Saturday, December 13, 2025

MELIHAT SUMBANGAN TUN M DAN ANWAR IBRAHIM

Ringkasnya dapat aku katakan bahawa sumbangan Tun M kepada Malaysia semacam sudah tidak perlu  diperkatakan lagi dan tidak ada sebab mengapa beliau 'semacam berdukacita' sambil merasakan bahawa sumbangannya kepada negara belum cukup untuk memuaskan hatinya. Dan sepatutnya beliau dengan senang (tanpa apa-apa kerisauan) menyerahkan kepimpinan negara kepada Saudara Anwar Ibrahim. Begitulah sepatutnya. Dan terpulanglah kepada Saudara Anwar pula untuk mencorakkan pemerintahan negara yang. tercinta ini.

Sejujurnya aku telah mengikuti dan menjejak secara serious perkembangan pemikiran dan tindak tanduk politik Perdana Menteri Dr. Mahathir bin Mohamed. Minat aku 'tertumpah' kepada 'perjuangan Dr. Mahathir sehinggakan aku 'berani' mengulas tentang tindak tanduk dan perjuangan Dr.Mahathir memerintah Malaysia. Pendek kata sorotan yang aku lakukan bermula dari kemunculan buku 'The Malay Dilemma' lagi. Begitulah keadaannya.

Banyak dasar yang diperkenalkan oleh Tun M yang kadang-kadang merupakn kejutan yang terpaksa juga terpaksa dihazamkan oleh rakyat mengenai sesuatu dasar yang diperkenalkan. Dasar "Pandang ke Timur', 'Buy British Last', pengenalan Punch Card antara dasar-dasar baru yang diperkenalkan pada zaman pentadbirannya. Memuncak daripada pengenalan dasar yang innovatif yang diperkenalkan adalah Wawasan 20-20.

Jika diperhati dan diperhalusi, maka sebenarnya 'Wawasan 20-20' telah pun dirangka lebih awal - mungkin lebih awal daripada kelahiran 'Malay Dilemma'. Kemunculan 'Wawasan 20-20' mungkin merupakan hasrat terpendam yang begitu lama dimana hanya menunggu masa untuk 'diletupkan'. Apa tidaknya Wawasan 20-20 semacam rentetan dan sambungan kepada 'The Malay Dilemma'.

Sesuatu yang agak menarik mengenai 'Wawasan 20-20' ialah persediaan yang telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan khususnya ketika diterajui oleh YB Saudara Anwar Ibrahim. Pada zaman pentadbiran beliaulah berbagai dasar yang innovatif dikemukakan disamping mengenengahkan berbagai ungkapan seperti 'Falsafah Pendidikan', 'pembakuan bahasa', 'insan kamil' 'pembelajaran bahasa asing' dan lain-lain. Cabaran pendidikan telah memaparkan segala-galanya. Seolah-olah ada semacam satu bentuk persefahaman ketika sesuatu dasar pendidikan diumumkan. Misalnya Falsafah Pendidikan negara adalah merupakan arah tuju kepada tahun 2020.

1990an merupakan zaman emas bagi negara Malaysia dimana kebanyakan dasar-dasar yang diperkenalkan menampakan kejayaan pemerintahan negara Malaysia di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamed. Justeru tentlah tidak ada sebab mengapa Dr Mahathir tidak berbangga dengan pencapaian berkenaan. Kejayaan yang dicapai pada ketika itu adalah merupakan pencapaian yang dilakukan oleh beliau. Dengan demikian sudah tentulah belaiu berbangga dengan pencapaian sedemkian rupa.

Kini sudah sampai giliran Saudara Anwar Ibrahim pula untuk melakukan sesuatu untuk negara. Dan jelas menunjukkan bahawa Saudara Anwar Ibrahim tidak kurag hebatnya dalam hal mentadbirkan negara tercinta ini. Dalam masa yang agak singkat menampakkan beliau juga seiring atau mungkin lebih berjaya daripada kepimpinan Dr. Mahathir.

