Monday, March 9, 2015

MENGAPA TEMPUA KU BERSARANG RENDAH

Aku rindu sangat nak balik kampung. Bukan lah pulak aku tak pernah balik ke kampung. Selalu. Tetapi sekejap. Sehari. Kadang-kadang dua hari. Tak pernah sampai seminggu pun tinggal di kampung. Kali ini aku berhasrat nak tinggal sekurang-kurangnya dua minggu. Seorang. Anak isteri tak perlu ikut. Aku mahu mengembalikan semula nostalgia aku. Mahu menghayati semula zaman kanak-kanak ketika mandi Sungai Sauk, ketika bermain lecah ketika mengekori Pak Anjang Dahaman menggolek sawah di bendangnya, dan berbagai-bagai kenangan manis yang pernah aku alami.

Memang aku merindui kesunyian kampung pada waktu malam yang hening. Aku nak dengar semula bunyi keredik (jengkerik) ‘ menyanyikan’ lagu malam untuk menemani tidurku, sepertimana aku pernah ‘didendangkan’ sewaktu aku masih kecil-kecil dulu. Aku nak merasakan  suasana kesejukan pagi ketika tidur tanpa berhawa dingin. Aku mahukan kesejukan pagi di kampung bukan kesejukan yang diselubungi salji. Aku tak mahu sejuk salji. Aku merindui dingin di kampung.

Aku mahu tidur hanya berpakaian kain sarung tanpa baju dan seluar dalam. Bolin ( kata orang Perak ). Aku tidak memerlukan tilam empuk. Tak perlu. Hanya tikar mengkuang yang masih ada peninggalan arwah ibuku. Cukup untuk melapik tubuhku. Selimut pun kadang-kadang tak perlu kerana kain sarong boleh berperanan ‘ dua dalam satu’.  Boleh dijadikan sarong dan boleh juga dijadikan selimut sekiranya perlu.

Aku sudah lama benar tidak pernah melihat kabus pagi membalut kampung ku. Terus terang aku katakan entah macam mana akhir-akhir ini aku lebih kerap melihat salji daripada melihat kabus pagi di kampung ku. Aku agak bertuah dari satu segi tetapi agak merasa bersalah dari segi yang lain.

Aku sudah bertekad benar ia itu sesampai sahaja aku di kampung nanti aku akan terus pergi ke tengah sawah berdekatan dengan rumah aku. Aku akan pergi ‘melawat’ brurung tempua yang bersarang bergantungan di pohon buluh seperti mana yang pernah aku lihat dan lakukan semasa aku kecil-kecil dulu.

Dijangka aku akan sampai pada waktu petang. Aku jangkakan aku akan sampai di kampungku pada pukul lima petang. Sedang elok dan sesuai. Sedang elok untuk aku menikmati angin petang melihat keindahan alam disamping menunggu matahari terbenam. “Tak perlu sampai ke Pantai Kute di Bali semata-mata untuk melihat matahari terbenam pada waktu senja’ kata hati kecilku. Di kampung aku lebih cantik dan indah suasana matahari terbenam pada waktu senja.

Tidak kurang tarikan yang membakar hasratku untuk pulang ke kampung kali ini ialah untuk melihat burung tempua yang bersarang di pohon buluh di tengah bendang, sepertimana yang aku jelaskan itu. Perdu buluh tempat tempua bersarang itu ialah di Kampung Pulau (kami panggil Pulau Hawaii kerana kecantikannya, dengan phon nyiornya yang melambai..). Di bawah pohon buluh inilah aku dan adik ku pernah bermain-main sementara menunggu emak dan bapak menuai padi di situ. Dan di pohon buluh inilah burung tempua bersarang. Bergayutan sarang-sarang temupa itu. Tetapi tempua-tempua itu tidak bersarang rendah. Pepatah Melayu kata, “ Jikalau tidak ada-ada, takkan tempua bersarang rendah..”. Memang dipucuk pohon buluh lah tempat tempua bersarang.

