Sunday, November 30, 2014


APAKAH NASIB ORANG MELAYU AKAN SEPERTI NASIB PAK KADUK ATAU LEBAI MALANG?

Walaupun sebahagian besar orang Melayu kini tidak mahu dikaitkan dengan imej ‘kemelayuan’nya dengan UMNO, namun masih tidak dapat lari dengan persepsi ramai yang mengatakan bahawa Melayu itu UMNO dan UMNO itu Melayu. Hakikat sedemikian terpaksa diterima, walaupun apa yang berlaku dalam Persidangan Agung UMNO baru-baru ini amat tidak sesuai dan tidak secocok dengan pemikiran dan amalan setengah Melayu kini.

Ini berkaitan dengan persepsi.

Melalaui perbincangan dengan beberapa orang rakan ( yang dahulunya ahli UMNO tulin) merasakan bahawa UMNO masih ditakuk lama, malah jika dibandingkan Persidangan UMNO pada tahun-tahun 1960an dan 1970an, maka dapat disimpulkan yang PAU pada ketika itu lebih baik dan bermakna ( berasaskan kepada keadaan politik dan sosial pada ketika itu).

Tentulah aku tidak menafikan kebaikan PAU pada kali ini. Ada. Namun masih tidak menampakkan sesuatu yang menyerlah, yang boleh ‘melekat’ di benak seseorang bahawa PAU pada kali ini ‘hebat!”. Tidak muncul perasaan sedemikian. Yang tetap ‘mempengaruhi’ pemikiran seseorang ialah bahawa perwakilan UMNO merasakan bahawa Negara ini dimiliki oleh orang Melayu semata-mata. Walaupun ada ‘suara-suara’ yang mengatakan bahawa Negara ini milik bersama, namun pada keseluruhan ucapan atau saranan masih lagi merasakan bahawa Negara ini milik Melayu. Melayu yang punya. Melayu itu. Melayu ini. Pendek kata tidak menampakkan tentang 'futuristik'nya UMNO itu. Tidak menampakkan arah tuju yang jelas. Dan tidak tahu dari segi mana 'fokusnya'. Kelam dan tidak bermaya.

Sebagai orang Melayu tulin keturunan sakai, aku tidak berapa secocok dan setuju dengan pandangan perwakilan UMNO (mungkin sebahgian). Aku merasakan seolah-olah perwakilan UMNO yang terdiri dari orang Melayu sudah melupakan adat dan tatasusila yang disemaikan oleh datuk nenek kita dahulu. Apa tidaknya.

Ada peribahasa yang ditinggalkan oleh mereka ia itu,’ sekiranya menarik rambut dalam tepung, seharusnya tepung tidak bertaburan…. Sekiranya memukul ular, tanah jangan lebam, kayu jangan patah dan ular yang dipukul biar mati..” Amat jelas pesan datuk nenek kita. Kemudian diajar juga agar jangan mengecilkan hati kawan dan biar bersopan ketika berkata-kata agar kawan rakan tidak ‘terasa’.


Aminuddin Baki menyeru supaya orang Melayu bergerak maju dan berjaya dalam negara yang kaya raya. Tidak pula dia menyinggung perasaan kaum lain di tanah air yang tercinta. Begitu juga pendita Zaba dan Dato Onn Jaafar sentiasa menyeru agar orang Melayu bergerak maju. ‘ Bangunlah dari tidur mu’ . Lebih kurang begitulah kata Zaba menyeru supaya orang Melayu maju dan tidak juga beliau ‘mengecilkan hati’ kaum lain. Malah kehebatan Dato Onn amat terserlah apabila dia mencadangkan pembukaan ahli UMNO kepada kaum bukan Melayu.

Aku rasa zaman ugut-mengugut dan zaman ancam-mengancam sudah jauh ditinggalkan. Zaman kini adalah zaman kerjasama antara satu kaum dengan kaum yang lain. Zaman bebaik-baik. Bertanding dan bersaing bukan lagi beradu senjata, keris dan parang tetapi bersaing dari segi akal dan fikiran.

Kini Pusat Dagangan Dunia Putera telah ‘sunyi’ kembali. Dan pulanglah segala ‘pahlawan’ yang terpekik dan terlolong selama beberapa hari di PAU berkenaan. Dan semasa dalam perjalanan pulang elok rasanya kita persoalkan semula tentang apa yang telah kita capai demi untuk memajukan orang Melayu supaya setanding dengan kaum-kaum lain di Malaysia kini. Betul yang PAU berkenaan telah ‘meletakkan’ semula akta Hasutan di tempatnya yang asal tetapi sebagaimana yang dikatakan oleh Pak Lah bahawa Akta berkenaan jangan digunakan untuk penerusan pemerintahan UMNO di Negara ini.

Aku masih bimbang yang nasib orang Melayu (bukan ahli UMNO semata-mata) akan menjadi nasib Pak Kaduk dan Pak Pandir atau Lebai Malang.

Untuk pengetahuan anak-anak muda zaman ini, eloklah mereka juga tahu dan memahami falsafah dan pengajaran dari cerita-cerita berkenaan. Walaupun berunsur jenaka, namun terdapat pengajaran dan falsafah yang berguna terselit dari pengajaan berkenaan, kerana itulah cara datuk nenek kita dulu memberikan pengajaran kepada anak cucunya. Di suruhnya berfikir secara mendalam tentang kisah-kisah itu. Dan tidak pula ‘dia’ mahu menyalahkan orang lain yang menyebabkan keadaan jadi sedemikian rupa.

Ramai para perwakilan ke PAU merasa begitu ‘puas’ setelah menghamburkan apa yang terselit dihati dan terpendam di perasaan. Apatah lagi setelah mendapat tepukan gemuruh dari para perwakilan ataupun berjaya meletakkan diri sebagai ‘maharaja lawak’ buat seketika. Namun para perwakilan harus juga menilai kesan-kesan yang ditinggalkan. Apakah semua orang Melayu di Malaysia bersetuju dengan apa yang diperkatakan dalam persidangan itu. Dan harus difikirkan juga bahawa anak-anak muda (Melayu) zaman ini adalah terdiri golongan intelek yang boleh berfikir dengan cara rasional dan dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruknya. Apatah lagi apabila pemikiran mereka tidak lagi berpaut kepada ‘traditional assumption’ yang pada pendapat mereka ‘sudah lapuk’.

Dalam hal ini aku nampak sekurang-kurangnya kepimpinan Pemuda UMNO agak faham dengan perkembangan yang ada sekarang berbanding dengan kedua-dua cabang wanitanya ( samada yang tua atau yang muda). Sekurang-kurangnya Saudara Khairi Jamaluddin telah melontarkan hasratnya untuk bergerak ke arah itu. Dan persoalannya lagi ialah apakah hanya beliau seorang yang akan bergerak sedangkan yang lain masih ‘khayal’ dan ‘berpeluk tubuh’.

Kesan yang paling besar ekoran daripada PAU kali ini ialah ‘kecederaan’ yang amat sukar diubati ia itu tergurisnya hati kaum-kaum bukan Melayu di Negara ini ekoran dari perbahasan yang langsung tidak memikirkan hati dan perasaan rakan dan taulan yang sama-sama membangunkan Negara ini. Seharusnya para perwakilan hannya menumpukan perbincangan kearah usaha untuk memajukan orang Melayu dengan mengemukakan kelemahan-kelemahan yang dilakukan oleh kerajaan (pimpinan UMNO)  disamping melontarkan berbagai usaha untuk memajukan orang Melayu.

Seharusnya perwakilan UMNO menyusur-galur semula apa yang telah diputuskan dalam perhimpunan PAU yang lalu dan melihat kembali sejauh mana perancangan itu telah dilaksanakan. Disamping itu perwakilan juga harus mengkeritik tindakan-tindakan yang dilakukan oleh kepimpinan dalam menerajui kepimpinan Negara. Tentulah ada cacat celanya. ‘Bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan laut mana yang tidak berombak’. Semacam amat kurang disentuh. Semacam ‘takut’ untuk mempersoalkannya….

Sebagaimana yang aku tegaskan bahawa kaum Cina dan kaum lain di Malaysia sedikit sebanyak ‘berkecil hati’ juga dengan kata-kata yang dilemparkan oleh para perwakilan. Sekurang-kurangnya mereka merasa ‘bersedih’ dengan kata-kata yang dihamburkan oleh setengah perwakilan UMNO itu, walaupun mereka amat sedar bahawa itu BUKAN merupakan suara hati orang Melayu di Malaysia secara keseluruhannya.

