Monday, December 16, 2024

 

MAHASITUA (3)

Tentulah agak sukar bagi aku menghadapi masa hadapan yang cukup mencabar. Aku hanya berbekalkan sijil LCE ( Lower Certificate of Education). Pada ketika itu hanya berkelulusan LCE boleh diterima untuk mengikuti kursus perguruan di DTC (Day Training Centre). Dan aku adalah diantara calon yang mengikuti kursus perguruan di DTC Taiping pada tahun1962. Bermakna aku sudah menjadi guru sekolah rendah ketika berumur 17 tahun.

Sebenarnya bukan kehendak aku untuk mengikuti kursus perguruan dalam usia yang terlalu muda dan bukan juga kehendak bapa aku. Tetapi keadaan pada ketika itu yang memaksa aku mengambil tindakan sedemikian. Namun begitu aku faham bahawa bapak aku tentunya tidak termampu untuk membiayai pendidikan aku dan adik aku Latipah yang juga belajar di sekolah Inggeris (Government English Girl School, Kuala Kangsar) kini Sekolah Raja Perempuan Kalsom. Setelah aku tilik dan menongkan tentulah amat tidak patut untuk aku meneruskan pengajian aku ke tingkatan 4 dalam keadaan pendapatan bapak aku yang amat tidak termampu olehnya untuk meneruskan persekolahan aku dan adik aku.

Lantas aku mengambil keputusan untuk berhenti setakat tingkatan empat setelah lulus LCE. Itu membolehkan aku untuk meneruskan perjalanan pendidikan untuk menjadi seorang guru dan meneruskan pengajian di DTC  Taiping untuk mengikuti kursus perguruan. Sebenarnya aku telah ditawarkan ke Tingkatan empat alirann sains berdasarkan keputusan peperiksaan LCE yang aku perolehi. Aku memperolehi kepujian dalam semua matapelajaran. Yang pentingnya keputusan yang cemerlang yang membolehkan aku dimasukkan ke Tingkatan 4 aliran sains berdasarkan kepada keputusan Matematik dan Sains yang amat membanggakan. Kemasukan aku ke kelas Tingkatan Empat aliran sains adalah semacam satu mimpi bagi aku. Hanya aku seorang sahaja anak Melayu yang ditempatkan dan tentulah merasakan amat janggal bagi aku berada dalam kelas yang kebanyakannya terdiri dari kaum lain. Itu tidak bermakna yang aku di 'anaktirikan'. Hanya aku yang merasakan terasing.

Tetapi entah macam mana keadaan kehidupan aku bertukar menjadi keadaan yang amat gelap. Berdasarkan keputusan peperiksaan, aku hanya seorang (Melayu) yang ditempatkan di kelas Sains berkenaan. Daripada 30 orang pelajar hanya aku keserangan Melayu yang mengikuti kursus Sains di Clifford School Kuala Kangsar pada tahun itu.. "Science stream." Begitu hebatnya dan aku tidak tahu ke mana matlamatnya. Tidak ada tempat untuk aku mengadu dan bertanyakan khabar tentang tindakan yang harus aku ambil. Rakan-rakan kawan kaum Cina  tidak aku tanya dan mungkin mereka juga sibuk, Lantas aku tinggal keseorangan 'membawa diri''. Pada ketika itu aku betul-betul hilang arah untuk dituju.

'Stress'yang aku hadapi menyebabkan aku demam empat hari dan tidak ke sekolah. Puncanya adalah aku tidak tahu ke mana aku akan 'mendarat' dan tidak ada sesiapa tempat mengadu tentang apakah keputusan yang aku ambil bertepatan. Pada ketika itu aku sudah 'terbang' entah ke mana. Aku betul-betul rasa ketinggalan dalam hidupku.Aku tidak tahu ke mana arah tuju aku sebenar. 

Setelah aku agak sihat aku hadir di sekolah dan kehadiranku dalam kelas 'Empat Sains' adalah semacam tidak dipedulikan. Dan pada ketika itu aku sudah sedar bahawa kehadiran aku hanya sebagai 'melukut di tepi gantang'. Aku tidak dapat mengikuti pelajaran yang diajar oleh guru dan tidak pula aku berjumpa dengan guru untuk mendapatkan penjelasan. Aku terus 'tenggelam'

Tindakan seterusnya adalah berjumpa dengan Pengetua, Mr Karam Singh menyatakan hasrat ku utnuk berhenti sekolah. Aku masih ingat 'nasihat' yang disampaikan oleh Mr. Karam Singh kepada aku. 'Mahu kahwin cepat kah?' katanya. Masih terngiang-ngiang ditelinga aku 'nasihat' beliau yang lebih merupakan satu penghinaan yang menunjukkan yang orang Melayu pada ketika itu hanya mementingkan perkahwinan daripada mengejar peluang pendidikan.

Terus terang aku nyatakan kepada Pengetua bahawa aku terlalu miskin untuk meneruskan pelajaran aku. Dan aku mahu menyelamatkan pendidikan adik aku juga dengan harapan bapak aku menanggung pelajaran adik aku. Kesannya aku amat putus asa dan terus bertekad untuk meninggalkan Clifford School (Form Four) dan kebetulan dapat diterima di DTC Taiping dibawah pentadbiran Mr Gordon Ward. Di Clifford aku telah cuba dinasihat oleh Mr Karam Singh agar jangan pergi tetapi nasihatnya agak kurang meyakitkan. Katanya 'mahu kahwin kah? apabila aku katakan hasrat aku untuk keluar dari sekolah itu.

Tidak ada sesiapa pun ( para guru di sekolah Clifford) yang menasihati aku agar terus berada di Tingkatan Empat Sains. Tidak ada sedangkan aku telah membuktikan yang anak Melayu boleh mendapat keputusan cemerlang dalam matapelajaran sains. Aku tentunya merasa kecewa kerana tidak mendapat simpati walaupun dari seorang guru.

