Sunday, December 22, 2024

 BILA GURU KENCING BERDIRI....

Seingat aku tidak pernah lagi 'cikgu' (sengaja aku panggil. cikgu menandakan hormat) yang mengajar aku dulu samada di sekolah rendah, menengah, di univeristy sekalipun yang menunjukkan contoh sebagaimana yang ditunjukkan oleh sebahagian ahli parlimen Malaysia kini. Walaupun tidak ramai yang 'berkelakuan' demikian aku rasa sudah cukup untuk memberikan gambaran yang cukup jijik di mata rakyat khususnya kepada pelajar-pelajar yang selalu datang untuk melihat penampilan pemimpin mereka di dewan yang mulia ini. Tentunya para pelajar mengharapkan penampilan yang membanggakan yang boleh ditonjolkan oleh para wakil mereka sebaliknya mereka dihidangkan persembahan 'bila guru kencing berdiri'.

Pastinya para pelajar terutamanya yang datang dari pelajar sekolah menengah merasa hairan melihatkan gelagat para wakil rakyat yang langsung tidak sopan ketika menyampaikan ucapan-ucapan di parlimen. Lebih-lebih lagi apabila secara kebetulan para wakil rakyat berkenaan untuk menjemput pelajar sekolah di kawasannya untuk melihatkan 'kehebatan' (konon ) beliau berbahas.

Aku amat yakin, (sekali lagi aku ulangi! - amat yakin..) bahawa tidak ada sekolah-sekolah di Malaysia yang mengajar pelajar-pelajar cara berbahas sedemikian rupa seperti yang ditunjukkan di Parlimen. Yang diajar oleh guru ialah cara menyampaikan isi ucapan secara bersopan dengan tidak langsung menyakiti kawan dan rakan dan bukan dengan cara 'menjerit dan terlolong' sebagai satu cara untuk menunjukkan mereka hebat dalam perbahasan.

Seingat aku di Speakers Corner University Malaya (zaman dulu-dulu) tidak pernah pun kita melihat Anwar Ibrahim (ketika menjadi pemimpin pelajar) terpekik dan terlolong ketika menyampaikan ucapan walaupun pastinya ucapannya berbisa dan bukan sahaja ditujukan kepada rakan pelajar tetapi para pensyarah pun juga turut terlibat berada di hadapan perpustakaan University Malaya mendengar ucapan Saudara Anwar Ibrahim. (Begitu hebat sekali Anwar Ibrahim ketika itu dan kini selama-lamanya!)

Satu perkara yang aku perhatikan ketika melihat persembahan wakil rakyat di parlimen ialah ada wakil rakyat yang tidak ada adab langsung terhadap seseorang. Ada beberapa orang (jumlahnya agak kecil) wakil rakyat yang langsung tidak menghormati Perdana Menteri atau ketua Pembangkang , atau wakil rakyat yang lebih senior daripada mereka apabila menyampaikan hujjah mereka. Menampakkan bahawa seolah-olah mereka begitu hebat di gelangang parlimen sedangkan baru 'setahun jagung' penglibatan di arena parlimen ini. Seharusnya mereka tidak bersikap demikian

Cukup dulu sebagai pembuka gelanggang.....


abuhassanadam

23 Disember 2024


 

No comments:

Post a Comment