Abuhassanadam
London
30 November 2014

Saturday, November 29, 2014


BUKIT MERCU

Besok (30 November 2014) mereka akan mengadakan perjumpaan murid-murid tua di Kuala Kangsar. Selepas menghadiri khenduri kahwin anak Adenan. Begitulah kata ‘penggiat’nya, Rashidi. Dan mengikut kata Rashidi, beliau telah cuba untuk mengumpulkan seberapai ramai pelajar-pelajar (tingkatan enam -1977) yang belajar di Sekolah Menengah Bukit Mercu pada ketika itu. Disamping itu mereka telah menjemput juga guru-guru yang mengajar mereka pada ketika itu (yang masih ‘ada’) dan termasuklah aku. Namun aku telah memberitahu beberapa orang yang berkunjung ke rumah aku tempoh hari ( Saidina Omar dan isteri, Zainuddin, Zaki) yang aku tak dapat hadir kerana aku akan ke London.

Mungkin ramai yang tidak tahu dimana terletaknya Sekolah Menengah Bukit Mercu. Sebenarnya tak jauh dari Kuala Kangsar. Malah boleh dikatakan di Bandar Kuala Kangsar itu sendiri. Kononnya mengambil nama Istana Mercu yang pernah wujud di situ pada suatu ketika dulu. Tak tahu pula aku tentang Sultan yang mana yang pernah membangunkan istana di situ dulu.

Aku pernah di tempatkan di sekolah itu pada tahun 1977. Tidak lama aku di situ. Lapan bulan sahaja, tetapi meninggalkan kesan yang sungguh mendalam. Di situlah merupakan ‘tugas’ aku yang terakhir ‘bergelumang’ dengan murid-murid sekolah. Selepas itu aku telah ‘berkelana’ sebagai ‘nomad’ dari satu tempat ke suatu tempat ‘mencari sesuap nasi’.

Walaupun sekejap aku berada di situ namun aku masih terbayang keadaan di sekolah itu ketika aku masih mengajar di situ. Telah aku ceritakan sebelum ini bahawa yang menyebabkan aku merasa gembira berada di sini ialah ‘keselesaan’ aku menyampaikan pelajaran menggunakan loghat Perak. Boleh dikatakan ‘pengajaran dan pembelajaran’ yang aku sampaikan sentiasa ‘hidup’ dan ceria, walaupun mungkin ‘melanggar’ sedikit sebanyak tatacara penyampaian pengajaran dan pembelajaran. Tak kiralah…. Asalkan mereka seronok dan faham apa yang aku sampaikan.

Entah macam mana aku dilantik juga oleh Pengetua ( Allahyarham Tuan Haji Wan Mustafa) sebagai Guru Disiplin. Aku terima jugalah lantikan itu walaupun aku merasakan yang aku tidak sesuai memegang jawatan itu. Bagaimanalah aku nak jadi ‘polis’ kalau aku sentiasa ‘berdamping mesra’ dan ‘berlawak jenaka’ dengan pelajar-pelajar.

Satu peristiwa yang tidak dapat aku lupakan….walaupun banyak peristiwa lain yang menyeronokkan dalam masa lapan bulan berada di situ.

Zakaria ( bukan nama sebenar) adalah antara pelajar paling nakal di sekolah itu. Berada di Tingkatan Lima (tercorot sekali). Tidak berminat belajar tetapi meminati pelajaran Sejarah ( pelajaran yang aku ajar). Ke mana aku pergi (mengajar di kelas lain) Zakaria tetap ‘mengekori’ aku. Dia akan duduk (di atas lantai) di belakang kelas yang aku ajar.Pernah aku beritahu Pengetua tentang hal ini. Jawapan Pengetua ialah, “ ..biarlah cikgu asalkan dia mahu belajar’…”

Pada suatu hari, Cikgu Azizah Hamid (Guru Perpustakaan dan aku mendapat khabar beliau masih sihat ‘bergelumang’ dengan cucu-cucu) memberitahu aku yang  buku perpustakaan banyak yang hilang. Dicuri . Dan salah seorang yang dikenalpasti sebagai pencuri ialah Zakaria. Jadi Cikgu Azizah meminta aku ‘memujuk’ Zakaria untuk mendapatkan buku berkenaan.

Proses aku mendapatkan semula buku perpustakaan itu dari Zakaria tentulah panjang ceritanya. Ringkasnya buku yang dicuri dipulangkan semula oleh Zakaria. Dua kotak ‘susu cap junjung’. Empat puluh atau lima puluh buah buku kesemuanya. Aku telah memberitahu Pengetua sekiranya Zakaria memulangkan kesemua buku-buku ini aku memohon kepada Pengetua supaya Zakaria jangan dikenakan tindakan “Public Canning’’ dan hanya dikenakan denda biasa disebabkan ini merupakan kesalahan pertama.Pengetua setuju.

Tentulah banyak lagi cerita lucu dan menyeronokkan ketika berada di sekolah berkenaan. Kebetulan pula kehadiran aku di sekolah berkenaan adalah seperti ‘pinang pulang ke tampuk dan siirih pulang ke gagang’. Apa tidaknya. Kebanyakan guru-guru yang mengajar di situ hampir semuanya aku kenal rapat. Cikgu Hidzir, Ayat, Zam, Yunus, Kamaruddin,Halim, Azizah, Raja Teh, Zainal Badri, Nasaruddin dll. Dan yang menjadikan suasana di Bukit Mercu bertambah ‘hebat’ ialah secara kebetulan Mat Ha ( Dato’ Khairuddin Arshad) kawan se ‘Padang Rengas’ aku berpindah dari Lenggong ke SM Bukit Mercu. Pendek kata, bilik guru sentiasa ‘gamat’ dek gelak ketawa apabila sampai waktu rehat.

Rupanya keadaan sedemikian tidak lama. Aku harapkan ‘panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengah hari’. Pada bulan September tahun berkenaan aku telah didatangi oleh Dato’ Khlaid Abdul Halim ( Timbalan Ketua Nazir Persekutuan) untuk  ‘melamar’ aku bertugas di kementerian Pelajaran. Dan aku diminta berpindah dalam masa terdekat.

Dan untuk menjadikan cerita ini agak ‘dramatik’ ialah pada hari dan ketika aku ‘dilamar’ itu juga, telah berlaku suatu peristiwa yang agak menyayat juga, ia itu Pengetua telah membuat perhimpunann tergempar. Zakaria akan dirotan di khalayak ramai. Walaupun aku sedih dengan tindakan Pengetua itu tetapi mungkin juga dengan tindakan Pengetua itu telah menyedarkan Zakaria yang boleh mengubah perangainya sehinggakan kini menjawat jawatan sebagai pegawai Polis.

Namun begitu aku tidak menyaksikan peristiwa Zakaria dirotan di hadapan pelajar kerana berada di bilik Pengetua bersama dengan Dato’ Khalid.

Sememangnya aku tidak sampai hati melihat Zakaria dirotan sedemikian…….

Abuhassanadam
London
29 November 2014

Friday, November 28, 2014




“TANGAN GHAIB” MEMECAHKAN-BELAHKAN PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA

Aku nampak semacam ada ‘tangan ghaib’ yang cuba memecah-belahkan perpaduan rakyat di Negara ini. Lepas satu timbul pula satu lagi yang berunsur memecah-belahkan perpaduan rakyat. Dan yang agak pelik juga pada pandangan mata aku ialah seolah-olah kerajaan semacam tidak peduli tentang perkembangan yang berlaku di hadapan mata itu. Hendak aku katakan yang kerajaan tidak sedar tentang wujud keadaan sedemikian, tidak pula ada bukti kukuh yang boleh menyokong kenyataan  itu. Tetapi nampak semacam begitu. Mungkinlah akau tersilap membuat anggapan sedemikian.

Mungkin ‘tangan ghaib’ itu menggunakan ‘orang suruhan’ agar mengadu-domba satu kaum dengan kaum lain di Negara ini. Kini isu bangsa dan agama telah menjadi isu hangat diperkatakan yang mana isu ini tidak begitu ketara dibangkitkan sebelum ini. Ada semacam ‘arahan ‘ dari pihak-pihak tertentu agar  isu-isu ini diperhangatkan supaya jangan wujud keadaan ‘damai’ antara kaum-kaum di Negara ini.

