Saturday, February 7, 2015

KENYATAAN TG HAJI HADI – IBARAT RETAK MENUNGGU BELAH

Aku teringat ketika aku masih kanak-kanak dulu. Ada seorang kawan aku sentiasa melafzkan kata-kata seperti yang diperkatakan oleh TG Haji Hadi itu apabila beliau ditanya tentang samada dia mahu bersama atau tidak untuk pergi ke suatu tempat. Jawapannya hampir sama dengan apa yang disuarakan oleh TG Haji Hadi, ‘….Terpulang kepada saya nak hadir ke, tak hadir….”

Aku tidak pula mengatakan yang TG Haji Hadi berperangai seperti kanak-kanak. Dan kebetulan TG Haji Hadi juga menyatakan, ‘….Saya bukan anak murid sekolah, kita tengok dululah….” Namun apa yang dapat aku perhatikan bahawa tindakan TG Haji Hadi itu tidak menampakkan ketokohanya sebagai seorang pemimpin yang dewasa yang matang dalam menjelaskan sesuatu apatah lagi kredibilitinya sebagai seorang pemimpin parti berasaskan Islam di negara ini.
Sebagai seorang pemimpin yang berada dalam satu pakatan maka TG Haji Hadi seharusnya berfikrian sebagai satu pakatan yang memperjuangkan sesuatu berdasarkan persefahaman dalam suatu pakatan. TG Haji Hadi semangnya boleh mengikut sesuka hatinya sekiranya beliau bukan Presiden PAS, sekiranya beliau hanya seorang nelayan dari Rusila Terengganu, sekiranya TG Haji Hadi seorang guru agama pondok. Tetapi secara kebetulan TG Haji Hadi adalah seorang ketua parti PAS maka kehendak ahli perlu di hormati.
Dengan sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin PAS ini maka mungkin rakyat merasa lega kerana negara ini tidak jatuh ke tangan PAS sekiranya begitu tindakan pemimpinnya. Dan mungkin juga pemipin PAS yang lain tidak sebegitu sikapnya. Mungkin. Mungkin ramai lagi pemimpin PAS di luar sana yang begitu rasional dan matang sikap mereka untuk memimpin parti yang sudah sekian lama wujud di negara ini.
Kenyataan TG Haji Hadi yang mengatakan,’ “Tengok hari mesyuarat inilah, saya hadir ke tidak hadir. Saya tak bergantung dengan sesiapa saya nak hadir,” merupakan kenyataan seorang yang bersifat sebagai seorang diktator. Beliau perlu sedar bahawa beliau teratkluk kepada keputusan parti dan tidak harus berdasarkan keputusan sendiri. Aku termenung juga memikirkan hal ini. Aku terfikir juga. Apakah Rasulullah pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian ketika beliau memimpin umat Islam terutama pada peringkat awal pemerintahan Islam di Madinah? Apakah ada ‘ajaran’ Rasulullah yang menunjukkan tentang keangkuhan baginda ketika menjadi pemimpin umat Islam dan bukan Islam di Madinah itu. Sekiranya ada Baginda mengeluarkan kenyataan yang sedemikian sudah pasti pengikutnya akan lari meninggalkan Baginda.
Teringat pula aku kenyataan salah seorang pemimpin PAS, YB Mahfuz Umar baru-baru ini yang membayangkan tentang sikap membuta tuli penyokong YB Ismail Sabri  berkaitan dengan isu berkaitan dengan harga barang. Dan aku merasakan pula bahawa penyokong parti PAS terhadap TG Haji Hadi juga ‘tidak banyak kurang’ dan ‘tidak banyak lebih’nya. Bagi aku lebih kurang sama sahaja. Apakah rela para penyokong PAS ‘menderita’ membiarkan gelagat dan cara kepimpinan presiden mereka sepertimana yang ditunjukkan beliau itu. Bukankah cara tindakannya itu agak amat berlainan dengan sikap yang ditunjukkan oleh kebanyakan pemimpin samada yang berasaskan Islam ataupun masyarakat lain.
Berdasarkan laporan dari Malaysia Insider, aku difahamkan bahawa kehadiran TG Haji Hadi pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang akan diadakan adalah amat perlu kerana sebarang keputusan yang dibuat perlulah mendapat persetujuan bersama dari ketiga-tiga pemimpin yang menganggotai Pakatan Rakyat. Amat penting. Dan dijelaskan sekiranya ada pihak yang tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan dan keputusan telah dibuat takut-takut, ‘ rumah siap pahat berbunyi’.
Aku teringat kepada kenyataan TG Haji Hadi tidak berapa lama dahulu yang berkaitan dengan kedudukan TS Khalid Ibrahim merupakan kenyataan yang menggambarkan bahwa TG Haji Hadi sudah hilang pedoman sebagai peneraju parti yang dipandang tinggi oleh masyarakat sebelum ini. Namun dengan kenyataan yang dikeluarkannya itu adalah diyakini lebih rami lagi ahli PAS tegar yang akan kehilangan keyakinan kepada kepimpinannya