Rakyat Malaysia boleh membuat penilaian.


Abuhassanadam

14 Disember 2025


Friday, December 12, 2025

 

PERJUANGAN KITA MENGUSIR PENJAJAH MEMBANGGAKAN

Aku ingin sedikit menoleh ke belakang menyingkap tentang perjuangan kita menuntut kemerdekaan dan membebaskan tanah air dari penjajah British. Dalam keadaan kita 'bergelumang' dengan konsep ekonomi seperti AI seolah-olah kita dibuaikan dengan keadaan yang boleh melupakan tentang perjuangan kemerdekaan yang dirangka oleh pejuang negara tercinta ini.

Dulu pernah dipersoalkan tentang perjuangan kemerdekaan yang diperolehTanah Melayu.Kononnya kemerdekaan negara kita dihidangkan atas dulang emas. Bermakna amat senang diperolehi. Yakni kemerdekaan dalam bentuk yang murah, tanpa sebarang perjuangan pertumpahan darah sebagaimana yangg dialami oleh negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Vietnam dll.

Lantas terfikir pula di benak aku untuk mempersoalkan apakah setiap kemerdekaan 'tulen'  yang diperjuangkan mesti diperolehi dari perjuangan 'tumpah darah'. Apakah apabila beribu rakyat mati dalam peperangan menuntut kemerdekaan maka baru boleh dianggap sebagai kemerdekaan tulen? Jikalau begitulah keadaannya, maka negeri Thai yang tidak menumpahkan darah itu pun belum boleh diiktiraf sebagai merdeka.

Tentu ada pula yang menghujahkan mengatakan bahawa negara Thai memang selama-lamanya merdeka kerana negara Thai tidak pernah dijajah oleh Barat. Negara Thai masih tetap memegang rekod sebagai negara di Asia Tenggara yang tidak pernah dijajah. Tidak pernah berada di bawah ketiak penjajah. Negara Thai terselamat dari dijajah.

Sebaliknya negara Thai  pernah menjadi penjajah pada suatu ketika dahulu. Diantara negeri-negeri yang pernah dijajah oleh negara Thai (Siam) adalah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak. Namun demikian penjajahan oleh Siam tentulah berbeda dengan cara negeri-negeri itu dibawah kuasa Barat.

Jikalau ditelitikan secara halus, negara Thai juga pernah dijajah secara tidak langsung. Keadaan sedemikian mungkin boelh disebabakan kepintaran Raja Siam ataupun keadaan politik di Asia Tenggara pada ketika itu. Pemerintah Tahi samada secara sedar atau tidak telah mengambil satu langkah yang agak bijak atau terkehadapan, apabila Raja Thai mengambil beberapa orang penasihat British unttuk menjalankan pentadbiran di negaranya. Dan terlepasnya negara Thai dari penjajahan Barat adalah disebabkan keadaan sedemikian.

Bersambung

abuhassanadam

12 Disember 2025


Thursday, December 11, 2025

 

APABILA TIMBUL TEGURAN SULTAN

Tidak keterlaluan. jika dikatakan bahawa seolah-olah masyarakat Malaysia seolah-olah menunggu kritikan dari seorang Sultan (Selangor) yang berkaitan dengan hantaran  di sosial media yang menyentuh tentang berbagai isu khususnya yang berkaitan dengan isu bangsa dan agama. Mungkin Baginda Sultan sudah begitu tidak senang hati melihatkan gelagat setengah pihak yang menggunakan sosial media dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan tentang kesan yang akan ditimbulkan dari kegiatan yang melampau batas itu.

Para penulis 'upahan' seolah-olah menggila menggunakan sosial media untuk meluahkan perasaan mereka tanpa memikirkan kesan yang akan muncul akibat dari tindakan sedemikian. Tentulah telah banyak kesan buruk yang. telah ditinggalkan oleh perbuatan sedemkian yang menyebabkan Baginda Sultan terpaksa 'campor tangan' untuk meredakan keadaan sedemikian. 