Keadaan tidak menjadi ‘tegang’ sebagaimana yang diharapkan mungkin disebabkan rakyat Malayisa sudah matang dan boleh berfikir dengan secara rasional. Apa saja yang berbentuk provokasi dari pihak tertentu dilayan dan ditangani dengan tenang, memberikan gambaran bahawa usaha demikian tidak akan berkesan. Malah rakyat mentertawakan usaha-usaha yang cuba memecah-belahkan perpaduan ini.

Tentulah peranan media sosial bukan kepalang kesannya dalam membentuk pemikiran rakyat Malaysia kini. Media sosial telah menjadi pengimbang maklumat yang disalurkan melalui media arus perdana. Kadang-kadang ternampak jelas yang media arus perdana seolah-olah sengaja mahu menimbulkan keresahan dikalangan rakyat. Misalnya apakah perlunya persitiwa perbalahan kaum 13 Mei 1969 diungkit-ungkit kembali. Untuk apa dibesar-besarkan sekiranya ikhlas hasrat kita untuk memupuk perpaduan kaum. Mujurlah ramai rakyat Malayisa kini yang sudah menamatkan mendapatkan sumber berita daripada media arus perdana.

Isu perpaduan kaum adalah merupakan isu sensitive. Di Amerika Syarikat sendiri yang kononnya mengamalkan demokrasi tulin masih lagi menghadapi masalah dalam menangani isu perpaduan kaum antara kulit hitam dan kulit putih. Kita agak bernasib baik keadaan tidak terjadi seperti di Amerika disebabkan majoriti rakyat di Negara ini mahukan perdamaian dan perpaduan kaum. Dan hanya segelintir, sebahagian kecil yang nampaknya begitu gembira sekiranya wujud perbalahan kaum.

Kadang-kadang aku terfikir juga ia itu apakah pihak kerajaan kini sememangnya mahu mewujudkan dasar pecah dan perintah sebagaimana yang pernah dijalankan oleh penjajah British dulu. Mungkin tidak begitu.

Sejarah telah menunjukkan bahawa British sengaja membahagikan penduduk Negara ini supaya tidak wujud perpaduan erat antara tiga kaum terbesar. Melayu di kampung, Cina di Bandar dan India diestet. British merasakan bahawa itulah cara yang terbaik bagi mereka mengekalkan dasar penjajahan di Negara ini. Dan diletakkan syarat oleh British bahawa sekiranya tidak wujud perpaduan sebenar antara ketiga-tiga kaum ini, maka British tidak akan memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

British tidak terfikir yang pemimpin kita pada ketika itu mampu menyatukan kaum-kaum di Tanah Melayu dan lantas memberikan kemerdekaan di Negara ini. Dalam kesibukan menguruskan Negara ini dari segi pembangunan, kerajaan seolah-olah terlupa tentang soal perpaduan kaum dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Ketiga-tiga kaum masih berada dalam ‘kawasan’ masing-masing. Tidak ada interaksi secara telus dan benar antara kaum-kaum di Malayisa. Dan tidak ternampak usaha yang betul-betul gigih untuk menyatukan kaum-kaum di Malaysia.

Dan apabila berlaku Peristiwa 13 Mei 1969, maka kerajaan telah mengenalpasti punca sebenar yang menyebabkan berlaku perbalahan itu. Perpaduan kaum tidak diambil perhatian. Dan bermulalah usaha kearah memantapkan perpaduan kaum di Negara ini dengan memperkenalkan berbagai dasar. Pihak kerajaan boleh dikatakan berjaya dalam usaha sedemikian, walaupun terdapat cacat celanya. Namun berbanding dengan keadaan sebelum 1969, maka keadaan perpaduan kaum selepas itu dapat juga dibanggakan.

Kini seolah-olah perpaduan yang telah wujud itu seolah-olah mahu ‘diruntuhkan’. Seolah-olah ada ‘tangan ghaib’ yang cuba memecah-belahkan semula perpaduan antara Melayu, Cina,India ia itu tiga kaum terbesar di Negara ini. Dan yang malangnya ialah ada pihak-pihak tertentu yang digunakan untuk menimbulkan keresahan antara kaum itu. ‘Tentera upahan’ ini akan melakukan apa saja yang disuruh arah demi untuk mendapatkan ‘sesuap nasi’.

Aku rasa sudah sampai masanya ‘tentera upahan’ ini memikirkan secara mendalam akan peranan mereka yang boleh diperkotak-katikan oleh ‘tangan ghaib’ ini yang sengaja mahu menimbulkan keresahan dan perbalahan di Negara ini. Satu hakikat yang perlu disedari oleh pihak-pihak yang mengadu-dombakan kaum-kaum di Negara ini ialah bahawa sebahagian besar rakyat Malayisa ( 53%) adalah terdiri daripada rakyat yang berfikiran rasional dan mahukan perpaduan yang harmoni antara tiga kaum terbesar di Negara ini. Mungkin sebahgian kecil sahaja yang mahukan keadaan sebaliknya.

Majoriti rakyat Malayisa kini mahu menneruskan kehidupan sepertimana yang dilalui oleh rakyat di Negara-negara maju seperti Singapura, Hong Kong, Jepun,  dan bukan lagi kehidupan zaman Feudal seperti mana yang pernah dilalui oleh datuk nenek kita dahulu.

Sedarlah…….


Abuhassanadam
London
28 November 2014

Tuesday, November 25, 2014


DARI ULU MENGKUANG KE BRYANSTON SQUARE LONDON

Semalam aku pergi ‘melawat’ semula pejabat lama di 44-45 Bryanston Square London di mana pada suatu ketika dahulu terletaknya Malayisan Student Departmen UK &Eire (Jabatan Penuntut Malaysia UK &Eire). Dah tutup. Dah pindah ke tempat lain. Dekat Bayswater. Kehadiran aku di Bryanston Square hanyalah sebagai melawat ‘memory lane’.

Aku berdiri di atas tangga menghala ke Malaysia Hall sambil mendongak ke tingkat 3, dimana terletaknya pejabat aku pada suatu ketika dahulu. Pejabat pengarah MSD yang bertugas untuk menjaga hal ehwal pelajar-pelajar Malaysia yang berada diseluruh UK &Eire. Pada ketika itu, ada terdapat 92 orang kakitangan ( pegawai dan petugas sokongan) untuk menjaga kebajikan pelajar Malaysia yang berjumlah lebih kurang 35,00 orang ( 1995-1998).

Sambil merenung ke atas, fikiran aku menerawang menjangkau ke tahun-tahun 1960an ketika aku bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang, Selama Perak. ‘Jauhnya perjalanan hidup ku’ kata hati kecil ku. Tentulah tidak terfikir oleh aku pada ketika mengajar darjah 1 di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang dulu yang aku akan bertugas sebagai Pengarah jabatan kerajaan di London. Memang jauh panggang dari api. Memang tidak pernah terfikir. Tidak pernah terlintas langsung!!…( bukan nak bermegah-megah. Tidak sekali). Hanya Allah yang mentukan segala-galanya.

Aku tidak pernah belajar di Tingkatan 4. Pendidikan formal aku hanya setakat Tingkatan 3. Terlalu miskin untuk menyambung pelajaran ke Tingkatan 4 ( walaupun di tempatkan ke aliran sains) dan demi untuk memberi peluang kepada adik meneruskan pelajarannya. Aku dapat merasakan bahawa arwah bapa pasti tidak termampu untuk membiayai pelajaran dua orang anak (aku dan adik) yang belajar di sekolah Inggeris ketika itu. Salah seorang terpaksa berkorban. Aku ‘mengundur diri’.

Dengan hanya berkelulusan LCE (Lower Certificate of Education) aku diterima masuk ke DTC ( Day Training Centre Taiping – maktab perguruan ) yang kemudiannya membolehkan aku menjadi guru di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang, Selama Perak, sebuah kawasan pendalaman ( enam batu dari jalan raya yang menghubungkan pekan Selama dengan Sungai Bayor) yang pada ketika itu hanya dihubungi melalui jalan tanah merah dengan menaiki basikal.

Lima tahun aku berada di UM ( Ulu Mengkuang). Dan aku bertekad ia itu sekiranya aku mahu berpindah pastinya tempatnya ialah di  UM ( University Malaya) juga. Doaku dimakbulkan Allah. Dalam masa lima tahun berada di desa pingitan itu, dapat aku menyempurnakan hasrat aku menamatkan Peperiksaan Senior Cambridge dan Higher School Certificate. Bersendirian.