Kenyataan TG Haji Hadi mengenai kedudukan TS Khalid Ibrahim agak ‘memeranjatkan’. Sebagaimana yang dikatakan oleh YB Nik Nazmi, "(Hadi insists on Khalid as MB) even though the issue of appointing a (new) menteri besar has yet to be resolved, and Khalid is only acting as a transitional menteri besar as requested by the Selangor sultan.……What more, Khalid is an independent state assemblyperson without any party," Malaysiakini 13 September 2014

Teringat juga aku tentang tindakan TG Haji Hadi Awang ‘mengaibkan’ DS Wan Azizah pada suatu ketika. Ramai yang berkata bahawa, TG Haji Hadi tidak sepatutnya melakukan perkara sedemikian rupa, apatah lagi apa yang diperkatakannya itu tidak dapat diterima oleh ramai rakyat Malaysia. Malah ‘musuh’ politik Pakatan pun merasakan bahawa apa yang diperkatakan oleh TG Haji Hadi amat tidak kena dengan kedudukan beliau sebagai Presiden parti yang sentiasa berlandaskan Islam sebagai wadah perjuangannya.

Antara ‘hujah’nya mengenai Dr Wan Azizah, "Kalau daripada awal lagi dia tidak ada kebolehan jawab soalan di parlimen, untuk soal di parlimen, soalan dalam DUN, nak berdialog dengan lawan dalam Dewan Negara pun tak boleh, macam mana nak jadi pemimpin…Tak boleh, tak mampu mengendali pemerintahan kerajaan negeri Selangor. Ini memerlukan seorang yang kuat untuk jaga negeri Selangor”  MALAYSIAIKINI 6 SEPTEMBER 2014.

Dengan mengeluarkan kenyataan yang merupakan satu ‘penghinaan’ kepada Presiden sebuah parti PKR yang merupakan rakan perjuangan dalam Pakatan Rakyat sudah menampakkkan yang TG Haji Hadi sudah amat jauh ‘terpesong’ dari tindak tanduk sebagai seorang pemimpin sebagai sebuah parti berasaskan Islam. Kesanggupan beliau untuk mengeluarkan kata-kata sedemikian dengan sendirinya membayangkan bahawa TG Haji Hadi berhasrat benar untuk membawa PAS keluar dari Pakatan Rakyat. Membayangkan juga bahawa TG Haji Hadi sememangnya bersedia untuk ‘berkerat rotan dan berpatah arang’ dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Hanya menunggu masa dan ketika.

Jika ditinjau tentang penglibatan TG Haji Hadi dalam Pakatan Rakyat sepanjang ‘persahabatan’nya dengan pakatan sedemikian, menampakkan seolah-olah beliau hanya ‘berlakon‘ dalam memperjuangkan sesuatu isu yang berkait rapat dengan soal  keadilan bagi rakyat Malaysia. Seolah-olah TG Haji Hadi ‘hanya tidur sebantal tetapi berlainan mimpi’. Kini sudah terserlah hasrat dan impian TG Haji Hadi yang sebenar. Jikalau dulu kita hanya melihat ‘sekilas ikan di air’ dan belum begitu jelas tentang ‘ jantan dan betina’nya. Kini hal sedemikian sudah amat jelas dan tidak ada jalan lain bagi TG Haji Hadi melainkan mengundurkan diri dari perjuangan yang belum selesai ini. Rakyat Malaysia masih mahu meneruskan perjuangan yang telah tersedia diasaskan oleh tokoh-tokoh pakatan Rakyat yang sedar tentang erti perjuangan abad baru.