Sebenarnya telah begitu banyak kesan yang agak negatif yang ditinggalkan hasil penggunaan sosial media itu. Tanyalah siapa pun akan memberi jawapan bahawa, jika tidak dibendung dengan berkesan besar kemungkinana akan berhadapan dengan keadaan msayarakat di Malaysia dengan lebihh teruk lagi. Penglibatan masyarakt dalam media sosial di Malaysia adalah dalam keadaan luar biasa. Walaupun sehingga kini tidak ada lagi kajian yang boleh menunjukkan statistik 'keruntuhan' msayarakt Malaysia ekoran dari 'bencana' yang ditimbulkann oleh media cukup rasanya kita nampak kesan yang jelas yang ditimbulkan.

Menentang penggunaan media sosial bukan pula bererti bahawa ia menelurkan satu keadaan yang serba buruk, yang tidak harus digunakan. Yang harus dilakukan oleh pihak kerajaan ialah penentuan kawalan yang boleh mengawal keadaaan masyarakat ke arah kebaikan. Penggunaan media sosial oleh pelajar-pelajar sepertimana yang dilakukan pada keadaan merebaknya penyakita Covid dulu adalah sesuau yang amat berguna. Tetapi masalahnya ialah apakah dia dapat digunakan dengan berkesan secara menyeluruh.

Menggunakan media sosial dengan berkesan memrlukan satu tindakan pihak berwajib yang bukan mudah. Kesan penggunaannya amat positif kepada si pengguna namun untuk merealisasikan kesan positif tentulah sesuatu yang bukan mudah juga. Amat enteng bunyi tindakan menggunakan komputer dalam pembelajaran namun untuk mendatangkan kesan yang positif kepada anak-anak kita tentunya memerlukan pengorbanan yang bukan kecil.

Apa yang dikata dan nasihat oleh Baginda Sultan Selangot itu amat tepat sekali. Biar aku turunkan kenyataan baginda bagi menampakkan kerisauan yang jeas bagi baginda khususnya yang berkaitan dengan isu yang berkaitan dengan isu kaum dan agama.

"The Selangor ruler, Sultan Sharafuddin Idris Shah, has expressed deep concern over the many hate postings and comments on social media, saying he is disturbed over the rising tide of issues of race and religion, as well as fake news."Petikan Malaysiakini'

Yang agak menyedihkan ialah apabila ahli parlimen (segelintir) menunjukkan 'kehebatan' mereka kepada anak-anak yang hadir untuk memerhatikan mereka 'beraksi' dalam perbahasan. Mungkin anak-anak itu merasa cukup hairan melihat perangai dan kelakuan pemimpin mereka yang bersikap sedemikian.Tentulah ada ibu bapa yang kurang berkenan untuk membenarkan anak mereka hadir di parlimen semata-mata untuk melihat kelakuan wakil yang berperangai demikian.

Keadaan sedemikian juga seharusnya mendapat teguran dari baginda Sultan Selangor. Mungkin juga para wakil parlimen 'menunggu' teguran dari pihak Baginda Sultan untuk mereka mematuhi cara mereka apabila berada di Parlimen khususnya apabila berhadapan dengan anak-anak pelajar.

Mungkinkah mereka menunggu teguran dari Baginda Sultan Perak pula?


abuhassanadam

12 Disember 2025


Wednesday, December 10, 2025

TAKUT PANAS TAK SAMPAI KE PETANG...... 

Sejujurnya dapat aku katakan bahawa sepanjang 'pencarian' aku di negara ini tidak terdapat seseorang yang boleh mnenanandingi kelibat Saudara Anwar Ibrahim. Maknanya tidak ada siapa yang boleh menandingi kehebatan beliau. Semenjak dari zaman persekolahan , zaman mudanya dan sehinggalah beliau menjadi seorang dewasa yang memimpin negara kita Malaysia.