Ini yang pernah dikata dan dipesan oleh datuk nenek kita,
  • Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih
  • Jikalau tidak dipecah ruyung, dimana akan dapat sagunya.
  • Sikit-sikit lama-lama menjadi bukit

Dan banyak lagi peribahasa Melayu yang boleh dijadikan panduan. Menceritakan kejayaan memanglah seronok tetapi tujuan aku memaparkan cerita sebegini adalah untuk merangsang anak-anak muda (Melayu terutamanya) supaya berani, dan bersemangat waja dan  jangan sekali-kali berputus asa dalam melakar hidup yang penuh dengan pancaroba. Jangan hanya pandai berkata-kata ‘ kita boleh’ tetapi hendaklah membuktikan yang ‘kita sememangnya boleh’.

Ringkas cerita, masuklah aku ke University Malaya tahu 1971 dan graduate tahun 1973. Setelah lulus ditawarkan untuk berkhidmat di Sekolah Menengah St Patrick Kulim, Kedah. Aku menolak atas sebab yang sekolah itu terletak dibandar. Aku mahu mengajar anak Melayu miskin di luar Bandar yang keadaan mereka serupa dengan apa yang aku alami. Ini tidak bermakna yang aku tidak mahu mengajar anak Cina atau India. Bukan….

Hanya beberapa hari sahaja di Sekolah Menengah St Patrick Kulim, aku ditukarkan ke Serdang, Kedah. Kononnya itulah sekolah yang paling ‘luar bandar’ di Kedah selain dari Mahang ( pada ketika itu). Mana-mana pun aku terima. Tiga tahun di Serdang aku minta ditukarkan ke sekolah di kawasan kampung aku ( daerah Kuala Kangsar). Aku ditempatkan di Sekolah Menengah Bukit Mercu, Kuala Kangsar. Status luar Bandar juga.

Yang paling menyeronokkan aku mengajar di Bukit Mercu ialah aku dapat menggunakan loghat Perak ketika mengajar.Dan pelajar-pelajar pun begitu seronok dengan cara demikian. Rupa-rupanya sesuatu yang menyeronokkan itu tidak akan bertahan lama. Hanya tujuh bulan berada di situ, aku telah ‘ditarik’ ke Kementerian Pelajaran Malaysia. Dan bermulalah kehidupan aku sebagai ‘nomad’ yang berpindah dari satu bahagian ke suatu bahagian lain. Semuanya kehendak Allah….

Tujuh bulan sebagai Nazir Persekutuan aku telah dipindahkan ke Lembaga Peperiksaan Malaysia. Dan tiga bulan berada di Lembaga Peperiksaan telah dihantar untuk berkursus di Eduactional Testing Service, Princeton, New Jersey USA. Pengalaman aku di luar Negara bertambah apabila dihantar berkursus di Innovation and Technology in Education, Manila.Pengalaman yang paling bermakna juga ialah apabila berkursus di Seoul Korea Selatan (Central Official Training Institute).

Yang paling aku merasa bahagia sekali ialah apabila aku dapat tawaran melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di Stanford University, Palo Alto, California, USA.

Aku tidak pernah menceritakan kisah ini walaupun pada anak-anak aku. Mungkin mereka hanya mendengarnya secara ‘bits and pieces’. Tapi aku merasakan bahawa elok juga aku tuliskan kisah ini, kalau-kalau mungkin ada anak-anak di luar sana yang terangsang dengan ‘penderitaan’ yang aku alami ini dan ‘kebahgiaan’ yang aku kecapi kini.

Yang ingin aku sampaikan ialah bahawa, setiap impian dan cita-cita itu pasti akan dimakbulkan oleh Allah sekiranya kita bersungguh-sungguh melakukannya. Sentiasa solat dan berdoa.Semua harapan dan impian akan ditunaikan Allah. Hanya masa yang menentukan.

Aku mohon maaf kepada yang agak ‘terganggu’ dengan coreta aku kali ini kerana seolah-olah mendabik dada menonjolkan diri. Tidak sekali-kali niat aku begitu…….

Abuhassanadam
London
25 November 2014

Monday, November 24, 2014


UNGKAPAN ‘MELAYU AKAN SEPERTI RED INDIAN’ ADALAH UNGKAPAN LAPUK

Seingat aku, kenyataan dan ingatan yang mengatakan bahawa ‘orang Melayu akan menjadi Red Indian’ adalah kenyataan ‘lapuk’ dan amat tidak sesuai digunakan lagi pada Kurun ke21. Ingatan sedemikian telah berkali-kali dilaung-laungkan semenjak tahun 1960an untuk menakut-nakutkan orang Melayu supaya terus menerus bergantung kepada UMNO yang dikira satu-satunya ‘penyelemat’ yang menyelamatkan orang Melayu dari terus tenggelam di bumi bertuah ini.

Dan realitinya orang Melayu masih belum maju berbanding dengan kaum lain di Negara ini. Dan kita masih meletakkan kesalahan kepada orang Cina dan lain-lain yang menyebabkan orang Melayu mundur. Kita masih memekik dan terlolong menuding jari kearah orang lain yang menjadi punca kelemahan orang Melayu itu.

Apakah ‘puas’ hati  setengah NGO yang kononnya memperjuangkan orang Melayu itu apabila dapat ‘menempelak’ kaum lain yang menyebabkan keadaan orang Melayu jadi begini. Apakah mereka tidak sedar bahawa tindakan sedemikian sedikit sebanyak melukakan hati kaum lain yang juga merupakan rakyat Malaysia yang sah tinggal di Negara ini. Apakah golongan NGO sedemikian tidak terfikir bahawa tindakan mereka itu telah ‘meruntuhkan’ hasrat pemimpin lampau yang mahu mewujudkan sebuah Negara yang bersatu padu di mana semua kaum dapat hidup dengan aman dan damai. Apakah sememangnya hasrat mereka supaya wujud perbalahan antara kaum di Negara ini sepertimana yang pernah berlaku dulu. Apakah begitu hasrat mereka?

Dan ingatan ‘jangan orang Melayu seperti Red Indian’  masih lagi kedengaran diulang dan kali ini oleh ‘tokoh’ yang bukan ‘kepalang’ ialaitu bekas Ketua Hakim Negara. Apabila ‘orang besar’ berkata demikian bermakna ternampak dengan jelas ada yang tidak kenanya mengenai pemerintahan BN yang ada sekarang. Bermakna bahawa orang Melayu masih mundur seperti zaman sebelum merdeka. Bermakna bahawa orang Melayu masih ketinggalan dalam lapangan pelajaran. Bermakna bahawa orang Melayu masih duduk di ceruk-ceruk kampung yang tidak langsung mengikuti perkembangan yang ada di bandar. Bermakna orang Melayu masih bodoh, tongong, bahlul dan boleh diperkotak-katik oleh kaum lain di Negara sendiri. Bermakna juga bahawa orang Melayu masih berada di bawah sistem feudal.

Jikalau ditanyakan, apakah yang menyebabkan orang Melayu akan terpinggir? Pihak kerajaan harus juga dipersalahkan. Misalnya dalam hal yang berkaitan dengan ‘tanah rizab Melayu’, maka dengan jelas bahawa  pihak berkenaanlah yang ‘melonggarkan’ syarat yang termaktub dalam soal ‘Malay Reservation’. Pihak British sekurang-kurangnya ‘berhati perut’ juga untuk menjaga kepentingan orang Melayu dengan mengenakan syarat agar tanah kepunyaan orang Melayu tidak dengan senang terjual kepada bangsa asing. Sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan tanah orang Melayu. Sekurang-kurangnya orang Melayu tidak menjadi kaum Red Indian yang terpaksa lari ke pinggir hutan.

Aku tidak ada statistik yang boleh menunjukkan berapa banyak tanah yang terlindung dibawah syarat ‘Malay Reservation’ yang telah ‘dilonggarkan’ syarat itu demi kepentingan pembangunan. Hakikat ini yang sebenarnya yang boleh dijadikan faktor yang boleh ‘menghambat’ orang Melayu ‘berhijrah’ ke hutan belantara seperti Red Indian. Aku tidak pasti samada projek mega Iskandar di Johor itu merupakan tanah ‘Malay Reservation’ asalnya. Jikalau betul begitu, maka rakyat Johor yang terpinggir itu merupakan antara kumpulan yang boleh dianggap sebagai Red Indian sebagaimana yang didakwa oleh bekas Ketua Hakim Negara itu. Dan tentunya bukan rakyat Johore sahaja. Di negeri-negeri lain pun ada wujud keadaan sedemikian. Mungkin….