Benakku sering bertanya, Masih ada lagikah pohon buluh di tepi sawah itu?
Masih ada lagikah sarang-sarang burung tempua bergayutan dipohon-poho buluh itu?
Jikalau sudah tiada, ke mana perginya tempua-tempua itu.
Merajukkah dia?
Ke mana berkelananya dia?
Masih adakah lagi pohon-pohon buluh tempat tempua bersarang?

Apa yang aku sangkakan tepat sekali. Pohon buluh ditepai sawah sudah tiada lagi. Dan tentulah sudah tiada juga tempua yanng bersarang. Aku pergi ke sungai tempat aku dan adikku dulu bermain. Di bawah pohon buluh berkenaan. Sudah tiada semuanya. Aku dongakkan kepalaku membayangkan yang aku sedang memerhatikan sarang burung tempua yang bergayutan. Telingaku seolah-olah mendengar bunyi  burung tempua ‘ bercengkerama’ dalam sarang-sarang yang mereka anyam sendiri dengan menggunakan paruh mereka.

Sudah tiada rupanya tempuaku sayang.

Tetapi peribahasa Melayu “ jikalau tidak ada-ada takkan tempua bersarang rendah’ masih digunakan sehingga kini. Peribahasa ini jugalah yang membuat orang berfikir bahawa tentu ada sesuatu yang disembunyikan oleh seseorang dengan bertindak dalam keadaan yang sepatutnya tidak sedemikian.

Mesti ada sesuatu yang tak kena dan disembunyikan………

abuhassanadam
9 Mac 2015




Sunday, March 8, 2015

SEKAWAN

Ketika berada di New Zealand aku kagum melihat perangai lembu dan biri-biri di sana. “Perangainya’ tidak serupa dengan perangai lembu di Malaysia. Di Malaysia, lembu mengotori jalanraya dengan najisnya yang berada di mana-mana;. Tetapi di New Zealand tidak begitu. ‘Berdisiplin’ lembunya. Begitu juga dengan kawasan ladang lembu dan biri-biri di sana sangat bersih dan teratur susunannya.

Yang menyebabkan aku terdetik untuk menulis tentang lembu dan biri-biri  ialah tentang ‘perangai’ binatang-binatang’ tersebut. Aku memberhentikan kereta sewa aku di tepi jalan disebuah ladang ternakan biri-biri yang tidak berapa jauh dari Auckland. Sudah lupa aku nama tempat berkenaan. Yang pentingnya untuk aku kisahkan ialah tentang ratusan ekor ( mungkin ribuan) biri-biri yang ada di situ yang sedang meragut rumput. Dan tidak jauh dari situ kelihatan pula kawasan menternak lembu. Ratusan ekor lembu berada di situ.

Teringat pula aku tentang keadaan orang kampung aku menternak lembu dan kerbau. Teringat juga tentang bagaimana Atuk aku dulu-dulu menternak kerbaunya. Paling banyak yang diternaknya sebanyak empat ekor. Dan antara orang kampung aku yang dikira ‘hebat’ dari segi binatang ternakan (kerbau) ialah Atuk aku. “Berjaya’ menternak empat ekor kerbau!.....Orang lain kebanyakannnya seekor. Ataupun lebih-lebih dua ekor.

Timbullah persoalan di benak aku. Mengapa orang kampung aku tidak menternak kerbau atau kambing sepertimana yang dilakukan oleh orang New Zealand sedangkan terdapat juga kawasan yang luas untuk dijadikan padang rumput. Dan sekiranya memerlukan bantuan kerajaan pastinya pihak kerajaan akan membantu. Lihat sahajalah bantuan ternakan lembu yang diberikan kepada Dato Seri Shahrizat yang berjumlah ratusan juta ringgit. Tentunya kerajaan tidak keberatan untuk memberikan bantuan kepada orang kampung untuk menternak kerbau atau lembu atau kambing secara besar-besaran. Lagi pun tentulah pihak kerajaan lebih yakin dan percaya kepada penternak-penternak lembu di kampung daripada orang politik yang tinggal di Damansara Height. Agaknya begitulah.

