MAHASITUA (7)
Tidak ramai rakan-rakan ku dikalangan guru yang bersemangat untuk melanjutkan pelajaran dan memajukan diri. Kebanyakan mereka seolah-olah mahu terus 'menikmati hidup' setelah lulus dari DTC dan menjadi guru dengan pendapatan yang dikira 'lumayan'. RM 210.00 gaji yang diterima bagi yang lulus LCE (SRP). Cukuplah untuk memiliki sebuah motor skuter setelah dikumpulkan beberapa bulan. Sememangnya itulah 'trademark' guru pada tahun-tahun berkenaan. Aku pernah juga. memiliki motor sedemikian. Aku beli di Kuala Kangsar dengan harga RM880.00 - AK 195 nombor pendaftarannya.
Di pekan Selama (samada di Selama Perak atau Selama Kedah) sepatutnya boleh diadakan kelas untuk melanjutkan pelajaran. Maksud aku kelas SPM untuk calon yang ingin memajukan diri ke arah itu. Dikalangan guru-guru (awal 1960an) masih ramai yang belum memiliki Sijil SPM (termasuklah aku), jangankan memiliki STPM (Sijil Tinggi Persekolahan). Keadaan 'berpuas hati' yang sebegini yang menyebabkan ramai yang berpuas hati dengan pencapaian yang telah dimiliki. Terdapat juga golongan guru yang cuba memajukan diri, namun golongan ini tidak ramai disebabkan tidak ada 'rangsangan' dari masyarakat guru sekeliling.
Aku masih mahu menyatakan bahawa wujudnya semangat untuk memajukan diri adalah di atas dorongan yang diberikan oleh tokoh-tokoh guru seperti TS Awang Had Salleh, Atan Long, Aminuddin Baki dll. Merekalah yang meniupkan semangat untuk golongan guru yang tidak memiliki sijil yang sesuai untuk memajukan diri. Mereka telah menunjukkan contoh kepada kaum guru (contohnya) untuk memajukan diri dengan mengambil pepriksaan SPM/STP. Dari seorang guru yang berkelulusan Darjah 7 ( sekolah Melayu) ada diantara mereka yang berjaya memasuki university, satu pencapaian yang luar biasa.
Tidak ada siapa yang mendorong aku untuk menduduki peperiksaan SPM. Sepatutnya sekiranya aku tidak 'tercicir' aku sudah selesai mengambil peperiksaan SPM pada tahun 1963 tetapi disebabkan tercicir maka aku terpaksa berpuas hati dengan Sijil LCE sahaja berbanding dengan. rakan-rakan lama yang telah menduduki pepriksaan berkenaan dan lulus. Disinilah timbulnya perasaan 'ketinggalan' berbanding dengan rakan-rakan lain yang seangkatan.
Semangat untuk memajukan diri yang tidak secara langsung disemaikan oleh Awang Had Salleh, Atan Long, Aminuddin Baki, Ungku Umar itu tidak secara langsung sampai juga ke telinga guru-guru muda seperti aku tetapi disebabkan tidak ada rangsangan yang kuat telah menyebabkan khabar-khabar angin itu 'berlalu' begitu sahaja. Seingat aku ada juga usaha kawan-kawan ( yang hanya memiliki sijil LCE) untuk memajukan diri dengan jalan mengambil peperiksaan, namun kadang-kadang semangat yang berkobar-kobar 'sejuk' begitu sahaja.
Bagi aku sudah cukup bahagia berada dan mengajar di Ulu Mengkuang dengan keadaan desa yang cukup aman dan damai walaupun dalam keadaan yang kurang memuaskan - tidak ada letrik, tidak ada paip air, tidak ada jalan tar. Pendek kata serba kekurangan infrastruktur. Namun masyarakat di sini (kaya) dengan budi bahasa yang menyebabkan aku cukup selesa berada di sini.
Semacam kampung aku juga.
abuhassanadam
21 Disember 2024
No comments:
Post a Comment