Aku mencari dan terus mencari seseorang yang boleh menggantikan Saudara Anwar Ibrahim. Maksud ku yang boleh menyamakan kehebatan beliau. Tidak ada dan tidak berjumpa. Dengann sebab itulah agaknya anak-anak muda kini tidak mengenali Anwar Ibrahim sebenarnya. Mungkin mereka mengenali Anwar Ibrahim ketika beliau menghadapi tuduhan yang 'tidak masuk akal' yang diketengahkann oleh kepimpinan negara terdahulu.

Anak muda kini tidak pernah terjumpa 'manusia' seperti Anwar Ibrhaim. Lantas disebabkan mereka tidak pernah 'terjumpa' dengan Anwar Ibrahim maka tidak timbul perasaan hormat terhadap beliau. Aku berkata demikian kerana kerap kali 'terjumpa' anak muda yang tidak menunjukkan rasa hormat kepada beliau disebabkan anak muda kini tidak tahu tentang sumbangan Anwar Ibrahim kepada negara. Apa tidaknya. Bagi anak muda yang lahir pada tahun 2000, mereka tidak berpeluang melihat bagaimana kegiatan Reformasi yang berlaku.Mereka tidak tahun tentang perjuangan 'abang-abang' mereka 'mengharungi' kegiatan reformasi.

Anak muda di Malaysia kini perlu diketengahkan perjuangan reformasi yang dilancarkan oleh anak muda (kini sudah ramai yang tidak berada di dunia) pada ketika itu. Mereka tidak merasakan perjuangan pahit getir menentang pemerintahan yang agak kejam pada ketika itu. Anak muda yang  mengelarkan diri anak muda tidak tahu tentang perjuangan anak muda pada awal tahun-tahun 1990an dan awal 20an.

Kadang-kadang kita merasa hairan tentang bagaimana orang muda (atau pun pemimpin muda kini) tidak menunjukkan rasa hormat kepada Saudara Anwar Ibrahim berbanding dengan layanan yang diberikan oleh anak muda zaman reformasi. Satu peristiwa 'sedih' yang berlaku di parlimen dimana berlaku pertikaman lidah antara Saudara Anwar (sebagai Perdana Menteri) dengan salah seorang pembangkang. Kelihatan wakil pembangkang yang mana telah 'mempamerkan' satu keadaan yang agak jelek dimana si pembangkang tidak langsung menunjukkan rasa hormatnya kepada Perdana Menteri. Apakah sudah begitu menurun taraf seorang wakil rakyat yang langsung tidak menunjukkan rasa hormatnya kepada Perdana Menteri. Apakah sikap sedemikian dibenarkan yang tidak langsung menampakan rasa hormat kepada 'orang tua' yang juga Perdana Menteri.

Berdasarkan kepada keadaan yangg sedemikianlah, kita amat bimbang dengan apakah yang akn terjadi kepada negara ini apabila melihat keadaan sikap anak muda yang sudah agak jauh menyimpang daripada keadaan yang sepatutnya. Kita bimbang dengan keadaan anak muda yang sudah 'mampu' merangka pentadbiran negara akan datang khususnya dalam PRU ke 16.

Persoalan yang berada di hadapan kita ialah mengenai hala tuju yang hendak dibawa oleh golongan anak muda yang boleh menentukan masa depan negara pada masa akan datang. Keputusan PRU15 telah menampakkan kepada kita hala tuju yang hendak dibawa oleh para pengundi muda di sebelah Pantai Timur. Apakah kita merelakan perubahan yang hendak dilakukan berwajah demikian. Dan apakah masyarakat di Sabah dan Sarawak begitu yakin dengan perubahan-perubahan yang bakal dilaahirkan disana sesuai dengan keputusan pilihanraya yang diadakan baru-baru ini.

TAKUT PANAS TAK SAMPAI KE PETANG...... 

abuhasaanadam
10 Disember 2025

Friday, November 7, 2025

                                                     'FLASHBACK'

Puas aku mencari tajuk yang sesuai untuk artikel ini. Tajuk ini akan digunakan untuk artikel yang akan menjelang. Bahan-bahan yang akan diketengahkan adalah bahan-bahan yang biasa didedah dan di ketengahkan. Tidak ada yang luar biasa. Cuma yang cuba dicungkil adalah bahan-bahan yang biasa yang setiap pembaca tahu apa yang hendak disampaikan. Cuma yang membezakan adalah' persembahan'  sesuatu artikel itu dipersembahkan.