Melihatkan sekawan lembu dan kambing biri-biri berkenaan tentulah fikiran aku teringatkan tentang perangai manusia yang ada di Malaysia kini. Kadang-kadang aku ternampak semacam perangai lembu dan biri-biri itu. Aku tidak mengatakan orang di Malaysia sperti lembu dan biri-biri. Aku tak kata begitu. Yang aku perhatikan ialah tentang perangai binatang-binatang itu. Kadang-kadang menyeronokkan juga apabila melihat susana sedemikian terutamanya dalam suasana alam yang sungguh nyaman yang ditiup angin sepui-sepui bahasa  di negara Kiwi ini.

Ini yang dikatakan herd mentality atau mob mentality. Apabila ada seekor antara ‘rakan-rakan’ mereka berlari menghala ke suatu arah maka yang lain juga akan mengekori tanpa memikirkan kesan-kesan buruk yang akan menimpa. Dengan sebab itulah agaknya pengembalanya tidak memerlukan ramai orang untuk mengembalakan sekawan kambing. Dan di New Zealand atau di Australia aku perhatikan, hanya diperlukan beberapa ekor anjing sahaja untuk mengawal sekumpulan ratusan biri-biri. Biri-biri ini pasti akan patuh dan terlalu takut kepada anjing-anjing itu.

Kisah sekawan lembu yang aku perhatikan dalam program ‘National Geograhy’ juga menarik. Dikatakan lembu-lembu ini akan bergerak mencari ‘greener pastures’ apabila sampai waktu dan ketikanya. Pada ketika inilah akan dapat diperhatikan perangai lembu-lembu ini yang bergerak dalam keadaan luar biasa. Disebabkan sikap ‘herd mentality’nya lembu-lembu itu akan bergerak dalam satu pasukan tanpa memikirkan kesan buruk yang akan dihadapi dalam perjalanan.

Satu kebaikan dari ‘sikap’ lembu yang bergerak dalam satu pasukan ini ialah musuh (singa) tidak akan menyerang mangsa ketika berada dalam satu pasukan. Hanya mangsa yang terkeluar dari pasukan sahaja yang akan diserang. Dengan sebab itulah pemangsa akan cuba meleraikan mangsa dari pasukan mereka.

Tetapi berbeza keadaannya dengan perangai pemangsa seperti buaiya. Buaiya akan menyerang walaupun mangsa berada dalam satu pasukan.

Yang anihnya lembu-lembu ini akan terus menerus menyeberangi sungai berkenaan walaupun (mungkin) dia tahu bahawa sungai itu dipenuhi dengan buaiaya. Mereka tidak peduli. Terus terjun dan seolah-olah menyerahkan nasib kepada takdir. Ada antara ‘rakan-rakan’ mereka yang dibaham oleh buaiya namun mereka terus menerus juga menyeberangi sungai berkenaan disebabkan ‘herd mentality’ yang ‘dimiliki’ oleh binatang-binatang itu. Dan mereka tidak ‘memikirkan’ langsung kesan buruk kepada pasukan mereka. Itu kisah binatang……..

Di Malaysia, dikalangan bangsa Malaysia juga sudah wujud semacam ‘herd mentality’ yang dimiliki oleh rakyat seperimana yang ‘diamalkan’ oleh biri-biri dan lembu-lembu itu.

Apakah ada diantara kita yang sudah meletakkan jawatan sebagai seorang manusia dan berminat untuk menjadi biri-biri dan lembu?

abuhassanadam
8 Mac 2015


Saturday, March 7, 2015

KEMERIAHAN IALAH KETIKA ‘MENGGOLEK’

Bulan Januari dikatakan sebagai bulan ‘kerat kepala’ apabila padi hampir menguning. Emak kata Ngah Lauh akan berkeliaran memotong kepala kanak-kanak ‘untuk buat jambatan’. Bukan emak aku seorang yang kata begitu, hampir seluruh orang kampung aku kata begitu. Dan kami kanak-kanak pada ketika itu ‘percaya’. Namun tidak pula kedengaran ada  kanak-kanak dari kampung aku yang dipotong kepalanya oleh Ngah Lauh. Begitu juga dari kawasan lain. Tak pernah dengar berita kematian kanak-kanak disebabkan kepala dipotong oleh Ngah Lauh. Tapi setiap tahun, setiap kali sampai bulan Januari akan ‘muncul’lah cerita Ngah Lauh potong kepala. Mungkin sekarang sudah tidak kedengaran lagi disebabkan orang kampung aku sudah tidak ke sawah lagi. Sawah padi sudah bertukar kepada kebun sayur-sayuran diusahakan oleh petani Cina.