Aku juga tidak pasti samada kenyataan bekas Ketua Hakim Negara itu sebagai kenyataan ikhlas yang betul-betul mahu melihat orang Melayu maju ataupun hanya kenyataan politik yang kebiasaanya dibuat terutama menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO. Walau bagaimanapun disebabkan oleh jawatan yang disandangnya sebelum ini maka kenyataanya perlu juga diambil perhatian.

Beliau mengatakan, “Malays are in danger of becoming "Red Indians" in their own land if PAS and Umno do not cooperate to defend the government from DAP and PKR, former chief justice Tun Abdul Hamid Mohamad warned today.He said that should Pakatan Rakyat take over Putrajaya, PKR and PAS would not be able to "control" DAP the way Umno "controlled MCA and Gerakan's ambitions"."Malays will become Red Indians in their own land. Trust me, the threat towards Malays now has never been this serious in the history of the race”petikan dari artikel,’Malays will be like Red Indians if PAS and UMNO don’t cooperate, warns ex-Chief Justice” 23 November 2014.
Kenyataannya yang mengatakan, ‘Trust me, the threat towards Malays now has never been this serious in the history of the race’ adalah sesuatu yang ‘menakutkan’. Sekiranya betul apa yang dikatakan oleh bekas ketua hakim Negara ini, maka dengan jelas apa yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan selama ini adalah sia-sia belaka. Bermakna apa yang diperjuangkan oleh UMNO adalah sebagai usaha ‘menghabiskan bogheh (beras)’ semata-mata.
Oleh itu maka apakah agaknya penyelesaiannya? Apakah motif sebenarnya bekas ketua hakim Negara ini melontarkan pandangan sedemikian. Apakah saranannya supaya UMNO dan PAS bekerjasama itu akan dapat mengubati ‘penyakit’ yang dihadapi oleh orang Melayu? Sekiranya itu sahaja ‘ramuan’ yang dicadangkan, maka UMNO dan PAS sudah pun bekerjasama sebelum ini. Malah ada pun pelantikan jawatan menteri dari PAS. Dan orang Melayu masih belum maju juga……
Aku merasakan ‘the crux of the issue’ ( maaf, cakap orang putih sikit! ) ialah para pemimpin Melayu harus ikhlas dalam melaksanakan apa juga agenda untuk memajukan orang Melayu. IKHLAS….Jangan hanya pandai berkata-kata dan melakukan sesuatu tindakan seperti hanya ‘melepaskan batuk di tangga’. Jangan diharapkan para perwakilan UMNO untuk membuat keputusan. Semenjak zaman berzaman mereka hanya sebagai pak turut yang akan mengikuti apa yang diputuskan kepimpinan.

Mungkinlah Persidangan UMNO kali ini akan kelihatan perubahan yang drastik yang akan dicetuskan oleh anak muda yang progresif. Mungkin….

Abuhassanadam
London
24 November 2014

Sunday, November 23, 2014


JAWAPAN PERSOALAN DS NAJIB : SERAHKAN KEPADA GOLONGAN MUDA PROGRESIF

Sepatutnya sudah lama DS Najib mempersoalkan persoalan ini tentang dimana silapnya kepimpinan beliau yang menyebabkan keadaan terjadi demikian. Sekiranya persolan ini ditangani lebih awal maka tentulah tidak terjadi ‘tsunami’ seperti yang berlaku pada tahun 2008 dan 2013 dimana BN kehilangan 2/3 majoriti di parlimen. Mungkin sudah disedari oleh kepimpinan pada ketika itu tentang ‘barah’ yang sudah menjalar, namun disebabkan oleh sikap ‘selesa’ yang diamalkan oleh kepimpinan di semua peringkat menyebabkan hal sedemikian tidak ditanngani dengan berkesan.

Tepat apa yang dikatakan oleh DS Najib itu di majlis perasmian konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan pada 23 November 2014 itu. Tepat sekali apabila beliau mempersoalkan, ‘ where we have gone wrong?” Di mana silapnya. Adakah disebabkan oleh parti UMNO terlalu sibuk untuk menangani masalah dalaman parti sehingga tidak ada masa untuk berkhidmat kepada masyarakat yang memungkinkan hilangnya sokongan kepada UMNO atau pun mungkinkah disebabkan parti ini hanya mementingkan kroni semata-mata dan mengabaikan anggota masyarakat lain.

Kenyataan DS Najib itu selari dengan apa yang disuarakan oleh Timbalanya apabila beliau menyuarakan yang UMNO kena berani melakukan perubahan. Mungkin begitu agaknya nada dan bunyinya ‘seruan’ TS Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO kepada perwakilan UMNO yang akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tidak lama lagi sebagaimana dinyatakan olehnya melalui artikel dalam Malaysian Insider berjodol,’ Change or be changed, Muhyiddin warns UMNO’ bertarikh 22 November 2014.

 “I am saying that we have reached a rather critical stage, if no change or renewal appears to be happening, the concern is that we will lose…. the signs are clear in front of us.….never forget that Umno’s rise and growth was to champion bangsa, agama, negara …..that has never changed…..our methods can be a little different but the message is the same.” Petikan dari Malaysian Insdier bertarikh 22 November 2014.

Apakah baru kini kepimpinan menyedari bahawa UMNO sudah berada dalam keadaan  ‘seperti telur di hujung tanduk. Namun apakah persoalannya lagi ialah apakah kepimpinan akar umbi menyedari keadaan sedemikian. Adalah amat dikhuatiri yang kepimpinan di peringkat bawahan menyedari tentang hakikat ini. Malah di peringkat kepimpinan nasional pun masih ada yang tidak menyedarinya dan masih mahu terus ‘menegakkan benang basah’ sekiranya isu sebegini diketengahkan untuk diperdebatkan. Kerana keangkuhan setengah pemimpin UMNO inilah yang menyebabkan ramai ‘pejuang lama’ dalam UMNO meninggalkan parti ini. Bukan kerana tidak sayangkan UMNO tetapi agak ‘meluat’ dengan cara kepimpinan yang agak ‘lapuk’.

UMNO seolah-olah kehilangan ‘focus’. Perjuangan menegakkan bangsa, agama dan Negara kelihatan seperti dikesampingkan. Hanya sebagai slogan kosong. Saban hari asyik menyalahkan orang lain yang menyebabkan orang Melayu mundur. Orang Cina sentiasa menjadi sasaran. Tentulah ada juga kesalahan yang dilakukan oleh kaum Cina yang menyebabkan Melayu mundur tetapi berapa lama lagi kita perlu menyalahkan orang lain yang menyebabkan orang Melayu mundur. UMNO seolah-olah tidak langsung mahu menyalahkan diri sendiri yang menyebabkan orang Melayu masih berada di takuk lama itu. Sikap sedemikian harus dibuang. Kita harus bersaing secara sihat.

Sudah lama kenyataan tegas sebegini ( dari DS Najib dan TS Muhyiddin Yasssin) ditunggu-tunggu oleh ahli UMNO yang merasakan bahawa kepimpinan yang ada kini sudah agak ketinggalan zaman. Mungkin keadaan ‘mereka’ yang sudah ‘ketinggalan zaman’ itu tidak disedari oleh golongan berkenaan. Mungkin mereka merasakan bahawa mereka masih lagi ‘relevan’ dalam senario politik tanah air yang menyebabkan mereka masih tidak mahu melepaskan teraju kepimpinan yang mereka pegang dan masih berpaut teguh.

Aku tidak mengatakan yang umur menjadi kriteria untuk berundur kerana ada terdapat pemimpin yang sudah berumur tetapi masih ‘relevan’ dalam zaman globalisasi ini. Sebaliknya ada juga terdapat golongan muda yang dianggap tidak sesuai ‘wujud’ dalam zaman globalisasi ini dan golongan ini perlu berundur juga. Serahkan kepimpinan secara ikhlas kepada pelapis yang progresif yang betul-betul memahami kehendak zaman ini.

Saudara Khairi Jamaluddin selaku pemimpin Pemuda UMNO harus bangun dan pembawa obor baru yang benar-benar tegas dan kental untuk membangunkan bangsa Melayu. Hendaknya janganlah menjadi pak turut semata-mata. Kepimpinan pemuda harus berani menunjuk jalan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin pemuda era Syed Jaafar Albar, Saadun Zubir, Harun Idris, Anwar Ibrahim.

TS Muhyiddin Yassin ada juga menyentuh tentang isu Pemuda dan Puteri dalam ucapannya apabilau menyatakan, “But there’s a perception that they are no longer like in the old days when they used to come forward if any issue was raised and act as a pressure lobby.” Seharusnya pihak Pemuda dan Puteri khususnya mengambil kenyataan itu sebagai satu cabaran untuk mereka bergerak membawa obor memajukan bangsa Melayu yang menjadi ters perjuangan UMNO.

