Friday, December 20, 2024

 MAHASITUA (6)

Suatu hal yang agak istemewa mengenai Kampung Ulu Mengkuang adalah tentang pengamalan kerjasama yang cukup erat antara penduduk kampung. Cukup mantap kerjasama antara penduduk. Dan terjalinnya kerjasama yang mantap ini mugkin juga disebabkan kepimpinan yang dilakukan oleh pemimpinnya yang diterajui oleh ketua kampungnya PakSu Man. Turut mengukuhkan kepimpinan di kampung ini adalah peranan yang dimainkan oleh Pak Da (Cikgu Ismail Ahmad) yang merupakan tonggak kepimpinan.

Sepanjang yang dapat aku perhatikan ketika berada di kampung ini adalah setiap perancangan yang ingin dilakukan oleh ketua kampung pastinya mendapat sokongan dan bantuann dari anak buahnya. Untuk menguatkan kedudukan Paksu Man akan sedia dibantu pula oleh Pakda yang merupakann guru besar SK Ulu Mengkuang.

Terbukti kerjasama yang erat ini dapat aku perhatikan tentang usaha orang kampung untuk mengadakan temasya sukan untuk sekolah. Hampir tidak yakin temasya sukan boleh dilaksanakan memandangkan kedaifan sekolah yang tidak mempunyai padang permainan yang sesuai untuk mengadakan pertandingan sukan disamping kedudukan kewangan sekolah yang pastinnya tidak mencukupi untuk mengadakan temasya sukan berkenaan.

Mesyuarat tergempar diadakan bertujuan mengadakan temasya sukan dan 'malam kesenian' ( tambah lagi acara disamping temasya sukan). Pertama kali aku terlibat dalam perancangan mengadakan temasya sukan di sekolah berkenaan. Hampir seluruh penduduk Ulu Mengkuang hadir dalam mesyuarat berkenaan. Mereka datang kebanyakannya sebagai pemerhati dan mahu terlibat sama dalam acara/ temasya yang diadakan setahun sekali itu. Tentunya temasya sukan ini merupakan perayaan yang dinanti-nantilkan oleh penduduk kampung.

Mereka sanggup mendermakan sumbangan mereka menjayakan temasya sukan berkenaan. Amat aku terkejut apabila mereka sanggup berbelanja untuk menjayakan temasya sukan berkenaan. Tindakan yang mereka tunjukkan pastinya agak berbeza dengan sikap setengah tempat lain yang kurang mahu terlibat menjayakan projek yang dianjurkan oleh sekolah. Amat berbeza dengan sikap orang kampung di Ulu Mengkuang. Mungkin tidak ramai yang bersikap demikian.

Perayaan temasya sukan di Ulu Mengkuang hampir seluruh 'penggerak' sukan berkenaan dilakukan oleh penduduk kampung. Seratus peratus dan mereka amat berbangga memberikan kerjasama. Amat berbangga sekali apabila ada penduduk kampung yang sanggup berjaga malam untuk mengawasi persiapan padang (pada malam sehari sebelum temasya diadakan) daripada dirosakkan oleh lembu atau kerbau. Tidak ada cara lain untuk menghalau lembu dan kerbau dari berkeliaran di atas padang sekolah yang sudah tersedia dengan 'persediaan sukan' selain dari mengawasi  supaya lebu dan kerbau tidak memasuki padang yang telah tersedia, Penduduk bergilir-gilir mengawasi padang sekolah agar tida 'dicemari' oleh lembu dan kerbau (kepunyaan orang kampung juga!)

Memang temasya sukan sekolah ini dilaksanakann seratus peratus oleh orang kampong dengan cara mereka yang 'tersendiri'. Tentulah jauh bezanya dengan upacara sukan yang dianjurkan oleh sekolah-sekolah di bandar namun yang paling penting bagi mereka ialah upacara berkenaan 'milik' mereka. Mereka berbangga dengan kemampuan mereka mengadakan temasya berkenaan walaupun peanan guru tidak diperkecilkan. Para guru akan 'campurtangan' dalam hal yang memerlukan penglibatan guru. Dan bagi aku amat mengembirakan dan satu sejarah yang tetap aku kenang sebhingga kini.

Pada malamnya diadakan malam 'Anikawarna' yang merupakan persembahan nyanyian, drama oleh anak muda  kampung Ulu Mengkuang. Ada pancaragam untuk menghiburkan penduduk di sini disamping 'artis' Ulu Mengkuang yang menghiburkan dengan lagu-lagu P.Ramlee. Antaranya yang masih lagi terngiang-ngiang ditelingaku ialah lagu yang berjodol , 'Hancur Badan Dikandung Tanah' (lagu asalnya nyanian P.Ramlee dan Saloma). Ada pancaragam yang mengiringi penyanyi walaupun tidak 'sehaluan' antara lagu dan irama.

Aku ditugaskan menjadi juruacara pada malam itu. Sememangnya cukup meriah. Dapat aku katakan bahawa seluruh penduduk kampung Ulu Mengkuang berpesta di padang sekolah pada malam berkenaan. Seingat aku, sehingga pukul 2.00 subuh malam Anikawarna masi rancak berlaku seolah-olah semacam penduduk Ulu Mengkuang tidak mahu 'melepaskan' acara pada malam itu. Mereka pada malam itu masih tidak mahu bergerak dari terus menerus berada menyaksikan persembahan yang semakin rancak.

Penduduk Ulu Mengkuang amat berpuas hati dengan perjalanan temasya sukan yang mereka jalankan disamping 'Malam Anekawarna' yang sungguh mengembirakan anak muda khususnya.Tidak ada diantara mereka yang tidak berpuas hati dengan persembahan mereka.Dan tentunya mereka menunggu kehadiran pesta yang akan datang, yang pastinya diadakan,

Upacara sebegini terus diadakan setiap tahun. Tidak pasti pula terus dijalankan pada tahun 2024. 

Diharap tidak mengecewakan 'orang Ulu Mengkuang'.


abuhassanadam

20 Disember 2024


No comments:

Post a Comment