Setelah padi dituai dan disimpan di kepuk (beromban kata orang kampung aku), maka kawasan sawah padi di kampung aku seolah-olah ‘direhatkan’ buat seketika menunggu musim menanam padi seterusnya. Kebiasaannya waktu rehat adalah selama enam bulan. Tidak ada apa aktiviti pertanian yang dijalankan di sawah padi di kampung aku. Rehat ‘sungguh-sungguh’. Dan ketika inilah penduduk kampung aku mengharapkan padi/beras dari musim sebelumnya yang cukup menampung bekalan selama setahun.

Apabila musim tengkujuh bermula, maka pesawah-pesawah di kampung aku mulalah turun ke bendang. Membajak sawah. Kebanyakannya menggunakan tenggala dengan bantuan kerbau untuk membajak sawah. Sudah tidak kelihatan lagi tenggala digunakan untuk membajak sawah. Kini sudah tidak kelihatan lagi. Awal tahun 1950an hampir semua orang kampung aku menggunakan tenggala sebagai langkah awal membajak sawah mereka. Yang agak menarik perhatian ialah tentang ‘terpelajar’nya kerbau di kampung aku yang tahu ‘cakap Melayu’. Walaupun hanya tiga patah perkataan sahaja ( ‘kanan’, ‘kiri’ dan ‘diam’) yang difahaminya, tetapi sekurang-kurangnya kerbau dikampung aku termasuk dalam golongan yang ‘educated’ juga ler……

Peringkat kedua selepas membajak ialah ‘menyikat’ dengan menggunakan sikat dengan bantuan kerbau juga untuk menarik sikat berkenaan. Tujuan menyikat ialah untuk menghancurkan tanah selepas dibajak dengan tenggala. Sikat yang dimaksudkan itu adalah seperti sikat rambut tetapi tentulah besar bentuknya. “Gigi’ sikat berkenaanlah yang boleh berperanan menghancurkan tanah menjadi selut. Proses menyikat dilakukan selepas beberapa hari selepas di tenggala untuk memberikan peluang tanah yang ditenggala terendam dan lembut untuk disikat.

Selepas disikat, tibalah masanya untuk ‘menggolek’. Kanak-kanak di kampung aku (tentunya termasuk aku) hanya menunggu masa dan ketika untuk sama-sama terlibat dalam proses menggolek. Pada ketika ini kami perlu sentiasa ‘pasang telinga’ dan memerhatikan di sawah mana ada ‘upacara “Menggolek’ untuk dihadiri bersama ‘upacara’ berkenaan. “Menggolek” juga menggunakan tenaga kerbau tetapi tidaklah sepayah mana tugasan kerbau berkenaan berbanding dengan menarik tenggala.  

Yang menyeronokkan kami mengekori ‘golek’ di sawah ialah sementara golek berpusing di sesuatu petak sawah padi , kanak-kanak berpeluang menangkap ikan yang tersadai selepas proses menggolek itu. Dan apa lagi. Tangkap sajalah. Dan pada ketika itu, seingat aku memang terdapat banyak ikan walau di sawah mana sekali pun. Ikan puyu, ikan sepat, ikan haruan, ikan keli. Dan tentulah ada sawah-sawah yang mempunyai banyak ikan berbanding dengan yang lain. Kami tahu. Telah dikenalpasti saban tahun. Sayangnya kini sudah tidak ada lagi…..

Kebiasaannya waktu ‘menggolek’ bolehlah dianggap sebagai satu pesta di sawah berkenaan. Pemilik sawah membenarkan kanak-kanak mengekori goleknya kerana kaki kami juga berperanan untuk melembutkan tanah sawahnya yang memudahkannya menanam semaian padi kemudiannya.