Lantas tajuk 'Flashback' terjelma dalam otak pemikiran aku dan akan digunakan. Untuk mengelak jangan timbul kekeliruan diperturunkan tentang istilah "FLASHBACK".A flashback is a literary device that occurs when an author depicts an event that has taken place

 Hari ini adalah hari kelahiran aku dan tentulah tidak ada sambutan hari jadi spertimana yang berlaku kepada anggota masyarakat di bandar. Yang ada hanyalah ucapan dan doa anak-anak . Amat memuaskan hati aku. Dan sejujurnya aku begitu kesunyian setelah 'pemergian' isteri ku beberapa bulan yang lepas.Seolah-olah kehidupan aku hanya lah sebagai menananti sesuatu yang tidak tahu bilakah 'peristiwa' itu akan berlaku. Bermakna aku tak tahu bilakah aku akan mengikut 'jejak langkah' arwah isteriku.Tentulah kehidupan aku seperti tidak ketentuan, bermakna semacam tidak bermatlamat kehidupan.

Dalam suasana sedemikianlah timbul satu perasaan tentang mengapakah aku membiarkan kehidupan ku berlalu dengan begitu sahaja. Maksudnya tentulah berfaedah kepada sesiapa yang ingin mengecapi kehidupan seperti yang aku lalui. Dan apabila aku mahu mula menulis satu perasaan menjelma di kepala ku. "siapalah agaknya yang akan membaca tulisan ku'. Perasaan sedemikian memberhentikan hasrat aku untuk terus menulis walaupun agak ramai juga yang menulis kepada aku meminta supaya aku terus menulis. Ada yang memujuk agar aku terus menulis. Ada yang memujuk aku agar jangan merajuk (bagi yang merasakan aku merajuk disebabkan sesuatu pristiwa).

Sebenarnya ratusan artikel telah aku hasilkan bermula pada tahun 1962 ia itu ketika masih dalam Tingkatan dua sehinggalah pada tah 2017. Menulis artikel sememangnya hobby aku. Rasanya memadailah perjuangan aku dalam lapangan sastera dan perjuangan ini. Tetapi yang menyebabkan aku terdorong untuk meneruskan lapangan yang aku minati ini adalah'gesaan' dan dorongan yang diberikan oleh 'anak-anak' yang sentiasa mengikuti perkembangan kegiatan aku terutama dalam lapangan penulisan. 

Sebenarnya aku terpengaruh dan begitu yakin dengan saranan agama Islam yang mengatakan bahawa tiga hal penting yang memberikan manfaat di alam barzakh iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh adalah faktor faktor yang dapat memberikan manfaat dan pertolongan selepas kematian seseorang. Aku amat  terpenraruh dengan saranan ini. Aku tidak dapat menyampaikan sedekah jariah kepada yang memerlukan kerana tidak mampu melakukannya. Yang pasti dapat aku lakukan ialah ilmu yang bernafaat.

Cukup sampai di sini.


abuhassanadam

7 Nov 2025



Wednesday, April 9, 2025

KELAS MENGAJI PAK HAJI SULAIMAN

Waktu mengaji quran di rumah Pak Haji Sulaiman bermula pukul 8.00 malam. Tapi pada pukul 5.00 petang aku dan beberapa orang kawan dah ‘bertolak’ dari rumah untuk pergi ke tempat mengaji di kampung Seberang. Tak jauh pun Kampung Seberang. Hanya ‘sepelaung’. ‘Seberang’ tu bermakna seberang bendang.  Kampung Keroh Hilir itu terbahagi dua; dibahagi oleh sawah padi milik orang kampung. Tak luas pun. ‘Sekankang kera’. Terdapat sebatang jalan kecil (sebenarnya batas bendang dijadikan jalan) menuju ke kampung Seberang. Sebelah kanan jalan, sawah kepunyaan Pakcik Talib . Sebelah kiri jalan pula milik Pak Man Alang Noh.

