Saturday, January 14, 2017

ISU RASUAH DI MALAYSIA -  IBARAT ‘GURU KENCING BERDIRI MURID KENCING BERLARI’

         Dapat aku bayangkan tentang kebimbangan dan kerisauan yang dialami oleh banyak orang di Malaysia kini yang sedikit sebanyak terlibat dengan kegiatan rasuah. Aku yakin ramai pemimpin negara dan para pegawai tinggi kerajaan yang tidak berapa lelap tidur memikirkan nasib yang akan menimpa mereka. Mungkin hanya menununggu ‘hari baik dan bulan baik’ untuk rumah mereka diserbu oleh pegawai SPRM. Dan tentulah mereka juga faham dan sedar tentang lumrah alam ia itu ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’.

         Peribahasa ini harus disedari dan dihayati oleh mereka yang belum lagi terlibat dengan kegiatan rasuah. Bermula dari Perdana Menteri sehinggalah Menteri-Menteri dan Pegawai tinggi kerajaan harus sedar tentang hakikat ini. ‘Pembalasan’ di dunia akan sampai juga lambat laun. Hanya masa yang menentukan. Sepandai mana ‘tupai melompat’ akhirnya pasti jatuh ke tanah juga. Sebijak mana pun perasuah ini cuba menyembunryikan diri namun akan ‘terserlah’ juga kegiatan mereka yang terkutuk itu.

         Aku terasa sedih membaca berita pegawai tinggi kerajaan kita yang terlibat dengan kegiatan rasuah berkenaan. Sebagai golongan ‘warga emas’ aku dapat merasakan derita yang dialami oleh ‘tokoh’ yang dilibatkan dengan kegiatan rasuah itu.

         Tidak dapat aku bayangkan betapa ‘terhina’nya keluarga ‘tokoh’ yang terlibat dengan rasuah itu. Bayangkanlah, dalam usia yang sedemikian, yang sepatutnya berada ‘diambang’ untuk merehatkan diri setelah ‘bertungkus lumus’ (kononnya!) berkhidmat untuk negara, tiba-tiba nasib yang sedemikian yang menimpa. Bukan lagi tilam empuk dan bilik berhawa dingin yang menanti dan menunggu tetapi sesuatu keadaan yang tidak pernah terbayang di hati perasuah sedemikian.

         Apakah erti kekesalan dalam keadaan yang sedemikian. Ini yang dikatakan ‘sesal dahulu pendapatan dan sesal kemudian tiadak berguna’. Tentulah tidak terfikir ‘tokoh’ yang menenerima rasuah, yang memiliki harta yang melimpah ruah, wang berjuta disamping barangan-barangan yang berjenama mewah terjerumus dalam keadaan yang amat terhina.Apalah ertinya wang berjuta apabila ‘ditenggelamkan’ dalam keadaan sedemikian. Apakah erti hidup bagi ‘tokoh’ yang mengalami keadaan sedemikian.

         Untuk menambah peritanya derita yang dialami tentulah keluarganya ( yang turut bersalah) dan yang tidak bersalah. Jikalau pun anggota keluarganya turut bersubahat dengan keadaan sedemikian, tentulah ibu dan bapa yang tua di kampung tidak dapat dipersalahkan kerana ‘mendidik’ anak yang sedemikian.

         Tentulah keadaan yang sedemikian tidak diinginkan oleh ibu bapa yang mendidik anak semenjak dari kecil. Tentulah berbagai nasihat dan pengajaran yang telah dicurahan oleh si ibu dan si bapa agar anak menjadi manusia yang berguna dan bukannya menjadi perasuah dan ‘makan wang haram’. Tentulah sejarah hitam akan terus berpanjangan sehingga melangkau beberapa generasi yang akan datang. Dan kisah ‘hitam’ sebegini akan terus disebut dan diingati sehingga beberapa dekad yang akan datang.

·      Apakah ibu bapa kepada perasuah boleh lena dan dapat melelapkan mata pada waktu malam apabila mengenangkan anak didikannya berada di dalam lokap dan berkemungkinan akan terus berada di penjara suatu ketika nanti.
·      Apakah ibu bapa kepada perasuah dapat mengelakkan diri dari cemuhan masyarakat ekoran daripada tindakan anak (perasuah) yang tidak berhati perut.
·      Apakah anak atau cucu kepada perasuah dapat merasa tenang ketika berada di sekolah, apabila berhadapan dengan rakan-rakan sekolah yang tahu kisah ‘pencurian wang’ yang dilakukan oleh datuk nenek mereka.
·      Dan yang paling menyedihkan lagi ialah apabila ada anggota keluarga yang sanggup bersubahat dan terus melakukan kegiatan rasuah yang dilakukan oleh bapa mereka. Dan ada juga terdengar tentang kisah isteri pegawai tinggi yang perasuah itu adalah merupakan seorang guru.
·      Ke manalah agaknya hilang pedoman dan ‘perjuangan’ seorang guru yang sepatutnya menjadi contoh dan cermin masyarakat, membiarkan sang suami bermaharajalela ‘membaham’ wang rakyat yang merupakan titik peluh petani dan nelayan. Apakah tidak merasa berdosa dan bersalah ketika ‘mendidik’ anak-anak di sekolah?
        
         Rakyat Malaysia sedar dan faham bahawa kegiatan menerima rasuah dan pembaziran merupakan satu fenomena yang lumrah di Malaysia kini. Kegiatan sedemikian seolah-olah sudah menjadi perkara biasa dan ‘darah daging’ dikalangan pemimpin negara dan pegawai tinggi kerajaan di Malaysia. Saban tahun Ketua Audi Negara membentangkan keteresan yang berlaku dalam perbelanjaan wang negara oleh kementerian-kementerian di Malaysia. Seolah-olah apa yang disuarakan oleh Ketua Audit Negara itu dipandang sepi oleh pihak-pihak tertentu.

         Terjadi kegiatan rasuah yang berleluasa ini mungkin juga didorongkan oleh prinsip ‘Kepimpinan Melalui Teladan’. Mungkin juga disebabkan oleh para pemimpin negara yang sudah tidak segan silu melakukan kegiatan yang terkutuk ini telah menyebabkan pemimpin bawahan dan pegawai kerajaan negara ini sudah tidak segan silu lagi melakukan kegiatan sedemikian. Mungkin…

         Mungkinkah suatu ketika nanti negara ini diberi gelaran Negara Rasuah? Aku sentiasa memikirkan tentang nasib anak cucu aku yang akan datang yang terpaksa menanggung beban hutang yang membebankan.

abuhassanadam

15 Januari 2017