TG Haji Hadi dan beberapa orang pemimpin usang lain dalam PAS harus sedar bahawa mereka tidak sesuai lagi berada dalam PAS sekiranya mereka tidak bersedia untuk mengadakan anjakan paradigma dari segi tindakan mereka. Yang dimaksudkan dengan pemimpin usang adalah mereka yang berfikiran yang tidak selari dengan perjuangan nasional yang sedang ditunjangi oleh pemimpin-pemimpin progresif dalam Pakatan Rakyat -PAS,PKR dan DAP. Ramai pemimpin yang sudah agak lanjut usia namun masih befikiran yang sesuai dengan Kurun ini. Sebaliknya ramai juga pemimpin muda yang masih ‘ditakuk’ lama dimana fikiran mereka sudah agak ‘usang’ dan ‘jumud’ dan amat tidak sesuai dengan perkembangan zaman. Lantas harus mengundurkan diri.

Mungkinkah kenyataan TG Haji Hadi kali ini adalah seperti kata peribahasa Melayu, ‘ retak menunggu belah’. Mungkin. Dan mungkin tidak…….

abuhassanadam

7 Februari 2015

Thursday, February 5, 2015

MENGAPA MASIH ADA PEMIMPIN BERSIFAT RASIS

Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri yang memetik  bahawa Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah menegaskan bahawa kerajaan Barisan Nasional akan terus membela dan menjaga kepentingan semua kaum.Oleh itu, sebarang pertelingkahan yang boleh menuju kepada polarisasi kaum di negara ini tidak sepatut dipanjangkan kerana ia hanya akan membawa kemudaratan kepada kita semua”

Bagi aku kenyataan DS Najib itu amat tepat dan amat sesuai pada masanya. Dan aku juga memikirkan bahawa mengapalah baru sekarang DS Najib mengeluarkan kenyataan yang ‘sebernas’ itu untuk dihazam oleh rakyat Malaysia. Alangkah baiknya beliau bertindak demikian dan mengeluarkan ‘arah tuju’ dan ‘pedoman’ yang sesuai untuk dimanfaatkan oleh rakyat terbanyak. Rakyat sememangnya menunggu-nunggu saranan dan ‘nasihat’ dari Perdana Menteri sebagai pemimpin negara yang tercinta ini, agar tidak timbul sebarang syak wasangka dari kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Rakyat Malaysia sanggup mengenepikan sebarang perselisihan demi untuk mewujudkan persefahaman yang mantap di negara ini. Maaf memaaf adalah merupakan amalan budaya masyarakat Malaysia semenjak zaman berzaman. Hal ini telah terbukti dan tidak siapa yang dapat menafikan tentang kebenarannnya. Semenjak kedatangan beramai-ramai golongan imigran yang terdiri dari orang Cina dan India ke Tanah Melayu pada awal kurun ke 20 tidak pernah berlaku perselisihan dan perbalahan antara kaum-kaum terbesar di negara ini. Dan berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969 mungkin merupakan kali pertama dan terakhir berlakunya perbalahan kaum di Malaysia.

Untuk membuktikan bahawa masyarakat di Malaysia adalah merupakan masyarakat yang mencintai perdamaian dapat juga dibuktikan dengan pemulihan yang begitu pantas akan hubungan kaum terutama selepas berlakunya peristiwa 13 Mei itu. Rakyat Malaysia sedar bahawa tidak ada gunanya berpecah dan berbalah. Lantas perpaduan terus dipupuk dan terus kukuh sepanjang tahun-tahun selepas 1969 sehinggalah akhir-akhir ini yang menampakkan bahawa perpaduan kaum di Malaysia sekalan-akan tergugat dan tercabar. Seolah-olah perpaduan di negara ini agak longgar dan semakin luntur.