Pada masa cuti sekolah maka kami akan berada di sawah sepanjang hari. Kami akan berpindah dari satu sawah ke sawah yang lain. Mengekori golek untuk menangkap ikan. Yang menyeronokkan lagi ialah bukan sahaja menangkap ikan tetapi kegiatan bermain selut ketika berada dalam lumpur juga amat mengembira. Pendek kata antara kerbau dengan kami, diukur dari segi rupa paras, tidak banyak perbezaan. Dari rambut sampai ke kaki dipenuhi dengan selut kecuali mata yang masih tidak diselaputi oleh selut dan lecah. Menyeronokkan!!......

Namun begitu kebimbangan tetap ada terutama apabila pulang ke rumah nanti dan ‘bertemu’ dengan arwah emak yang sudah sedia menanti dengan ranting kayu ditangan……..

Itulah bentuk permainan dan santai yang dapat diperolehi oleh anak kampung pada ketika itu. Kami tak tahu dan tidak pernah kenalpun apa dia ‘shopping mall’. Kami tak pernah berpengalaman mencuba roller skate atau skate board. Yang kami tahu ialah menaiki upeh pinang yang ditarik secara bergilir-gilir oleh rakan. Kami tidak tahu bagaimana rupa air yang ada dalam Swimming Pool di hotel-hotel di bandar. Jernih ke. Biru ke airnya. Cuma yang kami tahu ialah Sungai Sauk yang juga merupakan Swimming Pool’ tempat kami belajar berenang.

Rupanya Allah tidak mengenepikan anak kampung yang bersalut lecah. Ada juga yang berjaya sampai mendaki ke menara gading……

abuhassanadam
7 Mac 2015





Friday, March 6, 2015

ANTARA DR HAMKA DAN USTAZ  KAZIM

Terkejut juga aku apabila membaca berita tentang ‘penolakan’ Ustaz Kazim untuk mengadakan ceramah di Perlis oleh Mufti Perlis dengan alasan, "Jabatan ini tidak bersetuju dengan pemilihan panel Datuk Kazim Elyas (sic) kerana beliau sering terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu," sebagaimana dinyatakan dalam suratnya bertarikh 27 Februari 2015.

Kisah penolakan penceramah oleh Mufti telah pun berlaku di Johor pada tahun 1960 apabila Mufti Johor ketika itu melarang Dr. Hamka untuk menyampaikan ceramah di negeri itu. Hanya alasan penolakan sahaja yang berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Mufti Perlis itu.

Penjelasan Dr. Hamka ialah, “ Saya sudah mengalami satu bukti bagaimana bangkrutnya (gagalnya) kekolotan dipertahankan dengan kekuasaan di Johor itu pada tahun 1960. Mufti Johor telah mengenal saya sebagai Kaum Muda dan Wahabi dari Indonesia. Setelah mendengar bahawa saya akan datang ke beberapa negeri dalam kerajaan Johor, Mufti memerintahkan kepada seluruh kadhi-kadhi dalam kerajaan Johor, menyuruh tutup pintu  sekalaian masjid dalam kerajaan Johor, buat Hamka mengadakan syarahan (tabligh-ceramah)

Akhirnya apa yang terjadi? Saya masih berada dalam sebuah Guesthouse di Melaka, telah datang utusan dari D.O (District Officer – Pegawai Daerah) Muar, meminta supaya saya datang ke Muar mengadakan syarahan. Bukankah Mufti melarang saya bersyarah di masjid? Tanya saya. Utusan D.O. itu menjawab sambil tersenyum: kuasa mufti hanya di masjid, ditempat-tempat di luar masjid, seumpama tanah lapang tidak ada kuasa mufti. Apatah lagi kalau Tuan Hamka yang bersyarah di masjid pun tidak akan muat.

Begitulah saya terus bersyarah di Sindian, Kluang, Batu Pahat dan kota Johor sendiri…” Petikan dari artikel “ Masalah Khialfiah dan Tentang Taqlid dan Ijtihad” oleh Dr. HAMKA.