Lebih kurang pukul 5.15 petang, kami dah pun berada di pertengahan jalan. Di tengah bendang. Ani, Ngah, Mat Ropek, Basir, Toha semuanya dah berada di situ. Itu pun jikalau hari tak hujan. Jikalau hari hujan ataupun mendung, kami terus ke rumah Pak Haji Sulaiman. Tak singgah di tengah bendang dekat dengan pokok Dedalu,berhampiran dengan kolam ikan Pak Ngah Tengin.

Emak tak pernah tanya mengapa aku terlalu awal pergi mengaji di rumah Pak Haji Sulaiman sedangkan emak dan bapak tahu yang waktu mengaji bermula lepas Maghrib. Wan Meriam, emak saudara aku (ibu Ani, Ngah, Mat Ropek) juga tak pernah tanya. Agaknya mereka begitu yakin bahawa apa saja yang berkaitan dengan mengaji quraan ( hal yang berkaitan dengan agama Islam) tak perlu ditanya-tanya. Agaknya ler…

Anak murid Pak Haji Sulaiman agak ramai. Lebih kurang 60 orang. Dari sekecil aku (yang berumur lapan tahun ketika itu) hinggalah Abang Manap (arwah) yang pada ketika itu berumur lingkungan 16 tahun. Pendek kata seluruh kanak-kanak di kampung itu bergurukan Pak Haji Sulaiman. Malah ada yang datang dari Kampung Tanjung dan Kampung Pulau yang lebih kurang 2 kilometer jauhnya dari tempat mengaji. Pak Haji Sulaiman seorang sahaja yang mengajarnya.

ADi tangan Pak Haji Sulaiman sentiasa ada rotan. Sebesar jari kelingking. Gunanya rotan itu untuk merotan kami yang nakal dan juga untuk memberi isyarat. Biasanya isyarat pertama rotan dipukul ke atas lantai ialah untuk memberitahu ‘sesi’ akan bermula. Dan beraturlah kami (bersila) melalui tiga saluran dengan quraan di tangan masing-masing, bersedia untuk membaca dihadapan Pak Haji. Tiga orang membaca sederap. “Triple tasking’ untuk Pak Haji Sulaiman. Rotan akan dipukul ke lantai sebagai isyarat kedua untuk semua pelajar duduk rapat dengan dinding dan bersoal jawab mengenai agama. Rukun Islam, Rukun Iman, hal-hal yang membatalkan sembahayang dan lain-lain.

Tidak ada yuran pengajian dikenakan oleh Pak Haji Sulaiman. Percuma. Tidak sepertimana yang berlaku kini. Para ‘ulamak’ mengenakan bayaran ratusan ringgit untuk satu sesi pengajian. Ditambah pula dengan bayaran penginapan hotel sekiranya seseorang itu perlu bermalam. Dan tentunya hotel bertaraf empat atau lima bintang!...Tetapi Pak Haji Sulaiman tidak mengenakan sebarang bayaran. Sebagai balasan di atas tenaga yang diberikan oleh Pak Haji Sulaiman kepada kami, maka ibu bapa di kampung akan menghulurkan pertolongan kepada beliau dalam hal mengerjakan sawahnya atau apa-apa tugas yang dirasakan beliau memerlukan pertolongan.

Apabila sampai sahaja kami di tengah bendang, berhampiran dengan pokok Dedalu, maka di situlah merupakan stesen perhentian kami. Di situ juga ada sebuah kolam ikan kepunyaan Pak Ngah Tengin. Sambil memerhatikan ikan-ikan berkeliaran di kolam Pak Ngah Tengin, kami juga sedang menghirup bayu petang yang sepoi-sepoi bahasa di tengah sawah yang terbentang itu.