Suasana perpaduan kaum kini agak berbeza dengan zaman-zaman yang pernah aku lalui semenjak zaman berzaman. Satu perkara yang agak unik yang dapat aku perhatikan ialah semacam sudah hilang perasaan hormat menghormati antara satu kaum dengan kaum yang lain. Dulu keadaan sebegini pernah juga wujud tetapi tidak ketara berlaku dikalangan pemimpin-pemimpin sebagaimana yang dapat dilihat kini.

Mungkin agak keterlaluan sekiranya aku katakan bahawa ada dikalangan pemimpin di negara kini yang sudah tidak merasa segan dan silu menyuarakan apa juga hasrat yang berbau perkauman demi untuk mendapatkan populariti dikalangan pengikut. Dalam bahasa kasarnya para pengikut akan menjadi pengikut yang membuta tuli diatas apa juga tindakan pemimpinnya tanpa memikirkan samada tindakan yang dilakukan pemimpin berkenaan rasional atau tidak.

Kenyataan yang berbentuk perkauman atau rasis sebagaimana yang dikatakan yang selalu diperkatakan, biasanya datangnya dari mulut golongan yang tidak berkedudukan dalam masyarakat. Itu dulu. Dan pastinya kenyataan mereka itu tidak mendatangkan kesan ke atas masyarakat kerana yang melafazkan kata-kata demikian bukan pemimpin yang berkedudukan. Bukan pemimpin negara yang disegani dan dihormati.

Berbanding dengan keadaan pada hari ini ucapan berbentuk rasis adalah ‘mainan’ setengah pemimpin negara dan pemimpin-pemimpin pertubuhan-pertubuhan untuk mendapatkan sokongan. Kadang-kadang aku terfikir tentang tujuan pemimpin tertentu mengeluarkan kenyataan yang berbentuk rasis itu. Apakah mereka tidak sedar bahawa dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian akan sedikit sebanyak ‘mengguris’ hati golongan yang mendengarnya dan merosakkan perpaduan di negara ini. Ataupun apakah mereka sengaja berbuat demikian untuk tujuan tertentu. Sekiranya ‘untuk tujuan tertentu’ timbul pula persoalan dalam benak aku untuk menyoal, ‘ untuk tujuan apa?’
Dan ekoran daripada keadaan sedemikian tentulah tertanya-tanya pula hati kecil kita bahawa apakah pemimpin sedemikian sesuai untuk wujud di Malaysia yang mempunyai penduduk yang berbilang kaum ini. Dan apakah pemimpin yang sedemikian tidak terfikir bahawa kepimpinannya adalah diperlukan oleh semua kaum dan bukan setakat kaumnya sahaja. Apakah begitu cetek cara berfikirnya yang boleh mengeluarkan kenyataan rasis yang boleh membayangkan tentang rendahnya akal budinya dan seolah-olah tidak layak menjadi pemimpin negara yang berbilang kaum ini.

DS Najib diharapkan agar terus bertindak memperkukuhkan perpaduan kaum di negara ini. Tindakannya harus dilihat sebagai tindakan yang boleh betul-betul mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini. DS Najib tidak harus bertolak ansur dengan golongan yang cuba mengadu-domba dan memecah-belahkan perpaduan di negara ini.

Sekurang-kurangnya DS Najib mengenang semula hasrat dan jerih payah Tun Abdul Razak memulihkan perpaduan kaum terutama selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969 dahulu.

abuhassanadam
5 Februari 2015

Wednesday, February 4, 2015

YB ISMAIL SABRI ‘BERSUARA’– KE MANA ‘HILANGNYA’ MENTERI BERTANGGUNGJAWAB?

Bagi aku ‘seruan’ YB Ismail Sabri Yaakub (Menteri Pertanian dan Asas Tani) untuk mengajak masyarakat Malaysia bersatu menurunkan harga barang setelah harga minyak turun adalah sesuatu yang wajar. Cuma yang agak kurang menyenangkan apabila dikaitkan dengan kaum Cina. Sememangnya perniagaan di Malaysia dikuasai oleh kaum Cina tetapi demi untuk menjaga perpaduan di negara yang tercinta ini amat tidak sesuai rasanya beliau mengaitkan peniaga Cina (sahaja) yang menyebabkan kenaikan harga barang di Malaysia.