Kemudian baru aku sedar bahawa mengapa begitu terjadinya nasibku. Tentulah tidak siapa yang peduli tentang nasib anak kampung seperti aku. Aku bukannya dari golongan pembesar negeri ataupun anak seorang pegawai kerajaan. Bapak aku hanya seorang penoreh getah yang kehidupannya ' kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.Keadaan 'miskin' yang aku lalui tidak ada tolak bandingnya dengan keadaan kemiskinan yang aku lalui kini. Namun begitu aku bersyukur kerana telah berjaya juga aku membela kehidupan ku dan keluargaku selepas itu.

Kedudukan aku di sekolah seperti mencari simpati dari guru-guru. Teringin sangat guru memanggil namaku. Kehadiran aku di sekolah tidak lebih dari kata peribahasa Melayu, 'hidungg tak mancung pipi tersorong-sorong'. Memang betul dan begitulah kedudukan aku ketika itu dimata guru-guru. Mungkin tidak begitu pandangan guru terhadap aku, namun begitulah apa yang aku rasakan.

Januari 1962 bermulalah fasa baru dalam hidupku - Menjadi pendidik anak bangsa dengan memasuki DTC, Pusat Latihan Perguruan di Taiping.


abuhassanadam

17 Disember 2024

Sunday, December 15, 2024

 

MAHASITUA (2)

Setahun sudah aku berada di Kampung Ulu Mengkuang. 

Mengajar di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang. Bagi rakan-rakan guru sentiasa bertanya tentang keadaan di Ulu Mengkuang. Bagi mereka tentulah keadaan kampung itu terlalu 'ulu'. Terlalu sukar bagi aku untuk meyakinkan mereka bahawa di tempat seperti di Ulu Mengkuang itulah sepatutnya mencurahkan bakti memajukan anak bangsa. Di situlah sepatutnya tumpuan para guru (muda) memajukann anak bangsanya.

Aku bertanya juga diriku. Apakah kesudahan aku. Apakah berpuas hati dengan gelaran cikgu yang hanya berkelulusan LCE (Lower Certificate of Education). Apakah berpuas hati dengan gaji bulanan yang diterima sebanyak RM 210.00. Tidakkah ada hasrat untuk menyambung pelajaran demi untuk memajukan diri, bisik hati kecilku.

Tidak banyak beza antara aku dan penduduk asal kampung Ulu Mengkuang setelah setahun aku 'bergelumang' dengan penduduk di sini - dengan orang dewasa, dengan pemudanya dan apatah lagi dengan anak-anak yang sudah cukup rapat pergaulan dengan aku. Sehingga kini hubungan (selepas 50 tahun) aku dengan bekas anak murid aku masih rapat. Aku masih ingat nama-nama anak muridku ketika mereka berada dalam Darjah 1 tahun 1965. Aku masih ingat anak-anak yang bernama Yahaya Hamid, Isa Md Noor, Zainab Pak Su Man, Md Zain Haji Nawi dan ramai lagi. Begitulah keakraban yang terjalin antara aku dengan anak murid aku.

Aku masih ingat juga nama-nama penduduk kampung Ulu Mengkuang (yang sudah tiada lagi) seperti Pk Ngah Ahmad, Pak Teh Derani, Tuan Haji Hassan ketua kampung, Pak Long Noor, Mak Teh Bedah, Md. Noor Haji Hassan (pemimpin belia), Pak Su Man (ketua kampung pada ketika itu) dan ramai lagi.

Masa dan ketika aku berada di Ulu Mengkuang pada tahun 1965 tidak terluang kosong. Hampir setiap petang anak-anak pelajar akan berada di sekolah dengan berbagai kegiatan yang mereka jalankan. Kegiatan permaianan bola sepak (untuk pelajar lelaki) dan Bola Jaring (untuk pelajar perempuan) walaupun gelanggang tempat mereka bermain adalah sangat tidak memuaskan (yang jauh panggang dari api) berbanding dengan  court netball di sekolah-sekolah bandar. Namun para pelajar sungguh seronok dan bergembira dengan permainan demikian.

Satu perkara yang betul-betul mengusik perasaan ku adalah tentang sikap anak-anak di kampung ini. Amat luar biasa sikap mereka terhadap pelajaran. Maksud aku adalah kesungguhan mereka mendapatkan pelajaran. Ibu bapa di sini sungguh menunjukkan minat terhadap pelajaran. Mereka mahu anak-anak mereka menjadi orang terpelajar walaupun mereka agak ketinggalan dalam mengejar pendidikan. Sebarang usaha ke arah memajukan pendidikan di sini pasti akan disokong sepenuhnya oleh para ibu bapa disini. 

Kehadiran guru terlateh sememangnya dinanti-nantikan oleh para ibu bapa di Ulu Mengkuang. Cikgu Ismail yang digelar 'PAK DA" sudah telah bertungkus lumus menyesuaikann tugasnya sebagai guru besar dan juga kelas yang bercantum antara Darjah 111 dan Darjah 1V. Keadaan  sedemikian pastinya tidak wujud di sekolah-sekolah di bandar. Dan keadaan begitu tidak dapat dielakkan disebabkan kekurangan guru yang terlatih.

Dengan para belia dan tenaga muda tidak aku lepaskan peluang untuk bersama-sama mereka dalam banyak kegiatan (kegiatan pemuda kampung).  Tonggak perjuangan belia adalah Persatuan Belia. Hampir setiap pemuda di Ulu Mengkuang menganggotai dan bergiat cerges dalam persatuan Belia. Terus terang aku katakan bahawa aku amat terpengaruh dengan novel "DESA PINGITAN'  karangan Ibrahim Omar yang melakarkan kisah-kisah desa dan perjuangan persatun belianya, yang pada pandangan aku amat elok untuk dicontohi (mungkin pada waktu itu).

Kesan perhubungan rapat antara guru-murid ini dapat dirasakan sehingga kini (2024) walaupun bekas murid ku hampir keseluruhannya telah bergelar datuk (bercucu) dan ada juga yang telah meninggal.Dan bagi aku pula tidak pernah terlepas dari memikirkan tentang Kampung Ulu Mengkuang. Walau ke mana saja aku pergi aku tidak pernah terlupa untuk mengenangkan kampung yang banyak memberi erti dalam hidup ku.