Era ini adalah era orang muda yang proresif dan bukan lagi zaman ‘belia’ era 60an yang asyik mendendangkan lagu pop yeh yeh dan tidak juga zaman ‘pemudi’ yang masih merasakan bahawa mereka masih berada di tahun-tahun 1950an dan 1960an. Zaman sedemikian sudah berlalu. Golongan yang agak jumud ini seharusnya memberi peluang dan pembuka jalan kepada golongan yang akan ‘bersepak terajang’ pada kurun ke 21.

Itu saja carannya bagi UMNO menebus kembali kegemilangannya di bumi bertuah ini. Aku rasa begitulah………

Abuhassanadam
23 November 2014
London

Saturday, November 22, 2014


RUPANYA NELSON MANDELA JUGA ‘MASUK JAWI’

Entah macam mana sedang aku membaca buku karangan Richard Stengel berjodol,’ Mandela’s Way, Fifteen  Lessons on Life,Love, and Courage’ terserampaklah aku dengan keterangan yang menceritakan bahawa Nelson Mandela juga ‘Masuk Jawi’. Menarik juga penjelasannya. Digambarkan bagaimana seorang demi seorang kanak-kanak yang sebaya dengan Mandela ketika itu, seorang demi seorang berbaris menyerahkan ‘anu’nya kepada ‘Tok Mudim’ untuk ‘disembelih’. Dan setelah ‘anu’ mereka dipotong, maka mereka akan menjerit ‘aku telah menjadi seorang lelaki’. Tidak pula dijelaskannnya peristiwa berkenaan dalam bahasa Afrika. Di kampung aku peristiwa berkenaan dinamakan ‘Masuk Jawi’.

Jangan tanya aku mengapa peristiwa berkenaan dinamakan ‘Masu Jawi’. Semenjak aku kecil dan kini dah ‘tua-merenta’ itulah namanya.Hanya kadang-kadang dipersendakan oleh kanak-kanak dengan mengatakan mengapa tidak disebut ‘Masuk Rumi’. . Hingga kini masih dipakai oleh orang kampung aku , walaupun sudah ramai yang menggunakan perkataan ‘bersunat’.

Hanya beberapa jam sahaja sebelum aku bertolak ke London baru-baru ini, aku telah mendapat panggilan telipon dari rakan lama aku. Namanya tercatat dalam telipon bimbit aku. Nama sebenarnya Mat Saad tetapi dalam telipon bimbit aku tertulis nama Mat…..Biasalah…Bagi sesiapa yang bernama Mat akan adalah panggilan-panggilan lain dihujung nama Mat. Namun untuk menghormati Arwah ibunya yang memberikan nama yang elok untuk beliau, aku tak mahu mendedahkan nama gelarannya….

“ Kene (kenal) tak suara ini” Tanya Mat setelah aku menyambut salamnya.

“Takkan lah aku tak kene (kenal)…orang kuat kampung’ jawab aku.Dan diikuti dengan deraian ketawanya.

“ 30 haribulan sebelas, kami nak buat khenduri besor (besar). Nak masuk jawi cucu aku. Ada anak orang lain juga nak numpang. Lima belas orang kesemuanya. Jangan tak balik….Tiga ekor kambing tumbang. Ada gulai nangka, gulai rebung, ikan masin, sambal tempoyak ulam petai…..’ sambungnya lagi.

Mahu rasanya aku membatalkan saja penerbangan aku ke London. Namun apakan daya. Hanya beberapa jam saja lagi aku akan bertolak. Semua persiapan sudah teratur untuk dibawa bersama ke rumah anak aku di sana.

Terlalu berat hati aku untuk menyatakan yang aku tidak dapat hadir majlis ‘Masuk Jawi’ cucunya kerana bersungguh benar nampaknya dia menjemput aku. Namun begitu aku dengan bahasa yang paling teratur (supaya tidak mengecilkan hatinya dan kawan-kawan lain yang ‘sewaktu dengan aku’ di kampung) aku menjelaskan yang aku tidak dapat hadir. Mat faham. Tetapi hati  aku ini yang amat berat tidak menghadirkan diri di khenduri berkenaan.

Khenduri ‘Masuk Jawi’ di kampung aku amat meriah. Tidak banyak bezanya dengan khenduri kahwin. Ada yang ‘menumbangkan lembu’ untuk mengadakan khenduri ‘Masuk Jawi’. Aku teringat ketika bapa mengadakan khenduri ‘masuk Jawi’ untuk aku suatu ketika dulu. Memang meriah. Seluruh orang kampung dijemputnya. Walaupun tidak menyembelih lembu, namun beberapa ekor kambing yang dibelanya sendiri ‘tumbang’ juga.

Rupanya tradisi mengadakan majlis khenduri ‘Masuk Jawi’ secara besar-besaran masih berlangsung di  kampung aku, walaupun ada juga yang telah menggunakan khidmat klinik di Padang Rengas untuk menjalankan acara bersunat. Tak ramai. Orang kampung aku masih menggunakan khidmat ‘Tok Mudim’ juga yang disifatkan oleh mereka sebagi ‘berkesan’. Aku tak tahu apa yang dimaksudkan oleh mereka sebagai ‘berkesan’!.....

Sebenarnya upacara ‘Masuk Jawi’ itu adalah kemuncak khenduri yang diadakan. Aku masih ingat bagaimana pada paginya diadakan majlis khatam quraan, menandakan yang aku telah tamat mengaji Quraan dengan Pak Haji Sulaiman. Bukan sebarang Khatam!....Aku dan Karim ( rakan aku masuk jawi) dipakaikan dengan pakaian seperti anak Arab Bedwi. Berjubah. Macam anak Arab di padang pasir. Aku dan Karim diarak dari rumah Pak Haji Sulaiman ke rumah aku. Kami dijulang. Disamping itu rakan-rakan yang mengiringi kami itu menyanyikan lagu nasyid,Meriah betul. Agaknya seluruh keluarga aku, terutamanya Opah dan Atuk aku amat bergembira melihat yang aku sudah khatam Quraan. Dah ‘Graduate’…..

Selepas Zohor, setelah semua jemputan menikmati makan tengah hari, maka bermulalah upacara ‘Masuk Jawi’. Aku dan Karim disuruh mandi di sungai. Dikuti oleh rakan-rakan sebaya dengan aku. Tujuannya supaya ‘anu’ kami menjadi kebas disebabkan kesejukan air sungai (pada ketika itu). Agak lama juga kami mandi di sungai dalam suasana yang sungguh meriah.

Dari sungai kami dijulang lagi untuk pergi ke rumah dan terus ke tempat ‘penyembeliahn’. Perasaan takut tetap ada. Luka ditangan nampak darahnya, inikan pula luka ‘di anu’ tu…..

Abuhassanadam
22 November 2014
London



            

Thursday, November 20, 2014


APAKAH BENAR MELAYU TERANCAM?

Akhbar ‘The Star’ bertarikh 20 November 2014 membawa tajuk, “UMNO delegates to speak their mind at assembly”. Melihat tajuknya sepintas lalu memberikan gambaran kepada aku bahawa itu merupakan perkembangan yang amat baik bagi parti UMNO kerana para perwakilannya telah diberikan kebebasan untuk menyatakan hasrat apa yang terkandung dalam pemikiran mereka. Dan tidaklah lagi para perwakilan terkongkong untuk menyatakan sesuatu mengenai keadaan orang Melayu kini, terutama yang berkaitan dengan kelemahan orang Melayu dalam berbagai bidang yang belum dapat diselesaikan oleh UMNO yang merupakan tunjang kepada Barisan Nasional yang memerintah Negara ini semenjak beberapa puluh tahun yang lalu.

Setelah membaca seterusnya berita berkenaan, barulah aku sedar bahawa tanggapan aku salah. Para perwakilan rupanya tidak akan membincangkan tentang keadaan orang Melayu yang seperti ayam yang ‘mati di kepuk padi’ dan seperti itik ‘yang mati kehausan di air tenang’. Mereka tidak akan membincangkan tentang kenaikan harga minyak yang menyebabkan harga barang melambung naik dan menyusahkan kehidupan orang Melayu yang miskin. Para perwakilan juga tidak akan membincangkan tentang wang Negara yang berkemungkinan ‘lesap’ sepertimana yang pernah dialami oleh Negara ketika Skandal BMF pada awal 1980an dulu. Dan para perwakilan juga rupanya tidak mebincangkan tentang kegiatan rasuah yang bermaharajalela yang dilakukan oleh setengah pemimpin mereka. Mereka juga rupanya tidak akan ambil pusing tentang teguran bekas pemimpin mereka, Tun Mahathir yang menegur tentang berbagai perkara terutama yang berkaitan dengan perjalanan sistem pendidikan Negara. Dan para perwakilan juga tidak akan diberitahu tentang kemungkinan orang Melayu akan berinjak ke pinggir hutan setelah kemampuan mereka untuk membeli sebuah rumah dibandar diluar kemampuan mereka.

