KENA PANDAI CAKAP ‘ORANG PUTIH’!..
Pesan arwah bapak aku, ‘ orang Melayu kena pandai cakap ‘orang putih’. Malah kata-katanya itu diucapkan ratusan kali semenjak negara sebelum merdeka lagi. Maknanya sebelum tahun 1957 arwah sudah mula berkempen bukan sahaja kepada keluarga terdekat tetapi kepada orang kampung supaya menghantar anak mereka belajar di sekolah Inggeris. Dan dia ‘kotakan’ apa yang dia kata. Dia sekolahkan aku dan adik perempuan aku di sekolah orang putih.
Kadang-kadang bila aku merenung kembali tentang tindakan arwah bapa aku menghantar aku dan adik aku belajar di sekolah Ingeris, aku merasa hairan. Bapak aku sentiasa mengatakan bahawa dia lebih yakin kepada sekolah Inggeris pada ketika itu, zaman sebelum merdeka. Lantas beliau bertindak menghantar kami ke sekolah Inggeris walaupun pada ketika itu ( tahun 1950an) tidak ada lagi orang kampung aku yang berbuat demikian. Masing-masing ‘takut’ kalau anak-anak mereka memeluk agama Kristian!
Bapak aku kelulusan sekolah Arab. Begitu juga arwah ibu ku. Tetapi yang menyebabkan aku hairan ialah mengapa beliau bertindak sedemikian rupa, sehinggakan saat beliau hendak ‘meninggalkan’ kami pun, beliau masih berpesan agar anak-anak aku (cucu-cucunya nanti) dihantar ke sekolah Inggeris. “Mesti pandai cakap orang putih” pesannya. Ribuan kali diucapkannya sepanjang hayatnya.
Kini semacam aku mula menghayati kata-katanya itu ia itu tentang kepentingan Bahasa Inggeris, ia itu setelah aku terlibat dengan banyak seminar dan berbagai conference yang telah aku hadiri di luar negara. Barulah aku sedar tentang besarnya sumbangan bapak aku yang menghantar aku ke sekolah Inggeris dulu yang membolehkan aku berkomunikasi dengan bangsa lain menggunakan bahasa Inggeris. Sekiranya aku tidak tahu berbahasa Inggeris maka kehadiran aku di setiap seminar dan conference yang dihadiri tentulah tidak lebih daripada usaha memanaskan kerusi dan tentulah tidak ada sumbangan yang dapat diberikan.
Itulah keadaan yang dialami oleh para pegawai Malaysia yang tidak fasih berbahasa Inggeris ketika menghadiri persidangan antarabangsa. Pastinya mereka tidak dapat memberikan sumbangan yang bermakna, dan boleh dikatakan tidak langsung ‘bersuara’ kerana tidak boleh menyampaikan apa saja buah fikiran dalam Bahasa Inggeris. Dalam situasi demikian tentulah amat kurang sumbangan dari wakil Malaysia.
Hakikat bahawa ramai pegawai kerajaan (khususnya pegawai Melayu) yang tidak fasih berbahasa Inggeris harus diakui. Dan yang paling menyedihkan lagi bagi negara Malaysia ialah begitu ramai antara para menteri kita yang tidak yakin apabila menggunakan Bahasa Inggeris walaupun berkelulusan dari University luar negara. Dan kita ragu-ragu dengan kemampuan mereka menghujjah tentang sesuatu isu yang membabitkan negara sekiranya mereka tidak dapat menyampaikan buah fikiran mereka dengan berkesan. Itu keadaan yang mendapat didikan dan fasih berbahasa Inggeris. Bagaimana pula dengan pemimpin negara atau pun lebih tepat lagi ahli parlimen kita yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Keadaan sedemikiian seringkali kita perhatikan. Mereka lebih merupakan sebagai 'jaguh kampung'.