Walaupun aku merasa cukup bahagia dan seronok berada di Ulu Mengkuang namun bila aku 'tersedar siapa diriku sebenar' ( seorang guru yang hanya berkelulusan LCE (PMR ketika itu),barulah mula aku memikirkan  tentang masa depan ku. Pernah terjadi ketika aku berada di Seoul Korea Selatan aku telah dijemput untuk menyampaikan ceramah di satu seminar. Kampung Ulu Mengkuang aku singgung dalam ceramah ku itu.

Tentulah banyak peristiwa  manis yang aku alami ketika berada di Ulu Mengkuang. Kisah pahit tentunya ada juga. Namun disebabkan terlalu banyak yang ‘manis’ maka yang ‘pahit ‘ itu akan hilang dengan sendirinya. Akan ku coretkan dari masa ke masa kisah-kisah manis ketika berada di kampung yang penuh nostalgia ini.

Suasana bersahur di Ulu Mengkuang meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam benak aku sampai kini. Pastinya aku akan mengembalikan ingatan aku kepada suasana bersahur di kampung Ulu Mengkuang ketika menjelangnya bulan Ramadhan. Walaupun di mana aku berada Suasana bersahur di Ulu Mengkuang menampakkan satu suasana yang cukup riang bagi penduduk. Walaupun dalam keadaan kegelapan menyelubungi kampung itu namun suasana riang itu tetap ada.

Setiap penghuni kampung mempastikan tidak seorang pun yang akan terlepas dari menikmati makan sahur. Pada ketika itu tentulah tidak ramai yang memiliki jam loceng untuk mengejutkan mereka dari tidur. Mungkin tidak ada langsung. Namun disebabkan kerjasama yang  begitu erat dari penduduk kampung, telah menyebabkan tidak ada seorang pun yang tidak akan terlepas dari bersahur.

Jiran-jiran akan mengejutkan antara satu sama lain. Dan pada malam itu saja aku masih ingat tidak kurang dari lima ‘panggilan’ yang aku terima untuk mengejutkan aku dan ibu dari tidur. ‘Cikgu…sahur Cikgu…’ Begitulah bunyinya panggilan mereka dengan penuh hormat. ‘Panggilan’ sedemikian akan terhenti setelah mereka melihat (agaknya) cahaya lampu pelita di pondok aku melalui lubang-lubang dinding buluh menandakan yang aku telah bangun dari tidur.

Begitulah keadaan penduduk Ulu Mengkuang pada malam-malam seterusnya pada bulan Ramadhan. Aku tidak dapat pastikan samada amalan sedemikian masih berterusan sehingga kini. Aku merasakan yang amalan sebegitu sudah tidak dapat diamalkan lagi terutama dengan berbagai pancaroba yang menghalang keadaan dan budaya sedemikian dapat diteruskan.

Sebelum melelapkan mata, aku terfikir juga tentang nasib dan masa depan aku walaupun tidak mengorbankan masa depan anak murid  yang aku sayangi di Ulu Mengkuang.

Aku perlu juga mengubah nasib aku dan masa depan aku.

abuhassanadam

16 Disember 2025







Saturday, December 14, 2024

 MAHASITUA (1)

Aku amat berbangga bergelar seorang 'Mahasitua'.

Sudah agak lama tidak kedengaran perkataan 'keramat' ini diungkapkan samada oleh 'yang empunyai diri' ataupun bagi sesiapa ingin memberikan ulasan berkaitan dengan 'MAHASITUA'.Tahun-tahun awal 70an, perkataan 'mahasitua' memang selalu 'didendangkan' bagi menggambarkan satu kumpulan manusia yang ingin 'menebus' kegagalan mereka kerana tidak berpeluang mendapat pendidikan tinggi yang sempurna sepertimana yang dinikmati oleh sekumpulan mahasiswa yang beruntung dan bernasib baik.

3 hb Januari 1965 adalah juga merupakan tarikh keramat dalam diari hidupku kerana tarikh itu merupakann hari aku melaporkan diri sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang Selama, Perak. Ramai kawan-kawan dikalangan guru amat bimbang untuk dihantar bertugas di Ulu Mengkuang disebabkan kedudukan pingitan yang terletak di sebuah kawasan pendalaman. Aku juga berasa enggan pada mulanya untuk bertugas di sini tetapi disebabkan sudah diarahkan maka aku terpaksa patuh kepada arahan kerajaan.

Sebenarnya tidak ada sebab yang ditakuti untuk berkhidmat di sini. Malah selepas lima tahun 'bergelumang' dengan anak-anak di sini aku merasa cukup selesa dan berbangga kerana dapat berkhidmat dengan anak-anak kampung (serupa keadaan aku juga sebagai anak akmpung). Lima tahun aku curahkan khidmat aku di SK Ulu Mengkuang yang berakhir dengan satu keadaan yang cukup manis apabila selepas lima tahun di Ulu Mengkuang aku 'berhijrah' menyambung kerjaya aku di University Malaya  Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Ulu Mengkuang pada tahun 1965 adalah amat berbeza dengan Ulu Mengkuang tahun 2024. Bagi aku tidak ada cacat celanya kampung Ulu Mengkuang malah bagi aku boleh dianggap sebagai sebuah kampung contoh dengan keadaan masyarakat yang hampir sama dengan kampung-kampung lain di negara ini. Cuma pada ketika itu, Ulu Kampung adalahh dalam serba kekurangan. Maklumlah baru sahaja mencapai kemerdekaan dan dapat dianggap bahawa Ulu Mengkuang baru 'bangun dari tidurnya' yang pada anggapan aku sama seperti kampung-kampung lain juga pada ketika itu.

Aku merasa cukup bangga menjadi guru di Ulu Mengkuang . Ditinjau dari dikalangan saudara mara aku hanya aku yang dapat menjadi seorang guru berbanding dengan yang lain yang hanya sebagai penoreh getah atau pun berbendang. Oleh itu percampuran aku dengan orang kampung di Ulu Mengkuang memang tidak banyak perbezaan. Amat sesuai bagi aku bergaul dengan mereka. Anak kampung.

Aku mengambil masa yang cukup singkat bagi menyesuaikan diri aku dengan masyarakat di kampung Ulu Mengkuang. Begitu juga dengan penyesuaian aku dengan anak-anak di sini. Hanya mengambil masa yang begitu singkat untuk mereka bersama aku.