Malang sungguh nasib orang Melayu…..

Rupanya apa yang aku paparkan di atas bukan merupakan perkara yang harus dibincangkan oleh perwakilan UMNO nanti. Rupa-rupanya isu berkenaan bukan merupakan isu yang ‘merunsingkan’ ahli UMNO di seluruh Negara mengikut apa yang dipaparkan oleh akhbar ‘The Star’. Rupanya isu yang aku  paparkan di atas bukan isu yang membabitkan orang Melayu keseluruhannya. Dengan sendirinya memberikan gambaran kepada aku bahawa orang Melayu sudah tidak ada apa yang perlu dibincangkan mengenai diri mereka kerana semua perkara telah dibereskan oleh kerajaan terutama dengan pemberian BRIM sudah cukup untuk memberikan orang Melayu tidur nyenyak dengan buaian mimpin yang indah-indah. Agaknya begitulah…..

Rupa-rupanya yang sangat membimbangkan orang Melayu kini (terutama di kampung-kampung agaknya) ialah tentang usaha-usaha pihak tertentu yang kononnya cuba menggugat Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kedudukan agama Islam, kedudukan orang Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu. Dan para perwakilan UMNO akan mengkeritik pihak pemerintah kerana tidak begitu tegas dalam menangani isu-isu ini, walaupun kononnya kelihatan terdapat usaha-usaha untuk memperkecilkan peruntukan dalam perlembagaan Negara ini disamping mempersoalkan juga mengenai ketegasan pihak kerajaan menguatkuasakan Akta Hasutan.

Sebagai orang Melayu ‘tulin’ keturunan orang asli, mungkin agaknya mataku ‘buta’ dan ‘pekak’ kerana tidak dapat melihat ‘ancaman’ yang begitu serious terhadap orang Melayu terutama ancaman terhadap agama Islam, kedudukan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu. Setahu aku apa yang disentuh ini adalah merupakan ‘isu Pakatan Murni’ antara tiga kaum terbesar di Negara ini (Melayu, Cina, India) untuk mencapai kemerdekaan dulu (1957). Malah Lord Reid, yang merupakan arkitek merangka Perlembagaan Persekutuan pada  ketika itu telah diberi ‘pesan’ bahawa isu-isu ini adalah teras kepada kewujudan Negara Malaya yang merdeka.

Dan seingat akulah, tidak pernah lagi ada usaha-usaha kaum lain ( Cina dan India) untuk menggugat kedudukan orang Melayu, Bahasa Melayu, agama Islam dan Raja-Raja Melayu. Malah seingat akulah, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan oleh Tun Abdul Razak pada awal 1970an mendapat sokongan dari pemimpin kaum lain, sedangkan DEB itu jelas bertujuan untuk memajukan orang Melayu. Kaum lain faham tentang semangat muhibbah dan kerjasama yang perlu diamalkan dalam Negara seperti Malaysia demi kesinambungan kesejahteraan Negara ini.

Oleh hal yang demikian, mengapakah diheboh-hebohkan tentang kononya agama Islam terancam. Mengapa ditimbulkan isu yang kononnya orang Melayu tergugat. Dan apakah benar yang kedudukan Raja-Raja Melayu telah dipersoalkan kewujudannya oleh kaum lain. Bagi aku kedudukan perkara-perkara ini adalah amat kukuh dalam perlembagaan kita seperti kukuhnya Banjaran Titiwangsa. Maknanya tidak akan siapa yang berani menggugatnya. Pendek kata seseorang yang cuba menggugatnya akan terpaksa ‘melangkah mayat orang Melayu’ terlebih dahulu.

Orang bukan Melayu tahu dan faham hakikat ini kerana kewujudan mereka dan datuk nenek mereka sudah begitu lama berada di Negara ini dan tidak ada sebab mengapa mereka akan mengancam dan menggugat isu-isu yang sudah termaktub dengan jelas yang dirangka oleh datuk nenek kita dahulu.

Rakyat Malaysia yang perihatin tahu dan faham bahawa pemimpin UMNO sentiasa menggunakan ‘fear paradigm’ untuk ‘menakut-nakutkan orang Melayu supaya akan terus menyokong mereka. Dan sebagai salah satu usaha UMNO juga ialah untuk menjadikan ‘bayang-bayang’ sebagai satu reality demi untuk menyembunyikan isu sebenar yang dihadapi oleh orang Melayu kini. Selagi tektik sedemikian digunakan oleh UMNO, maka aku khuatir selagi itulah orang Melayu akan terus berada ‘di takuk’ lama.

Mungkin…….

Abuhassanadam
20 November 2014
London

Wednesday, November 19, 2014


KENYATAAN TUN MAHATIR : SEOLAH-OLAH MENTERI JUGA TIDAK YAKIN KEPADA SEKOLAH KEBANGSAAN

Apakah para perwakilan UMNO yang akan bersidang tidak berapa lama lagi faham dan mengerti bahawa telah terdapat kecacatan yang ketara dalam sistem pendidikan di Negara kita kini sebagai mana yang disuarakan oleh Tun Mahathir dalam blognya yang berjodol,’Malaysian Education” bertarikh 17 November 2014.

Rakyat Malaysia sentiasa “didendangkan” dengan lagu-lagu merdu yang mengambarkan bahawa sistem pendidikan di Negara kita adalah bertaraf dunia dan antara yang terbaik di Asia Tenggara. Kita tidak menafikan tentang beberapa kemajuan yang telah dicapai oleh kita, namun jika dibandingkan dengan pencapaian di Negara-negara lain di Asia, perkembangan pendidikan Negara kita agak terkebelakang.

Telah banyak kali disuarakan oleh beberapa golongan yang tahu menahu mengenai pendidikan di Negara kita bahawa sistem pendidikan di Negara kita amat memerlukan pemerhatian yang serious memandangkan terlalu kerap kita mendengar kritikan-kritikan di luar yang mempersoalkan tentang sistem pendidikan kita dari sudut yang negatif. Kebocoran kertas soalan UPSR dan pengenalan peperiksaan PT3 menggantikan Peperiksaan Menengah Rendah telah menimbulkan keriuhan yang bukan kepalang dari kalangan masyarakat. Namun pihak berwajib terus melaksanakan apa yang ingin dilakukan. Seolah-olah mereka tidak peduli tentang sungutan yang disuarakan oleh masyarakat. Seolah-olah mereka berkata,’ awak apa tahu……”

Golongan yang berada di kota-kota mula mengorak langkah ‘menyelamatkan’ pendidikan anak-anak mereka. Ini termasuklah para menteri dan timbalan menteri yang sedar bahawa anak-anak mereka perlu diselamatkan dari ‘malapetaka’ yang akan menimpa. Hakikat ini telah diakui sendiri oleh Tun Mahathir yang mengatakan, ‘Then the ministers’ children, against national policy started going to private schools and international schools which use largely English as the teaching medium. The ministers also send their children to public (actually private) school in the UK. So followed the children of the rich.The result is that the rich go to private schools in Malaysia and U.K while the poor go to national schools at home”

Berdasarkan kepada kenyataan Tun Mahathir yang mengatakan bahawa para menteri juga menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah persendirian yang berbayar dan ‘meninggalkan’ sekolah-sekolah kebangsaan menampakkan seolah-olah bahwa para meneri juga tidak berkeyakinan kepada sekolah kebangsaan.Sekiranya mereka betul-betul yakin kepada apa yang mereka rangka (melalui perbincangan dalam mesyuarat kabinet mereka) pastinya mereka tidak meninggalkan sekolah kebangsaan untuk ‘berhijrah’ ke sekolah-sekolah persendirian.

Sekolah-sekolah persendirian dan sekolah antarabangsa sedang tumbuh seperti cendawan selepas hujan di kawasan-kawasan elit samada di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang, Johor Bharu dan tempat-tempat lain dimana ‘berkumpul’nya golongan berada. Golongan yang berada kini, tidak kira Melayu, Cina atau India pasti akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah berkenaan walaupun yuranya yang begitu tinggi. Demi untuk masa hadapan anak-anak, mereka sanggup membelanjakan wang yang begitu banyak. Jelas menampakkan yang kebanyakan mereka sudah tidak berkeyakinan lagi kepada sekolah aliran kebangsaan. Mungkin…..

