Monday, December 16, 2024

 

MAHASITUA (3)

Tentulah agak sukar bagi aku menghadapi masa hadapan yang cukup mencabar. Aku hanya berbekalkan sijil LCE ( Lower Certificate of Education). Pada ketika itu hanya berkelulusan LCE boleh diterima untuk mengikuti kursus perguruan di DTC (Day Training Centre). Dan aku adalah diantara calon yang mengikuti kursus perguruan di DTC Taiping pada tahun1962. Bermakna aku sudah menjadi guru sekolah rendah ketika berumur 17 tahun.

Sebenarnya bukan kehendak aku untuk mengikuti kursus perguruan dalam usia yang terlalu muda dan bukan juga kehendak bapa aku. Tetapi keadaan pada ketika itu yang memaksa aku mengambil tindakan sedemikian. Namun begitu aku faham bahawa bapak aku tentunya tidak termampu untuk membiayai pendidikan aku dan adik aku Latipah yang juga belajar di sekolah Inggeris (Government English Girl School, Kuala Kangsar) kini Sekolah Raja Perempuan Kalsom. Setelah aku tilik dan menongkan tentulah amat tidak patut untuk aku meneruskan pengajian aku ke tingkatan 4 dalam keadaan pendapatan bapak aku yang amat tidak termampu olehnya untuk meneruskan persekolahan aku dan adik aku.

Lantas aku mengambil keputusan untuk berhenti setakat tingkatan empat setelah lulus LCE. Itu membolehkan aku untuk meneruskan perjalanan pendidikan untuk menjadi seorang guru dan meneruskan pengajian di DTC  Taiping untuk mengikuti kursus perguruan. Sebenarnya aku telah ditawarkan ke Tingkatan empat alirann sains berdasarkan keputusan peperiksaan LCE yang aku perolehi. Aku memperolehi kepujian dalam semua matapelajaran. Yang pentingnya keputusan yang cemerlang yang membolehkan aku dimasukkan ke Tingkatan 4 aliran sains berdasarkan kepada keputusan Matematik dan Sains yang amat membanggakan. Kemasukan aku ke kelas Tingkatan Empat aliran sains adalah semacam satu mimpi bagi aku. Hanya aku seorang sahaja anak Melayu yang ditempatkan dan tentulah merasakan amat janggal bagi aku berada dalam kelas yang kebanyakannya terdiri dari kaum lain. Itu tidak bermakna yang aku di 'anaktirikan'. Hanya aku yang merasakan terasing.

Tetapi entah macam mana keadaan kehidupan aku bertukar menjadi keadaan yang amat gelap. Berdasarkan keputusan peperiksaan, aku hanya seorang (Melayu) yang ditempatkan di kelas Sains berkenaan. Daripada 30 orang pelajar hanya aku keserangan Melayu yang mengikuti kursus Sains di Clifford School Kuala Kangsar pada tahun itu.. "Science stream." Begitu hebatnya dan aku tidak tahu ke mana matlamatnya. Tidak ada tempat untuk aku mengadu dan bertanyakan khabar tentang tindakan yang harus aku ambil. Rakan-rakan kawan kaum Cina  tidak aku tanya dan mungkin mereka juga sibuk, Lantas aku tinggal keseorangan 'membawa diri''. Pada ketika itu aku betul-betul hilang arah untuk dituju.

'Stress'yang aku hadapi menyebabkan aku demam empat hari dan tidak ke sekolah. Puncanya adalah aku tidak tahu ke mana aku akan 'mendarat' dan tidak ada sesiapa tempat mengadu tentang apakah keputusan yang aku ambil bertepatan. Pada ketika itu aku sudah 'terbang' entah ke mana. Aku betul-betul rasa ketinggalan dalam hidupku.Aku tidak tahu ke mana arah tuju aku sebenar. 

Setelah aku agak sihat aku hadir di sekolah dan kehadiranku dalam kelas 'Empat Sains' adalah semacam tidak dipedulikan. Dan pada ketika itu aku sudah sedar bahawa kehadiran aku hanya sebagai 'melukut di tepi gantang'. Aku tidak dapat mengikuti pelajaran yang diajar oleh guru dan tidak pula aku berjumpa dengan guru untuk mendapatkan penjelasan. Aku terus 'tenggelam'

Tindakan seterusnya adalah berjumpa dengan Pengetua, Mr Karam Singh menyatakan hasrat ku utnuk berhenti sekolah. Aku masih ingat 'nasihat' yang disampaikan oleh Mr. Karam Singh kepada aku. 'Mahu kahwin cepat kah?' katanya. Masih terngiang-ngiang ditelinga aku 'nasihat' beliau yang lebih merupakan satu penghinaan yang menunjukkan yang orang Melayu pada ketika itu hanya mementingkan perkahwinan daripada mengejar peluang pendidikan.

Terus terang aku nyatakan kepada Pengetua bahawa aku terlalu miskin untuk meneruskan pelajaran aku. Dan aku mahu menyelamatkan pendidikan adik aku juga dengan harapan bapak aku menanggung pelajaran adik aku. Kesannya aku amat putus asa dan terus bertekad untuk meninggalkan Clifford School (Form Four) dan kebetulan dapat diterima di DTC Taiping dibawah pentadbiran Mr Gordon Ward. Di Clifford aku telah cuba dinasihat oleh Mr Karam Singh agar jangan pergi tetapi nasihatnya agak kurang meyakitkan. Katanya 'mahu kahwin kah? apabila aku katakan hasrat aku untuk keluar dari sekolah itu.

Tidak ada sesiapa pun ( para guru di sekolah Clifford) yang menasihati aku agar terus berada di Tingkatan Empat Sains. Tidak ada sedangkan aku telah membuktikan yang anak Melayu boleh mendapat keputusan cemerlang dalam matapelajaran sains. Aku tentunya merasa kecewa kerana tidak mendapat simpati walaupun dari seorang guru.

Kemudian baru aku sedar bahawa mengapa begitu terjadinya nasibku. Tentulah tidak siapa yang peduli tentang nasib anak kampung seperti aku. Aku bukannya dari golongan pembesar negeri ataupun anak seorang pegawai kerajaan. Bapak aku hanya seorang penoreh getah yang kehidupannya ' kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.Keadaan 'miskin' yang aku lalui tidak ada tolak bandingnya dengan keadaan kemiskinan yang aku lalui kini. Namun begitu aku bersyukur kerana telah berjaya juga aku membela kehidupan ku dan keluargaku selepas itu.

Januari 1962 bermulalah fasa baru dalam hidupku - Menjadi pendidik anak bangsa dengan memasuki DTC, Pusat Latihan Perguruan di Taiping.


abuhassanadam

17 Disember 2024

No comments:

Post a Comment