Sunday, December 22, 2024

 

JAGUH KAMPUNG

Prof. Dr Khoo Kay Kim dalam kuliahnya pernah menyatakan tentang pergaduhan pertandingan bola sepak antara pasukan Melayu dan pasukan Cina. Contoh yang diberikannya ialah di Teluk Intan, kampung beliau sendiri. Jikalau aku tak silap tujuan beliau memaparkan cerita berkenaan untuk menunjukkan tentang adanya 'pertarungan' sedemikian tetapi pertandingan yang agak sihat dimana teknik yang digunakan oleh pasukan Cina untuk menewaskan pasukan Melayu ialah dengan menyapu minyak babi kepada kasut bola pemain Cina. Itu pun tidak mendatangkan kesan.

Terlanjur menceritakan tentang pertandingan bola sepak ( di kampung) menyeronokan juga bercerita tentang kisah permainan bola sepak di kampung. Di pekan Padang Rengas, Perak (kampung aku) bola sepak merupakan kegemaran penduduk di sini. Pernah aku mengikut rombongan ke Stadium Merdeka Kuala Lumpur( semata-mata untuk menonton pertandingan bola sepak (Merdeka Cup) antara Malaysia dan Burma. Pemergian rombongan 'orang Padang Rengas) ke Kuala Lumpur itu semata-mata untuk menonton perlawanan berkenaan. Dan pulang ke Padang Rengas pada malam itu juga setelah selesai pertandingan.

Pasukan GARUDA dari Padang Rengas merupakan pasukan bola yang ditubuhkan di sebuah kampung di Padang Rengas (Kampung Lalang). Dan sememangnya hebat pasukan GARUDA ini dan boleh dikatakan dapat mengalahkan pasukan lain di daerah Kuala Kangsar.. Bukan pasukan GARUDA sahaja yang merupakan pasukan miliki orang Padang Rengas, ada terdapat juga pasukan AL-Yahyawiyah yang merupakan pasukan bola milik Sekolah Arab Al Yahyawiyah. Dari kampung Padang Assam terdapat juga pasukan bola. Pendek kata pada awal 1960an Padang Rengas terkenal dengan pasukan bolanya.

Pada ketika itu sudah merupak!an satu kebiasaan masyarakat Padang Rengas menghabiskan masa mereka menonton pertandingan bola sepak di padang sekolah Melayu Padang Rengas. Hampir setiap petang pertandingan bola sepak diadakan. Dan ada juga pertandingan secara liga. Cukup meriah. Kini sudah tiada lagi pertandingan yang dijalankan seperti itu. Dan sudah tidak ada juga yang menguruskan rombongan ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan pertandingan bola sepak di sana.

Aku terpaksa menyatakan dan menyebut nama Tuan Haji Shaari, Cikgu Rashid yang aku kira antara 'tokoh' yang menghiupkan pasukan bola Padang Rengas. Mungkin Cikgu Rashid bertanggungjawab menghidupkan pasukan GARUDA di Kampung Lalang. Seolah-olah ketiadaan mereka lenyaplah sudah pasukan bola yang mewarnai Padang Rengas.

Menunggu kemunculan tenaga muda baru untuk memeriahkan semula Padang Rengas dengan kegiatan pasukan bolanya. Mungkin GARUDA bertukar nama kepada ENGGANG.

Mungkin!!


abuhassanadam

22 Disember 2024

 

No comments:

Post a Comment