Kehadiran aku dan seorang guru lain (Jaafar bin Sidin) sememangnya di nantikan oleh anak-anak di sini dan yang lebih membanggakan dinantikan juga oleh para ibu bapa di sini. Susana penantian para ibu bapa itu tidak akan dapat dirasai oleh guru-guru yang mengajar di kawasan bandar misalnya. Sehingga kini hubungan aku dengan orang kampung Ulu Mengkuang masih erat dan berkekalan apatah lagi dengan anak-anak murid sekolah berkenaan yang ada diantara mereka sudah berjaya dalam pendidikan mereka.

Aku amat bangga dengan kejayaan mereka. Akan aku susuli dengan penceritaan aku di Kampung Ulu Mengkuang sektar tahun-tahun 1965-1970.

abuhassanadam

14 Disember 2024

Friday, December 13, 2024

 

MANIS ‘PEMBUKA MULUT’

Terlalu ramai kawan-kawan , anak-anak *rakyat Malaysia' yang dikasihi yang meminta aku mengabadikan apa yang telah aku tuliskan dalam blog (http://abuhasanadam.blogspot.com), demi untuk diketahui oleh ramai terutama golongan muda yang tidak dapat merasakan suasana masyarakat pada ketika yang aku gambarkan itu ia itu tahun-tahun 1950an dan 1960an. Disamping itu aku merasakan juga bahawa bahan-bahan tulisan yang terdapat dalam paparanku itu boleh juga dimanfaatkan oleh para mahasiswa yang ingin membuat kajian tentang masyarakat Melayu pada zaman yang aku sebutkan tadi. Apa yang aku ceritakan adalah merupakan cerita benar belaka dan watak-watak, tempat yang terpapar dalam penceritaan adalah fakta sebenarnya. Fakta yang boleh dijadikan bahan dalam pembentukan perspektif sejarah pada ketika itu kerana ia bukan rekaan.

Misalnya, mungkin ramai pembaca kini yang tidak mengetahui dengan mendalam tentang kuih orang Perak yang diberi nama ‘TUAN PUTERI BAJU HANGUS’. Mungkin sudah ramai yang pernah terjumpa kuih berkenaan tetapi tidak mengetahui dengan mendalam asal usulnya. Kemudian diceritakan juga tentang cara-cara ibu bapa zaman dahulu mengawal anak-anak mereka supaya segera pulang dari sekolah dengan mencipta watak yang dinamakan “NGAH LAOH TUKANG KERAT KEPALA’ yang kononnya mengerat kepala kanak-kanak untuk dijadikan pasak pembinaan sesebuah jambatan.

Kanak-kanak zaman ini tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan ‘Canggung’. Apakah fungsi dan peranan ‘Canggung’ dan bagaimana permainan ‘Canggung’ merupakan permainan yang sangat disukai oleh anak-anak pada tahun-tahun 1950an. 

Mungkin juga ramai yang tidak dapat memahami bahawa belalang adalah sejenis makanan yang sedap dimakan tertutama apabila dibuat rendang. Samalah seperti rendang ayam atau rendang daging. Tetapi yang mungkin dipersoalkan oleh masyarakat kurun ke 21 ialah dari manakah sumber untuk mendapatkan bekalan belalang yang begitu banyak untuk dibuat rendang belalang. Apakah makanan rendang belalang masih terdapat di kawasan Padang Rengas / Kuala Kangsar sehingga kini. Cerita selanjutnya dapat diketahui melalui kisah ‘MENYULUH BELALANG’

Kisah persekolahan pada zaman penjajahan banyak dilukiskan melalui kisah, ‘CIKGU SAMAD’. Menceritakan tentang dedikasi dan pengorbanan seorang guru terhadap anak muridnya. Diceritakan dalam bentuk santai yang disulam dengan ayat-ayat yang menggelikan hati tetapi mengandungi pengajaran dan falsafah yang agak mendalam. Kisah pengorbanan seorang guru terhadap muridnya. ‘GURU MENANGIS!...’ adalah mengenai kekecewaan seorang guru tentang rasa bersalahnya dia yang menyebabkan ramai ‘anak murid’nya kini yang menjalani kehidupan yang amat bertentangan dengan apa yang diajarkannya kepada mereka pada suatu ketika dahulu.

Diceritakan juga tentang keadaan murid-murid yang memasuki Darjah 1 pada tahun 1951 dalam ‘DARJAH 1 – 1951”. Dijelaskan tentang bagaimana keadaan suasana pada hari pertama persekolahan zaman penjajahan. Diceritakan juga tentang para pelajar yang memasuki Darjah satu yang mana umur seseorang pelajar itu tidak dipertimbangkan asalkan seseorang pelajar itu mahu belajar. Para pembaca boleh bermenung dan bandingkan dengan keadaan pelajar Darjah satu kini dengan keadaan permulaan persekolahan pada awal tahun 1950an.

Kisah,’ ANTARA AYAM  MALAYSIA DENGAN  AYAM ENGLAND’ merupakan coretan yang amat menarik untuk dibaca oleh sesiapa pun khususnya anak-anak muda kini. Ini semacam kisah lucu, kisah anak kampung yang jakun totok yang belajar di sekolah Inggeris yang tidak tahu langsung tentang budaya orang Inggeris sebagaimana yang dibacanya melalui pembacaan buku Inggeris. Secara kebetulan pula guru Bahasa Inggeris ketika itu mahukan anak muridnya yang ‘berlidah Melayu’ menyebut perkataan Inggeris sebagaimana yang lumrah disebut oleh orang Inggeris. Untuk menyebut perkataan ‘G A R D E N’ mengambil masa satu waktu pembelajaran. Amat menarik untuk diselami falsafahnya. Lihat lah atikel berjodol,’ MR ANG CHUI PEK – “G-A-R-D-E-N”

Kisah guru yang penuh dedikasi dalam menyampaikan pelajaran kepada murid-murid boleh dilihat dalam’ ROBIN HOOD’. Mengkisahkan tentang seorang guru Mr. Muthusamy yang mengajar di Government English School Padang Assam, yang memperlihatkan kesungguhan yang bukan kepalang menyampaikan cerita Robin Hood kepada anak murid. Bukan itu sahaja malah beliau turut meminjamkan buku-buku Robin Hood yang berada dalam simpanannya supaya dapat dibaca oleh murid-muridnya yang rata-rata anak Melayu yang miskin yang tidak mampu untuk membeli buku-buku berkenaan.