Dan ekoran daripada kenyataan YB Ismail Sabri itu telah timbul berbagai reaksi dari pihak-pihak tertentu yang ‘menyokong’ dan ‘menentang’ saranan Menteri berkenaan. Kadang-kadang kelihatan apa yang ditentang oleh pihak-pihak tertentu sudah jauh menyimpang daripada isu yang sedang diperjuangkan. Perbincangan ‘Melayu-Cina’ telah menenggelamkan isu yang sedang diperkatakan, ia itu tentang isu kenaikan harga barang. Dan terfikir juga di kepala aku apakah sememangnya itu tujuannya YB Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan sedemikian sebagai ‘wakil’ pihak-pihak tertentu untuk mengalihkan pandangan masyarakat daripada membincangkan isu yang sebenar – kenaikan harga barang.

Apabila Menteri Pertanian yang ‘bersuara’ pastinya pula rakyat Malaysia tertanya-tanya tentang ke mana ‘hilangnya’ Menteri yang sebenar-benarnya bertanggungjawab tentang hal yang berkaitan. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian berkenaan bagi menghadapi keadaan negara yang amat meruncing ini berkaitan dengan kenaikan harga barang. Rakyat pastinya sudah jemu dan hampir ‘meluat’ (agaknya)  mendengar kenyataan, ‘kami akan mengambil tindakan sewajarnya……’ atau ‘ kami sedang berunding dengan pihak-pihak pengeluar barangan tertentu bagi mengawal harga barang…’

Sebenarnya rakyat sudah betul-betul bosan dan kecewa dengan ‘tindakan’ kementerian berkenaan yang kelihatan semacam tidak menampakkan sebarang kesan positif. Sepatutnya kementerian berkenaan sudah dapat menduga keadaan sebegini akan berlaku dan sekiranya kementerian berkenaan diterajui oleh seorang menteri yang cekap bertindak tentulah sudah menyediakan pelan bertindak yang sesuai untuk dilaksanakan demi untuk mengawal harga barangan ini. Berbagai undang-undang dan peraturan telah tersedia dan hanya memerlukan penguatkuasaan dan keberanian untuk melaksanakan peraturan yang ada. Tidak ada langkah yang lebih berkesan selain daripada menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang ada. Bukankah negara ini ada peraturan dan undang-undangnya…….

Aku tidak tahu jumlah kakitangan yang ada dibawah Kementerian yang bertanggungjawab (panjang sangat nama kementerian berkenaan!!)  di seluruh negara. Aku tidak tahu jumlah peruntukan kewangan yang diberikan untuk kementerian ini tetapi pastinya lumayan. Apakah para pegawai di kementerian ini yang diketuai oleh Ketua Setiausahanya dan ribuan pegawai bawahan tidak dapat langsung bertindak untuk mengatasi masalah ini. Apakah YB Menterinya dan para pegawai tinggi masih bermesyuarat dan terus bermesyuarat bagi menghadapi keadaan yang sedang melanda ini?. Apakah mesyuarat kabinet yang diadakan pada setiap hari Rabu itu tidak membincangkan hal yang amat menyusahkan rakyat ini?

Rakyat di negara ini terutamanya yang berada di sebelah pantai timur semenanjung telah mengalami kesusahan yang bukan kepalang akibat banjir baru-baru ini. Dan kita telah dapat melihat sendiri betapa ‘lemahnya’ pengurusan bencana berkenaan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Rakyat faham bahawa kita tidak mendapat menduga ‘ujian’ yang diturunkan oleh Tuhan tetapi sekurang-kurangnya pihak-pihak tertentu menunjukkan persediaan yang rapi menghadapi kemungkinan banjir berkenaan kerana ‘suasana’ banjir akan menjelang saban tahun. Dan tentulah ada prosedur yang rapi bagi mengawal keadaan sedemikian.