Aku melihat ‘pertembungan’ antara Ustaz Kazim dengan Dr Asri dari sudut sesuatu yang positif khususnya kepada masyarakat umum yang selama ini tidak pernah mempersoalkan langsung pengisian yang diajarkan oleh penceramah agama  di masjid-masjid dan di surau. Sudah sekian lama masyarakat Islam di Malaysia ‘ditugaskan’ untuk menjadi ‘tukang dengar’ dan ‘tukang angguk’ tentang apa saja yang disampaikan oleh penceramah-penceramah berkenaan.

Kadang-kadang terdetik juga di hati pendengar untuk menyoal sesuatu tentang fakta yang disampaikan oleh penceramah agama kita tetapi ramai yang takut dituduh cuba mempersoalkan sesuatu yang bertentangan dengan akidah. Dan kebiasaannya apa yang disampaikan oleh para pencermah adalah sebagai sesuatu yang ‘muktamad’ dan tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa terutama golongan pendengar yang dianggap jahil itu.

Dengan cara dan ‘body language’ disertai pula antonasi suaranya, maka para penceramah seolah-olah ‘menyalahkan’ pendengar dengan contoh-contoh yang meletakkan kesalahan kepada para pendengar dan menganggap apa yang disampaikan oleh mereka itu betul belaka. Keadaan sebegini telah pun aku perhatikan berlaku semenjak zaman berzaman di mana tidak ramai yang berani menyoal penceramah walaupun dirasakan sesuatu yang bertentangan dengan pendapat si pendengar.

Satu trend yang sedang menular kini ialah majlis ilmu kini sudah bertukar menjadi ‘pasar minggu’. Para penceramah bukan sahaja datang untuk menyampaikan ceramah tetapi kedatangannya adalah juga untuk menjual kitab-kitab yang dikarang oleh mereka. Dan kita tidak tahu samada buku-buku agama yang dikarang itu adakah betul-betul authentic dan tidak bercanggah dengan akidah
Bukan sekadar buku agama tetapi mereka juga menjual ‘air penawar untuk terang hati’ ‘kismis’ yang boleh ‘menerang hati’ dan berbagai-bagai perkara lagi untuk ‘menerang hati’.

Perniagaan yang dijalankan terus ‘subur’ memandangkan kegiatan sebegini amat sesuai dengan sikap setengah orang Melayu Islam yang ingin mengambil jalan pintas untuk mendapat kejayaan dalam peperiksaan. Semenjak zaman berzaman ‘air penawar terang hati’ telah memainkan peranan penting dalam kehidupan dan budaya orang Melayu terutama bagi ibu bapa yang mana anak mereka berada dalam kelas peperiksaan. Nampaknya sampai kini kegiatan sebgini masih berlelauasa. Aku tidak dapat mempastikan bahawa keadaan sebegini juga merupakan antara aktiviti mengimarahkan masjid dan surau…….Mungkin…

Dan antara keluhan yang sentiasa di dengar kini juga ialah tentang bayaran untuk seorang penceramah kini adalah terlalu tiggi dan sukar bagi masjid-masjid kampung ( yang kekurangan wang) untuk menjemput penceramah-penceramah yang kredible. Lagi pun penceramah agama (Ustaz Korporat) sedemikian akan memilih untuk pergi ke majlis-majlis yang dianjurkan oleh golongan korporat. Dengan demikian akan ketinggalanlah masjid-masjid dan surau di kampung yang tidak memiliki ongkos yang lumayan untuk membiayai penceramah berkenaan.

Aku merasakan bahawa sudah sampai masanya segala seminar dan simposium yang dianjurkan oleh JAKIM di peringkat kebangsaan dan negeri membincangkan tentang peranan penting yang harus dimainkan oleh golongan agama untuk mengubah sikap orang Melayu/Islam dalam menempuh zaman yang serba mencabar ini.

Dan yang paling penting sekali ialah harus dimulakan usaha sedemikian dengan pegawai-pegawai JAKIM itu sendiri. Dan tidak salah dan janggal agaknya juga sekiranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sendiri ‘turun padang’…..

Bukankah itu merupakan amalan Rasulullah……..


abuhassanadam
6 Mac 2015