‘JIKALAU AYAM TIDAK BERKOKOK’ pula tentunya mengkisahkan keadaan orang kampung, khususnya di kampung aku yang tidak mempunyai jam untuk menentukan waktu tetapi sebaliknya hanya mengharapkan kepada kokok ayam atau pergerakan matahari pada siang hari. Ketiadaan jam pada ketika itu mungkin juga disebabkan oleh kekurangan wang untuk membeli jam ataupun berkemungkinan mereka tidak memerlukan jam ataupun kebanyakannya pada ketika itu tidak pandai melihat waktu. Buta huruf.

‘RAYA CINA’ antara paling ‘ditakuti’ oleh orang kampungku berbanding dengan keadaan kini. Mungkin ramai yang  tidak dapat mengagak mengapa wujud ketakutan sedemikian. Sebabnya ialah pada hari ‘Raya Cina’ seluruh kedai di Padang Rengas akan tutup kecuali sebuah kedai Barakath Store. Oleh itu orang-orang kampung persekitaran tidak dapat membeli barang keperluan harian mereka yang biasanya mereka perolehi dari kedai Sin Soon Bee atau kedai Ah Soo. Atas sebab itulah orang kampung persekitaran amat bimbang dengan kedatangan Hari Raya Cina.

Kisah, ‘SOTONG BAKAR DAN BULAN PUASA’ juga hanya tinggal dalam lipatan kenangan. Anak-anak kini tidak akan dapat lagi berpesta makan sotong seperti yang dilalui oleh anak-anak tahun 1950an disebabkan harga sotong kering yang begitu tinggi kini berbanding dengan hanya 10 sen harga seekor sotong pada ketika itu. Sotong biasanya menjadi upahan sebagai balasan tugas membasuh pinggan pada bulan Ramadhan kepada anak-anak selepas jamuan berbuka puasa. Disitulah bermula ‘pesta’ makan sotong yang berlarutan sehinggalah menjelangnya malam raya.

Kolam mandi anak-anak kampung pada tahun-tahun 1950an adalah di ‘SUNGAI SAUK’. Mungkin anak-anak pada awal tahun 1950 biasa dengan ‘kolam renang’ yang mana air sungai diempang untuk disalurkan ke sawah-sawah padi. Air yang diempang itu menjadi sebuah kolam tempat anak-anak kampung mandi manda dan belajar berenang. Dari situlah mereka mahir berenang. Anak-anak kampung ini biasanya tidak pernah langsung menikmati suasana di kolam renang sehinggalah mereka dewasa dan dapat menikmati kolam renang di hotel-hotel tempat mereka menginap. Itu pun setelah ada yang berjaya dalam kehidupan dan dapat menikmati kemewahan sebagaimana yang dinikmati oleh orang lain.

Ada peribahasa Melayu yang mengatakan,’ jikalau tidak ada-ada, takkan tempua bersarang rendah’. Memang betul jika diperhatikan sememangnya burung Tempua tidak bersarang rendah. Kebiasaannya Tempua akan memilih pohon buluh dan pastinya ia membuat sarangnya di pucuk buluh. Kisah burung Tempua ini dipaparkan semula untuk mengenang keadaan burung Tempua yang bergayutan di pohon buluh yang kini sudah tidak ada lagi. Coretan ini dapat di lihat melalui paparan berjodol,’ MANA PERGINYA TEMPUA KU SAYANG’

'WAYANG ESTET DAN COKLAT CADBURY’ pula memaparkan kisah anak kampung yang tidak pernah merasai atau menikmati coklat yang berjenama. Bagi mereka coklat itu adalah gula-gula yang dijual di kedai-kedai kampung. Namun begitu anak-anak kampung ini dapat juga menikmati coklat sedemikian dengan cara yang tidak terfikir oleh fikiran yang biasa. Terpulanglah kepada para pembaca untuk terus menerus membaca dan mencari jawapan bagaimana anak-anak kampung dapat juga menikmati coklat-coklat berjenama sepert Cadbury.

Anak kampung pada zaman penjajahan juga tidak berpeluang untuk menonton wayang di panggung wayang disebabkan kesempitan hidup dan tempat tinggal mereka (di kampung-kampung ) yang terletak jauh dari bandar. Namun mereka dapat menonton wayang percuma  dengan adanya wayang yang disediakan oleh pengusaha-pengusaha estet getah pada ketika itu.

‘GURU MENANGIS!...” merupakan curahan hati seorang guru yang amat sedih mengenangkan keadaan ‘anak murid’ mereka yang telah menjadi pemimpin, pegawai kerajaan dan memegang berbagai jawatan penting dalam kerajaan tetapi telah melakukan berbagai penyelewengan dan rasuah. Guru menangis melihatkan seolah-olah para pemimpin ini mengabaikan ajaran guru dan tidak langsung menghormati ajaran-ajaran guru yang pada suatu ketika dahulu sentiasa berpesan supaya menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat dan negara. Guru menangis disebakan seolah-olah ajaran-ajaran mereka sudah tidak dipedulikan.

Ramai sudah tidak mengetahui apa yang dikatakan ‘PANJUT’ walaupun bagi mereka yang berasal dari daerah Kuala Kangsar. Cuba dijelaskan tentang apa yang dimaksudkan dengan panjut dan keseronokan yang boleh ditimbulkan ekoran mengadakan pesta panjut pada malam tujuh likor atau Malam 27 Ramadhan. Panjut lebih mirip kepada pelita yang dinyalakan dengan menggunakan minyak tanah dan tidak begitu sesuai gelaran panjut itu jika menggunakan lampu letrik. Namun begitu masyarakat kini masih menggelarkan  panjut juga walaupun menggunakan lampu letrik.

Cara berfikir anggota masyarakat tahun-tahun 1950an atau lebih awal daripada itu sememangnya luar biasa. Isu-isu yang berkaitan dengan hal ini dapat dilihat dalam paparan berjodol,’ ZAMAN ALANG ISKANDAR’. Pada ketika itu anggota masyarakat yakin bahawa pemerintah sesuatu zaman itu boleh menentukan keadaan yang wujud dalam negara. Misalnya ada pemerintah yang dianggap tidak mendatangkan keamanan kepada negara dan ada juga pemerintah yang betul-betul kelihatan mendatangkan kemakmuran kepada negeri. Misalnya dalam zaman pemerintahan Sultan Alang Iskandar Shah di negeri Perak, diperhatikan bahawa terdapat kemewahan yang luar biasa. Padi menjadi, pokok buah-buahan juga menjadi-jadi dan rakyat menikmati kebahagiaan.

‘MENGGOLEK’ adalah merupakan proses terakhir sebelum semaian padi di tanam. Proses awal dalam perusahaan menanam padi adalah menggunakan tenggala untuk menenggala sawah yang diikuti kemudiannya (selepas beberapa hari) dengan menyikat tanah dengan menggunakan sikat. Tujuannya ialah untuk menghancurkan tanah yang masih berbongkah-bongkah. ‘Menggolek’ adalah proses akhir dimana tujuannya ialah untuk meratakan tanah supaya semaian padi dapat ditanam dengan sempurna. Proses ‘Menggolek’ sangat ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak adalah disebabkan kegiatan menangkap ikan akibat digilis oleh golek.  Suasana yang sedemikian sudah tidak wujud lagi dimana-mana kampung pun di Malaysia setelah datangnya jentera tractor.

Tentulah tidak perlu aku huraikan satu persatu daripada paparan dalam naskah ini. Terpulanglah kepada para pembaca untuk terus membaca dan meneroka disamping terus memikirkan dan menganalisis keadaan yang wujud pada ketika itu.

Selamat membaca!


abuhassanadam

13 Disember 2024











Friday, March 15, 2024

 

satu coretan

DARI BRYANSTON SQUARE LONDON - baik kampung

Tiga hari sebelum Pemegang Mohor Raja-Raja Melayu mengisytiharkan permulaan puasa di Malaysia, ketika melewati  No 44-45 Bryanston Square, London, entah macam mana  seperti 'halalintar membelah bumi' fikiran aku terdetik untuk balik kampung pada bulan Ramadhan yang akan menjelang. Aku tidak memberi tahu emak atau bapak yang aku akan balik. Malah aku sudah pun memberitahu  mereka bahawa aku akan beraya di London.

Mereka tidak ada 'complain' kerana aku tidak beraya di kampung. Malah mereka sudah biasa dengan perangai aku sedemikian. Aku pernah dituduh kerana  tidak dapat memahami hati dan perasaan emak bapak, sekiranya anak tidak bersama pada hari lebaran. Zaman awal aku berada di negara orang memang begitulah sikap dan tindakan 'orangg tua' aku, terutamanya ibu ku. Tindakan aku untuk terus menetap di London adalah keputusan peribadi aku walaupun mendapat tentangan dari mereka, Sememangnya aku seorang anak yang 'degil' dan terlalu payah untuk patuh kepada kata-kata 'orang tua'. Cuma 'kelebihan' yang aku ada ialah 'kecerdikan' yang aku miliki yang membolehkan aku yakin boelh tinggal dan bekerja di negara orang. London.

Jikalau dulu aku sentiasa dalam keadaan serba salah, samada balik atau tidak namun pada kali ini seolah-olah keputusan telah tertulis bahawa aku akan balik pada permulaan puasa dan akan terus dtinggal di kampung sehingga lah hari raya. Sudah pasti, Tidak siapa antara abang dan adik-adikku yang tahu yang aku akan balik mapung. Emak dan bapak langsung tidak diberitahu. Tambahan pula emak dan bapak dalam keadaan uzur -tidak sihat.

Sememang kena pada waktunya aku balik kampung tetapi begitu berat rasanya untuk pulang ke kampung. Aku tidak tahu apa sebabbnya. Adik-adikku selelau menempelaknya mengataakan yang aku dah jadi 'orang putih'. Tidak juga begitu.Tempoyak dan petai masih menjadi ulam kegemaran aku.Dalam hal sedemikian mereka menuduh aku sebagai 'orang Perak tulin'. Memang betul tempoyak (dari dusun durian bapak ) memang kegemaran aku.

Apabila sampai di KLIA, aku merasa cukup bahagia. Kini aku sudah berada di tanah air tempat tumpah darahku.Aku masih keseorangan. Siapa tidak aku beritahu tentang kepulangan ku. Aku mahu betul-betul wujudkan kejutan pada semua orang,apatah lagi sudah lima tahun aku tidak pulang ke kampung. Hanya perhubungan melalui internet. Sebab itulah agaknya perasaan rindu dendam itu tidak seperti zaman sebelum wujudnya internet.

Tersenyum lebar pemandu 'Grab' yang membawa aku dari KLIA ke Padang Rengas apabila aku berikan tambangnya - RM 200.00. Agak lumayan juga agaknya pendapatan beliau pada hari itu. Aku pun merasa cukup bahagia dapat menghulurkan pemberian sedemikian. Entah berapa puluh ribu wang aku berikan kepada pemandu teksi London, apalah salahnya aku hulurkan wang sebanyak itu kepada 'saudara'ku di Malaysia,

Aku suruh pemandu 'Grab' memberhentikan aku dekat kedai 'Keling Tengah', Terpinga-pinga dia apabila aku sebut kedai 'keling tengah'. Di kedai itulah tempat aku makan roti canai dengan kawan-kawan suatu ketiak dulu. Entah ada entah tidak lagi kedai 'keling tengah'. Aku perhatikan kalau-kalau masih ada. Jelas audah tidak ada lagi kedai 'keling tengah'.

Aku minta pemandu 'Grab' berkenaan menghantar aku ke rumah aku yang tidak berapa jauh dari situ. Dia setuju.


abuhassanadam

15 Mac 2024

Thursday, December 14, 2023

 

PEMBANGKANG 'SERBA TAK KENA'

Sepintas dapat di lihat bahawa pihak pembangkang semacam 'serba tidak kena' apabila senarai anggota Kabint Malaysia dipersembahkan oleh PMX. Jelas menunjukkan bahawa senarai itu menunjukkan sesuatu yang kredibel yang boleh diharapkan oleh rakyat yang tokoh-tokoh inilah nanti yang akan membawa kemajuan kepada rakyat Malaysia.