Aku bukanlah mahu menuduh sebarangan berkaiitan dengan kelemahan pengrusan banjir di pantai timur baru-baru ini, tetapi daripada maklumbalas yang diterima semangnya terlalu banyak yang perlu diperbaiki demi untuk kepentingan pengurusan bencana banjir pada masa hadapan. Dan yang amat jelasnya keadaan positif ekoran daripada peristiwa banjir berkenaan ialah tentang keperihatinan rakyat yang tidak mengira kaum dan agama dalam memberikan pertolongan kepada mangsa banjir berkenaan. Itu jelas dan amat positif. Semua kaum di Malaysia turut menghulurkan bantuan demi untuk membantu yang malang yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu.

Dengan kenyataan YB Ismail Sabri ini seolah-olah telah menyebabkan ‘luka’ berdarah kembali. Kaum Cina terutama para peniaga Cina pastinya juga ‘terguris’ dengan kenyataan sedemikian. Dan mujurlah cepat-cepat diperbetulkan kenyataannya. Yang sebenarnya beliau menujukan kritikannya itu kepada peniaga-peniaga Cina yang tidak bertanggungjawab menaikan harga barang dengan sewenang-wenangnya. Sepatutnya YB Ismail Sabri menghalakan kritikannya itu kepada pihak-pihak lain juga yang sama-sama bertanggungawab menaikan harga barang. Ini termasuk juga syarikat-syarikat besar yang dimiliki oleh Melayu, Cina dan India yang berperanan boleh menurunkan harga barang di negara ini sekiranya mereka peka dengan penderitaan rakyat.

Dan yang paling penting ialah sudah sampai masanya YAB Perdana Menteri ‘bersuara’ dan menentukan dengan tegas arah tuju negara kini terutama yang berkaitan dengan masalah terkini yang dikira amat meruncing ini.

Mesyuarat Kabinet pada hari ini (Rabu) seharusnya membincangkan secara terperinci hal sedemikian.

abuhassanadam
4 Februari 2015



Monday, February 2, 2015

ROTAN

Aku masih ingat hari yang bersejarah itu. Awal tahun 1950an. Bapak mengayuh basikal tuanya menuju ke Sekolah Pondok, yang terletak tidak berapa jauh dari kampung aku. Aku tercelapak di pelantar basikal tuanya, beralsakan kain buruk yang disediakan oleh emak.

Hari itu merupakan hari pertama aku mula mengaji Quraan di Sekolah Pondok. Mengaji dengan Ustaz Mohd Noor. Aku sememangnya sudah pun mengaji Quran dengan Pak Haji Sulaiman di kampung aku. Itu merupakan ‘kelas malam’. Agaknya disebabkan ramai kanak-kanak di kampung mengaji juga dengan Ustaz Mohd. Noor, maka aku dihantar juga untuk mengaji di Sekolah Pondok ( yang merupakan madrasah tempat bapak aku mengaji juga dan bergurukan Ustaz Mohd Noor juga). Kelas waktu siang pulak. Lepas sekolah.

Pelajaran agama Islam amat penting, kata bapak aku.

Bapak membawa bersamanya sebilah rotan untuk diberikan kepada Ustaz Mohd Noor. Walaupun tidak ramai ibu bapak ketika itu yang berbuat seperti bapak aku, namun bapak seolah-olah telah meletakkan syarat kepada dirinya bahawa beliau mesti ‘menghadiahkan’ rotan kepada siapa sahaja yang menjadi guru Quran aku. Kepada Pak Haji Sulaiman juga ‘dihadiahkannya’ sebilah rotan.

Cara bapak ‘menyerahkan’ diriku kepada Ustaz Mohd Noor amat tertib sekali. Maklumlah Ustaz Mohd Noor juga adalah gurunya juga. Kini aku pula akan berguru kepada Ustaz Mohd Noor. Penghormatan yang diberikan oleh bapak kepada Ustaz Mohd Noor adalah luar biasa. Dia menyerahkan aku bersama dengan rotan yang disediakan dengan iringan kata-kata yang tidak mudah aku lupakan. Kata bapak,’ Encik buatlah apa yang encik fikir baik untuk anak saya ni. Jangan patah dan buta udah ler……”

Ringkas saja ‘ucapan’ penyerahan bapak aku tetapi amat berkesan sehingga kini. Jawab Ustaz Mohd Noor pula, ‘ Usahlah kamu risau, macam mana aku ajar kamu dulu, begitu jugalah aku buat kepada anak kamu…..”

