ANWAR IBRAHIM – MUNGKIN HILANG SEBUTIR BINTANG DI
LANGIT ZAMAN
Seeingat aku nama ‘Anwar Ibrahim’ tidak pernah
‘padam’. Semenjak zaman persekolahan ( awal tahun-tahun 1960an) ketika beliau
menuntut di Malay College dan aku menuntut di Clifford School, Kuala Kangsar
nama ‘Anwar Ibrahim’ sudah mula ‘bergema’ terutama dalam kegiatan berpersatuan
dan dalam lapangan perbahasan. Sehinggalah kini ( sudah memasuki Kurun k 21)
nama ‘Anwar Ibrahim’ masih menguasai pemikiran rakyat Malaysia.
Pada tanggapan aku nama ‘Anwar Ibrahim’ mula
‘meletup’ ketika beliau mula memimpin Persatuan Bahasa Melayu University
Malaya. Walaupun isu bahasa merupakan agenda utama yang diperjuangkan pada
ketika itu namun banyak juga isu-isu lain yang diketengahkannya demi untuk
‘mengisi’ perjuangan memertabatkan kemerdekaan negara. Walaupun tidak disenangi
oleh pihak pemerintah pada ketika itu, namun beliau bersama-sama dengan
pemimpin lain meneruskan perjuangan tanpa henti.
Sehingga tahun 1974, University Malaya merupakan
tempat yang penuh dengan ‘happening’ dan salah satu sebab yang terjadi demikian
adalah disebabkan adanya manusia bernama Anwar Ibrahim. Tanyalah ‘atuk-atuk’
dan ‘opah-opah’ yang menuntut di University Malaya pada ketika itu akan
bersetuju dengan kenyataan aku bahawa memang Saudara Anwarlah yang
‘memeriahkan’ suasana university pada ketika itu.
Speakers Corner yang terletak dipinggiran
perpustakaan University Malaya merupakan medan tempat pelajar-pelajar mengasah
bakat menjadi pemimpin. Dan telah terbukti bahawa sumbangan dan jasa bakti
Speakers Corner berkenaan amat terserlah apabila ramai yang pernah ‘menaiki’
Speakers Corner pada zaman itu telah menjadi pemimpin negara kini. Dan terbukti
juga bahawa Speakers Corner tidak menjadikan para mahsiswa ketika itu seorang
penjenayah atau bersikap anti nasional. Malah ramai antara mereka yang menjadi
pemimpin negara yang amat berkesan.
Anak muda kini harus mengkaji sejarah perjuangan
Anwar Ibrahim. Anak muda kini juga harus tahu bahawa tidak ada pemimpin di
Malaysia yang mempunyai charisma seperti yang dimiliki oleh Anwar Ibrahim. Anak
muda bangsa Malaysia harus faham bahawa ketika berumur 23 tahun Anwar Ibrahim
telah dipilih untuk menjadi Pengerusi Penasihat Belia Bangsa-Bangsa Bersatu.
Dan anak muda Malaysia juga harus tahu dan sedar bahawa Anwar Ibrahim pernah
memegang jawatan sebagai Presiden of the Twenty-Fifth Session of the General
Conference UNESCO (1989) menewaskan pencabarnya yang merupakan bekas Timbalan
Perdana Australia .
Banyak lagi sumbangan Anwar Ibrahim yang tidak
diketahui oleh anak muda Malaysia. Terlalu banyak sumbangannya di arena
antarabangsa yang mengharumkan nama Malaysia. Hanya sejarah yang menetukan
segala-galanya.
Besok pada 10 Februari 2015, Anwar Ibrahim
mungkin ‘hilang’ buat seketika di arena politik Malaysia tetapi nama “Anwar
Ibrahim’ tidak akan ‘padam’ di hati rakyat Malaysia seperti tidak padamnya
nama-nama besar seperti Mahatma Gandhi, Sukarno, Nelson Mandela dan pemimpin
lain yang memiliki charisma hampir sama dengan yang dimilki oleh Anwar Ibrahim.
Pastinya rakyat menangisi kehilangan satu bintang
di langit zaman….
abuhassanadam
9 Februari 2015
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete