Friday, June 26, 2015

SEHINGGA TERLENA......

            Sudah dua kali Ramdhan, masjid di tempat aku menggunakan ‘khidmat’ imam dari Mesir untuk ‘mengemudikan’ solat terawih. Imam yang sama. Hafiz muda. Memang ‘sedap’ bacaannya. Panjang dan kadang-kadang mungkin ‘terlena’ dibuatnya. Ramai yang memuji-muji tentang ‘kehebatan’ imam dari Mesir ini terutama dari segi ‘sedap’ bunyi bacaannya. Berlagu dan berirama ‘kemesiran’.

            Berbanding dengan Encik Kontak dan Pak Din Kayat yang menjadi imam solat terawih di surau Ekor Dusun ( kampung aku), tentulah ibarat seperti malam dengan siang. Jauh bezanya bacaan mereka dibandingkan dengan bacaan imam dari Mesir di masjid tempat aku kini. Encik Kontak ‘boleh tahan’ juga berbanding dengan Pak Din Kayat yang bacaannya agak mendatar tetapi betul tajweednya. Jikalau imam Mesir ini membaca surah yang tentunya panjang sehingga terlena (kadang-kadang) Encik Kontak dan Pak Din Kayat hanya membaca ayat-ayat pendek – ayat lazim.

            Agak besar juga perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh masjid di tempat aku untuk ‘mengimport’ imam Mesir ini. Tambang perjalanan dan elaunnya ketika berkhidmat di sini selama sebluan agak besar juga, namun disebabkan ‘kemampuan’ penduduk di sini menampung perbelanjaan demikian telah membolehkan imam berkenaan berkhidmat bagi tahun kedua. Dan aku difahamkan bahawa sebenarnya telah ada arahan dikeluarkan oleh pihak DYMM Sultan Selangor yang melarang ‘pengimportan’ imam-imam dari luar negara.

            Aku tidak tahu mengapa DYMM Sultan mengarahkan demikian. Mungkin juga agaknya Baginda Sultan mahukan keseragaman dalam hal-hal pengamalan agama di negeri Selangor. Baginda mungkin tidak mahu ada semacam perbezaan wujud antara masjid/surau yang mampu dengan masjid surau orang kurang mampu berbuat demikian. Mungkin Baginda takut dan bimbang akan timbul ‘perlumbaan’ antara masjid-masjid di negeri ini untuk ‘mengimport’ para imam dari luar negara khususnya dari Mesir dan Arab Saudi agaknya. Tetapi agaknya yang lebih dipentingkan oleh DYMM Sultan ialah supaya tidak berlaku pengabaian para hafiz tempatan yang tidak kurang juga kepakaran dalam mengendalikan solat terawih.

            Melihatkan keadaan yang berlaku kini terdetik juga difikiran aku untuk mempersoalkan sikap orang Melayu/ Islam di negara ini yang terlalu menghormati dan menyanjung orang luar berbading dengan orang tempatan dalam banyak hal. Semenjak zaman berzaman sikap orang Melayu yang sebegini terus menerus diamalkan dan semacam tidak ada titik noktahnya. Apa saja yang ‘berbau’ orang luar akan tetap disanjungi dan yang ‘berbau’ tempatan akan diketepikan. Semacam begitulah.

            Dengan sebab itulah agaknya ramai dikalangan orang Melayu yang kurang ilmu pengetahuan agamanya mengikut dan mengamalkan ajaran-ajaran sesat yang dibawa oleh ‘orang luar’. Orang Melayu mudah sangat percaya disamping mudah lupa. Masih ramai lagi orang Melayu ‘ Islam yang begitu taksub kepada kemampuan orang luar terutama yang datang dari Timur Tengah, India, Pakistan.  Pendek kata golongan yang berjubah, berjanggut panjang dan bermisai tebal sentiasa mendapat tempat di hati orang Melayu di negara kita. Pasti orang Melayu akan memberikan penghormatan yang melampau terhadapnya.

            Memang sedap dan lunak ‘lagu’ bacaan imam yang didatangkan dari Mesir itu. Kadang-kadang aku terfikir bahawa apakah aku sedang solat terawih ataupun sedang menikmati lagu Mesir yang didendangkan oleh seorang artis yang didatangkan dari Mesir. Dan kadang-kadang aku terfikir juga tentang apakah ada perbezaan antara bacaan imam Mesir ini dengan lagu-lagu Hindi yang dinyanyikan Muhammad Rafi (penyanyi Hindi sebelum Sharukh Khan). Memanglah ada perbezaannya. Yang ini solat terawih dan yang satu lagi itu filem ‘Junglee’.

             Mungkin tidak sepatutnya aku membuat perbandingan begitu. Namun hakikatnya begitulah. Disebabkan aku tidak mengtahui apa ‘biji-buah’ yang dibaca oleh imam berkenaan maka aku merasakan tidak banyak perbezaan antara apa yang ‘dilagukan’ oleh imam berkenaan dengan lagu Hinidi yang aku dengar. Salah aku juga kerana tidak mendalami dan memahami isi Al-Quran.

            Terlintas di kepala aku (bukanlah ketika aku kusyuk solat terawih!!) untuk memikirkan bahawa sudah sampai masanya DYMM Sultan di setiap negeri yang merupakan Ketua Agama Islam di negeri-negeri masing-masing mengarahkan agar diberikan tumpuan yang serious terhadap memahami isi Al-Quran. Maknanya penumpuan ke arah menafsir ayat-ayat al-Quran mesti dititik beratkan supaya umat Islam di Malaysia bukan sahaja mahir menghafal Al-Quran tetapi juga memahami sebenar-benarnya apa yang tertulis dalam Al-Quran.

            DYMM Sultan harus memulakan langkah sedemikian dengan mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri di Malaysia supaya setiap penceramah yang ingin menyampaikan ceramah diwajibkan menggunakan Al-Quran sebagai ‘buku teks’. Maknanya setiap ceramah yang disampaikan seharusnya mendasarkan ceramahnya kepada pentafsiran Al-Quran. Tauliah untuk menyampaikan ceramah di mana-mana sahaja di negeri-negeri berkenaan seharusnya diberikan kepada penceramah yang betul-betul berkebolehan dan berkemampuan menyampaikan ceramah yang bermutu berdasarkan Al-Quran dan Hadis.

            Maksudnya nanti, Insyallah akan betul-betul melahirkan ulama berkebolehan yang disegani dan bukan hanya sekadar sebagai ‘ulama kangkung’.

abuhassanadam
26 Jun 2015


Thursday, June 25, 2015

MENGKHIANATI MARA BERMAKNA MENGKHIANATI MELAYU

            YB Rafizi Ramli dalam kenyataannya berkaitan dengan pembelian hartanah Dudley di Melbourne Australia oleh pihak MARA mengatakan,   ‘Pendedahan eksklusif yang dibuat oleh akhbar Australia The Age yang bertajuk “Corrupt Malaysia money distorts Melbourne market” bukan sahaja memalukan nama baik Malaysia tetapi juga menimbulkan persoalan integriti dan sejauh mana wang amanah rakyat MARA disalahgunakan. Menurut laporan tersebut, pembelian hartanah The Dudley yang sepatunya berlaku pada harga RM51.5 juta telah dibeli pada harga RM 65.4 juta yang mana lebihan RM 13.8 juta daripada nilai sebenar telah diselewengkan’

            Sehinggalah kenyataan ini dinafikan, maka rakyat Malaysia akan menganggap bahawa ini merupakan satu lagi penyelewengan ‘harapan dan impian’ orang Melayu yang dilakukan oleh pihak yang amat tidak bertanggungjawab yang kononnya menjaga harta dan maruah orang Melayu. Sama seperti peribahasa Melayu, ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’. Belum pun ‘kering’ airmata orang Melayu (miskin dan papa kedana) mengenangkan tentang nasib Tabung Haji yang semacam ‘disambil-lewakan’ pentadbirannya, kini telah muncul pula kisah  ‘pemimpin Melayu’ (kononnya) menghancur-leburkan harapan orang Melayu.

            Terlebih dahulu aku paparkan di bawah ini sebuah sajak nukilan SN Saudara Usman Awang mengenai MARA atau Majlis Amanah Rakyat.


Majlis Amanah Rakyat
Sebuah nama keramat Lahir dari percikan amarah suatu bangsa Yang mundur sosio-ekonominya Masih menadah tangan menjadi peminta Di tanah airnya yang hampir sepuluh tahun merdeka. Bermula di zaman penjajah dikenal dengan RIDA - Lembaga Kemajuan Kampung Dan Perusahaan Suatu bayangan tipis cara Inggeris melonggarkan Kritik tajam rakyat terhadap dasar penjajahan.  
RIDA yang berdetik pada tahun 1953 Ketika bara nasionalisma marak menyala Tidak mampu menampung ghairah rakyat merdeka Suara Bumiputera yang semakin keras bergema Kemunduran dan kemiskinan yang ketara. Tahun seribu sembilan ratus enam puluh lima Kongres Ekonomi Bumiputera Yang Pertama Merumuskan segala duka nestapa bangsa Bahawa kita memiliki telaga Mengapa masih memegang talinya Sedang orang mencapai timba Maka segala gaung amarah dileburkan  Menjadi sumpah amanah suatu wawasan      
Pada detik 1966 yang menentukan  RIDA pun dikerandakan dalam sejarah  Untuk sebuah nama baru yang keramat   Majlis Amanah Rakyat   Kini 25 tahun telah berdetik   MARA mencapai kedewasaan usia   Mungkinkah bakal tiba Kongres Ekonomi Bumiputera  Penyelarasan jalur wawasan dua ribuan    Menilai kembali keberkesanan   AMARAH dan Amanah Rakyat yang  dipahatkan.  


         Izinkan aku menyoal pihak-pihak yang ‘menderhaka’ kepada harapan dan ‘perjuangan’ orang Melayu ini. Sedarkah  saudara-sauadara bahawa saudara sekalian merupakan pengkhianat sebenarnya bangsa Melayu. Saudara-saudara semacam pura-pura tidak sedar dan tidak tahu bahawasanya perjuangan bapak-bapak kita dahulu sebenarnya amat ikhlas berjuang untuk memajukan bangsa dan negara dan bukan seperti perjuangan sebahgian besar saudara-sauadara yang sememangnya berjuang untuk kepentingan ‘perut’ sendiri  disamping ‘berjuang’ untuk menghancurkan bangsa Melayu. Sedarkah saudara-saudara sekalian terutama yang sentiasa mendabik dada mengatakan bahawa saudara pejuang bangsa Melayu, menjaga hak Melayu tetapi sebenarnya saudaralah pengkhianat bangsa Melayu sebenarnya.

            Saudara-saudara sentiasa menyalahkan orang bukan Melayu yang menyebabkan orang Melayu mundur tetapi sebenarnya para pemimpin seperti saudara-saudaralah yang menyebabkan orang Melayu masih mundur dan bangsa Melayu ketinggalan. Sepatutnya orang Melayu sudah tidak berada ditahap seperti hari ini. Sepatutnya kita sudah jauh berada dihadapan. Tetapi malangnya kita masih meratapi nasib seperti yang diratapi oleh Saudara Aminuddin Baki beberapa dekad yang lalu.

            Ayam mati di kepuk padi, itik kehausan di air tenang!

abuhassanadam
25 Jun 2015


Wednesday, June 24, 2015

PAS BERJAYA MEWUJUDKAN ‘GENG SURAU’

            Kadang-kadang kelihatan pemimpin-pimpin ustaz dalam PAS semacam bermimpi di siang hari dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan yang mereka keluarkan. Semacam mereka tidak sedar tentang realiti masyarakat kini. Sungguhpun PAS adalah untuk golongan ‘kaki angguk’ sedemikian namum PAS adalah juga untuk rakyat umum, rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan keturunan. Apakah wadah perjuangan PAS pimpinan golongan ustaz semata-mata itu bersesuaian dengan keadaan dunia sedang berubah dengan pantas kini. Ini lah persoalan yang patut dihazamkan oleh pemimpin PAS berkenaan.

            Pemimpin dari golongan ustaz juga seharusnya memikirkan apakah PAS yang ‘dilahirkan’  ini bersesuaian dengan keadaan masyarakat Malaysia kini. Apakah dengan ‘menaja’ hukum Hudud itu saja sudah boleh memajukan masyarakat Malaysia dengan mengenepikan isu-isu besar lain yang sedang melanda negara, walaupun tidak dapat dinafikan yang Hudud merupakan hukum Tuhan.  Kelihatan skop pemikiran PAS pimpinan golongan ustaz sudah semacam begitu sempit dan hanya layak dipanggil sebagai ‘Geng Surau’ sahaja.

            Meneliti semula kesan muktamar yang diadakan baru-baru ini menunjukkan bahawa semacam banyak resolusi yang tidak berapa kena mengenai keputusan muktamar berkenaan mengikut perkiraan aku. Tindakan perwakilan PAS yang semacam mengamalkan ‘herd mentaliti’ yang ‘menolak’ golongan bukan ‘ustaz’ dalam parti berkenaan merupakan sesuatu yang amat luar biasa. Tindakan itu merupakan penolakan total kepada golongan berkenaan dan pastinya menampakkan ada ‘tangan ghaib’ yang mengarahkan perwakilan bertindak sedemikian.

            Tidak pernah lagi aku melihat tindakan perwakilan dalam parti politik lain di Malaysia yang bersikap sedemikian rupa. Sekurang-kurangnya dikekalkan juga tokoh-tokoh lama yang bukan golongan ustaz yang telah menaikkan nama PAS seperti yang kelihatan kini. Bukan kecil peranan yang telah mereka mainkan dalam memertabatkan parti yang mereka pimpin. Dengan bertindak sedemikian rupa menampakkan bahawa ahli PAS amat mudah melupakan jasa dan sumbangan pemimpin yang telah berjasa. Ringkasnya ahli PAS merupakan golongan yang tidak mengenang budi.

            Mungkin kepimpinan PAS kini merasakan bahawa apa yang berlaku dalam PAS merupakan satu tindakan yang boleh diterima oleh masyarakat. Mungkin begitu anggapan mereka. Mereka lupa bahawa mengenepikan tokoh-tokoh (bukan ustaz) yang begitu berpengalaman adalah sesuatu yang amat merugikan parti berkenaan. Memperlihatkan tidak peka dan tidak rasionalnya kepimpinan PAS dalam menerajui parti yang sebelum ini disayangi oleh bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga oleh bukan Melayu. Pemimpin PAS terdahulu khususnya TG Nik Aziz telah begitu berjaya menukar persepsi masyarakat Malaysia terhadap PAS. Tetapi malangnya ramai di Malaysia kini hanya melihat parti PAS sebagai ‘Geng Surau’

             Tentulah amat rugi kepada parti ini apabila tokoh-tokoh berpengalaman ‘terpelanting’ begitu sahaja disebabkan kejahilan setengah ahli yang merasakan bahwa kehadiran golongan bukan ustaz tidak diperlukan. Sedarkah golongan ini bahawa PAS telah menjadi buah mulut dan ‘diminati’ oleh golongan bukan Melayu ketika hayat TG Nik Aziz. Kepimpinan TG Nik Aziz telah berjaya menarik bukan sedikit jumlah pengundi bukan Melayu untuk menyokong perjuangan PAS. Jikalau tidak masakan Pakatan Rakyat dapat memenangi banyak kerusi yang sebahgian besar pengundinya terdiri dari pengundi bukan Melayu. Kerusi Parlimen Temerloh misalnya sudah hampir pasti ‘terpelanting’ ke tangan calon lain apabila pilihan raya diadakan sekiranya keadaan dalam PAS kini tidak diperbetulkan.

            Terus terang aku katakan rakyat Malaysia dari semua keturunan yang sudah mula ‘jatuh hati’ dengan PAS amat terkilan dengan keputusan Muktamar yang baru diadakan. Bukan bermakna bahawa mereka tidak menghormati proses demokrasi yang berjalan dalam pemilihan tetapi terkilan disebabkan ada antara  ahli yang tidak berpandangan jauh. Mungkin ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan ahli PAS yang terdiri dari golongan ‘ustaz’ bertindak demikian. Mungkin. Tetapi mereka harus melihat semula peribahasa Melayu yang berbunyi ‘ jangan marahkan nyamuk maka kelambu dibakar’. Janganlah disebabkan marah kepada segelintir menyebabkan ‘kesemua’ dimarahi.

             

            Kini perpaduan yang telah tercipta itu ‘lenyap’ sekelip mata, dilenyapkan oleh sebahagian besar ahli PAS yang cetek pemeikirannya . Tindakan golongan ini betul-betul menghiris hati kebanyakan rakyat Malaysia. Mereka sepatutnya mengkaji sedalam-dalammnya tindakan mereka sebelum bertindak dan mengenepikan golongan ‘bukan ustaz’. Apakah golongan ustaz dalam PAS ini sudah betul-betul mengkaji baik buruknya tindakan yang  mereka lakukan itu.

            Hampir pasti golongan bukan ustaz yang tidak terpilih dalam muktamar lepas akan meninggalkan PAS. Sudah hampir pasti. Hati mana yang tidak remuk redam sekiranya diperlakukan sedemikian apatah lagi telah ‘dikecam’ dan kadang-kadang ‘dihina’ dengan berbagai-bagai tuduhan yang amat menyedihkan. Dan ada ura-ura yang mengatakan bahawa golonga ini akan menubuhkan parti baru menggantikan perjuangan PAS yang lama.

            Ada yang mengatakan bahawa sekiranya mereka berbuat demikian maka mereka akan ‘tenggelam’. Mungkin. Tetapi melihat dan mendasarkan kepada sambutan rakyat Malaysia terhadap perjuangan mereka, maka sebenarnya ada ‘hikmah yang tersleindung’ sebagaimana yang dikatakan oleh setengah pemimpin PAS yang bukan ustaz itu. Cakap-cakap diluar khususnya dikalangan rakyat Malaysia dari semua kaum merasakan bahawa rakyat memerlukan kesinambungan dalam usaha untuk memenangi PRU14 nanti, menentang BN dan melahirkan kerajaan baru yang lebih adil dan effisen.

            Dan ‘perancangan’ yang sedang diatur itulah sebagai jawapannya.

abuhassanadam
24 Jun 2015



Tuesday, June 23, 2015

8 +3…CUKUP

            Sebenarnya kebanyakan kanak-kanak yang pergi menunaikan solat terawih di surau Ekor Dusun bukanlah untuk mendapatkan pahala tetapi sebenarnya hanya untuk menikmati juadah kuih-muih selepas solat terawih. Ini termasuklah aku juga. Disamping untuk menikmati juadah kuih muih, boleh juga dijadikan alasan yang cukup kuat untuk keluar dari rumah. Opah mesti tidak melarang sekiranya alasannya untuk pergi solat terawih di surau.

            Biasanya kami memulakan solat terawih setelah Imam Encik Kontak atau Pak Din sudah ‘separuh jalan’. Maknanya sudah selesai lapan rakaat. Sebelum itu kami ‘ronda’ bersama-sama rakan-rakan lain, Ani (arwah), Ngah (arwah), Basir, Toha, Mat Gedi dan lain-lain. Sengaja berbuat demikian kerana untuk mengelakkan keadaan yang terlalu lama berada di surau. Jemu. ‘Boring’ kata anak-anak sekarang. Yang kami penting pada ketika itu ialah jamuan ‘moreh’. Itu yang penting.

            Kami terpaksa menunggu sampai selesai 21 rakaat dan diikuti dengan bacaan ‘ya latiffff…..” diikuti oleh tahlil pula…diikuti oleh doa Encik Kontak yang panjang pulak…..Boring betul……Lepas itu baru boleh makan kuih, setelah perut ‘bernyanyi’ dan ‘berlagu’.

