Panjut. Mungkin kini amalan sedemikian masih terus diamalkan oleh orang Perak. Namun cara dan ‘wajah’ memasang panjut tentulah banyak kelainannya berbanding dengan zaman dulu.

Memasang Panjut sebenarnya memasang lampu pada malam 27 Ramadan. Ada juga yang mengatakan bahawa upacara memasang Panjut itu tidak mengikut cara dan lunas Islam. Bidaah kata mereka yang arif tentang agama Islam. Ikut cara agama Hindu. Aku tak mahu berbicara tentang hal itu. Aku tak pandai untuk berhujah. Cuma yang aku tahu, dan ramai lagi anak-anak ( pada ketika itu) merasakan bahawa memasang lampu pada malam yang gelap gelita amat menyeronokkan. Apatah lagi pada ketika itu tidak ada lampu jalan seperti sekarang yang boleh menerangi sesebuah kampung hingga ke pagi.

Dulu tidak ada lampu sedemikian. Apabila menjelang malam, pastinya kampung akan menjadi gelap gelita, kecuali malam ketika bulan mengambang. Dan pada ketika bulan mengambanglah, orang-orang kampung ‘terhibur’ dengan kehadiran cahaya bulan, apatah lagi apabila dapat menikmati cahaya bulan melalui celah-celah daun kelapa yang melintuk liuk ditiup angin.

Sudah agak lama aku tidak menikmati suasana sedemikian. Dan kadang-kadang ‘kehadiran’ cahaya bulan juga dibiarkan ‘berlalu’ begitu sahaja disebabkan keadaan malam yang sentiasa terang di bandar. Lagi pun orang-orang bandar kini sudah tidak ada masa untuk menikmati cahaya bulan disebabkan kesibukan yang sentiasa menyelubungi warga kota. Atas ‘kerinduan’ yang sedemikianlah agaknya yang menyebabkan warga kota, berlagak ‘gila’ untuk pulang ke kampung apabila menjelangnya Hari Raya. ‘Kerinduan’ terhadap suasana desa itulah yang menyebabkan warga kota ( yang dulunya anak desa) melupakan segala-galanya demi untuk pulang beraya di kampung.

Orang kampung dikira ‘creative’ juga dalam hal membuat Panjut (pelita). Ketika ketiadaan kuasa eletrik, orang kampung mencipta berbagai jenis ‘pelita’ untuk dijadikan panjut. Lagi pun suasana kemiskinan telah menyebabkan orang kampung ketika itu mencari jalan bagaimana mencipta sesuatu yang tidak menggunakan wang. Betul kata Cikgu aku dulu bahawa ‘necessity is the mother of invention’.

Ada berbagai jenis pelita Panjut yang dihasilkan.

  • ·  Panjut Buluh. Dibuat daripada ruas buluh yang ditebuk dengan beberapa lubang sebagai tempat meletakkan sumbu yang diperbuat daripada tali guni. Untuk mengelakkan buluh daripada terbakar, tanah liat diletakkan di keliling sumbu berkenaan. Ditebuk juga satu lubang untuk memasukkan minyak tanah ke dalam ruas buluh berkenaan.

  • ·    Panjut Tempurung. Cara membuatnya ialah dengan cara menebuk lubang beberapa biji tempurung yang kemudiannya dicucuk menggunakan sebatang kayu supaya tempurung berkenaan dapat berdiri. Barisan tempurung itu dipacakkan diatas tanah. Apabila sampai waktu dan ketikanya, tempurung itu akan dibakar pada tempurung yang teratas sekali. Lama kelamaan api akan merebak dengan perlahan dan terus menerus membakar tempurung yang berada di bawah. Begitulah seterusnya sehingga kesemua tepurung terbakar. Dan kebiasaannya proses itu akan mengambil masa beberapa jam untuk kesemua tempurung berkenaan terbakar dan mengeluarkan cahaya yang terang benderang.

·      Pelita Bersumbu. Ini merupakan pelita yang biasa digunakan. Malah pada setiap malam, rumah-rumah dikampung pada ketika itu diterangi oleh pelita bersumbu demikian disebabkan belum ada kuasa eletrik yang sampai ke kampung-kampung.

Seingat aku, hampir setiap rumah di kampung aku akan dihias dengan lampu Panjut – samada Panjut Buluh, Panjut Tempurung ataupun sekurang-kurangnya pelita bersumbu. Juga memberikan gambaran bahawa rumah-rumah yang tidak dihiasi dengan pelita panjut samada dihuni oleh orang tua ataupun penghuninya terlalu malas untuk membuat pelita Panjut. Kebiasaannya persiapan untuk ‘merayakan’ malam 27 Ramadan bermula pada permulaan puasa lagi ataupun lebih awal dari itu.

Apa tidaknya. Untuk membuat Panjut Tempurung tentunya memerlukan tempurung kelapa yang banyak. Ini perlu dilakukan dengan mengumpulkan tempurung-tempurung itu buat beberapa bulan. Dan tempurung-tempurung itu perlu dikeringkan terlebih dahulu supaya senang terbakar.

Agaknya anak-anak zaman sekarang pastinya ‘ternganga’ mendengar penjelasan aku tentang Panjut Buluh dan Panjut Tempurung. Mungkin juga anak-anak di bandar ataupun di kampung kini masih memasang panjut pada malam 27 Ramadan, tetapi pastinya tidak ada lagi panjut buluh atau panjut tempurung. Dan tentunya panjut kini boleh diperolehi di kedai-kedai eletrik sahaja dan tidak perlu lagi bersusah payah mengumpulkan tempurung-tempurung.

Cuma yang aku pasti bahawa keseronokan anak-anak pada tahun 60an berbeza dengan keseronokan anak-anak pada awal Kurun ke 21. Mungkin….

abuhassanadam
23 Julai 2014