‘Permainan’ yang paling kami sukai ialah memerhatikan awan berarak di langit sambil mebentuk berbagai-bagai bentuk. Ada awan yang merupakan seperti seekor anjing atau harimau atau manusia. Maka ‘berlumba-lumba’lah kami menganalisis bentuk-bentuk yang terbentu di langit itu. Amat menyeronokkan. Dan besar kemungkinannya anak-anak zaman ini tidak faham dan tidak dapat langsung memahami dimana terletakknya ‘keseronokan’ yang aku gambarkan itu. Mereka tidak faham dan tidak akan faham.

Sebenarnya kanak-kanak (seperti aku dan yang sama ‘waktu’ dengan aku) pada ketika itu sentiasa ‘bergelumang’ dengan alam. Kami amat sebati dengan peredaran alam dan seolah-olah alam juga ‘simpati’ dengan keadaan anak-anak pada zaman itu. Hiburan aku pada ketika itu adalah apabila melihat daun kelapa yang melintuk liuk ditiup angin petang; mencium bau jerami padi yang terbakar hasil titik peluh Pak Ngah Manap. Dan hati ini pula akan merasa pilu dan hiba bercampur sayu meilhatkan matahari terbenam menjelang senja. Dan akan menjelma pula perasaan romantis apabila muncul sinaran bulan pada malam ‘bulan empat belas’.

Apabila terdengar saja bunyi kerantung ( ada yang disebut sebagai beduk) dari surau Seberang yang menandakan masuknya waktu Maghrib, maka kami pun sudah bersedia untuk bersama-sama Pak Haji Sulaiman untuk menunaikan fardhu Maghrib bersama beliau.

Aku doakan agar roh Pak Haji Sulaiman ditempatkan dikalangan golongan yang beriman. Amin.


abuhassanadam

9 April 2025


 

Sunday, April 6, 2025

 FITNAH MEMFITNAH HARUS DIHENTIKAN SEGERA

Dalam keadaan kemelut negara yang agak meruncing, kita selalu meletakkan sejuta harapan agar keadaan negara kembali seperti keadaan sedia kala walaupun sudah kelihatan ia akan berubah. Kita mengidamkan ekonomi negara tumbuh dengan segar sepertimana yang dapat kita perhatikan kini. Kita mimpikan keadaan hubungan antara kaum terus menerus dalam keadaan harmoni seperti mana yang pernah kita kecapi dalam tahun-tahun pada suatu ketika dulu - tahun-tahun 80an dan 90an. Kita mengharapkan agar suatu episod dalam sejarah Kesultanan Melaka akan berulang di negara kita yang tercinta ini. 

Hanya pisang yang tidak akan berbuah dua kali. Peristiwa sejarah silam mungkin berulang. Kalaupun tidak sama bentuknya, akan muncul pula dalam bentuk yang mirip-mirip sama. Teringat pula  tentang suatu episod sejarah dalam zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka yang perlu direnungi, tentang kisah Hang Tuah difitnah kerana  dikatakan berkelakuan sumbang dengan gundik raja. Maka Sultan telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah.

Kitab ‘Salalat al-Salatin’ menceritakan,

“ Maka fikir Seri Nara al-Diraja pada hatinya, ‘belum patut dosanya Hang Tuah ini aku bunuh.’ Maka disuruh sembunyikan oleh Seri Nara al-Diraja pada satu dusun, dipasungnya. Maka dipersembahkannya kepada raja, dikatakannya sudah dibunuh. Maka Sultan Mansur Syah pun diamlah.

Setelah sudah setahun lamanya, maka Hang Kasturi pun berkendak dengan dayang-dayang dipakai raja lagi kesayangan dalam istana. Maka Sultan Mansur Syah dan Raja Perempuan turun dari istana itu, pindah ke istana lain. Maka Hang Kasturi dikepung oranglah. Maka Sultan Mansur Syah pun duduk pada sebuah balai kecil. Maka Bendahara dan Penghulu Bendahari dan segala orang besar-besar dan orang kaya-kaya sekalian hadir mengadap. Maka orang mengepung Hang Kasturi itu penuh berlapis-lapis, seorang pun tiada dapat menaiki Hang Kasturi.