Sebenarnya rotan yang dibekalkan oleh bapak aku kepada Ustaz Mohd Noor tidak pun pernah digunakannya sehinggalah aku tamat mengaji Quran dengan Ustaz Mohd Noor. Tidak pernah sekali pun rotan itu ‘hinggap’ di samada di badan aku atau di tapak tangan aku. Tak pernah.

Bukanlah bermakna bahawa Ustaz Mohd Noor tidak pernah menggunakan rotannya kepada kanak-kanak lain. Ada. Tetapi jarang sangat. Ustaz Mohd Noor hanya menggunakan sekiranya amat perlu beliau bertindak demikian. Seorang rakan aku yang pernah menerima ‘habuan’ demikian adalah disebabkan kenakalannya yang luar biasa. Tetapi kesan daripada ‘habuan’ yang diterimanya itu beliau telah menjadi ‘orang’ yang berguna bukan sahaja kepada masyarakat di kampung tetapi untuk negara juga. Jawatan terakhirnya ialah sebagai Ketua Polis sebuah negeri di Malaysia. Mungkin disebabkan ‘hadiah’ rotan Ustaz Mohd Noor juga. Mungkin…..

Kini telah hebuh diperkatakan tentang hukuman rotan disekolah. Ada yang mengatakan bahawa merotan adalah juga mendera. Ada juga yang mengatakan bahawa merotan sepatutnya terus diamalkan untuk mendisiplinkan anak-anak. Tentulah ada ‘pros’ dan ‘cons’nya.

Masih teringat dan terbayang di kepala aku tentang bagaimana seorang rakan aku yang dituduh mencuri ketika kami bersama-sama di sekolah menengah dulu. Pihak sekolah mengatakan bahawa mereka cukup bukti mengatakan sememangnya beliau mencuri barang berkenaan sedangkan beliau bermati-matian ‘bersumpah’ dengan aku dan dengan guru disiplin juga yang beliau tidak melakukan perbuatan terkutuk itu.

Kami berasal dari kampung yang sama. Dan aku tahu latarbelakang keluarganya. Miskin seperti aku juga tetapi walaupun miskin kami tidak dididiik untuk melakukan perbuatan terkutuk seperti mencuri. Kami serba kekurangan dari segi material tetapi ibu bapa kami mengajar kami berbudi bahasa.

Hukuman ke atas melakukan kecurian adalah amat berat ia itu ‘public canning’ ia itu hukuman rotan di khalayak ramai. Kawan aku sudah menjelaskan dan menerangkan berkali-kali kepada guru disiplin yang beliau tidak melakukan kecurian itu, namun tidak diendahkan penjelasannya. Lantas beliau dijatuhkan juga hukuman ke atasnya. Aku masih sedih dan ‘sebak’ mengenangkan peristiwa pada hari dan waktu kawan aku itu dirotan dikhalayak ramai. Aku tidak dapat membayangkan kesedihan yang terpancar di wajahnya. Aku tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan rakan ku itu. Dan hanya berserah saja. Apalah yang dapat dilakukan oleh anak kampung yang miskin dan dhaif ini untuk menyelamatkan rakan baiknya dari dikenakan hukuman sedemikian.

Disebabkan kesedihan dan rasa malu yang amat sangat agaknya, maka rakan ku itu terus tidak bersekolah lagi. Aku dapat rasakan kesedihan yang dideritainya. Tetapi yang paling menyedihkan aku sehingga kini ialah ‘hilang’nya sebiji permata. Kawan aku itu jauh lebih pintar dan cerdik daripada aku. Aku yakin sekiranya beliau terus menerus belajar adalah amat besar kemungkinan yang beliau akan menjadi manusia yang amat berguna kepada bangsa dan negara.

Berdasarkan keadaan sedemikian aku merasakan bahawa merotan ( seperti yang dilakukan oleh Ustaz Mohd Noor) elok diteruskan ( tetapi bukan dijadikan amalan) tetapi sebaliknya ‘public canning’ patut diharamkan di sekolah-sekolah, takut berlaku keadaan seperti yang dialami oleh rakan aku yang terainaya itu.

abuhassanadam

2 Februari 2015