Dan apabila Tun Dr. Mahathir sendiri ( Mantan Perdana menteri dan pernah juga menjadi Menteri Pendidikan pada suatu ketika dahulu) mengakui yang cucu-cucunya belajar di sekolah persendirian dengan jelas menunjukkan kurang yakinnya (anak beliau) terhadap sistem pendidikan Negara. Kenyataannya,’ I must confess that although my children all went to national schools, my grandchildren all go to private schools in the country and abroad’

Dan yang menyedihkan ialah golongan yang berpendapatan rendah samada di bandar-bandar ataupun di kampung-kampung yang terpaksa berpuas hati dengan keadaan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan. Dan yang menyebabkan kita merasa ‘sebak di dada’ ialah yang golongan berpedapatan tinggi dapat menikmati pendidikan bertaraf ‘global’ sedangkan golongan yang ‘kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’ itu terpaksa berpuas hati dengan ‘pemberian’ oleh kerajaan. Kesannya sebagaimana yang dikatakan oleh Tun Mahathir ialah, ‘…the rich now speak in English and the poor in Malay, Chinese or Tamil. Jobs favour the English Speakers.’

Dan tidak hairanlah sekiranya kita kerapkali mendengar tentang peratus pengangguran dari kalangan pemuda Melayu amat tinggi berbanding dengan kaum lain di Negara ini. Anak Melayu dari kampung hanya menerima pendidikan dari aliran kebangsaan yang tidak begitu mahir menggunakan bahasa Inggeris sedangkan penekanan untuk mendapatkan pekerjaan adalah penguasaan Bahasa Inggeris yang baik. Kesannya akan ketinggalanlah anak Melayu miskin di kampung dan hanya mengharapkan pekerjaan yang terhad yang dapat disediakan oleh pihak kerajaan.

Malangnya nasib bangsaku. Rupa-rupanya apa yang ‘ditangisi’ oleh Aminuddin Baki pada suatu ketika dulu masih lagi menjadi tangisan orang Melayu miskin kini.

“AYAM MATI DI KEPUK PADI, ITIK KEHAUSAN DI AIR TENANG’

abuhassanadam
19 November 2014
London

Tuesday, November 18, 2014


APA GUNANYA PARLIMEN JIKA TIDAK BERFUNGSI SEBENARNYA?

Dari jauh aku  terbaca artikel dalam Malaysiakini berjodol,’ MPs fume as TPPA queries go unanswered’ bertarikh 17 November 2014.Sebagai rakyat yang perihatin, walau dari mana sekali pun hati ini tetap ‘berada’ di Malaysia dan pastinya mengikuti dengan teliti apa saja perkembangan yang berlaku dalam Negara, terutama yang berkaitan dengan kesejahteraan bangsa dan Negara.

Biark aku petik kenyataan Malaysiakini yang menyebabkan aku merasa tersentak. “Several Pakatan Rakyat MPs today were once again left frustrated after Deputy International Trade and Industries Minister Hamim Samuri refused to answer questions on the Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA) in the Dewan Rakyat.”

Membaca kenyataan di atas teringat pula aku tentang istilah “COP’ yang sering digunakan dalam permainan ketika kanak-kanak dulu. Rupa-rupanya di Parlimen Malaysia juga boleh digunpakai konsep ‘COP” sedemikian. Rupanya ‘dibenarkan’ sekiranya seseorang Menteri atau Timbalan Menteri tidak mahu menjawab soalan yang dikemukakan oleh wakil-wakil parlimen. Dan Timbalan Speaker pula membenarkan Timbalan Menteri berkenaan meneruskan tanpa menjawab soalan yang dikemukakan Ttidak hairanlah jikalau ramai yang menyesuaikan tindakan Timbalan Menteri berkenaan dan tindakan Speaker sebagai “Malaysia Boleh”!!

Nampaknya ‘fenomena’ tidak menjawab soalan di parlimen sudah merupakan ‘penyakit’ yang berjangkit. Dan ‘wabak’ ini sekiranya tidak dibendung dengan segera akan menjadikan Parlimen kita tidak berfungsi menepati erti kata sebenarnya. Di laporkan sebelum ini tentang Timbalan Menteri Kewangan YB Chua Tee Yong yang enggan menjawab soalan yang berkaitan dengan 1 Malaysia Development Berhad (MDB). “COP” lagi.

Rakyat pastinya memerhatikan keadaan ini dengan penuh hairan.Tentu rakyat tertanya-tanya tentang ‘perubahan’ yang drastik yang berlaku dalam parlimen Malaysia khsuusnya dan di Negara kita amnya ia itu tugas dan peranan seorang Menteri dan Timbalan Menteri. Apakah tugas dan peranan seorang Menteri itu hanya untuk melawat kawasan banjir atau melawat rumah terbakar atau membuka rasmi sesuatu pesta sahaja? Atau apakah tugas seorang Menteri atau Timbalan Menteri itu hanya untuk pergi bercuti ke luar Negara apabila tiba bila bulan Disember atau waktu cuti sekolah.

Aku merasakan bahawa keengganan Timbalan Menteri untuk tidak menjawab soalan yang dikemukakan oleh wakil rakyat adalah sesuatu yang amat malang bagi negara Malaysia yang tercinta. Tindakan sedemikian adalah amat tidak bertanggung jawab dalam suasana apa sekalipun. Tidak ada jawapan yang boleh diketengahkan bagi mewajarkan tindakan sedemikian rupa. Dan rakyat seharusnya bertindak agar perbuatan sedmemikian dikutuk sekeras-kerasnya. Dan apakah perwakilan UMNO yang besidang tidak lama lagi akan merestui tindakan Timbalan Menteri ( dari UMNO) yang bersikap sedemikian rupa. Ahli UMNO turut mendapat malu dengan tindakan sebegitu.

Pada  kebiasaannya tindakan untuk mengelak dan tidak menjawab sesuatu soalan adalah disebabkan kebodohan atau kejahilan seseorang mengenai sesuatu isu. Apakah betul anggapan rakyat begitu terhadap Timbalan Menteri yang bersikap demikian? Maka jawapan yang patut dicadangkan kepada Timbalan Menteri sedemikian adalah untuk mengemukakan surat peletakan jawatan kepada YAB Perdana Menteri.

Rakyat amat kecewa tentunya dengan sikap Timbalan Menteri sedemikian. Memalukan. Bukan sahaja memalukan Parlimen Malaysia tetapi Negara Malaysia sendiri. Terlantiknya mereka sebagai Menteri atau Timbalan Menteri adalah untuk berkhidmat kepada Negara sepertimana yang ditugaskan kepada mereka. Dan salah satu tanggungjawab yang diseerahan tentuya menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan masalah negara. Sekiranya mereka tidak dapat memberikan penjelasan mengenai sesuatu isu berkaitan dengan  Negara demi kepentingan rakyat, maka tentulah kehadiran mereka di parlimen tidak memberikan apa-apa makna lagi.

Dan yang anihnya pula ialah tentang sikap yang ditunjukkan oleh pihak Timbalan Speaker pula yang seolah-olah semacam ‘lepas tangan’ dalam menangani  keadaan sedemikian. Sebagaimana yang dilaporkan oleh Malaysiakini,’ Ismail also said that he had no powers to demand answers from the deputy minister” Sepatutnya Timbalan Speaker mendesak agar Timbalan Menteri memberikan jawapan sebagaimana yang dikatakan oleh YB Charles Santiago, wakil Klang, “…who stood up demanding that the speaker instruct the deputy minister to answer the questions”  Malaysiakini  17 November 2014.

Melihatkan keadaan yang sebegini yang berlaku di parlimen Negara kita, tentulah amat jauh lagi ‘perjalanan’ kita untuk menggelarkan Negara sebagai negara maju yang bertaraf dunia. Apa yang kita lakukan ‘masih tak serupa orang…’ maknanya amat berbeza dengan keadaan di Negara maju seperti Amerika Syarikat atau United Kingdom atau Negara-negara maju yang lain. Tak usahlah hendaknya kita mendabik dada mengatakan yang kita telah maju bertaraf dunia. Malu….

Rakyat Malaysia malu adalah disebabkan tindakan setengah pemimpinnya………

Abuhassanadam
18 November 2014
London