Aku tentulah teringat akan keadaan negara Malaysia ketika dibawah pimpinan para pemimpin yang berkeliber dan fasih berbahasa Inggeris. Kita dapat lihat bagaimana pentadbiran negara terdahulu yang dipimpin oleh Tun Mahathir, DS Anwar Ibrahim, TS Rafidah Aziz dan lain-lain yang sememangnya hebat berbahasa Inggeris.Pada ketika itu negara Malaysia amat dihormati di luar negara. Di mana saja pemimpin negara kita pergi dan menghadirkan diri sentiasa dihormati dan disanjung tinggi. Samada di World Economic Forum di Davos Switzerland atau pun di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu ataupun di UNESCO Paris, para pemimpin dan pegawai kita sentiasa ‘walking tall’. Malah DS Anwar Ibrahim pernah dipilih sebagai Presiden UNESCO pada tahun 1992.
Aku mula memberanikan diri memeperkatakan hal yang amat sensitif ini ialah apabila Ketua Menteri Sarawak, TS Adenan Satem pada suatu ketika dulu terang-terang mahu menitikberatkan penggunaan Bahasa Inggeris di Sarawak. Aku mula berani apabila TS Rafidah Aziz menampakkan ‘belangnya’ apabila beliau menyatakan bahawa ‘ speaking in English doesn’t make me less nationalistic’ (Malay Mail Onlne 18 February 2016). Beliau seterusnya menceritakan suatu ‘kisah’,
““How do we manage interacting with the private sector if we can’t converse in English, let alone write? I had people writing ‘benchmarking’, putting it as ‘benchmaking…We should look at equipping the young as assets of the country. When they have full command of English, that can take them anywhere in the world; it doesn’t make them less nationalistic”
Memberikan penekanan kepada Bahasa Inggeris bukan bererti kita mengenepikan Bahasa Melayu. Tidak sekali-kali. Dan telah pun ‘termeteri’ dalam perlembagaan negara bahawa Bahasa Melayu adalah sebagai Bahasa Kebangsaan. Maknaanya tidak akan hilang Bahasa Melayu dari bumi Malayisa yang bertuah ini. Tetapi persoalannya ialah Bahasa Melayu belum lagi dapat dijadikan bahasa antarabangsa seperti Bahasa Melayu yang menjadi Lingua Franca di kepulauan Melayu pada abad ke 15 dan 16 dahulu dimana para pedagang dari Arab atau India atau China menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perdaganngan.
Bukan tidak pernah Bahasa Melayu berada di kedudukan sehebat itu. Tetapi sebagaimana kata datuk nenek kita, ‘sekali air bah, sekali pasir berubah’. Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa perantaraan di seluurh dunia kini. Puas bangsa Perancis cuba mengenengahkan Bahasa Perancis di arena antarabangsa, namun Bahasa Inggeris tetap digunakan. Dan mahu tidak mahu samada Perancis atau Jepun atau orang Cina terpaksa mempelajari bahasa Inggeris demi untuk kemajuan bangsa mereka.
Menggunakan Bahasa Inggeris tidak bererti bahawa kita mendewa-dewakan Bahasa Inggeris. Namun bagi aku Bahasa Inggeris adalah seperti ‘ruyung’ bagi mendapatkan ‘sagu’. Untuk memperolehi ilmu pengetahuan dalam berbagai bidang terpaksa tahu menggunakan bahasa Inggeris kerana kebanyakan buku-buku ilmiah di dunia ini ditulis dalam bahasa Inggeris. Dan tidak pula aku mengatakan bahawa hanya menggunakan Bahasa Inggeris saja baru kita memperolehi ilmu pengethuan. Tidak pula begitu.
Gunalah bahasa apa pun asalkan ilmu dapat diperolehi. Cuma sehingga kini Bahasa Inggegerislah sebagai bahasa yang digunakan untuk mengetuk gedung ilmu yang ada. Dan bangsa Malaysia, khususnya orang Melayu terpaksa ‘berjalan seiring’ sekiranya kita mahu terus maju.
abuhassanadam
7 Mac 2025
No comments:
Post a Comment