            Tidak ramai anak muda yang bersolat terawih di surau Ekor Dusun. Dan hampir tidak seorang pun kanak-kanak yang sebaya dengan aku yang mengikuti solat terwaih dari awal hingga akhir. Salah satu sebab yang terjadi demikian adalah disebabkan solat terawih yang terlalu panjang. 21 Rakaat sedangkan boleh disingkatkan kepada lapan rakaat sahaja dan dicampur dengan sembahayang witir tiga rakaat. Jadi sebelas. Cukup. Dengan berbuat begitu mungkin ramai anak muda dan kanak-kanak yang mahu menyempurnakan sembahayang terawihnya. Itulah pandangan ‘sebulat surara’ kanak-kanak di kariah Ekor Dusun ketika itu.

            Dan apbila aku dilantik sebagai wakil orang muda menganggotai Jawatankuasa Masjid Kampung Keroh Hilir ( apabila aku sudah layak digelar sebagai orang muda) ramai yang minta aku menyuarakan pada Pak Ngah Hussein (Pengerusi) dan Pak Haji Osman ( Imam) supaya solat terawih dikurangkan kepada lapan rakaat sahaja dan ditambah solat Witir tiga rakaat lagi. Mungkin dengan berbuat demikian akan ramai lagi anak muda ‘memeriahkan’ masjid.

            Aku rasa cadangan mereka tu patut dibawa kepada pengetahuan pihak Jawatankuasa Masjid terutamanya Pak Ngah Hussein yang juga merupakan Imam solat terawih. Tetapi aku ‘takut’ untuk mengemukakan cadangan orang muda ini kepada Pak Ngah Hussein. Nanti apa kata Pak Ngah Hussein pulak. Dan mungkin Pak Ngah Hussein berbincang pula dengan bapak aku ( Bendahari masjid). Nanti apa kata bapak pula. Disebabkan banyak sangat ‘persoalan’ yang perlu aku fikirkan, akhirnya cadangan dan ‘rintihan’ anak muda itu tidak aku panjangkan. Maknanya aku boleh dianggap tidak ‘bertanggungjawab’ dalam hal ini. Namun hasrat anak muda kampung aku ini aku pendam dalam perasaan sehinggalah ‘meletup’ apabila aku diberi peluang mengetuai Jabatan Penuntut Malaysia (Malaysian Students Department –MSD) di London pada tahun 1995.

            Antara langkah aku untuk menarik lebih ramai pelajar (disekitar kota London) sembahayang terawih di Malaysia Hall ialah dengan merealisasikan hasrat ‘anak muda’ Kampung Keroh Hilir dua puluh tahun sebelumnya. Oleh kerana aku ‘berkuasa’ dan segala keputusan yang aku buat diikuti, maka aku telah menetapkan solat terawih di Malaysia Hall hanya 8+3. Cukup. Lapan rakaat campur tiga rakaat solat witir. Lagi pun aku memikirkan bahawa sekiranya terlalu banyak masa untuk digunakan solat terawih, maka tentulah menganggu juga pelajaran pelajar yang sepatutnya belajar dan mentelaah. Lantas aku tetapkan 8+3…cukup.

Dan satu lagi tarikan yang aku lakukan ialah dengan mengadakan jamuan ‘moreh’ selepas solat terawih dengan kerjasama pengusaha kantin Malaysia Hall ketika itu – Azhar (‘ad) dan Ani (isteri Azhar). Jamuan Moreh yang merupakan hidangan Nasi Briyani dapat diadakan terus menerus sepanjang satu bulan dengan sumbangan yang mencurah-curah dari para dermawan Malaysia. Dengan adanya jamuan sedemikian telah dapat menjimatkan perbelanjaan makan para pelajar yang datang untuk solat terwaih di Malaysia Hall. Lantas ‘melimpah ruah’ lah tempat solat di Malaysia Hall itu sehinggakan pernah mencecah sehingga 300 orang jemaah pada satu-satu malam.

            Kegiatan sedemikian dapat aku lakukan sehingga tahun 1998 dan berkemungkinan kegiatan sedemikian berterusan dan diteruskan oleh pihak yang bertanggungjawab seterusnya untuk menjaga hal ehwal pelajar di UK dan Eire sehingga kini.

            Dan kalau boleh biarlah ditetapkan 8+3 sahaja. Orang muda tak suka lama-lama berada di surau. Taklah semuanya begitu…..

abuhassanadam

23 Jun 2015