Sudah dijelaskan oleh PMX bahawa sekiranya tidak ada halangan yang berat maka senarai pemimpin kabinet inilah yang akan terus menerajui negara ini seingga menjelangnya PRU 16 nanti. Maknanya tidak ada perubahan atau pertukaran ahli kabinet. Itu merupakann sesuatu keadaan yang luar biasa. Dan tidak pernah berlaku lagi (seingat aku!) keadaann semacam itu. Namun memahami tindak tanduk PMX tentu sekali apa saja keadaan memungkinkan berlaku. Keadaan sebeginilah yang amat sukar dimengerti oleh kebanyakan rakyat atau para pemimpin sekali pun.

Kabinet telah dirombak oleh PMX. Tidak banyak perubahan. Hanya V Sivakumar yang digugurkan sementara tokoh-tokoh lain hanya 'perpindahan' dari satu kementerian ke kementerian lain yang bersesuaian dengan tokoh berkenaan yang tentunya difikirkan sesuai oleh PMX. Banyak komen telah didedahkan oleh pengulas politik tentang tokoh mana yang sepatutnya memegang kementerian (mengikut pertimbangan selera mereka - pengulas politik) namun seolah-olah PMX mempunyai cara yang tersendiri dalam menentukan calonnya. Dan mungkin juga ada asas dipertimbangkan oleh beliau cadangan yang dikemukakan oleh pemerhati politik di Malaysia.

Jikalau mahu dikatakan sebagai 'kejutan', maka meletakkan DS Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan Kedua sudah merupakan suatu 'kejutan'. 'Kejutan' yang dimaksudkan itu ialah suatu keadaan yang tidak disangka akan berlaku dan telah berlaku. 'Hampir tidak ada' menteri yang terdahulu yang digugurkan. Yang dilakukannya ialah memindahkan seseorang tokoh dari satu kementerian ke kementerian lain seperti Saudara Gobind Singh Deo, Dr. Dzulkefly Ahmad, and Johari Abdul Ghani. Penyertaan tokoh-tokoh ini hanya semata-mata untuk menguatkan kedudukan pentadbiran PMX dalam mengharungi hari-hari seterusnya.The number of ministers rose by three from 28 to 31, and deputy ministers increased from 27 to 29.

Kewujudan kementerian baru ia itu Kementerian Ekonomi Digital yang dipertanggungjawabkan kepada Saudara Gobind Sing Deo telah mendapat perhatian luar biasa. Walaupun tidak dijelaskannya namun PMX seolah-olah meletakkan harapan yang begitu tinggi terhadap pembentukan dan pelaksanaan kementerian ini. Mengapa?

Apakah beberapa contoh ekonomi digital?

Berikut ialah beberapa contoh ketara evolusi ekonomi digital: Permulaan perdagangan digital dan e-dagang. Lonjakan e-dagang -- di mana platform seperti Amazon, Alibaba dan eBay telah mengubah pembelian dan penjualan dalam talian -- telah membentuk semula runcit dan mencipta teknologi dan model perniagaan baharu.

Di Malaysia, untuk mewujudkan ekonomi digital sepenuhnya, beberapa cabaran perlu diatasi. Kekurangan inovasi teknologi baharu, pelanggan baharu, peraturan baharu, ancaman global adalah antara contoh cabaran yang bakal dihadapi dalam mewujudkan ekonomi digital di Malaysia (Leu & Masri, 2019).

Persoalan yang perlu diterokai adalah tentang mengapa PMX seolah-olah begitu menitikberat tentang perkembangan ekonomi digital ini. Perkembangan luar biasa di dunia harus juga dicontohi oleh Malaysia dan Malaysia seharusnya berada bersama, 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negar maju dunia.

Malaysia harus mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dengan mendigitalkan industri dan perniagaan; Membangunkan ekosistem untuk membantu perniagaan kekal bertenaga dan berdaya saing. Itu antara tugas berat dan penting yang harus didepani oleh Saudara Govind Singh Deo.

Apakah mungkin Saudara PMX terpengaruh juga dengan perkembangan di Singapura yang ada kaitanya dengan ekonomi digital? Harus diketahui juga bahawa ekonomi digital Singapura meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh 5 tahun.

“Secara keseluruhannya, ekonomi digital Singapura telah berkembang dengan kukuh dan prospek jangka panjangnya kekal positif. Kerajaan Singapura terus komited untuk mengembangkan ekonomi digital yang berdaya saing dan memupuk tenaga kerja berkemahiran teknologi,” kata IMDA.10 Okt 2023

Ekonomi digital Singapura meningkat hampir dua kali ganda dalam 5 tahun - CNBC. Singapura menduduki tempat ketiga dalam ranking global bagi daya saing digital ekonomi, selepas menduduki tempat kelima pada 2021 semasa pandemik Covid-19.1 Dis 2023. Apakah perkembangan di Singapura ini juga mempengaruhi tindakan yang perlu dilakukan oleh Malaysia.

PMX tentu ada jawapannya. 

abuhassanadam

15 Disember 2023



Sunday, November 19, 2023

 


  PMX SEBAGAI 'ANAK JANTAN' MEMPERJUANGKAN HAK RAKYAT PALESTIN

YAB PM merupakan salah seorang dari pemimpin yang lantang menekankan tentang isu di Gaza. Beliau, semasa sesi ini, sekali lagi telah menunjukkan kecaknaan dan pendirian yang teguh terhadap kekejaman dan kezaliman yang sedang berlaku kepada saudara-saudara kita di Palestine. Tentulah berbeza dengan sikap yang ditunjukkan oleh setengah pemimpin yang semacam ragu-ragu dan bimbang dengan tindakan yang diambil takut kesan 'buruk' yang akan menimpa negara mereka. Amat berbeza dengan tindakan yang diambil oleh PMX - "walk the talk'.