Maka oleh Hang Kasturi semuanya pintu istana dikuncinya, suatu di hadapan Hang Kasturi juga dibukanya. Maka batil, talam kerikal, dulang gangsa sekalian dikaparkannya di lantai. Maka di atas talam batil itu ia berjalan. Maka perempuan gundiknya itu pun dibelahnya mukanya lalu ke perutnya, maka ditelanjangnya. Maka Sultan Mansur Syah pun memberi titah menyuruh menaiki Hang Kasturi. Maka seorang pun tiada bercakap.

“ Pada zaman itu Hang Kasturi bukan barang-barang orang. Maka Sultan Mansur Shah pun mengenang Hang Tuah. Maka titah baginda,’ Sayangnya Si Tuah tiada. Jikalau Si Tuah ada, dapatlah ia menghapuskan kemaluanku.” Maka Seri Nara Diraja diam mendengar titah itu. Setelah dua tiga kali raja mengenang Hang Tuah, maka sembah Seri Nara Diraja, “Tuanku, pada pemandangan patik sangat behena Duli Yang Dipertuan mengenang Hang Tuah. Jikalau sekiranya ada Hang Tuah hidup, adakah ampun Yang Dipertuan akan dia?”

Maka titah Sultan Mansur Syah, ‘Adakah Si Tuah ditaruh Seri Nara al-Diraja?”

Maka sembah Seri Nara al-Diraja, ‘ Gila apakah patik menaruh dia, dengan titah tuanku menyuruh membuangkan dia? Sudah patik buangnkan.”Maka titah Sultan Mansur Syah, ‘ Adapun jikalau ada Si Tuah, jikalau seperti bukit sekalipun dosanya nescaya kita ampun juga. Pada bicara hati kita ada juga Si Tuah pada Seri Nara al-Diraja.”

Maka sembah Seri Nara al-Diaraja, “ Sungguh tuanku seperti titah itu. Tetapi titah Tuanku menyuruh membunuh Hang Tuah itu pada fikir patik tiada patut Hang Tuah dibunuh kerana dosanya. Maka oleh patik-patik pasung, kerana Hang Tuah bukan barang-barang hamba, takut ada perkataannya ke bawah duli kemudian hari.

Maka Sultan Mansur Syah pun terlalu sukacita mendengar sembah Seri Nara al-Diaraja itu. Maka titah baginda,’ Bahawasanya Seri Nara al-Dirajalah yang sempurna hamba.” Maka Seri Nara al-Diraja dianugerahkan persalin sepertinya. Maka titah Sultan Mansur Syah,’Segera Seri Nara al-Diraja menyuruh membawa Hang Tuah ke mari.”

Maka Seri Nara al-Diraja pun menyuruhkan orangnya memanggil (Hang Tuah). Maka Hang Tuah dibawa oranglah ke hadapan Sultan Mansur Syah.”

Kisah ini berakhir dengan satu trajedi sedih dimana Hang Tuah terpaksa membunuh sahabatnya sendiri demi untuk menyelamtkan negeri Melaka yang huru hara disebabkan tindakan Hang Kasturi ( Hang Jebat – mengikut setengah hikayat lama).

Aku coretkan kisah sejarah ini memandangkan sudah begitu lama kemelut  ( kisah fitnah memfitnah ) yang berlaku di negara kita berlarutan dan sudah sampai masa dan ketikanya memerlukan penyelesaian. Dan ‘ke barat, ke baruh, ke utara, ke selatan’ aku berjumpa dengan rakyat jelata, hampir sepakat mengatakan bahawa kisah fitnah memfitnah ini harus dihentikan.Tanyalah orang Melayu, tanyalah orang Cina atau India atau Iban, Kadazan maka jawapan yang diberikan oleh mereka adalah sama.

abuhassanadam

6 April 2025