Justeru, YAB PM bersama pemimpin-pemimpin dari Brunei Darussalam dan Indonesia telah mengeluarkan kenyataan media bersama untuk memberi gambaran yang lebih tepat dan adil mengenai perbincangan kemanusiaan di Gaza semasa mesyuarat ini. Di negara kita sendiri seolah-olah semacam tidak ada langsung penghargaan yang diberikan oleh pemimpin pembangkang hususnya tentang apa yang dilakukan oleh PMX itu. Malang sekali!

Ramai pemimpin dunia termasuklah dari Brunaai Darussalam dan Indonesia telah menyatakan kebimbangan tentang penderitaan dan kesan buruk peperangan serta konflik di seluruh dunia. Mereka menyedari bahawa konflik sebegini boleh membawa kesan yang ketara kepada ekonomi global. Mereka juga telah menggesa gencatan senjata segera dan penghentian keganasan di Gaza apabila melihatkan 'keganasan' yang melampau yang dilakukan oleh kumpulan Zionis Israil. Seolah-olah semacamt idak ada hari esok bagi mereka untuh menhapuskan sisa-sisa bangsa Palestin yang mempertahankan tanah air mereka.

PMX tidak lupa akan rakyat Malaysia yang berada di San Francisco bersempena dengan persidangan APEC di sana. Beliau bersama rombongan sempat mengadakan sesi dialog dan makan malam bersama rakyat dan pelajar Malaysia di San Francisco. Itu amat penting agar rakyat Malaysia yang berada di luar negara tidak dilupakan samada mereka sebagai pelajar atau pun sebagai ahli perniagaan dan telah menjadi rakyat di sana. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Saudara Anwar bahawa beliau dan YAB DS Wan Azizah amat berbesar hati dapat bertemu dan berdiskusi bersama mereka dalam majlis yang cukup santai.

Tanpa ragu-ragu dengan pendirian Malaysia terhadap isu di Palestin kini, dan Semasa Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC yang dipengerusikan oleh Presiden Joe Biden pada Jumaat lalu, PMX telah tegaskan betapa penting untuk semua negara untuk berpadu dan dalam satu suara pada saat ini bagi mendesak genjatan senjata di Semenanjung Gaza supaya pembantaian ke atas warga awam termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi oleh rejim ganas Israel ditamatkan. Walaupun itu merupakan 'seruan' yang sukar diterima oleh setengah pemimpin dunia namun Malaysia melalui Perdana Menterinya telah menyampaikan hasrat kebanyakan rakyat Malaysia. Harapan yang meninggi agar dapat ditegakkan keadilan, keamanan dan jamin hak asasi manusia sesegera mungkin!

PMX tidak mengenepikan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri yang sentiasa memikirkan tenaga kesenangan dan kebajikan rakyat Malaysia walaupun berada di perantauan menjalankan tugas yang lain dari sepatutnya yang dilakukan. Lantas beliau telah bertemu dengan ramai pemimpin dunia demi untuk mengeratkan hubungan antara Malaysia dengan negara berkenaan demi untuk menjalin kerjasama ekonomi dan hal-hal lain yang boleh mendatangkan keuntungan kepada kesejahteraan Malaysia yang boleh dianggap sebagai salah satu prinsip yang menerajui kerajaan Madani. Antara yang  ditemui adalah Presiden Indonesia, Perdana Menteri Jepun, Perdana Menteri Australia dan pimpinan-pimpinan lain. Mereka telah berbicara pelbagai perkara yang menjadi kepentingan bersama serta melaungkan komitmen untuk terus bekerjasama rapat menerusi kerjasama pelbagai bidang.

Berdiri sebagai 'Anak Jantan' semasa Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC yang dipengerusikan oleh Presiden Joe Biden pada Jumaat lalu, beliau menegaskan  betapa penting untuk semua negara untuk berpadu dan dalam satu suara pada saat ini bagi mendesak genjatan senjata di Semenanjung Gaza supaya pembantaian ke atas warga awam termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi oleh rejim ganas Israel ditamatkan. Ditambahnya lagi bahawa pemimpin dunia harus menegakkan  keadilan, keamanan dan jamin hak asasi manusia sesegera mungkin.

Menyertai sesi Dialog Tidak Rasmi dan Makan Tengah Hari Pemimpin Ekonomi APEC yang berlangsung di Moscone Centre, San Francisco yang telah dipengerusikan oleh Presiden Joe Biden dengan dihadiri oleh semua pemimpin APEC lain, beliau telah menyuarakan keresahan mengenai pertumpahan darah yang berlaku di  Gaza di tengah-tengah serangan udara dan darat rejim zionis Israel yang tidak henti-henti.Telah ditegaskannya apa yang berlaku di Gaza jelas menyerlahkan kegilaan menidakkan tanggungjawab moral yang membenarkan kemusnahan besar-besaran berlaku seterusnya mengakibatkan malapetaka iklim. Dalam majlis sama, beliau turut menegaskan bahawa negara maju perlu melakukan lebih banyak lagi untuk memikul tanggungjawab dan membantu negara membangun dalam peralihan tenaga.

Usaha yang telah dilakukan oleh pemimpin negara kita bukan kecil dan telah membuka 'mata dunia' bahawa sudah ada pemimpin khususnya Perdana Menteri dari Malaysia sudah sanggup 'bersepak terajang' di arena antara bangsa yang mempersoalkan tentang kebajikan manusia sejagat. Bangsa kita bukan lagi berjuang ala kekampungan tetapi telah mula mengeluarkan taring demi untuk menunjukkan bahawa bangsa Malaysia juga harus dihormati oleh dunia. Persitiwa di Gaza yang membabitkan rakyat Palestin telah amat menyentuh hati dan perasaan rakyat Malayisia yang cinta damai. Lantas pemimpin ulung PMX bangun menentang dan 'melenting'.

Yang agak menyedihkan kita ialah kemana 'hilang'nya pejuang-pejuang pembangkang yang kononya merupakan pejuang tulin yang sentiasa mendabik dada yang kononya memperjuangkan negara Islam. Mereka juga harus bersikap 'anak jantan' seperti PMX. Ataupun sekuran-kurangnya berikanlah sedikit penghargaan kepada perjuangan PMX berkenaan. 

Fikirkanlah...

abuhassanadam

20 November 2023